Al Fatihah Buat Bapaku Al Marhum Md Isa bin Omar (1910M – 1981M) (35tahun pemergian beliau menghadap Ilahi)

Malam semalam 1.5.2016, aku bersama-sama kariah surau  Simpang Kallang , Raub bertahlil ringkas dan berdoa moga  kesejahteraan dilimpahi Allah ke atas arwah  ayahandaku Al Marhum Md Isa bin Omar, Bondaku Al Marhumah Ramlah binti Mat Akhir, ayahanda bapa iparku  Al Marhum Zakaria bin Uda dan sekelian arwah  keluarga yang telah pergi menghadap Ilahi.


Apabila aku mengenang keluhuran peribadi bapaku, terasa aku amat kerdil  aku di sampingnya.  Siapalah aku ini  Si Hasanuddin tanpa kehadiran  bapaku Almarhum Md Isa bin Omar bin Juan bin Imam Muhamad  (Keramat Budu Terap) bin Pamat  (Kg. Pulau Manis, Serada, Kuala Terengganu).  Kekadang kubaca nasab bapaku sebagai Md Isa  anak Bing anak Nong anak  Imam Long    anak kepada Embong Saedah binti Tok Mat Amin bin Malek bin Tok Salleh bin Ngah Endek bin Mohd Ali Jaafar Sidek bin Raja Muhamad (Baginda Demu) anak Seri Dewi anak Halimah (Asam Kumbang Taiping).


Kufikir-fikir aku mulai mengenali beliau pada usiaku 3 tahun.  Keriuhan anak-anak di surau kampung Pulai menjadiku cukup teruja menyerrtai mereka.  Kami bergurau senda semahunya tanpa mengenal siapa rakan-rakan itu.  Itu rutin yang kutunggu setiap malam.  Berjumpa rakan-rakan di surau itu untuk bergumbira.  Tanpa mempedulikan  orang-orang dewasa yang duduk menghadap bapaku mengajar sesuatu, aku berlompatan  bersama-sama rakanku di selasar surau yang luas.  Sesudah keletihan aku duduk di sebelah bapaku dan tidur.   Sesedarnya ak sudah berada  di rumah, di kampung Temalir.
Ketika memasuki alam sekolah rendah, kusedari bapa memang gigih membina kehidupan.  Hidup sebagai anak kampung menjadikan aku mengerti betapa hidup ini perlu diperjuangkan segigihnya.  Untuk meneruskan kehidupan, tidak ada sebarang subsidi dan bantuan kebajikan untuk meneruskan kehidupan.  Setiap usaha perlu dititip bersungguh-sungguh.  Bapa kufikir punyai falsafah hidup sebegitu.  Lantaran itu,  mulai kokokan ayam pada dinihari , beliau telah bangun, mandi-manda dan beribadat. Ketika tanah mulai cerah, beliau mencapai rembas dan mengedari kawasan kebun getah menebas semak-samun.  Jam sepuluh pagi, beliau akan pulang ke rumah untuk kudapan pagi dan turun ke paya menyelia anak padi yang mula merimbun.  Rehat tak rehat ketika Zuhur  menjelang.  Beliau berehat panjang hingga ke Asar  dan sesudah itu bergegas ke kebun sayuran yang diusaha untuk keperluan keluarga. Sebelah malam beliau ke surau memenuhi tuntutan pendidikan masyarakat kampung yang kekurangan keilmuan.

Bapa bercerita beliau bersekolah Melayu setakat darjah tiga sahaja.  Waktu itu, itulah pendidikan tertinggi di sekolah kampung. Sesudah itu pergi belajar agama di pondok Pasir Mas , Kuala Lipis, meneruskan pelajaran di pondok Tanjung Besar dan pergi belajar di pondok Pasir Tumbuh di Kelantan.  Di pondok itu beliau belajar kepada Tok Guru Yusof.  Sesudah pulang ke Pahang, beliau berkahwin dengan bonda.

Agak lama tinggal di kampung Pulai itu, cerita bapaku pada kali yang lain.  Sejak berkahwin dengan bondaku dan mendirikan sebuah rumah di kampung Pulai,  semua anak-anaknya kecuali abangku Mohamad  dilahirkan di kampung Pulai.  Apabila Inggeris kembali mentadbir Malaya pada 1946, tanaman getah diperkenal kepada penduduk kampung.  Jadi setiap orang kampung membuka tanah untuk bertanam getah.  Demikian bapaku berusaha membuka tanah di Bukit Temalir dan Bukit Gambut.  Sesudah siap membuat empangan kecil menyekat aliran Alor Temalir untuk dijadikan tanah paya, beliau mendirikan rumah beratap bertam, berdinding pelupoh dan berlantaikan batang pinang.  Rumah itu diduduki pada tahun 1956.  Di rumah itu, kekandaku Mohamad bin Md Isa dilahirkan.
Sesudah itu pada tahun 1964, sebuah rumah baru dibangunkan di tapak berhampiran tapak rumah asal. Sejumlah wang RM800.00 dilaburkan untuk membangunkan rumah tersebut dan rumah bertiang kayu merbau itu dibina oleh  Tukang Zainal.

Tahun-tahun awal merdeka itu tahun yang sangat sukar, cerita bapaku berkali-kali. Mungkin penceritaan itu untuk menyedarkan aku bahawa hidup ini perlu diperjuangkan bukan menunggu setiap pemberian.  Pada waktu itu tidak ada jalan raya, tidak ada api elektrik, tidak ada bekalan air bersih.  Untuk menggerakkan pembangunan di kampung lebih pantas, mahu tidak mahu keterlibatan dengan parti pemerintah suatu alternatif..  Demikian bapa menyertai UMNO sebagai Setiausaha Cawangan dan AJK Bahagian Raub. Kadang-kadang aku terfikir kenapa bapa memilih UMNO.  Dan kemudiannya aku beroleh jawapan. Pada waktu itu parti oposisi yang aktif cuma parti sosialis.  Namun parti sosialis ini tidak menang banyak dalam kerusi pilihan raya.  Parti PAS belum dikenali di Pahang pada awal kemerdekaan itu.  Demikian juga parti DAP.

Pilihanraya Umum 1964, aku mengekori bapa menaiki pentas perikatan untuk berkempen. Sebenarnya aku tidak faham apa-apa tentang politik melainkan gumbira berjumpa rakan sebaya di majlis berkumpulnya orang-orang kampung. Namun sesudah selesai pilihanraya itu, sebatang jalan raya berdasar batu granit dibina membelah kampungku. Sebatang jambatan berdinding besi dan berpelantar kayu dibina merentang Sungai Lipis.  Sesudah itu sebuah masjid baru dibangunkan di atas Bukit Setugal  dan Sekolah Kebangsaan Kuala Atok dibangunkan bangunan baru berupa dua bangunan untuk kelas, sebuah rumah guru besar tandas dan perigi pum.  Jalan-jalan kecil ke kampung Temalir, Merang  dan Olok Empang dibina. Dalam tempoh itu juga dibuka tanah pinggir di kampung Ulu Temalir dan Sejuk.  Tanah pada keluasan 5 hingga enam ekar setiap lot  itu diagihkan kepada setiap keluarga yang mendiami kampung Kuala Atok.

Sehinggalah ke tahun 1972 bapaku bergiat cergas dalam UMNO, aku dapati dia tidak betah sangat berlama-lamaan di rumah.  Rakan sepolitiknya pada waktu itu kukenal antaranya Dato Yop Sendiri di Dong, Dato Hussien di Raub, Syed Abdul Rahman dan Syed Alwi di Sega  dan Tengku Mustapha Tengku Seti di Gali. Kata bapaku, mereka itu saudara mara belaka.
Suatu kenangan yang tak dapat kulupakan terhadap bapa, ketika keluangan masa, beliiau mengajarku sirah para nabi sebagaimana diceritakan dalam al-Quran. Beliau akan membuka kitab tafsir Al Jalalain dan membaca teks Arab lalu diterjemah ke dalam bahasa Melayu secara spontan.  Kisah-kisah Nibi Ibrahim, Nabi Yusuf, Nabi Ishak, Nabi Isa disudahi pengkisahan dengan berpandukan kitab tafsir tersebut.

Pada ketika lain, beliau bercerita usaha kerajaan Pahang mengambil alih sekolah agama rakyat di Dong dan dijadikan sekolah kerajaan. Dengan itu pendidikan di sekoah itu dapat dijayakan dengan lebih sempurna.  Sekolah itu dibangunkan oleh waris-waris kami di Dong  dan perjalanannya sebagai sekolah agama rakyat tidak berkembang dengan pesat.  Juga beliau bercerita usaha membina sebuah sekolah agama di Mukim Sega. Sekolah itu bagi menampung pelajar yang tidak mampu berulang-alik bersekolah di Dong. Aku cuma angguk kepala setiap kali beliau bercerita tentang sekolah itu.

Tidak banyak kenang-kenangan bersama-sama bapa apabila aku memasuki sekolah menengah.  Aku tinggal di asrama dan beliau tinggal di kampung Kuala Atok yang berjarak 32 kilometer.  Dua minggu sekali beliau menziarahiku di asrama.  Bertanya perihal kesihatan dan perkembangan pelajaran.  Bertanya ilmu agama yang dapat kupungut daripada pendidikan kebangsaan yang kulalui ketika itu. Kufikir dia ingin sekali menukarkanku ke aliran Arab tetapi kukatakan aku selesa dengan suasana persekolahanku. Dan beliau tidak memaksa hajatnya dan aku jua ketika itu tidak memahami sejauh mana hasratnya itu.


Pelajaranku cemerlang.  Aku bertukar ke Technical Institute Kuantan dan sesudah itu bertukar ke Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib, Kuantan. Sesudah menamatkan peperiksaan STP, aku pulang ke pangkuan bapa. Sewaktu itu bapa agak uzur.  Penyakit darah tingginya tidak dikawal dengan baik dan akhirnya beliau stroke.  Pada saat akhir hayatnya, aku berusaha sebaik menjaganya.  Aku adalah rakan berbual.  Dalam keadaan uzur itu, beliau masih suka berbincang segala hal politik, agama dan sosial. Pandangan politiknya sangat terbuka.  Sokonglah parti yang menjunjung agama, membela bangsa dan mempertahankan tanah air.  Kesimpulan itu sangat jitu.  Dan saat terakhir bersama-sama bapa, aku mempelajari secara mendalam salasilah keluarga.  Buku teromba salasilah yang ditulis oleh Almarhum Penghulu Mat Dahan dibentangkan kepadaku.  Mengenali susur jalaur kekeluargaan menjadikan seseorang menginsafi nasib diri.  Itu filsafat yang diajar agar aku tidak menjadi manusia lupa diri.

Bapaku Al Marhum Md Isa bin Omar menghembuskan nafas terakhirnya di hadapanku pada jam 6.35 pagi 3.5.1981.  Aku bersama-sama ahli keluargaku menguruskan jenazahnya, memikul tandu ke tanah perkuburan dan mengebumikan al Marhum di tanah perkuburan Kampung Kuala Atok.  Dengan iringan doa semoga Allah mengampuni segala dosa bapa, dikumpulkan bersama-sama orang-orang yang soleh dan ditempatkan di Jannah , kekal di sana selama-lamanya.

Al Fatihah buat bapaku Al Marhum Md Isa bin Omar.