TOK KAYA CHANDAK (Orang Kaya Lipis Ke-9)

                

          Tok Kaya Chandak bin Tok Koris  atau disebut  juga Tok Kaya Chandak anak Itam Mas Pahang binti Tok Kaya Ibrahim bin Tok Kaya Kasar adalah tokoh yang memegang teraju jawatan Tok Kaya Lipis ke-9.   Wilayah naungan Orang  Kaya Lipis itu bermula dari muara Sungai Lipis hinggalah ke air meleleh meliputi segala cabang alor  dan anak sungai  yang  menuju ke Sungai Lipis.




          Kelahiran  Tok Kaya Chandak  dianggar sekitar 1670M.  Beliau dibesarkan di Kampung Terap Budu   dan mula menjawat jawatan Orang Kaya Lipis ke-9  menggantikan datoknya, Tok Kaya Ibrahim yang meninggal dunia  sekitar tahun 1700M.  Sewaktu  pentadbiran Tok Kaya Chandak ini, kawasan Budu dibuka kepada kemasukkan ahli agama, pedagang dan panglima perang yang datang dari Tanah Bugis, Tanah Sumatera  dan Terengganu.

            Pentadbiran Lembahan  Lipis  yang berasal dari pemegang utamanya Hang Semaon turun temurun anak cucu dari jurai keturunannya mentadbir Lembahan Lipis.  Demikian adat sejak dahulu dan dijalankan sehingga kini.  



      
          Turutan penjawat jawatan  Orang Kaya Lipis itu  sebelum dan selepas Tok Kaya Chandak  dapat dijelas seperti berikut:
1.      Tok Kaya Hang Semaon    
2.      Tok Kaya Abdul Hamid,
3.      Tok Kaya Abdul Rahman
4.      Tok Kaya Bandu Sulaiman bin Tun Ibrahim
5.      Tok Kaya Muhammad, 
6.      Tok Kaya Abdul Hamid II,
7.      Tok Kaya Kasar  
8.      Tok Kaya Abdullah Hashim  
9.      Tok Kaya Talib @ Ibrahim Tok Kaya Candak  (1700M – 1740M)
10.  Tok Kaya Busu, 
11.  Tok Kaya Hassan  
12.  Tok Kaya Teh – 1863 ( meninggal dunia di Penjom )
13.  Tok Kaya Sentul,   
14.  Tok Kaya Awang Perang
15.  Tok Kaya Abdul Razak Hussein
,         Dengan mengekalkan Kampung Terap Budu sebagai pusat pentadbirannya, Tok Kaya Chandak mengalakkan ekspedisi membuka petempatan baru di sepanjang tebing Sungai Lipis.  Eskpedisi ini dijalankan oleh ahli keluarga dari jurai keluarga Tok Kaya Ibrahim, Tok Baginda Demu , Tok Mansor Bugis dan Tun Ibrahim yang saling bersemenda.
 
            Lalu sepanjang tempoh pentadbiran Tok Kaya Chandak di  Lembahan Lipis,  banyak petempatan penduduk dibuka.  Ada berupa kampung yang kecil dan ada yang agak besar .   Kesemua kampung yang baru dibuka ini diketuai oleh kaum kerabat  Tok Kaya Chandak dan Tok De Abdul Rahman baik sebagai Tok Kaya Lipis atau Penghulu Mukim.  Contohnya  Imam Mat Amin bin Tok Malek bin Tok Salleh bin Tok Ngah Endik bin  Mohamad Ali Jaafar membuka kampung di Tersan.  Anaknya  Embong Saedah bernikah dengan Tok Sebudin bin Tok Kaya Busu.  Cucu Tok Sebudin iaitu Tok Teh bin Til  diangkat menjadi Penghulu Sega ke-4. Akan Tok De Abdul Rahman, beliau  meletakkan anaknya bernama Tok Aya tinggal  bersama keluarga Tok Alauddin di Sega sebagai mewakili keluarga Tok Kaya Ibrahim di situ.  Tok muhamad bin Tok Aya  kemudiannya membuka kampung di Pasir Purun berhampiran Sengkela.  Beliau menggantikan Tok Mat Amin Kg. Tersan menjadi Penghulu Sega ke-2.   Berdiam dia di situ setelah beliau bernikah dengan Ngah anak Tok Shabudin bin Tok Alaudin bin Tok Mansor Bugis.  Akan Tok De Abdul Rahman   dan pengikutnya  bergerak lagi ke kawasan hulu lalu membuka  kampung Batu Talam.

            Dalam sistem pentadbiran sewaktu itu, Tok Kaya Lipis selaku ketua berperanan memberi perlindungan keselamatan penduduk-penduduk di kawasan pentadbirannya.  Penduduk yang tinggal di Lembahan Lipis dijamin  bebas bergerak dalam wilayah pentadbiran Tok Kaya Lipis, bebas mencari rezeki dan bebas membuka kampung halaman baru dengan kebenaran Tok Kaya Lipis.  Sebagai imbalan atas jaminan tersebut, penduduk membayar sejumlah cukai daripada perolehan pendapatan yang diperoleh.  Selain itu, tambatan perahu    dibangunkan untuk urusniaga sepanjang Sungai Lipis.  Bermula di Kuala Sungai Lipis, tambatan itu dibina di kampung Pagar, Kuala Sungai Rengai, Benta, Tersan, Lubuk Petai  Sega, Pasir Purun, Pulau Rumbiah dan Batu Talam.  Melalui tambatan perahu ini, Sungai Lipis menjadi lebuh perdagangan dengan membawa pelbagai hasil hutan ke sebelah hilir dan juga dari Batu Talam, perdagangan jalan darat digunakan untuk membawa barangan dagangan ke Slim River, Perak.


            Tok Kaya Chandak meninggal dunia di Batu Talam sekitar 1740M dan dikebumikan di Bukit Chucoh Batu Talam.  Jawatan Tok Kaya Lipis ke-10 disandang pula oleh anaknya Tok Kaya Busu.