PERSEMENDAAN KELUARGA SYED DI MUKIM SEGA



 (Akan hamba Hasanuddin Bin Md Isa membuat catatan ini merujuk kepada Teromba yang ditulis oleh Penghulu Mohd Dahan  Penghulu Sega , selain itu turut juga mendengar cerita-cerita perjalanan keluarga Syed di Mukim Sega 
daripada ayahanda hamba Almarhum Hj. Md Isa bin Omar, kampung Kuala Atok  dan juga mendapatkan tambahan  catatan daripada Ayahanda Tuan Syed Shahir bin Syed Mohamud bin Syed Abdullah (Tuan Hitam)

Pengenalan

                Elok juga saya bercerita sedikit akan  persemendaan keluarga Syed di mukim Sega agar tahulah sekelian orang   akan perihal  keluarga ini.

Jurai keturunan
                 Ada pun keluarga Syed ini daripada keturunan yang mulia dan dapat saya catat seperti berikut salasilah mereka.    

                Waliyyullah asy-Sheikh al-Imam Muhammad Shahib Marbad dilahirkan di kota  Tarim. Dikurniai 4 orang anak lelaki,masing-masing bernama; Abdullah, Ahmad,  Alwi dan Ali. Abdullah dan Ahmad tidak menurunkan keturunan. Sedangkan  Sheikhul Imam Alwi dan Sheikhul Imam Ali yang   menurunkan keturunan belia.

                Keluarga Al Kherrid berpangkal kepada Waliyyullah Alwi Al Kherrid bin Muhammad Hamidan bin Abdurrahman bin Muhammad bin Abdullah bin Alwi bin Muhammad Al-Faqih Muqaddam bin Ali bin Muhammad Shahib Marbad. Beliau wafat pada tahun 808 H / 1405 M di Tarim, Hadhramout..

     Akan keluarga Syed di Mukim Sega ini bermula hubungannya dengan keluarga Al-Kherrid daripada Abdul Rahman (Tuan Dagang)   bin Abd Kadir bin Ali bin bin Abdullah bin Ali bin Muhammad bin Abu Bakar bin Ali bin Abu Bakar bin Ali bin Muhammad bin Ali bin Alwi Al-Kherrid  bin Muhammad Hamidan bin Adburrahman sehingga ke Rasulullah s.a.w.

 Syed Abd Rahman juga dikenali Tuan Dagang, ayahnya Syed Abd Kadir dikatakan berasal dari Pekan.  Beliau  merantau ke Sega, Raub . Akan  Syed Abd. Rahman (Tuan Dagang ini  selalu  merantau dari Segamat melalui Jelebu dan terus ke Raub. Ini dapat difahami bahwa memang bagi keluarga Sayyid yang gemar berdagang melalui laluan Pekan, Chenor (Kertau) Kuala Tekal, Kuala Kerau, Pulau Tawar, Tembeling, Lipis, Raub , Jelebu, Gemas Segamat ,Johor Baharu dan Singapura. Di setiap destinasi ini mereka mempunyai tempat persinggahan iaitu rumah kaum keluarganya . 

                Oleh Tok Keli yang menjadi Penghulu Sega waktu itu, dilihatnya  Syed Abdul Rahman ini  amat pandainya berdagang dan bijak percakapan dan akalnya, maka  Tok Keli ,  Tok Penghulu mukim  Sega  pada  ketika itu menikahkan Syed Abdul Rahman ini dengan anaknya yang bernama Alus.
                Hasil perkahwinan ini, lahirlah 3 orang anak iaitu Tuan Syed Muhammad (Engku Long), Sarifah Zainab dan Syarifah Mariam
.
                Selain Tok Alus, Tok keli juga mempunyai anak  iaitu Ca dan Saadiah daripada isteri pertamanya.  Akan Tok Keli berhajat dia mendapat  akan lelaki  lalu bernikah dia dengan perempuan orang Rawa di Temau  lalu mendapat anak lelaki bernama  Taibi.  Namun apabila sudah besar, Taibi  ini tidaklah mempunyai kebijakan  akal  dan tidak berminat  mempelajari ilmu.   Beliau menikah dengan seorang perempuan yang dikenali dengan nama Ketam. Pernah tinggal di Kampung Petai berhampiran dengan Kg Chenua.  Pada kemudian hari, tidaklah terpilih dia menjadi Penghulu Sega kerana kurangnya ilmunya dalam menguasai  bahasa Inggeris.

                 Akan Tok Alus bin Tok Keli  yang bernikah dengan Syed Abdul Rahman (Tuan Dagang), maka berkembang biaklah keturunannya  lalu menetap di Sega Tat.  Dihormati masyarakat akan keluarga ini  dan dipanggil orang Mukim Sega  akan gelaran Ayah Engku dan Mak Engku atas rasa hormat itu

Engku Long (Syed Muhammad)

Akan Engku Long, tidaklah banyak riwayat dapat ditulis melainkan jasanya yang sangat besar ialah membangunkan pendidikan agama Islam di negeri Pahang.  Engku Long sendiri bersama dengan Tuan Hitam (Syed Abdullah  ) telah mengasas dan membina sekolah agama di Kuala Kerau di awal tahun 20an-30an.  Engku Long juga bersama-sama penduduk Ajai,Temau, Dong dan Durian Sebatang membangunkan Madrasah Al-Ulum Addiniah Dong, Raub.

                Keluarga  ini  berkembang  seperti catatan berikut:

Anak-anak Syed Muhammad
                Anak-anak Syed Muhammad (juga dikenali sebagai Engku Long) ialah: Sharifah Sehun, Syed Yassin, Syed Alwi, Syed Abdul Rahman ,  Sharifah Ai'syah, Syed Abdul Rahim, Sharifah Aminah (Sh: Echon) & Sharifah Maimunah.

                Tiga dari anak Engku Long menuntut di Madrasah Al Junied di Singapura antaranya ialah: Syed Yassin, Syed Abdul Rahman dan Syed Abdul Rahim.

                Akan anak Syed Muhamad ini yang bernama Syed Alwi menjadi tempat bergantungnya penoreh getah sekitar mukim  Sega kerana kesungguhannya menjadi peraih getah dari kampung ke kampung.  Akan sifat kebijaksanaannya berniaganya itu disifatkan mengikut jejak datuknya  Syed Abdul Rahman.  Akan hal minat berniaga ini juga tumpah juga kepada Syed Salim bin Syed Muhamad dengan mendirikan kedai barangan runcit  dan kedai minuman di Pekan  Sega
.
                Sementara Syed Abdul Rahman bin Syed Muhamad  sangatlah dikenali ramai di Mukim Sega.    Beliau  dikenali dengan nama Tuan Achik. Pemilihan sebagai Penghulu Mukim Sega berdasarkan kepada merit dan susur galur keturunan Tok Keli. Tuan Achik merupakan cicit kepada Tok Keli dan cucu kepada Alus isteri Tuan Dagang.   Kebolehannya sangat menyerlah kerana beliau  bekas pelajar  di Madrasah Al Junied Singapura yang masyhur itu. Beliau menjadi Penghulu II Mukim Sega manakala Penghulu I ialah   Penghulu Pilus dua pupu kepada Tuan Achik

            Sewaktu menjawat jawatan Penghulu Sega, Tuan Achik mempunyai sahabat bernama Mustapa bin Harun (kemudian bergelar Tun Datu Mudtafa- Ketua Menteri  di Sabah)  .   Mengenai hubungan Syed Abdul Rahman dengan Tun Mustafa dari Sabah bermula semasa kedua-duanya menghadiri kurusus di Kolej Pertanian Serdang pada awal tahun 50an. Pada masa tersebut para penghulu,penggawa dan ketua anak negeri dari Malaya, Sarawak dan Sabah dikehendaki menghadiri kursus di Kolej Pertanian Serdang untuk mendedahkan mereka dengan hal-hal yang berkaitan urus tadbir, ilmu asas pertanian dll yang berkaitan. Oleh kerana Syed Abdul Rahman pada masa itu sudahpun mempunyai motokar maka mudahlah bagi rakan-rakannya dari luar untuk bergerak di sekitar Kuala Lumpur termasuk Tun Mustafa. Hubungan kedua-duanya putus agak lama hinggalah Tun Mustafa menjadi tokoh penting di Sabah. Pertemuan semula hanya berlaku pada sekitar tahun 1969 di mana Tun Mustafa menawarkan peluang untuk Syed Abdul Rahman melancong ke mana sahaja yang beliau mahu. Selain itu ada beberapa tawaran yang dibuat kepada Syed Abdul Rahman oleh Tun Mustafa. Namun ianya ditolak atas alasan tidak mahu dilihat sebagai 'tamak' Atas pertimbangan itu Tun Mustafa sangat menghormati Syed Abdul Rahman.

               
 Syed Abdul Rahman  jugalah membuka kilang mesin padi.  Sejak dibangunkan kilang mesin padi itu, tidaklah orang-orang di mukim  Sega menumbuk padi di lesung lagi bagi mendapatkan beras.  Semasa inilah juga   beliau dan Syed Alwi membangunkan sebuah sekolah  agama di  Mukim Sega .



                Akan anak Syed Abdul Rahman bin Syed Muhamad, Penghulu Sega ini ada yang menjadi semasyhur orang.  Antaranya ialah Syed Ibrahim bin Syed Abdul Rahman  menjadi peguam dan  Pesuruhjaya PAS  keenam negeri  Pahang juga    menjawat jawatan AJK PAS Pusat  dalam parti tersebut.











Anak-anak Syarifah Mariam
                Anak-anak Sharifah Mariam (Engku Ngah) ialah: Sharifah Sitam, Syed Abdul Rahman, Syed Husin, Sharifah Masturah, Syarifah Ning.

Anak-anak Syarifah Zainab
                Anak-anak Sharifah Zainab (Engku De) ialah: Syed Ahmad, Sharifah Intan, Sharifah Maznah, Sharifah Rogayah dan Syed Husin.
Ibu Masih Mengingati dan mengasihimu
  

  
Duhai anak yang sukar dimengerti. Kasih sayang seorang ibu mengatasi segalanya, tidak dapat dinilai dengan emas dan perak, tidak dapat dibayar dengan wang ringgit. Tidak hilang di hati seorang ibu perasaan rindu terhadap anak-anaknya walaupun sesaat.

kadang-kala ibu tidak dapat menyuap makanan ke mulutnya dan melelapkan matanya kerana teringatkan anak-anaknya ini dan ada ketikanya air mata berlinangan mengalir membasahi di pipinya kerana mengenang dan merindui akan anak-anak.

Bilakah kali terakhir kauketemu ibumu, menatap wajah dan mencium tangannya?. Cukupkah dengan sekadar mengirim duit, atau menghantar pesanan ringkas di mesej telefon atau menaik turun gambar ibu di Facebook lalu ditulis di situ, " Aku sayang ibu" dan kemudian kau lupa mengunjunginya. Adakah cukup setakat itu sebagai penganti diri bagi membayar setitis air mata ibu akibat rindu lara menunggukepulangan si anak?.

Ambillah kesempatan yang ada semasa hidup untuk berbakti kepada ibumu sebelum dia pergi buat selama-lamanya.

MENULIS YANG BAGUS ITU SEUMPAMA BERCAKAP YANG SOPAN

Menulislah dengan santun berbahasa  . Tulisan yang baik akan menyentuh hati pembaca. Demikian dalam pergaulan, bercakaplah dengan nada yang lunak dan santun, kata-kata itu menyentuh kalbu pendengar.

Tidak ramai orang yang mampu menyusun kata-kata sebelum turun dari rumahnya.. Selalunya kata-kata itu dituturkan secara spontan sahaja kecuali bagi mereka yang hendak pergi bertemuduga atau berbincang dengan ketua pejabat, berkomunikasi dengan pemimpin atau Sultan.

Maka menuturkan kata-kata dalam majlis sebegini adalah sesuatu yang diada-adakan untuk mengangkat diri sendiri atau untuk membangga-bangga kepandaian sendiri sedangkan untuk menzahirkan kata-kata yang baik itu memerlukan peribadi yang dan luhur.

Ahli bidalan mengukir kata berhubung pertuturan yang indah dan baik :

“ Apa tanda orang yang mulia, apabila bercakap bermanis muka”.
“ Tanda orang berhati bersih, apabila bercakap mukanya jernih”.
“ Tanda orang berbudi bahasa, apabila bercakap tahukan rasa”.
“ Tanda orang berdada lapang, tahu menjaga perasaan orang”.
“ Tanda orang berbudi pekerti, perasaan orang dia fahami”.


Yang baik itulah menjadi kenang-kenangan sehingga ke hujung ayat.

Tenang-tenang air di laut,
Sampan kolek mudik ke tanjung'
Hati terkenang mulut menyebut,
Kata-kata tuan yang baik rasa nak junjung

Salam berbahasa daripada:
Hasanuddin Md Isa