ADAT ISTIADAT PERTUNANGAN ORANG MELAYU

Pada tahun 2009, saya telah diminta oleh Ustaz Abdul Qahar bin Abdul Aziz dari Bahagian Undang-undang Keluarga Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) untuk memulakan penyelidikan mengenai adat istiadat pertunangan di kalangan masyarakat Melayu-Islam Pahang. Urusan ini sangat berkaitan dengan masalah berlakunya salah faham aturan pertunangan di antara masyarakat Melayu-Islam Pahang  dengan masyarakat Melayu  luar Pahang.

Dengan metodologi cakap dengar dengan masyarakat  Melayu di Kuala Lipis, Raub,Bentong,Temerloh, Maran dan Kuantan; saya dapa

 
ADAT ISTIADAT PERTUNANGAN ORANG MELAYU DI PAHANG

1. Orang Melayu dan adat istiadat 

Dalam kehidupan bermasyarakat, segala sesuatu yang dibuat adalah menurut muafakat. Bidalan Melayu ada menyebut , " Kalah adat kerana maufaka.". Ini bermaksud, walaupun sudah difahami dalam satu-satu bangsa itu ada peraturan atau adat tertentu untuk menguruskan sesuatu hal, tetapi jika pada masa itu, semua ahli masyarakat bermuafakat hendak melaksanakan urusan tersebut dengan cara berbeza dengan apa yang biasa dibuat, maka pada waktu itu, tidak diperlukan aturan dan adat istiadat tersebut. Dengan ini, muafakat adalah keperluan sosial yang amat dititikbengikkan.

Namun begitu bagi menjaga keharmonian hidup bermasyarakat dalam banyak urusan kehidupan, adat istiadat digunakan juga. Ini bertujuan untuk memudahkan perjalanan kehidupan. Bidalan Melayu menyebut perihal ini seperti berikut:

Alam beraja, mukim berpenghulu, kampong berketua. Adat itu berhukum.

Orang-orang Melayu hidup mengamalkan adat istiadat sejak wujudkannya tamadun orang-orang Melayu di Nusantara Melayu ini. Apabila Islam datang ke alam Melayu, segala adat istiadat Melayu disesuaikan dengan ajaran Islam. Berhubung hal ini, pantun Melayu ada menyebut;

Kalau jagung kulitnya putih
Tidak berbunga masa berbuah
Di laut Temenggung di darat Pepatih
Adat berpunca kitab Allah



2. Proses ke arah pertunangan
Bagi melaksanakan sesuatu pertunangan, beberapa proses dilakukan oleh masyarakat Melayu.
2.1 Proses Berbisik-bisik
Apabila seseorang lelaki dan seseorang perempuan sudah sampai ke tahap boleh berumahtangga, maka antara keduanya mula berkenal-kenalan dan sudah mulai bercita-cita untuk mendirikan rumahtangga. Dalam kehidupan seharian, sudah pasti proses bertanya khabar atau berbisik-bisik dibuat untuk mengetahui status diri masing-masing sama ada masih bujang atau pun sudah berpunya. Jika dalam proses berbisik-bisik ini, antara mereka bersependapat ingin mendirikan rumahtangga, maka pihak lelaki akan memaklumkan kepada keluarganya untuk merisik ke pihak keluarga perempuan.

2.2 Proses merisik

Proses merisik ialah satu kaedah iaitu keluarga lelaki menghantar wakil untuk berbincang dengan keluarga perempuan. Wakil kedua pihak biasanya ialah ibu bapa atau seseorang yang sangat dipercayai boleh menyimpan rahsia. Pertemuan diadakan di rumah keluarga perempuan dan semasa pertemuan diadakan, pihak lelaki membawa sebentuk cincin belah rotan sebagai tanda.

Laksamana berbaju besi,
Masuk ke hutan melanda-landa;
Hidup berdiri dengan saksi,
Adat berdiri dengan tanda.

Sekiranya cincin itu tidak dibawa, maka semasa majlis pertunangan dijalankan nanti, pihak lelaki hendaklah membawa 2 bentuk cincin iaitu cincin belah rotan dan cincin bertunang.
Tujuan merisik adalah bagi mendapatkan kemungkinan untuk menjalinkan hubungan keluarga atau menjalinkan ikatan perkahwinan dengan pihak keluarga yang dirisik. Jika risikan berjaya, pertunangan boleh dijalankan namun sebaliknya jika perempuan yang dirisik itu berpunya, maka hasrat tersebut terpaksa dibatalkan. Dengan sebab itu, tujuan merisik boleh mengelakkan daripada meminang orang yang telah berpunya sesuai dengan ajaran Islam.
Perkara yang dibincangkan dalam proses merisik ini ialah mengenalpasti status anak pihak perempuan sama ada masih berpunya atau pun tidak. Jika masih belum berpunya, pihak lelaki akan menyatakan hasrat untuk meminang anak gadis/perempuan tersebut. 

Sekiranya pihak perempuan berasa curiga atas keterangan pihak lelaki atau ingin menangguhkan persetujuan menerima masuk peminangan, pihak perempuan boleh meminta tempoh tertentu sebelum memutuskan jawapan setuju hendak menunangkan anak perempuannya atau pun tidak. Sekiranya sehingga habis tempoh itu, pihak lelaki tidak menerima apa-apa maklum balas daripada pihak perempuan, ini bermakna pihak perempuan bersetuju untuk menunangkan anak perempuan mereka dengan anak lelaki pihak lelaki. Tetapi jika dalam tempoh diberikan oleh pihak perempuan itu, pihak perempuan menziarahi pihak lelaki dan menyatakan tidak bersedia menunangkan anak perempuan mereka, maka majlis peminangan dibatalkan.
Selain itu, pihak perempuan mesti memulangkan cincin belah rotan kepada keluarga lelaki.

Melalui proses merisik ini, sekiranya pihak perempuan berpuas hati dan bersetuju atas semua keterangan semasa perbincangan, pihak perempuan boleh menyatakan persetujuan terus untuk menunangkan anak perempuan mereka dan seterusnya menerima cincin belah rotan sebagai tanda jadinya pertunangan yang bakal dilaksanakan itu.

Semasa majlis merisik ini juga disebut soal langkah bendul. Ini berlaku sekiranya anak gadis keluarga perempuan yang hendak dipinang itu mempunyai kakak, maka pihak lelaki wajar menyediakan sedikit hadiah berupa sepersalinan baju kepada si kakak bagi menghiburkan hati kakaknya. Ini menggambarkan kehalusan budi orang Melayu dalam menjaga hati kakak dan merupakan amat penting menjaga kerukunan di dalam keluarga.

2.3 Proses Bertunang

2.3.1 Sebelum majlis pertunangan

Sepanjang tempoh di antara majlis merisik ke majlis pertunangan, kedua keluarga dibenarkan berhubung untuk mengetahui perkara-perkara berhubung perminangan seperti tarikh pertunangan, jumlah belanja hantaran, cincin pertunangan, hadiah sepersalinan yang patut dibawa oleh pihak lelaki dan jumlah ahli keluarga lelaki yang akan hadir menghadiri majlis pertunangan. 

Dalam masalah belanja hantaran pula, ada tiga jenis kategori belanja boleh menjadi pilihan sama ada belanja sama naik iaitu sama-sama mengeluarkan belanja hantaran, belanja hantaran serta serba satu iaitu sebagai contohnya jika belanja hantaran RM 5000.00, ada hadiah iringan selengkapnya dan belanja hantaran luar serba satu, luar Mas Kahwin dan luar upah nikah iaitu nilai selain wang hantaran tidak disebut dalam pertunangan. Selain itu, dibincangkan jumlah wang belanja yang akan dibawa ke majlis pertunangan sama ada semua sekali, separuh sahaja atau tidak membawa langsung wang belanja tersebut. Dalam amalan masyarakat di Pahang, pihak lelaki akan membawa separuh wang hantaran sebagai menyatakan komitmen untuk mengikat pertunangan.

Dalam tempoh ini, kedua-dua keluarga boleh menentukan wakil yang akan bercakap dalam majlis bertunang nanti. Namun begitu, hal-hal berhubung jenis bentuk cincin pertunangan, wang hantaran dan hadiah sepersalinan yang telah dibincang dalam majlis merisik tidak boleh diubah atau dibincangkan lagi menurut adat di negeri Pahang. Perbincangan berhubung tawar menawar jumlah wang hantaran akan dianggap mengaib dan tidak sesuai dengan budi luhur orang Pahang.


Menurut adat istiadat di negeri Pahang, semua perbelanjaan mengadakan majlis pertunangan ditanggung sepenuhnya oleh keluarga pihak perempuan. Dengan itu, keluarga pihak perempuan akan menentukan jumlah jemputan ke majlis tersebut mengikut keupayaan kewangannya. Dengan erti kata lain, tidak semua ahli kariah dijemput menghadiri majlis pertunangan ini. Kebiasaannya ketua keluarga akan menjemput waris-waris terdekat, ketua kampung dan ahli-ahli agama menghadiri majlis pertunangan tersebut. Ini bertujuan untuk mengesahkan majlis tersebut adalah majlis yang sangat penting di dalam sesuatu kampung.

2.3.2 Semasa majlis pertunangan

Ibu dan bapa perempuan yang dipinang, ketua kampung, Imam dan ahli agama dan waris terdekat keluarga perempuan akan berada di ruang perbincangan sementara sekumpulan ahli keluarga pihak perempuan yang lain akan menunggu di halaman rumah bagi tujuan mengalu-alukan kedatangan rombongan keluarga lelaki seterusnya menyambut hadiah sepersalinan yang dibawa oleh keluarga lelaki.

Setelah rombongan ahli keluarga pihak lelaki sampai, mereka dijemput naik ke ruang perbincangan.
Semua alatan dan hadiah yang dibawa diletakkan ditengah-tengah majlis. Biasanya diletakkan bersebelahan dengan barangan hadiah pihak perempuan untuk diberi kepada pihak lelaki. Susunan barang-barang pihak lelaki itu diletakkan mengikut tertib iaitu tepak sirih, sirih junjung, cincin pertunangan, wang hantaran dan barang-barang hadiah sepersalinan.

Falsafah di sebalik barang hantaran.
Barangan dan hadiah yang diberi oleh pihak lelaki menggambarkan unsur –unsur keharmonian rumahtangga. Cincin sebagai lambang ikatan kukuh suami isteri. Wang hantaran sebagai tanggungjawab suami yang perlu dilunas, sirih junjung sebagai rasa hormat lelaki merendah diri untuk meminang perempuan, kelengkapan tepak sirih menggambarkan ragam kehidupan suami isteri..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan