Isu-isu Melingkaran Kenduri Perkahwinan Umat Islam Melayu



Izin saya menyentuh soal ini untuk bersama-sama difikirkan. Selalu saya diajukan soalan, sejauh mana wajibnya menghadiri kenduri perkahwinan yang di dalamnya dipenuhi dengan aneka
kemungkaran. Lalu saya nyatakan saya bukan ahli hukum. Cuma yang saya fahami menghubungkan silaturrahim itu wajib sesama muslim.
Begitu banyak isu-isu yang melingkari kenduri perkahwinan umat Islam Melayu mutakhir ini. Elok disenaraikan satu persatu agar yang salah itu dapat dibetulkan, yang salah difahami dapat dimurnikan. Yang betul dapat dipertegaskan.
Sudah menjadi lumrah dalam mengadakan kenduri perkahwinan itu bertujuan untuk mengisytiharkan pernikahan pasangan yang diijab Kabul. Sekecil-kecil kenduri menumbangkan seekor kambing dan biasanya kenduri yang dijalankan lebih besar daripada itu.
Kecenderungan menjemput rakan taulan jauh dan dekat mendorong kad-kad jemputan perkahwinan direkabentuk dengan pelbagai layout. Malangnya tanpa disedari bakal pengantin memasukkan gambar mereka yang menggambarkan mereka pasangan paling bahagia. Dengan kata lain, gambar bakal pengantin perempuan duduk penuh mesra di sisi bakal pengantin lelaki seolah-olahnya mereka sudah menjadi pasangan suami isteri.
Bagi mencantikkan rupa wajah pengantin, mak andam juru solek dipanggil untuk mengandam. Malang sekali dipanggil perkhidmatan mak andam lelaki lembut untuk mengandam bakal isteri. Tentu tersentuh si kulit lelaki dan perempuan. Dan jelas hukumnya haram. Dan solekan yang tebal itu tentu bertujuan untuk kekal untuk beberapa waktu walaupun menyebabkan lupusnya waktu solat dalam tempoh itu.
Tidak cukup dengan itu, akad nikah dijalankan di masjid. Moleklah begitu. Mudah-mudahan pernikahan itu penuh barakah. Namun kedudukan jantina tidak diasingkan. Memadai dengan hujah yang hadir itu saudara mara kita walaupun hakikatnya memang batal air sembahyang apabila bersentuhan. . Selain itu, sebaik sahaja juru nikah selesai membaca doa selamatnya pernikahan itu, diajukan pula utur cara membatalkan air sembahyang sebelum sempat dilaksanakan solat sunat nikah. Sungguh aib dengan menyuruh si suami mengucup dahi isteri di tengah khalayak bukan muhrim. Juru gambar memetik picu kamera bertalu-talu. Jika semuanya muhrim pun, saya fikir atur cara itu sangat tidak wajar dilaksanakan. Tok-tok Imam, tok bilal, tok siak cuma mampu memandang lantaran mereka tidak ada kuasa untuk menghalang hal itu dijalankan.
Lalu majlis kenduri dijalankan selepas itu. Bagi yang punya biaya , mereka mengadakan di dewan serba indah. Alhamdulillah, itulah rezeki yang perlu disyukuri. Atur caranya berbeza dengan majlis yang dibuat di dewanserbaguna serba panas. Majlis diiringi dengan lagu pelbagai irama dan dengungan muzik itu mengalahkan bunyi muzik di pesta dangdut sehingga tetamu cuma berpeluang untuk makan dan memandang dan tidak berpeluang untuk berbincang. Makan minum bergantung kepada caterer menentukan halal haramnya. Tak terkecuali diselitkan dengan irama yang biasa didengari dari gereja. Selesai menjamu selera, tarian ballet dipamerkan. Tetamu juga dijemput bersama-sama menari untuk mememeriahkan majlis. Tunggang langgang mereka menari walaupun khalayaknya bukan muhrim yang halal bersentuhan.
Adat persandingan yang khilaf cerdik pandai membahaskan halal , makruh , harus dan haramnya dijalankan penuh meriah. Tidak cukup merenjiskan beras garam dan air mawar, diserikan lagi dengan lagaan pipi dan kucupan dahi. Amat lumarah ditemui begitu kini. Dan rasanya macam tidak ada hukum hakam dalam ruang yang dianggap punyai autonom itui.

Saya fikir itulah sebahagian isu yang melingkari majlis kenduri perkahwinan orang Melayu-islam sekarang. Kepada para agamawan, budayawan, pemikir social masyarakat, adik-adik, abang-abang, kakak-kakak; marilah kita fikir-fikir bersama-sama dan menjadi penmyelesaian untuk menghilangkan keresahan ketika setiap kali ingin meraikan pengantin yang baru mendirikan rumahtangga penuh keberkatan.
 
.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan