Aspek Gaya Bahasa dalam Teks Sastera Melayu Berunsur Islam

 

  
Aspek Gaya Bahasa dalam Teks Sastera Melayu
Berunsur Islam







MOHAMMAD FADZELI JAAFAR
This article discusses language style in the domain of Islamic literary text,focusing on the novel ‘Mereka Yang Tertewas’by Hasanuddin Md. Isa (1988).The analysis is based on Shahnon Ahmad’s (1991) Islamic text guides thatinclude: clarity of the text (no ambiguity), precise use of language, andappropriate narrative technique. Language style in this context refers to the
specific linguistic characteristics of the studied text. In otherwords, this studyis an attempt to describe the language of Islamic text using linguistic
description, especially the lexical and grammatical categories, and the figuresof speech. The analysis will contribute to the general understanding of theory
of Islamic literary text, particularly within the Malay context.






PENDAHULUAN

Makalah ini mencuba untukmenghubungkan antara aspek gaya bahasa dengan
konsep sastera Islam. Hubungan ini boleh diperlihatkan melalui analisis stilistik,
iaitu kajian tentang gaya (dari segi linguistik) yang dapat menggambarkan
penggunaan bahasa dalam sesuatu teks sastera (Leech&Short 1991: 13). Cebisan
teks sastera yang dipilih adalah karya HasanuddinMd. Isa yang bertajuk Mereka
yang Tertewas. Teks ini pernah memenangi Hadiah Penghargaan Sayembara
Hadiah Sastera Berunsur Islam. Bersesuaian dengan pengiktirafannya sebagai
sebuah teks yang berunsur Islam,makalah ini akan membicarakan pelbagai
kategori linguistik dan stilistik, yang akan dihubungkan pula dengan makna
unsur bahasa yang ‘berunsur Islam’ yang terdapat dalam teks tersebut. Dengan
cara ini makalah ini berharap dapat menyerlahkan gaya bahasa berunsur Islam
dalam teks sastera Melayu.

KONSEP KARYA BERUNSUR ISLAM
Dalam membicarakan tentang konsep sastera yang berkait dengan Islam,Nurazmi
Kuntum (1991:13) ada mengkategorikannya kepada dua, iaitu sastera Melayu
berunsur Islam dan sastera Islam. SasteraMelayu berunsur Islam merujuk kepada
sebarang karya yang berkaitan dengan Islam serta ditulis oleh orang Islam.
Sastera Islam pula berhubung dengan nilai-nilai Islam yang selaras dengan ajaran
Islam yang sebenar. Dari segi praktis, sastera berunsur Islam lebih banyak
dihasilkan kerana konsepnya yang lebih luas.
Konsep tentang sastera Islamini pernahmenimbulkan polemik dalam
kalangan sasterawan diMalaysia, khususnya pada sekitar tahun 70-an. Makalah
ini, bagaimana pun, tidak berhasrat untuk membincangkannya secara tuntas kerana
yang ingin diserlahkan ialah bagaimana penggunaan bahasa dalam sesuatu
karya itu dapat dikategorikan sebagai sastera yang berunsur Islam. Shahnon
Ahmad (dalam Nurazmi Kuntum 1991: 211) telah menekankan tiga garis asas
bagi menentukan karya sastera Islam:
1. Sastera Islam bukanlah hasil karya yang kabur kerana Islam menentang
sebarang kekaburan dan ambiguiti.
2. Penggunaan bahasa pula hendaklah mudah supaya maksudnya tepat dan
tidak keliru.
3. Teknik penceritaan tidak harus melampau atau berlebih-lebih kerana dalam
Islamia lebih membawa kemudaratan daripada kebaikan.
Beberapa garis asas di atas dapat dipermudahkan, iaitu sastera Islam
haruslah jelas amanatnya, menggunakan bahasa yang mudah, dan tidak
melampau dari segi penceritaan,misalnya, tidak menggunakan teknik hiperbola
yang melampau. Dalam erti kata lain, sastera Islam meletakkan amanat (mesej)
pengarang sebagai aspek yang terpenting, selain aspek gaya bahasa dan gaya
penceritaan,memperlihatkan ciri teks sastera Melayu yang berunsur Islam.

KATEGORI LINGUISTIK DAN STILISTIK
Kategori lingusitik dan stilistik dalam makalah ini tertumpu kepada aspek leksikal,
gramatikal dan bahasa kiasan (figures of speech). Aspek leksikal merujuk kepada
perkataan. Sebagai contoh,melalui pengamatan saya terhadap teks yang dikaji,
pengarang cenderung menggunakan kata adjektif dan kata nama yang tetentu,
misalnya, fasik dan Islam. Penggunaan kata seperti ini mempunyai maksud
yang tertentu - berunsur Islam - yang akan disertakan komponen maknanya
yang sesuai, misalnya, [ - patuh] dan [ + agama]. Aspek gramatikal pulamerujuk
kepada struktur ayat yang digunakan oleh pengarang. Manakala bahasa kiasan
membicarakan unsur bahasa yang bersifatmetafora. Pelbagai kategori linguistik
dan stilistik yang digunakan dalam makalah ini merupakan kerangka analisis
yang sistematik dan pernah diterapkan dalamkajian terhadap teks sastera Inggeris,
misalnya, Leech&Short (1991) dan juga teks sasteraMelayu,misalnya,Mohamad
Fadzeli Jaafar (2001). Kerangka ini juga lebih menekankan bukti linguistik teks
yang berguna sebagai pengukuhan terhadap sesuatu interpretasi. Secara
sederhana, analisis seperti ini sebenarnya dapat menghubungkan maklumat
linguistik dengan makna teks, yang akhirnya dapat membantu pembaca
memahami sesuatu teks dengan lebih baik.

Dalam konteks mengkaji sastera berunsur Islam,memahami mesej yang
ingin disampaikan oleh pengarang merupakan aspek yang penting, iaitu
sebagaimana yang pernah disuarakan oleh ShafieAbu Bakar (1981: 12).
Pada pokoknya di dalam penterapan nilai-nilai Islam, soal
kandungan-isi yang menjadi mesej sesuatu penulisan itu
merupakan soal yang penting. Darinya dapat diukur
sejauhmanakah mampu atau tidaknya penterapan nilai-nilai
keislaman dapat dilakukan.
Saya percaya, untuk memahami mesej dalam sesebuah teks, aspek
kebahasaanlah yang perlu diberi perhatian, khususnya teks yang berkait dengan
Islam. Analisis aspek kebahasaan yang sistematik terhadap sesuatu teks akan
dapatmenyerlahkanmesej yang ingin disampaikan oleh pengarang; selain dapat
pula menghubungkan deskripsi linguistik dengan interpretasi secara lebih
eksplisit (Short 1996: 5).
ANALISIS DATA
Analisis dalam makalah ini bersifat empirik kerana perbincangan berdasarkan
data yang terdapat dalam teks. Cebisan teks yang dipilih ialah Bab 1 dalam
novel Mereka yang Tertewas. Bab 1 ini dianggap penting kerana bab ini
berfungsi sebagai pemula cerita yang akan memberi gambaran tentang bab yang
selanjutnya. Bab 1 ini juga akan dijadikan sebagai contoh bahan berunsur Islam
yang dapat menggambarkan keseluruhan teks tersebut.
Seterusnya untuk memudahkan perbincangan, cebisan teks ini telah
dianalisis secara perenggan demi perenggan, dan ayat demi ayat. Contohnya:
(1) 1.1 Kedatangan pagi
1.2 Kabus tetap akan menerjah ke langit.
Contoh (1) di atas memperlihatkan angka 1.1 dan 1.2, yang bermaksud
bilangan perenggan dan ayat. Secara keseluruhannya, Bab 1 ini mempunyai 7
perenggan dan 36 ayat (sila lihat Lampiran 1). Setiap perkataan dan ayat yang
terdapat dalam teks ini akan dikelompokkan mengikut kategori leksikal,
grammatikal, dan bahasa kiasan.
Bagaimanapun unsur bahasa yang difokuskan hanyalah yang berunsur
Islam. Misalnya:
(2) 5.1 Pada sebuah surau yang dibina di atas nama gotong royong,
berdiri mukmin, fasik,munafik, fasik, munafik, zalim, zindik dan segala
manusia yangmengaku dirinya beriman.
Berdasarkan contoh (2) di atas, terdapat sejumlah perkataan yang
ditalikkan, iaitu surau,mukmin, fasik, munafik, zalim, zindik dan beriman.
Kesemua perkataan ini kecuali beriman dan mukmin ialah kata adjektif. Perkataan
ini berunsur Islamkerana surau merujuk kepada tempat orang Islam menunaikan
ibadah solat. Perkataan mukmin pula merujuk kepada orang Islam yang baik
dan beriman. Perkataan lain seperti fasik,munafik, zalimdan zindik lebihmerujuk
kepada golongan manusia yang ingkar kepada perintah tuhan. Perbincangan
yang berikut akan memperincikan setiap unsur bahasa tersebut berserta
komponen semantik masing-masing
.
INTERPRETASI TEKS
Makalah ini akan mengemukakan terlebih dahulu interpretasi teks secara
perenggan demi perenggan. Seterusnya, analisis kategori linguistik dan stilistik
akan dilakukan pada perenggan tertentu yang memperlihatkan unsur bahasa
yang berunsur Islam. Pada bahagian terakhir, kajian ini akan merumuskan gaya
teks berunsur Islam, berdasarkan kriteria yang telah dicadangkan oleh Shanon
Ahmad.
Dalam perenggan 1, pengarang cuba menggambarkan dengan terperinci
tentang suasana kedatangan waktu pagi. Embun telah dipertentangkan dengan
cahaya matahari yang sentiasa menang dalam pertarungan itu. Ini merupakan
contoh qadak dan qadar Tuhan yang akan kekal selamanya. Perenggan 2 pula
memperkenalkan nama tempat, iaitu KampungBukit Setugal. Dijelaskan bahawa
disinilah penduduknya berlindung dan bertani.
Seterusnya dalam perenggan ketiga pengarangmemilih subjek sungai,
iaitu Sungai Cheneor yang menjadi nadi kepada penduduk di Bukit Setugal.
Perenggan keempat pula memilih topik jangka masa Kampung Bukit Setugal
diwujudkan, iaitu selama 40 tahun. Tempoh yang agak lama ini telah menyaksikan
pelbagai peristiwa suka duka penghuninya.
Masih berkisar pada tempat, kini surau pula yangmenjadi subjek dalam
perenggan kelima, iaitu tempat berkumpulnya pelbagai jenismanusia atas nama
Islam. Perincian tentang surau ini dijelaskan dalam perenggan keenam. Diulangulang
pernyataan bahawa surau itu telah lama wujud dan harus diganti kerana
keuzurannya. Bagaimanapun surau ini semakin dilupai. Ini memberi gambaran
bahawa penduduk di Bukit Setugal semakin jauh daripada Tuhan.
Perenggan yang terakhir dalam Bab 1 inimenjelaskan bahawa kealpaan
manusia terhadap Tuhan adalah sebahagian daripada kehidupan. Semua ini
adalah ujian keimanan, iaitu yang membezakan antara manusia yang mukmin
dan sebaliknya.

ASPEK LEKSIKAL
Sebagai sebuah teks sastera yang berunsur Islam memang sudah dijangkakan
teks kajian ini mengandungi sejumlah kata yang berkaitan dengan Islam.
Misalnya, kata adjektif yang berikut berfungsi untuk memberi gambaran tentang
sifatmanusia:
(3) fasik (5.1) (7.7)
(4) munafik (2.7) (5.1) (7.7)
(5) zalim(3.7) (5.1) (7.7)
(6) zindik(5.1)
(7) kafir (3.7) (7.7)
Kesemua perkataan di atas mempunyai maksud yang negatif. Perkataan
fasik dirujuk kepada golongan yang tidak mempedulikan perintah Allah.
Komponenmakna bagi fasik ialah [ - patuh], yakni tidak patuh kepada suruhan
Allah. Kata munafik pula ialah golongan yang berpura-pura percaya kepada
Islam (bermuka dua), dengan komponen makna [ - percaya]. Kata zalim lebih
umum sifatnya kerana kata ini dirujuk kepada golongan yang tidak
berperikemanusiaan dan tidak adil, iaitu [ - adil]. Bagaimanapun kata zalimini
boleh dikategorikan sebagai berunsur Islamkerana sifat ini bertentangan dengan
ajaran Islam. Sementara perkataan zindik dirujuk kepada golongan yang telah
terpesong atau orang yang sesat, dengan komponen makna [+sesat]. Dan yang
terakhir, kafir [ - Islam] dilabelkan kepada golongan yang tidak percaya kepada
Allah dan rasul-Nya, yakni ditujukan khusus kepada orang bukan Islam.
Penggunaan perkataan yang berunsur negatif ini amat sesuai dengan maksud
teks dan telah disusun mengikut tatatingkatnya, iaitu bermula daripada golongan
yang fasik (tidak patuh) sehinggalah yang kafir (bukan Islam).
Seterusnya, terdapat juga perkataan yang berlawanan dengan sifat
yang di atas, iaitumempunyai maksud yang positif:
(8) mukmin (5.1) (7.7)
(9) mulia (3.7)
Kata nama mukmin merujuk kepada golongan yang percaya kepada
Allah, yakni golongan yang beriman. Sementara kata adjektif mulia [ +baik]
bermaksud golongan yang tinggi kedudukannya, dan dalam konteks Islam,
golongan ini mempunyai kedudukan yang istimewa di sisi Allah. Perbandingan
di antara sifat positif, misalnya mukmin dan mulia dengan sifat negatif,misalnya,
fasik, munafik, zalim dan zindik bertujuan untuk memberi gambaran kepada
pembaca bahawa terdapat pelbagai jenis manusia tinggal di Bukit Setugal.Dan
sudah tentu kebanyakkannya adalah jenis yang tidak mematuhi perintah Allah,
[ - iman]. Selain, itu ada juga digunakan kata nama yang khususmerujuk kepada
orang yang beragama Islam, iaituMuslim(3.7) [ +Islam]. Pengarang menggunakan
huruf besar untuk ‘M’, yangmenjadikannya seperti nama khas.Di sini, pengarang
membezakan antara menjadi seorang ‘Muslim’ dengan nama khas Islam. Menjadi
seorang ‘Muslim’ bermaksud mematuhi perintah Allah - seorang Islam yang
sejati, sedangkan Islam hanya merujuk kepada agama atau [ +agama].
Bagi nama am yang mempunyai komponen makna [ + tempat] pula
diulang sebanyak 4 kali, iaitu surau (6.1) (6.2) (6.3) (6.5) dan masjid digunakan
sekali (6.2). Penggunaan kedua-dua kata nama tempat ini mudah diinterpretasi
kerana merujuk kepada tempat orang Islam berkumpul atau berjemaah untuk
melakukan ibadah. Pengulangan kata surau sebanyak 4 kali bertujuan untuk
memberi penegasan tentang keadaan surau tersebut yang sangat usang.
Kategori namaan lain yang berunsur Islam yang digunakan oleh
pengarang tergambar dalam contoh ayat yang berikut:
(10) Sejak akhir-akhir ini kesunyian lebih banyak menemani surau tua itu
daripada keriuhan takbir, tahmid dan tasbih ke hadratAllah. (6.5).
Takbir bermaksud kalimat “Allah akbar” yang dilafazkan secara
berulang-ulang untuk memuliakan Allah. Tahmid pula merujuk kepada zikir, iaitu
ucapan “alhamdulillah” secara berulang-ulang. Dan tasbih ialah doa puji-pujian
kepada Allah, iaitu dengan lafaz “subhanallah”. Kesemua perkataan ini tidak
dihubungkan dengan lakuan atau perbuatan kerana tiadanya awalan, misalnya
beR- dan berkongsi komponenmakna [ + zikir]. Dalam erti kata lain, tiada watak
tertentu yang melakukan proses zikir tersebut.
Yang menariknya dalam contoh (10) tersebut, pengarang telah
menggunakan perkataan yang bertentangan dari segi makna, iaitu kesunyian [ -
ada] dan keriuhan [ + ada]. Surau tua itu digambarkan sunyi sejak kebelakangan
ini, iaitu tiada pengunjungnya berbanding dengan sebelumnya ‘riuh’, iaitu suara
orang ramai yang memuji Allah melalui takbir, tahmid dan tasbih. Perbandingan
seperti ini dapat meninggalkan kesan kepada pembaca bahawa manusia di Bukit
Setugal semakin lupa kepadaAlllah.
Nama khas yang berkait secara langsung dengan agama Islam ialah
kata Islam (5.2) dan Jumaat (5.3), iaitu hari bersolat secara berjemaah pada
waktu Zohor di masjid. Nama khas Allah (6.5) pula digunakan sekali sahaja
berbanding dengan nama am tuhan yang digunakan sebanyak 4 kali. Hal ini
tidaklahmenghairankan kerana Allah dan tuhan mempunyai makna yang sama.
Buktinya ialah perkataan tuhan ditulis seperti nama khas, iaitu qadak dan qadar
Tuhan (1.5) dan anugerah Tuhan (4.4) dengan tujuan untuk menyamakannya
dengan Allah. Selain itu, terdapat juga nama khas yang mempunyai komponen
[ + peristiwa], iaitu maulidar-Rasul s.a.w. dan Asyura (6.4). Peristiwamaulidar-
Rasul s.a.w. ialah ulang tahun hari keputeraan Rasulullah s.a.w., iaitu pada 12
Rabiulawal, Asyura ialah perayaan mengingati kejayaan NabiNuh a.s. berlabuh
di Bukit Judi atau perayaanmengingati kematian SayidinaHusain r.a. diKarbala.
Tujuan merayakan dan mengingati hari Asyura ini bertujuan untuk memberi
keinsafan kepada manusia, selain dapat pula berkumpul bersama-sama. Dalam
karya ini, pengarang menggunakan peristiwa maulidar-Rasul s.a.w. dan Asyura
untuk menjelaskan bahawa kini tidak ramai manusia di Bukit Setugal yang
menyambut peristiwa tersebut di surau. Sesungguhnya penggunaan pelbagai
nama khas ini dapat menyerlahkan lagi mesej berunsur Islam dalam teks ini.

ASPEK GRAMATIKAL
Aspek berunsur Islam sudah wujud seawal perenggan satu (1.5), iaitu tentang
qadak dan qadar tuhan yang telah menetapkan bahawa embun tetap akan kalah
dengan kekuatan cahaya matahari. Dalam perenggan yang lain, pengarang
telah menggunakan ayat majmuk yang panjang untuk melonggokkan pelbagai
maklumat yang berunsur Islam, iaitu:
(11) Tetap juga ia menerima manusia-manusia yang mulia, yang berdosa,
yang zalim, yang munafik, yang Muslim dan yang kafir membuang
sisa-sisa badan mereka ke dalam aliran airnya yang ganas itu. (3.7)
(12) Pada sebuah surau yang dibina di atas nama gotong-royong berdiri para
mukmin, fasik, munafik, zalim, zindin dan segala manusia yang mengaku
dirinya beriman. (5.1)
(13) Tuhan tetap mengasingkan perjuangan manusia mukmin, fasik, zalim,
munafik dan perjuangan manusia kafir dalam menempuh perjalanan
hidupmereka (7.7).
Bagi contoh ayat (11) di atas, unsur relatif yang digunakan seabgai
frasa keterangan kepada objek manusia, iaitu yang mulia, yang zalim, yang
munafik, yang Muslim dan yang kafir. Unsur ia dalam konteks ini merujuk
kepada sungai [ -bernyawa]. Sebagai subjek yang tidak bernyawa, sungai ini
tidak mampu membezakan di antara manusia yang mulia dengan sebaliknya.
Oleh sebab itu, sungai tersebut tetap akan menerima berbagai-bagai jenis manusia
yang ingin menyucikan diri masing-masing. Berhubung penggunaan subjek
sungai dalam teks sastera berunsur Islam,Ahmad KamalAbdullah (1989: 155)
berpendapat bahawa sungai berfungsi sebagai perlambangan bagi memuaskan
dahaga kerohanian insan, iaitu dengan menyucikan diri daripda sifat-sifat yang
keji dan palsu.
Kekompleksan ayat (12) dan (13) pula kerana pelonggokan kata nama
dan kata sifat yang memberi gambaran tentang pelbagai jenis manusia. Ayat
(12) merujuk kepada perkumpulan manusia yang beriman dan tidak beriman
“berdiri” (menunaikan solat) dalam surau itu. Ayat (13) pula memisahkan
perjuangan golongan ini di sisi Tuhan. Yang menariknya, perjuangan manusia
mukmin, fasik zalim dan munafik telah dibezakan dengan perjuangan manusia
kafir. Seperti yang telah dijelaskan di atas, kesemua golongan mukmin, fasik,
zalimdan munafik ini beragama Islam. Cuma golongan fasik, zalim dan munafik
mempunyai komponen makna [ - iman], yakni manusia yang tidak mematuhi
perintahAllah. Golongan kafir pula berbeza kerana  mereka tidak percaya kepada
Allah atau kepada agama Islam[ - Islam]. Oleh sebab itulah, perjuangan mereka
harus dibezakan.
Selanjutnya terdapat pengulangan frasa kata kerja yang berhubungan
dengan sifat Tuhan: tetap berkuasa (7.5), tetap meletakkan (7.6), tetap
mengasingkan (7.7). Pengulangan kata tetap sebelum setiap kata kerja ini
menunjukkan sifatAllah yangmaha agung dan adil terhadap hamba-Nya. Kata
kerja mengaku (5.1 dan 7.4) dirujuk kepada sifat manusia yang berpura-pura
beriman kepadaAllah. Perbuatan mengakun beriman ini, bagaimanapun dapat
dipertentangkan dengan sifatAllah [ + tahu, yakni lebih mengetahui hati budi
makhluk-Nya.

BAHASA KIASAN
Terdapat agak banyak metafora dan parallelisme dalam teks kajian ini.
penggunaan metafora berperanan sebagai ironi. Misalnya:
(14) ...,kelazatan dunia... (4.4)
(15) ...kesunyian lebih banyakmenemani surau itu... (6.5)
Dalamcontoh (14) di atas, diironikan sebagai lazat, iaitu dipenuhi dengan
pelbagai nikmat yang boleh mengalpakan manusia daripada mengingati Tuhan.
Semua nikmat ini harus dianggap sebagai anugerah Tuhan untuk menguji
keimanan manusia. Kata kesunyian dalam ayat (15) pula dirujuk kepada surau
yang digambarkan seperti bernyawa. Ironinya kesunyian surau ditujukan kepada
manusia yang sudah lupa kepada Tuhan.
Sebagai bab yang berfungsi untuk memulakan cerita dan memberi
gambaran tentang suasana, unsur parallelis mememang sudah diduga. Misalnya:
(16) Surau itu telah uzur! (6.1)
(17) ...surau tua itu. (6.2)
(18) Surau tua itu sudah uzur! (6.3)
(19) ...surau tua itu... (6.5)
Penggunaan tanda seruan ‘!’ dalam contoh ayat (16) dan (18)
menandakan bahawa pengarang menggunakan unsur emosi. Kesannya amat
ketara kerana pembaca dijemput bersimpati dengan keadaan surau yang telah
‘uzur’ [ + lama]. Ironinya surau ini harus diganti dengan yang baru dan
peranannya harus juga dipertingkat, iaitu sebagai tempat manusia berkumpul
untuk beribadah. Pengulangan frasa nama suara tua itu dalamcontoh (17) dan
(19) juga mempunyai maksud yang sama dengan ‘uzur’, iaitu berfungsi untuk
memberi penegasan tentang keadaan surau tersebut, dan perlu diganti dengan
yang baru.
Pengarang juga sengaja mengulang perkataan berkumpul dan
berpisah, iaitu dalam contoh yang berikut:
(20) Di atas nama persaudaraan Islam, lalu berkumpul dan berpisah mereka
kemudian berkumpul lagi lalu berpisah lagi. (5.2)

Maksud dalam contoh ayat (20) di atas adalah jelas bahawa tujuan
berkumpul dan berpisah itu haruslah dilakukan kerana Allah. Pengulangan
perkataan berkumpul dan berpisah ini menggambarkan bahawa perlakuan ini
memang biasa dilakukan untuk memperteguh persaudaraan sesama Islam.
Bagaimanapun, dalam teks kajian ini, kajian ini, aktiviti berkumpul dan berpisah
ini hanya terjadi pada hari Jumaat. Pada waktu lain, surau di kampung tersebut
amat jarang dikunjungi, iaitu sebagaimana yang terkandung dalam contoh (15)
di atas, kesunyian.

RUMUSAN GAYA BAHASA BERUNSUR ISLAM
Jika dihubungkan dengan garis asas sastera Islam yang dikemukakan oleh
Shahnon, teks sastera kajian ini mempunyai amanat yang jelas, iaitu mengajak
manusia kembali kepada Islam. Penggunaan bahasanya pula mudah dan tepat,
selain teknik penceritaan yang tidak terlalu berkias. Dalam erti kata lain, teks
kajian ini memenuhi garis asas tersebut, sekaligus wajar dikategorikan sebagai
karya sastera yang berunsur Islam.
Analisis leksikal menunjukkan bahawa unsur bahasa yang berunsur
Islamterdiri dari jenis kata nama dan kata adjektif. Dalam hal ini, pengarang lebih
cenderung menggunakan kata nama yang berunsur Islam berbanding kata
adjektif. Terdapat sejumlah 17 kata nama, misalnya, takbir dan surau, berbanding
7 kata adjektif, misalnya, fasik dan munafik.
Penggunaan kata nama berunsur Islam ini dapat dibahagikan kepada
beberapa jenis, iaitu nama am dan nama khas. Nama am, misalnya, surau dan
masjid [ + tempat]merujuk kepada tempat beribadah dan takbir ( + proses], iaitu
proses memuji Allah. Nama khas pula terdiri daripada komponen makna,
misalnya, Bukit Judi [ + tempat], Allah [ + Tuhan], Nabi Nuh a.s. [ + Nabi],
Saidina Hussain [ + tokoh Islam], Asyura [ + peristiwa]. Analisis kajian ini
memperlihatkan bahawa teks sastera Melayu berunsur Islam lebih cenderung
menggunakan nama khas berbanding nama am.
Bagi kata adjektif pula, pengarang menggunakan perkataan tertentu,
misalnya:
fasik munafik zalim zindik kafir
untukmenggambarkan sifat manusia yang [ - iman], dan telah dibezakan dengan
muslim [ + iman]. Hal ini menunjukkan bahawa dalam teks sastera berunsur
Islam, kata adjektif berfungsi untuk menerangkan sifat seseorang. Perkataan ini
juga telah disusun mengikut hirarki yang sesuai, iaitu bermula dengan fasik (-
ingkar) sehinggalah membawa kepada kafir (- percaya).
Seterusnya, hal yang agak menarik perhatian saya ialah kesan artistik
dalam teks ini yang masih berbau sastera. Maksudnya, teks ini masih berjaya
mengekalkan nilai sasteranya,walaupun mesejnya berunsur Islam. Hal ini terbukti
melalui penggunaan gaya bahasa yang mengulang-ulang. Pengulangan
perkataan, frasa atau ayat tertentu lebih bertujuan untuk memberi penegasan
tentang sesuatu subjek. Misalnya, pengulangan frasa manusia yang mengaku
dirinya beriman (5.1 dan 7.4) pada bahagian akhir setiap ayat merupakan sindiran
tentang sifat kepura-puraan manusia. Begitu juga dengan pengulangan kata
kerja peristiwa merayakan dan mengingati dalam ayat 6.4 yang bertujuan untuk
menimbulkan keinsafan kepada manusia. Dalam perenggan terakhir (perenggan
ke-7), pengarang mengajak pembaca bersetuju dengan hakikat bahawa Tuhan
lebih mengetahui segalanya, iaitumelalui pengulangan unsur tetap dalamtiga
ayat terakhir: Tuhan tetap berkuasa, tetap meletakkan manusia pada tarafnya
dan tetap mengasingkan perjuangan manusia mukmin dan sebaliknya.
Seterusnya pemilihan perkataan yang jelas kontras dari segi makna juga berjaya
memberi kesan artistik - kesunyian dengan keriuhan yang dirujuk kepada surau
dan berunsur sinis, frasa zaman senang yang berkontras dengan zaman susah;
dan masa libur yang berkontras dengan masa kesedihan.
Dari segi teknik penceritaan pula, pengarang tidak mengungkapkan
sesuatu peristiwa secara berlebih-lebihan. Misalnya, qadak dan qadar Tuhan
dibandingkan dengan peristiwa embun-embun yang tetap kalah dengan kekuatan
cahaya matahari, iaitu bagi menggambarkan kekuasaan Tuhan. Subjek sungai
pula berfungsi untuk menggambarkan kepelbagaian jenis manusia yang wujud
di kampung tersebut, yang akhirnya bersatu di dalam sungai tersebut. Akhirnya,
pengarang telah menggandingkan subjek surau dengan perkataan tua dan uzur,
iaitu bagi maksud terlalu usangnya surau tersebut. Gaya personafikasi ini mudah
difahami dan sesungguhnya telah menimbulkan kesan estetik terhadap karya
ini

KESIMPULAN
Makalah ini telah memperlihatkan bahawa senarai penguji (checklist) bahasa
yang ditetapkan dalam makalah ini, iaitu leksikal, gramatikal dan bahasa kiasan
dapat menonjolkan aspek gaya bahasa dalam sesuatu karya. Bagi karya yang
berunsur Islam, unsur leksikal, gramatikal dan bahasa kiasan yang digunakan
oleh pengarang haruslah dapat dihubungkan dengan Islam. Hubungan ini dapat
ditunjukkan oleh,misalnya gambaran sifat seseorang muslim atau peristiwa yang
berkaitan secara langsung dengan Islam. Karya “Mereka yang Tertewas” ini
didapati menggunakan unsur leksikal yang berfungsi untuk menggambarkan
sifat manusia yang tidak beriman, yakni “yang tertewas”, misalnya fasik dan
munafik. Pengaruh Islam dalam karya ini semakin ketara apabila pengarang
menggunakan beberapa peristiwa dalamsejarah Islam, misalnyamaulidar-Rasul
s.a.w. dan Asyura sebagai peringatan kepada mereka (manusia) yang tertewas
(ingkar). Berdasarkan beberapa ciri ini, maka karya ini wajar dianggap karya
sastera Melayu yang berunsur Islam. Bagaimanapun data bahasa yang
dibincangkan dalam makalah ini agak terhad. Dengan data yang lebih besar,
besar kemungkinannya gaya sastera Melayu yang berunsur Islam dapat
ditonjolkan, sekaligus dapat pula memperkukuhkan teori sastera Islam di
Malaysia.

BIBLIOGRAFI
Ahmad KamalAbdullah. 1989.Unsur-unsur Islamdalam puisiMelayumoden.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kamus Dewan. 1991. Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka.
Hasanuddin Md. Isa. 1988. Mereka yang tertewas. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Leech, G. N. &M. Short. 1981. Style in fiction. London: Longman.
Mohammad Fadzeli Jaafar, Gaya nominal vs gaya verbalm dalam Prosiding
Serantau Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu, Jabatan Bahasa Melayu,
Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi &Dewan Bahasa dan Pustaka, 22-
23Oktober 2001, Cakera Padat.
NurazmiKuntum. 1991. Teori dan pemikiran sastera IslamdiMalaysia. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Short, M. 1996. Exploring the language of poems, plays adn prose. London:
Longman.

LAMPIRAN 1
1.1 Kedatangan pagi.
1.2 Kabus tetap akan menerjah ke langit.
1.3 Bertebaran lalu bertembung dengan cahaya matahari pagi menerbitkan
cahaya perak yang berkilau-kilauan.
1.4. Kabus yang terkuak buatmenelus cahayamatahari di celah-celahmolekulmolekulnya
menggegarkan kekuatan embun-embun di dada dedaun.
1.5 Akhirnya ibarat gadis yang kelesuan, embun-embun itu tetap menyerah
kalah kepada kekuatan cahaya matahari, lesu, kaku, bisu dan begitulah
setiap hari seolah-olahnya itulah qadak dan qadar Tuhan yang mustahil
akan berubah sifatnya.
2.1 Kampung Bukit Setugal tetap berdiri megah sebagai pelindung,
penampung dan penyampai segala hasrat suka duka penghuninya.
2.2 Di atas sejalur tanah yang terbentang dibangunkan pelbagai tanaman
dan bangunan tempat membuang keringat dan berehat penghuninya.
2.3 Tanah sawah, tanah getah, tanah dusun dan tapak rumah yang masingmasing
daripada penduduknya memiliki sekangkang kera.
2.4 Di situ, merdekalah mereka memugar dan menggemburi tanah tersebut
dengan sekehendak hatimereka.
2.5 Bertahun-tahunmereka begitu lalu jajaran pokok-pokok kelapa, getah dan
pelbagai pepohonanmenabiri pemadanganmata.
3.1 Sebatang sungai mengalir di puncak Bukit Setugal ia berpunca.
3.2 Sungai itu membelah tanah-tanah sawah yang terbentang sesayup mata
memandang.
3.3 Aur-aur yangmenumpang berdiri di tepi-tepi tebing sungai itumeliuk-liuk
dedaunnya bergeseran setelah ditiup angin.
3.4 Sungai Cheneor yang secara tidak rasmi dinamakan oleh peneroka awal
Bukit Setugal, setiap hari sejak wujudnya, ia tetap matang, waras dan
dewasa dengan pengalamannya.
3.5 Airnya yang deras tetapmenghanyutkan sampah-sarap,membiakkan anakanak
baung, temalian, kenerap, patin, jelawat, sengiring, tilan, kelah, tapah,
belida dan puluhan jenis ikan-ikan lagi.
3.6 Tetap juga iamenerima kehadiran aur-aur di tebingnya.
3.7 Tetap juga ia menerimamanusia-manusia yangmulia, yang berdosa, yang
zalim, yangmunafik.
4.1 Empat puluh tahun sejak dibuka,KampungBukit Setugal bagaikanmanusia
yang telah mencapai usia matang dan dewasanya.
4.2 Tempoh yang sepanjang itu telah merakamkan kisah suka duka manusia.
4.3 Hidup mati, bercinta, berkasih sayang, bertunang-lanang, berlaki dan
bercerai-berai, bermenantu, bercucu, malah tempoh itu juga telah
menyaksikan ada penduduk Kampung Bukit Setugal yang berbini dua,
berbini tiga dan berbini empat.
4.4 Gelak tawa dan tangis kesedihan, kelazatan dunia dan kesukaran kehidupan
adalah anugerah Tuhan yang silih berganti datang dan pergi, begitulah
Jurnal Pengajian Umum Bil. 7 66
masa dan sejarah Bukit Setugal berlalu tanpa dapat dihentikan.
5.1 Pada sebuah surau yang dibina di atas nama gotong-royong, berdiri pada
mukmin, fasik,munafik, zalim, zindik dan segala manusia yangmengaku
dirinya beriman.
5.2 Di atas nama persaudaraan Islam, lalu berkumpul dan berpisah mereka
kemudian berkumpul lagi lalu berpisah lagi.
5.3 Begitulah seolah-olahnya suatu kemestian setiap Jumaat atau hari-hari
kebesaran.
6.1 Surau itu telah uzur!
6.2 Sudah ada ura-ura sebuah bangunan bernama masjid yang akan
menggantikannya, berperanan dengan peranan yang tidak ada sedikit
ubahnya dengan peranan surau tua itu.
6.3 Surau tua itu sudah uzur!
6.4 Di situ tidak lagi seramaimanamanusia yang datang berkenduri-kendara,
merayakanmaulidar-Rasul s.a.w. ataumerayakanAsyura bagimengingati
kejayaan kap Nabi Nuh a.s. yang berjaya berlabuh di Bukit Judi atau juga
merayakanAsyura sekadarmengingati kematian berdarah SyaidinaHusain
r.a. di bumiKarbala.
6.5 Sejak akhir-akhir ini kesunyian lebih banyak menemani surau tua itu
daripada keriuhan takbir, tahmid dan tasbih ke hadratAllah.
7.1 Itulah kehidupan.
7.2 Itulah juga sunah alam.
7.3 Zaman senang dan zaman susah,masa libur dan masa kesedihan.
7.4 Semuanya adalah ujian dan cubaan kepada keimanan yang mengaku
dirinya beriman.
7.5 Tuhan tetap berkuasa.
7.6 Dia tetapmeletakkan manusia pada tarafnya.
7.7 Tuhan tetap mengasingkan perjuangan manusia mukmin, fasik, zalim,
munafik dan perjuanganmanusia kafir dalammenempuh perjalanan hidup
mereka.
Latar diri penulis
Mohamad Fadzeli Jaafar ialah pensyarah di ProgramLinguistik, Pusat Pengajian
Bahasa dan Linguistik, Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau memperoleh
Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang linguistik daripada Universiti Malaya.
Bidang pengkhususannya ialah stilistik dan sintaksis, selain meminati beberapa
bidang sublinguistik yang lain, misalnya, pragmatik dan bilinguaslisme.
Tulisannya pernah disiarkan dalam Jurnal Dewan Bahasa, Jurnal Bahasa
Moden, Jurnal Sari, Jurnal Bahasa dan Jurnal Persatuan Linguistik.
Mohammad Fadzeli Jaafar
ProgramLinguistik
Pusat Pengajian Bahasa dan Linguistik
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
fadzeli@pkrisc.cc.ukm.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan