MAKANAN MEMIKAT SELERA

Sesuatu yang istimewa ketika menjengan daerah Raub  kerana terdapatnya cita rasa masakan yang unit.  Hal ini kerana sejak lebih 300 tahun  persemendaan pendatang Sumatera dengan penduduk tempatan, pola cita rasa pemakanan itu bercampur baur.

Terdapat lebih 60  resepi masakan  yang diamalkan oleh masyarakat Raub.  Resepi ini sumbangan etnik Melayu Pahang, etnik Banjar, etnik kampar, etnik Mandailing, etnik Bangkahulu dan etnik Rao yang lain.  Akhirnya cita rasa masakan ini dikongsi bersama-sama .  Setiap entik mempelajari kaedan adunan resepi tersebut  dan dihidangkan dalam majlis-majlis keramaian yang dijalankan.

 Bagi resepi masakan yang diadun oleh  etnik Melayu tempatan, ketulenan resepinya tidak tercemar walaupun dimasak oleh etnik kampar, etnik Mandailing, etnik Bangkahulu dan etnik Rao yang lain.  Demikian juga segala resepi etnik pendatang yang dimasak oleh etnik Melayu tempatan tetap utuh cita rasanya tanpa dapat dicabar sedikit pun kurang kelazatannya.  Itulah perkongsian  cita rasa pemakanan yang sudah berlangsung  sejak 300 tahun lalu dan kini dimiliki oleh setiap isi rumah di daerah Raub.

 Dilihat kepada  ketulenan resepi Makanan Tradisional Rao yang masih wujud di Ranah Rao, Pasaman, Sumatera dan bila dibandingkan dengan senarai Makanan Tradisional Rao yang masih menjadi menu makanan Orang-orang Rao Persemendaan di Raub, terdapat banyak persamaan nama dan cita rasanya.  Namun begitu, ada juga resepi makanan tradisional  Roa itu yang tidak ditemui di Raub.  Mungkin hal ini disebabkan kehilang kepandaian atau ketiadaan bahan mentah yang sesuai untuk menyempurnakan resepi itu.   Selain itu juga, pengaruh resepi makanan tradisional tempatan  telah membezakan menu makanan masyarakat di Raub dengan menu makanan di daerah lain di negara ini.

Menu makanan yang berasal daripada  makanan tradisional Rao  seperti  1. Masak Asam Ikan Keli ( masih wujud dengan tambahan ikan sembilang, puyu, baung, sengiring dan ikan paya yang lain).   2. Anyang Botik (tidak wujud), 3.  Gulai Birah (tidak wujud),  4. Gulai Botik (Wujud – Gulai Betik), 5. Gulai Lomak Rebung ( wujud – Gulai Lemak Rebung), 6. Lasiak Tutuk ( tak wujud),  7.  Asam Lauk (tak wujud), 8. Rondang Pakih  (wujud - Pindang Pucuk Paku), 9. Asam Lauk (tak wujud), 10. Pongat Masin ( wujud- Pengat Ubi Kayu, Ubi Keladi, Ubi Kemili, Labu, Pisang), 11.  Kueh Gelamei Buloh (wujud- Kelamai) , 12. Goreng Bolut  (wujud- Goreng Belut), 13. Goreng Ikan Sepat Ronggeng ( wujud- Goreng Ikan Sepat Ronggeng),  14. Pulut Kontang Dengan Kelapo Mudo  ( wujud – Nasi Pulut dimakan dengan kelapa parut dan ikan masin),  15. Gulai Rampai ( wujud - Gulai Rampai - Jantung pisang, pucuk ubi, terung pipit, pucuk paku, terung telunjuk, ubi keledek, petai, dan dauk kaduk  diperasakan dengan asam tempoyak atau asam rong),  15. Masak Asam Kobau/Daging/Khosa (wujud - Gulai Rebus  Jantung, Paru, Limpa, Perut, Hati, Daging, Usus Kerbau/Lembu),   16.  Gulai Pisang Mudo ( wujud - Gulai Lemak Pisang Emas / Pisang Nangka), 17.  Gulai Korumbia Mudo ( tak wujud),  18. Gulai Duda Bulong Gadung ( tak wujud),  19. Gulai lemak nangko  (wujud – Gulai Lemak Nangka),  20. Samba Karumbia (tak wujud),  21. Ponget Lauk (tak wujud),  22. Asam Roruong (tak wujud), 23. Sagun  (wujud – Sagun),  24. Ulom Sayur  (wujud -  Ulaman seperti Pegaga, Serai Kayu, Ulam Raja, Daun Kaduk, Daun Mengkudu, Daun Putat, Daun Tenggek Burung, Daun Sekentut, Salon ),  25. Robus Ubi @ Kolak Ubi (wujud -  Rebus Ubi Kayu / Rebus Ubi Kemili, Rebus Keledek) , 26. Kerabu Pakih Dengan Porut  (wujud - Kerabu Pucuk Paku Dengan Perut / Kerang), 27. Ponget Pisang Abu (wujud - Pengat Pisang Kelat Abu / Pisang nangka). 28. Kuih Serabai ( wujud – Kiuh Serabai @ Lempeng), 29. Lopek Gobu  (wujud – Lepat Pisang , Lepat Ubi Kayu, Lepat Labu).

 Selain itu terdapat sejumlah lagi makanan hasil resepi tulen etnik Melayu tempatan.  Sebagaimana resepi
Makanan Tradisional Rao yang masih wujud di Ranah Rao, Pasaman, Sumatera,  resepi etnik Melayu tempatan menggunakan sumber tumbuhan dan binatang dalam adunannya.   Resepi ini ada sesetengahnya terdapat di daerah lain di Pahang  dan ada yang hanya ada di Raub sahaja. 

Antara yang masih wujud dan digemari oleh masyarakat di Raub seperti  1. Gulai Keladi Kemahang,  2. Gulai Siput Sungai,  3. Gulai Tempoyak Ikan Patin / Kalang / Baung / Lampam / Kerai / Jelawat,  Gulai Darat ( Daging Kerbau / Lembu / Kambing ),  4. Gulai Asam Rong Ayam kampung,  5. Kuih Apam Bokor,  6. Masak Sayur Manis Cemperai / Bayam,  7. Masak Sayur Manis Kulat Tahun,   8. Sambal Hitam ( Lada Burung+Ikan Bilis+Buah Belimbing Buluh yang Rebus ),   9. Sambal Hijau ( Lada Burung+Ikan Bilis+Buah Belimbing Buluh ),  10. Sambal Tumis ( Ikan Bilis atau Kerang di campur dengan petai ),  11. Pindang Maman / Pucuk Paku, Pincuk Bolai / Daun Betik+Bunga Betik / Umbut / Jantung Pisang, Cemang Kepayang,  12. Bubur Cirit Murai, 13. Bubur Kacang, 14. Bubur Asyura, 15. Serawa Durian ( Di makan bersama nasi pulut ),  16. Bubur Pulut Hitam,  17. Emping Padi,  18. Kekalu ( dari Padi Muda ), 19. Lemang ( Pulut, Jagung, Labu ),  20. Dodoi ( Termasuk Dodoi Kukus), 21. Baulu Cermai, 22. Pulut Kuning,  23. Gulai Umbut Kabung / Kelapa / Bayas,   Gulai Umbut Batang Pisang,   24. Kerabu Jangat ( Kulit Kerbau ),  25. Sambal Belimbing Hijau,  26. Sambal tumis tempoyak, 27. Sambal Tempoyak Mentah, 28. Sambal Tampal Asam Rong, 29. Bubur Jagung, 30.Masak Lemak Daging Salai, 31. Goreng Ikan Pekasam. 32. Jeruk Maman,  33. Jeruk Petai, 34. Pulut Panggang. 35. Gulai Lemak Kulat Sisir.  36. Kuih Loyang.  37. Penganan Talam.  38. Ubi Kayu Kayu Rebus  39.  Pisang Bakar  40. Pisang Salai


Marilah ke Raub.  Anda menjadi orang yang sangat bertuah jika tuan rumah tempat anda bertandang  menghidangkan  resepi masakan yang disebutkan itu.

PANGKAT MEMANGKAT DALAM KEHIDUPAN BERKELUARGA


Hidup berkeluarga itu memang mengumbirakan.  Telah-telah lagi dengan adanya persefahaman, kerjasama, saling hormat-menghormati dan menghargai  antara satu sama lain. Dalam sesebuah keluarga, ada sopan sapa menyapa diasuh sejak anak-anak mulai pandai  bercakap.   Pangkat memangkat setiap ahli keluarga diperkenalkan.

Memanggil  nama ahli keluarga dengan nama batang tubuh semasa perbualan dianggap kasar dan tidak digalakkan.  Begitu juga memanggil ahli keluarga dengan nama-nama yang huduh dan jelek  dianggap pemanggil itu tidak berakhlak.

Sebagaimana   maklum   orang melayu   kaya dengan adat resam dan setengah daripadanya sudah menjadi Petua dan tidak boleh dilanggar, "biar mati anak asal jangan mati adat".  Dalam urusan pergaulan harian, orang yang lebih muda hendaklah  merendah diri dalam segala percakapannya.  Orang yang lebih tua pun mesti menunjuk penggunaan bahasa yang boleh dijadikan suri teladan.
Dalam sesebuah keluarga , penggelaran pangkat menunjukkan kedudukan seseorang dalam keluarganya.  Kedudukan itu perlu dihormati dan diraikan.  Lazimnya orang melayu tidak akan menyebut nama seseorang yang hendak dipanggil itu dengan Ooi!, Eh!,  Awak! , Aku!  Dan sebagainya yang menggambarkan  hal-hal yang merendah-rendahkan diri orang yang dipanggil.     Begitulah adatnya berbudi bahasa.  Daripada budi bahasa yang baik itu, timbullah penilaian terhadap jiwa dan bangsa seseorang

Dalam sesebuah keluarga ,, anak yang sulung dibahasakan dengan pangkat atau gelaran tertentu yang menunjukkan darjat dirinya.
Pertama, gelaran atau panggilan LONG  bagi yang sulung ( abang long atau kak long atau along sahaja).
Yang kedua dipanggil NGAH  bererti yg tengah (abang ngah atau kak ngah atau angah sahaja).
Yang ketiga dipanggil UDA  bererti yg muda (abang de atau kak de atau ude sahaja).
Yang ke empat dipanggil HITAM @ TAM bererti yang hitam (abang tam atau kak tam atau itam sahaja).
Yang kelima dipanggil PUTIH @ ATEH  @ UTIH  bererti yang putih (abang teh atau kak teh atau utih sahaja).
Yang keenam dipanggil PANJANG  bererti yang panjang (abang nyang atau kak nyang atau anjang sahaja).
Yang ketujuh dipanggil PANDAK @ ANDAK bererti yg pendek (abang andak atau kak andak).
Yang kelapan dipanggil KECIK @ ACIK  bererti yg kecil (abang cik atau kak cik atau acik sahaja).
Yang kesembilan dipanggil BUSU  bererti yang bongsu (abang cu/su atau kak cu/su atau busu atau ucu atau uncu).
Seterusnya ada pangilan atau gelaran lain bagi yang kesepuluh dan kesebelas iaitu ALANG  bereti penghalang ( alang atau kak alang) dan AMBONG  bererti yang sombong.

Bagi anak anak saudaranya pula membahasakan bapak saudara atau mak saudaranya seperti berikut:
Yang sulung dipanggil PAKLONG g atau PAKTUA  atau PAK AWE - maklong atau mak awe.
Yang tengah dipanggil PAKNGAH  - MAKNGAH
Yang muda dipanggil PAK UDA – MAK UDA.
Yang hitam dipanggil PAK ITAM /PAKTAM – MAK ITAM /MAKTAM
Yang putih dipanggil PAK THE  - MAKTEH
Yang panjang dipanggil PAK ANJANG – MAK ANJANG.
Yang pandak dipanggil PAK ANDAK -  MAK ANDAK.
Yang kecil dipanggil PAK CIK  - MAK CIK.
Yang bongsu dipanggil PAK CU/ PAKSU -  MAK CU / MAKSU.
Yang menghalang dipanggil Alang , pak alang - mak alang
Yang sombong dipanggil ambong, pak ambong - mak ambong.

Alang dan Ambong ini adalah pangkat atau gelaran yg boleh diletak dimana mana selepas yang hitam dan sebelum yang bongsu. Dan jika ada lagi bapa saudara atau mak saudara yang lahir sebagai yang ke duabelas, tiga belas dan seterusnya, pangkat yang kedua yang bermula dengan pakngah dan makngah tadi boleh diulang semula dan digunakan seterusnya.

Maka apabila seseorang itu sudah bercucu, dipanggil yang lelakinya Aki, Datok, TOk.  Dibiasa panggil oleh cucunya dengan gelaran Tok Long, Tok Ngah, Tok Uda dan seterusnya. Demikian juga bagi perempuan yang sudah bercucu.
Apabila sudah bercicit, dipanggil cicit itu kepadanya dengan gelaran Moyang Long, Moyang Ngah, Moyang Uda dan sebegainya. Demikian juga bagi yangperempuan.

Maka apabila dibualkan dalam masyarakat akan hal sesuatu keluarga itu, dibayang-bayangkan dalam gelaran bahasanya seperti berikut:

Cilawagi - Nenek Moyang tingkat yang kelima
Cakawari - Datuk kepada Moyang
Buyut - Orang tua atau ibubapa kepada Moyang
Moyang - Bapa atau Ibu kepada Datuk
Datuk(atuk)/Nenek(uwan) - Bapa kepada Ayah atau Ibu
Bapa/Ibu - Ayah atau Emak
Anak - Anda Sendiri
Cucu - Keturunan peringkat kedua iaitu peringkat selepas anak
Cicit - Anak kepada Cucu
Piut/Cece(ce'ce') - Keturunan yang kelima (cucu kepada cucu)

Oneng-oneng - one'ng-one'ng (anak piut keturunan yang kelima)

BERKENDURI KAHWIN

Maka sesudah selesai majlis bertunang, pihak lelaki  akan meninggalkan separuh  wang hantaran kepada pihak keluarga perempuan.  Maka yang separuh lagi itu akan disempurnakan sebulan daripada tarikh  pernikahan.

Sehingga tahun 1856 itu, akan sealam-alam wilayah Penghulu Sega itu memakai adat berkenduri kahwin sekali sahaja di rumah sebelah perempuan.    Hal ini juga termaktub dalam Adat istiadat dalam negeri Pahang pada waktu itu. Dalam hal menjemput menantu, diamalkan cuma berdoa selamat dan berjamuan ringan di rumah pihak lelaki. 

Akan wang hantaran itu digunakan khusus untuk berbuat  jamuan kahwin dan membeli serba sikit alas tilam bantal untuk pengantin.   Maka apabila sudah disempurnakan bayaran hantaran itu, tertanggunglah  soal mengadakan kenduri kahwin itu pada tanggungjawab keluarga perempuan.  Jadi di pihak perempuan  berpakat-pakatlah dalam keluarga mereka  cara mana hendak  menjayakan urusan kenduri kahwin itu.

Maka oleh keluarga perempuan mengagih kerja  kepada beberapa bidang.  Pertamanya soal menjemput tetamu itu diurus oleh Ibu Bapa Pengantin perempuan.  Maka bertanggungjawab ibu bapa bapa perempuan melantik wakil jemputan dalam kalangan adik beradiknya untuk menyampaikan jemputan  hadir ke kenduri perkahwinan itu.  Maka yang dijemput ialah segala kaum kerabat terdekat  keluarga perempuan itu sama banyak juga dengan kaum kerabat terdekat keluarga pengantin lelaki.  Hal ini kerana kenduri yang hendak dibuat  adalah kenduri bersama-sama kedua belah pihak.  Sesudah itu baru dijemput sahabat handai yang tiada talian darah  keturunan.  Akan ibu bapa pihak pengantin perempuan turut bertanggungjawab menyediakan alat alas tidur baring bagi pengantin.
Urusan kedua dalam kerja kahwin ini ialah menyediakan tempat untuk berjamu.  Hal ini dilakukan tiga hari sebelum jadinya majlis.  Diajak seisi kampung bergotong-royong  menyiapkan bangsa memasak dan bangsa makan serta bangku dan meja tempat berhidang dan makan.  Akan alatan itu digunakan segala anak kayu dan buluh yang terdapat di dalam kampung.  Urusan ini diketuai oleh Ketua Kampung yang mengatur maufakat.  Maka sehari sesudah majlis, diatur  maufakat membongkarkan segala binaan ringkas.  Mana yang patut disimpan akan disimpan. Mana yang patut dibongkar akan dibongkar.

Urusan ketiga ialah menyediakan segala urusan berjamu semasa majlis pernikahan.  Urusan ini diuru soleh adik beradik kepada bapa pengantin perempuan.  Ada dua jamuan besar iaitu berjamu paa malam akad nikah  dan berjamu  pada hari persandingan.  Akan berjamu pada malam akad nikah itu ringkas sahaja hidangannya.  Apabila selesai akad nikah dan tahlil doa selamat, dijemputlah ahli tahlil dan keluarga yang bekerja buat urusan kenduri itu berjamu.  Namun begitu, sesudah selesai berjamu lepas tahlil itu, bekerjalah seisi keluarga memasak gulai dan nasi  kerana paa tengah hari esok akan dijalankan jamuan besar pernikahan itu.

Akan pihak keluarga pengantin lelaki tidaklah dibebankan urusan memasak ini.  Namun begitu tidaklah dilarang mereka yang mahir untuk bertolong-bantu.

Apabila semua lauk pauk dan nasi selesai dimasak,  kumpulan anak muda akan mengambil alih untuk urusan menghidang, menyusun pinggan mangkuk dan  berhidang makanan untuk tetamu.  Mereka jugalah akan membasuh pinggang-mangkuk  atas semangat bergotong-royong.

Akan urusan keempat ialah menguruskan segala atur cara majlis berkaitan majlis tahlil dan doa selamat, majlis  akad nikah dan berjamuan besar  pada sebelah siang.  Akan hal urusan keagamaan itu diserahkan kepada  Imam yang dilantik di dalam kampung itu  dan urusan adat istiadat  semasa majlis diurus oleh Ketua Kampung.   Maka akan ibu bapa pengantin pada waktu ini hanya menguruskan  urusan menyambut tetamu sahaja.

Sesudah  berlalu masa, banyak urusan berkenduri kendara ini telah menyalahi adat sehingga menjadi susah dan durja hati  sesetengah pihak.  Ada pihak berasa mereka terbeban menanggung belanja kenduri dan ada pihak pula berasa sebelah pihak lagi terlalu ringan beban kerja  membuat kenduri  berkongsi itu.   Oleh kerana kenduri ini adalah kenduri perkongsian kedua keluarga, selalulah dipinggirkan jemputan di pihak pengantin lelaki.  Maka keluarga sebelah perempuan cuma menjemput kaum kerabat dan sahabat handai mereka sahaja seramai mungkin, manakala tidak disebutkan jumlah patut hadir di pihak keluarga pengantin lelaki.   Demikian  juga  adat bergotong-royong itu telah ditukar kepada sewa menyewa  dan tender sahaja .  Lalu segala urusan menyediakan  bangsal berjamu dan memasak makanan , berhias bilik tidur  dan menghidang makanan ditender sahaja  sehingga berlaku wang hantaran yang diminta melambung tinggi.


Tidaklah ada penyelesaian akan hal mahalnya belanja kahwin ini selagi tiada usaha penguasa agama menunjuk jalan penyelesaiannya.  Akan mengumpulkan majlis pernikahan bebeberapa pasangan dan dijalankan kenduri  bersekali  yang  mula diamalkan sekarang sangat bertepatan dengan hukum syarak  dan berjimat belanja.  Perlulah perkara ini digalakkan  demi memudahkan urusan pernikahan anak muda umat Islam itu berjalan lancar.

JODOH ITU KETENTUAN ALLAH

Sealam-alam Mukim Sega  sebelum  1856M, telah wujud penduduk berbagai-bagai etnik.  Ada etnik rawa, banjar, kampar, mandailing, Melayu  Pahang dan entik lain hidup bercampur-gaul  bermasyarakat.  Akan Penghulu Sega diberikan  arahan kepada semua penduduk di mukim itu mengamalkan adat istiadat  yang sudah berjalan di Sega.  Akan adat istiadat itu sudah terpakai di negeri Pahang sekian lama.

Dalam  kehidupan bermasyarakat,  jalinan maufakat sentiasa diutamakan. Bidalan Melayu ada menyebut , " Kalah adat kerana maufaka.". Ini bermaksud, walaupun sudah difahami dalam satu-satu bangsa itu ada peraturan atau adat tertentu untuk menguruskan sesuatu hal, tetapi jika pada masa itu, semua ahli masyarakat bermuafakat hendak melaksanakan urusan tersebut dengan cara berbeza dengan apa yang biasa dibuat, maka pada waktu itu, tidak diperlukan aturan dan adat istiadat tersebut. Dengan ini, muafakat adalah keperluan sosial yang amat dititikbengikkan.

Namun begitu bagi menjaga keharmonian hidup bermasyarakat dalam banyak urusan kehidupan, adat istiadat digunakan juga. Ini bertujuan untuk memudahkan perjalanan kehidupan. Bidalan Melayu menyebut perihal ini seperti berikut:

Alam beraja, mukim berpenghulu, kampong berketua. Adat itu berhukum.

Orang-orang Melayu hidup mengamalkan adat istiadat sejak wujudkannya tamadun orang-orang Melayu di Nusantara Melayu ini. Apabila Islam datang ke alam Melayu, segala adat istiadat Melayu disesuaikan dengan ajaran Islam. Berhubung hal ini, pantun Melayu ada menyebut;

Kalau jagung kulitnya putih
Tidak berbunga masa berbuah
Di laut Temenggung di darat Pepatih
Adat berpunca kitab Allah

Untuk mengembangbiakkan keturunan, proses perkahwinan dipandang sangat suci.  Untuk itu segala proses ke arah mengahwinkan pasangan lelaki dan perempuan dihalusi agar  keharmonian hidup dapat dicapai.  Demikian sealam-alam  mukim Sega itu  menjalankan istiadat yang sama.

Proses ke arah pertunangan  dimulakan dengan berbisik-bisik.  Ada juga yang tidak melalui proses ini iaitu pihak keluarga menikahkan sesuatu pasangan secara paksa.  Ini dibuat bagi tujuan merapatkan tali keluarga yang semakin jauh .  
 

Proses Berbisik-bisik

Apabila seseorang lelaki dan seseorang perempuan sudah sampai ke tahap boleh berumahtangga, maka antara keduanya mula berkenal-kenalan dan sudah mulai bercita-cita untuk mendirikan rumahtangga. Dalam kehidupan seharian, sudah pasti proses bertanya khabar atau berbisik-bisik dibuat untuk mengetahui status diri masing-masing sama ada masih bujang atau pun sudah berpunya. Jika dalam proses berbisik-bisik ini, antara mereka bersependapat ingin mendirikan rumahtangga, maka pihak lelaki akan memaklumkan kepada keluarganya untuk merisik ke pihak keluarga perempuan.

Proses merisik

Proses merisik ialah satu kaedah iaitu keluarga lelaki menghantar wakil untuk berbincang dengan keluarga perempuan. Wakil kedua pihak biasanya ialah ibu bapa atau seseorang yang sangat dipercayai boleh menyimpan rahsia. Pertemuan diadakan di rumah keluarga perempuan dan semasa pertemuan diadakan, pihak lelaki membawa sebentuk cincin belah rotan sebagai tanda.

Laksamana berbaju besi,
Masuk ke hutan melanda-landa;
Hidup berdiri dengan saksi,
Adat berdiri dengan tanda.

Sekiranya cincin itu tidak dibawa, maka semasa majlis pertunangan dijalankan nanti, pihak lelaki hendaklah membawa 2 bentuk cincin iaitu cincin belah rotan dan cincin bertunang.

Tujuan merisik adalah bagi mendapatkan kemungkinan untuk menjalinkan hubungan keluarga atau menjalinkan ikatan perkahwinan dengan pihak keluarga yang dirisik. Jika risikan berjaya, pertunangan boleh dijalankan namun sebaliknya jika perempuan yang dirisik itu berpunya, maka hasrat tersebut terpaksa dibatalkan. Dengan sebab itu, tujuan merisik boleh mengelakkan daripada meminang orang yang telah berpunya sesuai dengan ajaran Islam.

Perkara yang dibincangkan dalam proses merisik ini ialah mengenalpasti status anak pihak perempuan sama ada masih berpunya atau pun tidak. Jika masih belum berpunya, pihak lelaki akan menyatakan hasrat untuk meminang anak gadis/perempuan tersebut.

Sekiranya pihak perempuan berasa curiga atas keterangan pihak lelaki atau ingin menangguhkan persetujuan menerima masuk peminangan, pihak perempuan boleh meminta tempoh tertentu sebelum memutuskan jawapan setuju hendak menunangkan anak perempuannya atau pun tidak. Sekiranya sehingga habis tempoh itu, pihak lelaki tidak menerima apa-apa maklum balas daripada pihak perempuan, ini bermakna pihak perempuan bersetuju untuk menunangkan anak perempuan mereka dengan anak lelaki pihak lelaki. Tetapi jika dalam tempoh diberikan oleh pihak perempuan itu, pihak perempuan menziarahi pihak lelaki dan menyatakan tidak bersedia menunangkan anak perempuan mereka, maka majlis peminangan dibatalkan. 
Selain itu, pihak perempuan mesti memulangkan cincin belah rotan kepada keluarga lelaki.

Melalui proses merisik ini, sekiranya pihak perempuan berpuas hati dan bersetuju atas semua keterangan semasa perbincangan, pihak perempuan boleh menyatakan persetujuan terus untuk menunangkan anak perempuan mereka dan seterusnya menerima cincin belah rotan sebagai tanda jadinya pertunangan yang bakal dilaksanakan itu.

Semasa majlis merisik ini juga disebut soal langkah bendul. Ini berlaku sekiranya anak gadis keluarga perempuan yang hendak dipinang itu mempunyai kakak, maka pihak lelaki wajar menyediakan sedikit hadiah berupa sepersalinan baju kepada si kakak bagi menghiburkan hati kakaknya. Ini menggambarkan kehalusan budi orang Melayu dalam menjaga hati kakak dan merupakan amat penting menjaga kerukunan di dalam keluarga.


 Sesudah kampung-kampung dibuka dalam kawasan diselia oleh Penghulu Sega, bermacam-macam adat istiadat berbeza wujud di antara kampung-kampung.  Ini disebabkan kehadiran orang-orang dari Sumatera mempunyai adat istiadat yang berbeza.  Dalam hal ini, orang tua-tua dalam kawasan seliaan Penghulu Sega itu berpandangan perlu ada penyelarasan terhadap adat istiadat bermasyarakat supaya kerukunan bermasyarakat itu dapat dijaga.

Asas berperaturan untuk membina rukun bermasyarakat itu dikukuhkan dengan termeterai  peraturan pertunangan  dalam wilayah penguasaan Penghulu Sega.  Tidaklah boleh sesuka hati anggota masyarakat berbuat aturan sendiri.   Maka peraturan ini dipakai sejak terlantiknya Penghulu Sega Pertama iaitu Tok Mat Amin bin Mat Salleh  dan kemudiannya diikuti oleb  Penghulu lain menurut pertimangan penuh bijaksana.

Diamalkan masyarakat di permukiman Penghulu Sega itu aturan  kerja merisik, kerja bertunang-lanang dengan teliti  supaya tidaklah ada yang mendakwa selain yang disepakati.  Sepanjang tempoh di antara majlis merisik ke majlis pertunangan, kedua keluarga dibenarkan berhubung untuk mengetahui perkara-perkara berhubung perminangan seperti tarikh pertunangan, jumlah belanja hantaran, cincin pertunangan, hadiah sepersalinan yang patut dibawa oleh pihak lelaki dan jumlah ahli keluarga lelaki yang akan hadir menghadiri majlis pertunangan.

Dalam masalah belanja hantaran pula, ada tiga jenis kategori belanja boleh menjadi pilihan sama ada belanja sama naik iaitu sama-sama mengeluarkan belanja hantaran, belanja hantaran serta serba satu iaitu sebagai contohnya jika belanja hantaran RM 5000.00, ada hadiah iringan selengkapnya dan belanja hantaran luar serba satu, luar Mas Kahwin dan luar upah nikah iaitu nilai selain wang hantaran tidak disebut dalam pertunangan. Selain itu, dibincangkan jumlah wang belanja yang akan dibawa ke majlis pertunangan sama ada semua sekali, separuh sahaja atau tidak membawa langsung wang belanja tersebut. Dalam amalan masyarakat di Pahang, pihak lelaki akan membawa separuh wang hantaran sebagai menyatakan komitmen untuk mengikat pertunangan.

Dalam tempoh ini, kedua-dua keluarga boleh menentukan wakil yang akan bercakap dalam majlis bertunang nanti. Namun begitu, hal-hal berhubung jenis bentuk cincin pertunangan, wang hantaran dan hadiah sepersalinan yang telah dibincang dalam majlis merisik tidak boleh diubah atau dibincangkan lagi menurut adat di negeri Pahang. Perbincangan berhubung tawar menawar jumlah wang hantaran akan dianggap mengaib dan tidak sesuai dengan budi luhur orang Pahang.

Semua perbelanjaan mengadakan majlis pertunangan ditanggung sepenuhnya oleh keluarga pihak perempuan. Dengan itu, keluarga pihak perempuan akan menentukan jumlah jemputan ke majlis tersebut mengikut keupayaan kewangannya. Dengan erti kata lain, tidak semua ahli kariah dijemput menghadiri majlis pertunangan ini. Kebiasaannya ketua keluarga akan menjemput waris-waris terdekat, ketua kampung dan ahli-ahli agama menghadiri majlis pertunangan tersebut. Ini bertujuan untuk mengesahkan majlis tersebut adalah majlis yang sangat penting di dalam sesuatu kampung.

 Semasa majlis pertunangan

Ibu dan bapa perempuan yang dipinang, ketua kampung, Imam dan ahli agama dan waris terdekat keluarga perempuan akan berada di ruang perbincangan sementara sekumpulan ahli keluarga pihak perempuan yang lain akan menunggu di halaman rumah bagi tujuan mengalu-alukan kedatangan rombongan keluarga lelaki seterusnya menyambut hadiah sepersalinan yang dibawa oleh keluarga lelaki.

Setelah rombongan ahli keluarga pihak lelaki sampai, mereka dijemput naik ke ruang perbincangan. 
Semua alatan dan hadiah yang dibawa diletakkan ditengah-tengah majlis. Biasanya diletakkan bersebelahan dengan barangan hadiah pihak perempuan untuk diberi kepada pihak lelaki. Susunan barang-barang pihak lelaki itu diletakkan mengikut tertib iaitu tepak sirih, sirih junjung, cincin pertunangan, wang hantaran dan barang-barang hadiah sepersalinan.

Sesudah tampil jurucakap pihak lelaki dan pihak perempuan, pengerusi majlis akan memaklum kepada hadirin akan tujuan berhimpun itu.  Sesudah itu pengerusi majlis akan menyerahkan majlis perbincangan kepada kedua-dua jurucakap  kedua keluarga. 

Sebelum jurucakap berbincang panjang,   setepak sirih disuguhkan oleh jurucakap pihak lelaki dan jurucakap pihak perempuan mengapur sirih lalu memakan sirih itu bersama-sama jurucakap lelaki.  Para hadirin tidaklah digalakkan memakan sirih itu kerana tiada apa-apa kepentingannya kepada mereka.  Ini disebabkan acara memakan sirih oleh kedua jurucakap  itu sebagai sapaan hormat dan untuk melancarkan perjalanan air liur memudahkan bercakap, menenangkan debaran jantung dan menerbitkan rasa bersama-sama menjayakan majlis.

Hal-hal yang dibincangkan ialah setuju atau menolak peminangan, syarat-syarat semasa bertunang, jumlah hantaran dimuktamadkan, tarikh perkahwinan  dan mengisytiharkan pertunangan itu kepaa semua yang hadir di majlis itu. Berhubung terma dan syarat pertunangan itu, ada keluarga yang membaca satu persatu  terma tersebut dan ada yang memberi gambaran secara umum sahaja.    Terma-terma dan syarat pertunangan yang menjadi rujukan di permukiman Sega seperti berikut:.   

1.         BERTUNANG
            Hendaklah perunding pertunangan mengisytihar dalam majlis persetujuan menerima peminangan.

2. PERILAKU YANG TERMASUK DALAM ISTILAH ENGKAR
2.1. Semata-mata tidak mahu berkahwin tanpa sebarang sebab.
2.2. Salah seorang berkahwin cara senyap-senyap dengan orang lain.
2.3. Sabit kesalahan berkhalwat atau berzina dengan orang lain.
2.4. Helah - Apabila genap tiga kali bertangguh untuk melangsungkan perkahwinan mengikut tarikh yang ditetapkan dalam istiadat pertunangan.

3.TINDAKAN TATA TERTIB YANG DIKENAKAN JIKA ENGKAR
3.1. Pihak Lelaki - Hilang semua wang hantaran dan cincin yang telah diserahkan pada hari pertunangan.
3.2. Pihak perempuan - Hendaklah mengembalikan semua wang hantaran dan cincin pertunangan yang diterima. ( Jika cincin itu hilang  atau rosak, hendaklah diganti dengan nilai yang sama). dan diiringi dengan wang sebanyak wang hantaranan yang diterima dari pihak lelaki.
3.3. Tanpa wang hantaran awal, maka mana-mana pihak yang engkar dikenakan membayar kepada pihak yang satu lagi sebanyak RM... ( dan cincin akan hilang atau dikembalikan (mengikut pihak mana yang melakukan keengkaran.)

4.CACAT (MENGENAI ANGGOTA BADAN
4.1. Berpenyakit yang membawa kejijikan kepada pihak  sebelah seperti kudis, kurap, sopak dan lainnya.
4.2.Berkeadaan tidak normal pada fizikal/mental disebabkan oleh kemalangan seperti hilang penglihatan/pendengaran atau kecacatan pada tangan/kaki atau hilang daya ingatan atau sebagainya.

5.CELA (MENGENAI PERBUATAN/PERILAKU
5.1. Berkelakuan kurang sopan pada penilaian waris-waris atau masyarakat seperti tidak menghormati bakal ibu bapa mentua atau keluarganya atau bersikap di luar budaya Melayu beragama Islam.
5.2. Melakukan jenayah yang memalukan keluarga seperti terbukti pemabuk /pencuri /penipu dan sebagainya. 
 Tindakan yang patut diambil dalam perkara cacat-cela ini ialah:
 Kedua belah pihak hendaklah berunding semula untuk mendapatkan kata sepakat.  Jika bersetuju berkahwin maka dikahwinkan.  Jika tidak bersetuju berkahwin, maka ' berpulangan " .

6.  BERPERILAKU DI LUAR BATASAN (SAWAN GILA)
6.1. Berdua-dua di tempat sunyi atau di khalayak ramai atau di rumah kedua belah pihak.
6.2. Salah seorang memaksa supaya mereka dikahwinkan dengan segera sebelum tarikh yang ditetapkan.
6.3. Sabit kesalahan berkhalwat atau berzina di antara mereka berdua.
            Tindakan patut diambil dalam perkara ini ialah:
            Hendaklah dilaporkan kepada orang kenamaan tempatan supaya mereka dinasihatkan supaya menghentikan perbuatan seumpama itu untuk kebaikan, dan menjaga maruah keluarga.  Jika tidak boleh  ibendung/dikawal lagi, maka orang kenamaan tempatan hendaklah menyuruh warisnya menyegerakan perkahwinan mereka.

7.KEMATIAN
Satu perkara yang tidak dapat dielakkan.  Maka sebelah pihak yang satu lagi patutlah bersimpati kepada pihak yang terlibat.  Jika  ditakdirkan kedua-duanya berlaku serentak, maka rundingkanlah untuk kebaikan bersama.

8. MEMUTUSKAN PERTUNANGAN
            Mana-mana pihak yang memutuskan pertunangan sebelah pihak yang satu lagi telah membuat persediaan untuk kenduri perkahwinan, maka pihak yang memutuskan pertunangan mesti membayar ganti rugi jika pihak yang satu lagi membuat tuntutan.

9.BARANG SERBA SATU
Tidak termasuk dalam perjanjian ini.  Itu adalah pemberian/hadiah sahaja.

10. MASKAHWIN DAN UPAH NIKAH
Sebanyak mana yang teradat dalam negeri ini dan juga adat tempatan hendaklah dinayar oleh pihak lelaki; berasingan dengan wang hantaran.

11.TEMPOH BERTUNANG
Dinyatakan tempoh bertunang itu dalam berapa waktu jangkamasa

12. MAHAR KAHWIN

Dalam hal menentukan mahar kahwin, maka hal itu menurut diputuskan oleh pejabat Baginda Sultan Pahang.  Akan hal ini  pada tahun 1925, telah diseragamkan di Pahang dan Johor bahawa nilai mahar kahwin itu ialah Dua Puluh Dua Ringgit Lima Puluh Sen.  Akan nilai sebesar itu mampu membeli  seekor ibu kerbau dan anak kerbau jantan yang jaras.  

SUNGAI LIPIS BERSIMBAH MERAH


( Dalam usaha menulis kisah ini, saya mendapatkan cerita  daripada  beberapa orang yang mendapatkan cerita itu daripda orang yang terlibat. Antaranya ialah    diambil daripada Sabri bin Yoep Yahaya, Kg. Batu Malim ,  Us. Mahmud bin Khalid , Kg. Kundang Patah, Allahyarham Hj. Merah bin Awang, Kg. Batu Talam juga daripada En. Hashim bin Zabidi Kuala Lipis).


https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhGRUYJan6-kpnOwo2YMK-XNZSD8kPMgd14z3qb4Bdhv598iXCVOEZIJfy5-N1h_2BBPIkR0V-ByVLGIi2MWY6TwcTtXowcNDsRukd3LjB-N_6VKr-n8yVlzlJcUchAcZMktNmqZsrOWOw/s1600/avatar_2118.gif
 Peristiwa itu berlaku sejurus Jepun menyerah kalah  dan berundur dari Malaya.   Tentera  bintang tiga  membuat  huru hara ke kampong  orang  Melayu  dengan menangkap  orang Melayu yang bekerja  dengan tentera Inggeris.   Hal itu menimbulkan kebimbangan  kepada orang Melayu.
            Di Batu Malim , deretan kedai di sepanjang sungai menjadikan kawasan itu pekan perniagaan penting di Ulu Pahang.  Aktiviti perniagaan  di Batu Malim dan perlombongan emas di Kampung Pulai sebahagian besar usahakan oleh kaum Cina.  Fahaman Komunis meresapi  pemikiran orang-orang Cina dan timbul rasa angkuh  mereka sebaik sahaja Jepun mengundurkan diri.
Sebelum kejadian berbunuhan  pada 11 Februari 1948 (Isnin),  berlaku rentetan pergeseran  antara orang Melayu dan Cina. Hal itu bermula  pada hari Sabtu 9 februari  apabila sekumpulan orang Cina  berburu babi ke kawasan tanjung  kg. Chain.  Maka cara mereka berburu itu  tidaklah menghormati  tanaman di kebun dua orang Bangkahulu.  Dilambas segala ubi kayu, pisang  dan apa juga tanaman semata-mata hendak  mengejar babi.  Akan kedua orang Bangkahulu itu sangat tidak puas hati  atas  laku orang-orang Cina berburu  babi.
Maka perkara itu  oleh kedua orang  Bangkahulu itu (adik beradik)  itu berjumpa dengan Penghulu Mukim Batu Talam ,  YM Tengku Zohri .  Diceritakan akan ehwal keadaan kerugian mereka.  Maka diputuskan oleh YM Tengku Zohri akan Isnin nanti  dibawa bicara menentukan siapa bersalah dan jumlah denda. 
 Dengan takdir Allah, berjumpalah dia dengan  ketua kumpulan Cina yang berburu babi itu di atas  jambatan kayu  Batu Malim.  Akan si abang  Bangkahulu itu memarahi  Cina itu kerana perbuatan biadap memusnahkan kebunnya.  Dia mengajak ketua Cina itu mengadap YM Tengku Zohri  bin Tengku Daud untuk diadili.   Akan  ketua Cina itu memandang remeh   tuntutan ganti rugi itu. Ditinju  ketua Cina berburu babi itu akan   orang Bangkahulu (abang)  sampai jatuh terduduk.  Melihat hal itu si adik terasa sangat tercabar lalu melompat ke belakang Cina itu, dicabutnya parang tapik lalu ditetak di leher Cina itu.  Mati di situ juga akan  Cina yang bongkak itu.
Melihat keadaan itu, kecohlah Pekan Batu Malim.  Namun akan orang tua-tua di situ baik Melayu atau Cina cuba meleraikan  anak-anak muda daripada bertumpah-tumpah darah. Redalah keadaan tersebut  dan hal itu dilapor ke Penghulu   Tengku Zohri  untuk  diadili.
Namun begitu menjelang  Subuh  pada 11 Februari  1948 itu,  kedengaran  riuh rendah  orang  Cina bersorak-sorak di pangkal jambatan  Batu Malim. Hal  itu kedengaran  juga sampai ke rumah Tengku Zohri.   Akan  orang Melayu  yang mendiami  rumah  berhampiran  jambatan  kayu  berbincanglah mereka  akan keadaan orang  Cina yang bersorak-sorakan itu.  Antara mereka  ialah Yoep Yahaya, adiknya  Lehot dan jirannya  Abu Bakar  mengambil  keputusan  untuk meninjau  ehwal Cina yang bersorak itu.  Akan Yoep Yahaya itu orang dari Lambor Kanan, Perak berhijrah ke Batu Malim. Dia bekerja menarik kayu balak menggunakan kederat kerbau  dan berkahwin dia dengan  Sitam anak   Abd.  Rashid   .  Akan Uda Ghafar itu anak   Penghulu Mat Akil yang menjadi  pengikut Maharaja Lela untuk urusan membunuh J.W.W. Birch.  Akan isteri Uda Ghafar itu bernama Teh  Mahyah  anak kepada Imam  Rasu.  
Yoep Yahaya
Berbekalkan semangat hendak berunding,  Yoep Yahaya membawa  parang sebagai senjata,selaras senapang   dan sekotak peluru.  Senapang dan peluru itu sebenarnya kepunyaan OCPD Raub .  Beliau meminjam senapang itu untuk tujuan berburu binatang hutan.  Kebolehan Yep Yahaya menembak dengan baik kerana dia bekas ahli Force 136 yang ditubuh British semasa pemerintahan Jepun.   Pada waktu penjajahan Jepun itu ada 49 orang yang menyertai pasukan Force 136 ini.   Sementara Abu Bakar  pergi  ke reban ayamnya lalu membawa keluar  dua biji bom tangan  yang diperolehnya daripada Jepun  yang  telah berundur dari Malaya.  Disandang  parang panjang  juga sebagai senjata.  Akan Lehod  turut membawa  para panjang sebagai senjata.  Pergilah  Yoep Yahaya, Lehod anaknya dan Abu  Bakar   hendak  berunding  apa yang dimusykil  oleh orang-orang Cina yang bersorak itu.
Lehod
Kelihatan   lebih dua  ratus orang lelaki  Cina  berkumpul  siap bersenjata  pedang dan parang di pangkal jambatan.   Yoep Yahaya , Lehod dan  Abu Bakar   dapat merasakan  pertumpahan darah  akan berlaku  jika  silap  perundingan.  Dilaung mereka  tujuan mereka datang hendak berunding.   Akan orang Cina itu apabila melihat cuma  tiga orang Melayu  yang bersenjata  berjalan ke arah mereka, orang-orang Cina bersorak riuh rendah .  Tidak diketahui  apa buah kata mereka.   Kemudian mereka  mara  berlari-lari  bagaikan hendak memarang  apa sahaja yang ada  di hadapan mereka.  Akan  Yoep Yahaya  terus-terusan  menembak  ke  arah  orang Cina .  Terhenti hasrat orang Cina untuk segera mara.
Mendengar  kekecohan  bunyi  tembakan senapang    datanglah orang Melayu  membantu  Yoep Yahaya , Lehod dan Abu Bakar.   Menyerbulah mereka ke arah Pekan Sari yang pada waktu itu ada  peniaga Cina berniaga.  Akan peniaga Cina dan  buruh Cina lombong Kampung Pulai yang tiada bersenjata  terlibat sama dalam pergaduhan itu.  Maka ramai orang Cina yang cedera dan mati  bergelimpangan. Akan orang Cina  yang masih berbaki, berpecah mereka  kepada beberapa kumpulan.  Satu kumpulan mengepung rumah Abu Jamal.(ayah Abu Jamal berasal dari Lambor Kiri, Perak.      Abu Jamal pada waktu itu sudah berusia 62 tahun.  Namun cabaran orang Cina itu disambutnya. Akan Abu Jamal  keluar dengan parang  panjang.  Itulah parang yang sangat bisa dititipnya.  Barangsiapa yang terkena hirisan parang panjang itu, alamat maut juga dapatnya.  Diserbu oleh orang Cina  kepadanya.  Sedemikian handal silat Abu Jamal, sama handal  juga silat orang-orang Cina itu.  Dalam satu tetakan,  putuslah jari kelingking  Abu Jamal dan parang orang Cina mengguris sedikit di tengkuknya sebelah belakang telinganya.  Melihat  Abu Jamal  dicederakan oleh orang  Cina,  jirannya bernama  Abdul Rahman  meluru dengan keris.  Ditikam  orang Cina yang mencederakan Abu Jamal.    Tidak  lut keris itu terkena tubuh  orang  Cina itu. Abu Jamal menyuruhnya menikan tanah dan membaca wirid tertentu.  Lalu Abdul Rahman  menikam tanah, membaca wirid  dan setelah itu  menikam semula orang Cina itu. Ketika tikaman itu terkena tubuh orang Cina itu, segera dipegang  tengah keris itu oleh orang Cina itu lalu dipatahnya besi keris itu.  Larilah orang Cina itu entah ke mana.
Akan seorang pemuda bernama Mukmin, bersilat dia di Pekan Sari. Tiadalah orang Cina hendak beradu tenaga dengannya. 
            Akan pergaduhan itu akhirnya reda.   Ramai sekali orang Cina yang  mati.  Mayat mereka dicampakkan  ke dalam  Sungai Lepeh  .  Bersimbah merahlah air Sungai Lipis pada waktu itu. Akan pergaduhan itu segera ditenteramkan oleh tentera Gurkha dan Punjabi yang datang dari Raub.  Beberapa orang yang terlibat dalam pergaduhan itu antaranya Yeop Yahaya, Lehot, Hamzah , Abdul Rashid dan lain-lain ditangkap dan dibawa ke rumah Pasong Kuala Lipis.  Dalam  perjalanan menuju  ke Kuala Lipis itu, ramailah orang di kiri kanan jalan di Dong, Sega, Benta dan Penjom melambai tangan ke arah mereka menyifatkan mereka adalah pahlawan orang Melayu yang berani.    Di Kuala Lipis, Lehot demam teruk lalu dihantar ke hospital Kuala Lipis.  Namun agak lama dia tidak dipedulikan  oleh pihak hospital kerana mereka menyangka Lehot seorang pembunuh yang ganas.  Dalam keadaan itu, Lehod khabarnya telah bertempik meminta dirawat  sehingga semua doktor memberi perhatian kepadanya.  Semua yang dituduh itu kemudiannya dibawa ke Pusat Tahanan Batu Gajah.
Dalam pergaduhan itu, dua orang  Melayu  Bangkahulu terkorban lalu  dikebumikan  berhampiran dengan rumah  Penghulu Tengku Zohri.   Menurut bilangan  orang kampong, seramai 158 orang Cina terbunuh  dan 58 orang cedera.   Namun  begitu dalam rekod   pengkaji sejarah dicatat cuma  seramai 30 orang Cina  terbunuh termasuk 10 orang kanak-kanak Cina dan dua orang Melayu. Seramai 16 orang Cina dan 10  orang Melayu mengalami kecederaan.

            Dalam  keadaan  yang  sangat  tegang itu, seorang  Cina  lelaki  merayu diberi perlindungan.  Akan Cik Tanjung, disimpannya Cina lelaki itu di rumahnya  untuk beberapa ketika tanpa diketahui  oleh orang Melayu  Batu  Malim.  Akan anak Cina  yang diselamatkan  ayahnya oleh  Cik Tanjung masih ada dan selalu juga  balik ke Batu Malim.

             Selain itu juga, antara kesah yang saya dengar maka pada hari Isnin berlakunya peristiwa mandi darah itu berkebetulan pada hari itu  berlangsung  pekan sari di Batu Malim. Maka berdukacitalah sedikit Guru Besar Sek.Melayu Batu Talam apabila dia mendapati ramai sangat murid tidak hadir ke sekolah. Fikirnya anak-anak muridnya yang tak datang itu berleka-leka gamoknya di pekan sari. Lalu guru besar itu yang bernama Jisat bin Abdul Ghani bin Mat Som  bin Tok Jamaludin bin Tok Ngah Janggut bin Tok Aya. Tok Aya bin Tok De Abdul Rahman bin Tok Koris isterinya Tok Itam Mas Pahang. Tok Itam Mas Pahang binti tok Kaya Ibrahim.

            Adapaun Cikgu Jisat itu beranakkan Cikgu   Dasimah yang bersuamikan cikgu Mat Amin.
Tuan Guru Besar itu (Jisat) mengambil keputusan mencari anak-anak muridnya di pekan sari Batu Malim. Berjalan kakilah ia diatas jalan raya yg tidak bertar bertemankan sebilah parang. Parang itu tidak bersarung. Adapun jalan dari sekolah ke Batu Malim masih hutan belukar. tidak ada sebuah rumah didirikan disepanjang jalan itu.

            Di dalam perjalanan itu maka ditakdirkan Allah lalu trak polis barangkali tujuannya ialah ke Batu Malim untuk meninjau keadaan yang sedang huru hara itu, terus menahan cikgu Jisat dan dibawa ke Balai Polis Raub. Cikgu Jisat pun ditangkap polis lalu ditahan dan dimasukkan ke kem tahanan Tg Beruas selama 5 tahun tanpa bicara.

            Tempat Cikgu Jisat yang kena tahan jadi kosong. Lalu selang beberapa lama maka diperintahkanlah oleh Jabatan Pelajaran menukarkan Cikgu Mohd Zabidi bin Gendut dari Sek.Melayu


PERBALAHAN ORANG BESAR-BESAR DI ULU PAHANG

Mengikut cerita orang Pahang di sebelah Raub mengatakan Apabila Wan Ahmad anak  Maharaja Perba Jelai Wan Idris kembali semula ke Pahang setelah berperang di Selangor, Wan Muhamad telah pergi ke Pekan .( Sebagaimana dicerita oleh Hugh Cliford dalam tajuk “ In The Days When The Land Was Free” dalam buku In Court Kampung- 1927) Wan Ahmad  telah menunjukkan kelakuannya yang sombong dan menyalahi adat terhadap Bendahara Wan Ahmad.  Tidak lama selepas Wan Ahmad kembali ke Jelai, Bendahara Wan Ahmad memanggil Wan Lingga, anak sepupu Wan Ahmad   yang masih ada di Pekan  dan Tok Muda  Sentol anak Tok Kaya Setia Lela Teh  datang mengadap.  Diperintah Wan Ahmad itu dibunuh.  Wan Lingga mengaku sanggup menjalankan hukuman itu dengan syarat Tok Muda Sentol membantunya.  Tok Muda sentol agak keberatan tetapi pura-pura menunjukkan taat setianya.

 Akan Tok Muda Sentol memaklumkan titah Bendahara itu kepada bapanya Tok Kaya Teh.   Tok Kaya Teh melarang anaknya terlibat dalam rancangan itu. Alasannya ialah Wan Ahmad itu sepuak dengan mereka dari jurai Tun Abdul Latif.  Maka beliau menghantar utusan pergi ke Jelai memberitahu Maharaja Perba Jelai Wan Idris dan mengingatkan Wan Ahmad.

Wan Lingga kembali ke Pekan memaklum apa yang berlaku.  Bendahara Wan Ahmad memerintah Wan Lingga  dan Tok Gajah memerangi Tok Raja Perba Jelai dan Orang Kaya Lipis.  Dalam satu serangan yang dibuat, Tok Raja dan Orang Kaya Lipis berjaya mempertahankan diri.  Orang Kaya Lipis diarah datang menyerah diri ke Pekan tetapi ditolak oleh Orang Kaya Teh. Bendahara  Wan Ahmad kemudiannya memerintah Wan Lingga untuk membunuh Orang Kaya Lipis Tok Teh .

Wan Lingga pergi menyerang dan membakar rumah Orang Kaya Lipis Tok Teh di Penjum.  Namun begitu, Tok Teh dapat melepaskan diri berenang menyeberangi Sungai Lipis dalam keadaan dihujani peluru senapang yang ditembak oleh Wan Lingga. Beliau bergerak ke rumah   Dato' Setia Wangsa Ismail Tok Maulud  di Tanjung Besar.  Atas nasihat Dato' Setia Wangsa Ismail Tok Maulud, Tok Kaya Teh ditemani oleh Tok Muda Sentol bergerak ke Pekan untuk menyerah diri.  Akan Bendahara Wan Ahmad menahan  Tok Kaya Teh dan Tok Muda Sentol di Pekan, tidak dibenarkan pergi ke mana-mana dan jawatan Orang Kaya Lipis itu dipeca pada 1875M..

 

Bendahara Wan Ahmad melantik Tuan Sheikh Kecil  menguruskan hal memungut cukai di Lembhan Lipis.  Akan kegagalan Wan Lingga menjalankan tugasnya, dihukum Wan Lingga itu dengan memotong gaji tahunannya.

Tinggallah Tok Kaya Teh dan Tok Muda Sentol di Pekan, tidak boleh pulang-pulang ke Penjom.   Maka menjelang tahun 1882, gemparlah di daerah Pekan itu ada seorang Bugis berjual diri di pasar.  Dimintanya orang menikan tubuhnya bernama Daeng Muhamad. Peraturan menikan itu ialah ditikam dada dan perut dikenakan bayaran 15 ringgit, rusuk dan belakang 10 ringgit, dan pinggang ke bawah 5 ringgit.  Sesiapa yang hendak menikamnya, bolehlah berbuat demikian mengikut bayarannya.  Maka sekelian orang di Pekan itu mencuba, tiada lut ke tubuhnya. 

 Akan Daeng Muhamad itu khabarnya berjasa menaikkan Wan Ahmad atas takhta dan menuntut dilantik menjadi orang besar.  Permintaan ini amat mendukacitakan Bendahara Pahang itu kerana pada masa itu semua kawasan sudah mempunyai Orang Besar kecuali Lipis.  Oleh kerana permintaan itu tidak dilayan, maka Daeng Muhamad mencabar sekelian Pahlawan Pahang agar berlawan bertikam dengannya.  Maka menyembahlah Dato’ Maharaja Perba Jelai Wan Idris bin Wan Muhammad,  Tok Setia Ismail bin Maulud, Imam Indera Gajah Rasu bin Shaharom@Teuku Ali, dan Dato’ Bahaman Orang Kaya Semantan memohon   diperkenankan oleh Baginda kepada salah seorang daripada mereka bukan sahaja untuk mencuba kepandaian Orang Bugis itu, bahkan berlawan pun mereka sanggup. Maka jawab Baginda, “Beta sudah tau kebolehan Orang Kaya semua, tetapi apa yang beta sedang fikirkan sekarang, beta mau tahu kebolehan orang muda, bakal menggantikan Orang Kaya yang akan menjaga negeri ini, iaitu Sentol anak Tok Kaya Teh”.

Tok Muda Sentok pada waktu masih tersangat muda. Mendengar titah agar dia berlawan dengan  orang Bugis yang kebal itu; Tok Kaya Teh  menyerahkan kain cindai dan Keris Panjang Penjum buatan Tok Baki kepada Tok Muda Sentol.  Sesampai di istana, Tok Muda Sentol menjunjung duli kepada Bendahara Pahang.   Bendahara Wan Ahmad mengizinkan Si Sentol masuk ke gelanggang pertarungan, lalu mendekati orang Bugis itu, seraya ditikamnya di “ulu hati” terus ke belakang.  Orang Bugis itu pun langsung tersungkur ke bumi lalu mati. Kata orang yang empunya cerita, satu liang luka di ulu hatinya, tetapi tujuh liang tembus di belakangnya. 

Sesudah peristiwa itu, Tok Muda Sentol pun dilantik sebagai Orang Kaya Lipis dengan gelaran Dato’ SETIA WANGSA  dalam usia yang agak muda.   Pada tahun 1882 itu juga Bendahara Wan Ahmad semasa berangkat ke Pulau Tawar telah mengampun kesalahan Wan Muhamad dan melantik Wan Ahmad sebagai Orang Kaya Perba Jelai menggantukan ayahandanya Wan Idris yang mangkat pada tahun tersebut.

WARISAN PENGHULU SEGA

Dalam sistem pemerintahan di Ulu Pahang, Lembahan Sungai  Lipis dari muara Sungai Lipis hingga ke air meleleh tertakluK  mereka di bawah perintah Orang Kaya Lipis.  Akan Orang Kaya Lipis itu meminta nasihat kepada Maharaja Perba Jelai yang menguasai jaluran Sungai Jelai.

Apabila telah dibuka kampung Tersan dan Sega Lama, maka kawasan yang luas itu memerlukan seorang Penghulu yang menjaga selia urusan pemerintahan.  Maka Penghulu Sega pada waktu itu mesti dirujuk terhadap  apa sahaja urusan membuka kampung halaman  dan adat istiadat.  Jadi pengaruh Penghulu Sega sebelum 1859 melebar ke kiri kanan Sungai Lipis bermula dari Jeram Besu hingga ke Air Meleleh.

Akan pemegang jawatan Penghulu  Sega sejak asalnya sangat berkait dengan keturunan  Tok Mat Amin bin Tok Malik, Tok Mansor (Bugis) dan  Tok Kaya Ibrahim.  Akan ketiga kepala keluarga ini, anak buah mereka saling bersemenda dan berkerabat melalui ikatan perkahwinan. Maka semacam diatur akan menjadi Penghulu Sega itu datangnya daripada  keturunan ini. 
 Pewarisan Penghulu Sega dapat dilihat seperti berikut:

1. TOK MAT AMIN BIN  TOK MALIK
            Tok Mat Amin: Sekadar bergelar Tok sebab diala Penghulu, dialah Imam dan dialah pawang. Orang pertama membuka kampung Tanjung Aur / Bukit Tersan seterusnya Mukim Sega. Beliau berhijrah dari Kampung Pagar/Penjom.  Beliau  anak Tok Malik anak Tok Mohd.Salleh anak Tok Endit anak Tok Mohd.Ali Jaafar bin Tok Demu.
              Maka keturunan beliau bertebaran dengan ramai ke Kg Tersan, Kg. Kuala Atok dan Jenut, Kg. Jeram Besu, Kg. Sega Tat, Kg. Sega Lama, Kg. Ulu Renggol dan dikemudian harinya  berserakan tinggal di beberapa mukim lain seperti Mukim Dong, Mukim Batu Talam, Mukim Budu, Mukim Penjom, berkerabat dan bersemenda dengan keluarga di daerah lain. 
            Masa beliau menjawat jawatan Penghulu itu kira-kira anggaran sekitar tahun 1785. Menjelang akhir hayatnya, Tok Mat Amin memilih menantunya Tok Shahbuddin bin Tok Alauddin keturunan Tok Mansur orang Bugis, suami kepada anaknya Tok Itam Radhiah, mengambil alih jawatan sebagai Penghulu, Imam dan Pawang.
             Tok Shahbuddin pula tidak berupaya untuk menyandang ketiga tiga jawatan itu sekaligus. Atas budibicara Tok Shahbuddin lalu menyuruh orang orangnya memanggil abang iparnya Tok Muhammad bin Tok Aya yang tinggal di Kampung Pasir Purun, Sengkela, yang bersempadan dengan Mukim Semantan Hulu, untuk di lantik sebagai Penghulu menggantikan To Mat Amin.
            Lantikan ini dipersetujui oleh Tok Mat Amin. Manakala jawatan Imam, Tok Shahbuddin yang diberi kuasa penuh itu menamakan abang iparnya, Tok Ngah bin Tok Mat Amin iaitu abang kepada isterinya Tok Itam Radhiah lalu bergelar Tok Imam Ngah. Tok Shahbuddin hanya memegang jawatan Pawang sahaja.

2. TOK MUHAMMAD BIN TOK AYA
Tok Muhammad bin Tok Aya: Tok Aya bin bin Tok Da (De) anak Tok Koris dan Itam Mas Pahang anak tok Kaya Ibrahim. Tok De Abdul Rahman,  adik- beradik  dengan Tok Kaya Chandak.   Tok De (pembuka Batu Talam) ada makamnya ada di Batu Talam. Tok Muhammad memegang jawatan Penghulu Sega sekiatr tahun-tahun 1809M.   

Tok Keli bin Tok Mohamad: Keturunan Tok Kaya Ibrahim. Ibunya Tok Ngah keturunan Tok Mansor (Bugis)  Beliau menjawat jawatan Penghulu Mukim Sega sekitar tahun 1853M .  Akan berlakunya perang saudara di Selangor (1872-1873) , bergeraklah Tok Keli dengan segala panglima di mukim Sega.  Bersatulah tentera dari Sega dengan tentera dari Penjom pimpinan Orang Kaya Sintol, tiga pupunya bergerak ke Genting Sempah.  Dalam kalangan tentera Tok Keli itu dilantiknya   Panglima Juan bin Imam Mohamad , ketua pasukan sayap kiri, Panglima  Abdul Rahman bin Panglima Juan, ketua pasukan sayap kanan. Mereka kemudiannya bergerak ke arah Kuala Kubu  dan Rawang untuk menghalau tentera Raja Mahadi.    
Pada zaman Tok Keli menjadi Penghulu Sega, Inggeris masuk campurtangan dalam pemerintahan Pahang.  Pembesar Pahang tidak dibenarkan mengutip cukai hasil masyhul di kawasan mereka.  Mereka dibayar gaji tahunan mengikut pangkat dan gelaran.  Hal ini menyebabkan ramai pembesar Pahang tidak berpuas hati.

4. TOK IMAM TEH BIN TOK TIL
Tok Imam Teh bin Tok Til: (lahir 1866) cucu Tok Shahbuddin bin Tok Alauddin (Bugis) beristerikan Tok Itam Robiah anak Tok Mat Amin.)  Imam Teh anak saudara sepupu Tok Keli. Pada zaman pemerintahan Tok Keli, penghijrahan  penduduka Rawa, Jambi  dan Kampar ke Raub berlaku pada kadar bilangan yang ramai.  Kekacauan di Sumatera disebabkan dasar penjajahan Belanda, memaksa penduduk di Sumateri menyelamatkan nyawa dan harta benda mereka   dengan berhijrah ke mukim Sega.

5. MUHAMAD SAMAN BIN ABDULLAH
Muhamad Saman bin Abdullah :Orang Temerloh, Penghulu Mukim Semantan Hulu.Dipindahkan ke Mukim Sega mengisi tempat  yang sepatutnya dipegang oleh Tok Muhammad Dahan bin Imam Teh.

6. MUHAMMAD DAHAN BIN IMAM TEH
Muhammad Dahan bin Imam Teh :Menjadi penghulu Sega sekitar tahun 1916. Anak kpd Penghulu Imam Teh bin Tok Til. Sepatutnya menjadi penghulu ke 5 Mukim Sega diperintahkan ke Mukim Semantan Hulu (menjalani tempoh percubaan) selama tiga tahun dan selepas itu balik menjadi Penghulu Mukim Sega. Penghulu Muhammad Dahan bekas guru di sekolah Melayu Raub, memohon kepada DO Raub supaya menambah seorang lagi penghulu memandangkan Mukim Sega besar. Pada zaman Penghulu Mohammad Dahan ini, kelas pelajar perempuan dibuka di Sekolah Melayu Sega.

7. PILUS BIN LONG TAIB
Pilus bin Long Talib :Cicit Tok Keli sebelah ibunya. Menjadi Penghulu II Mukim Sega sebelum ditukarkan ke Mukim Hulu Dong. Balik ke Mukim Sega menggantikan Muhammad Dahan yang bersara.

8. YAAKOB BIN HASAN
Yaakob bin Hassan :Berkahwin dengan Bainah binti Idris bin Awang Long keturunan Tok Malik selimang daripada warisan Tok Maimunah binti Tok Muhamad Ali Jaafar bin Tok Demu. Yaakob (tidak begitu jelas asal usulnya) dilantik sebagai Penghulu II Sega. Apabila Pilus balik ke Mukim Sega,Yaakob dipenghulukan ke Mukim Tras.

9. SYED ABDUL RAHMAN BIN SYED MUHAMMAD
Syed Abdul Rahman bin Syedd Muhammad bin Syed Abdul Rahman (Tuan Dagang)   bin Abd Kadir bin Ali bin bin Abdullah bin Ali bin Muhammad bin Abu Bakar bin Ali bin Abu Bakar bin Ali bin Muhammad bin Ali bin Alwi Al-Kherrid  bin Muhammad Hamidan bin Adburrahman sehingga ke Rasulullah s.a.w..   Syed Abdul Rahman  merupakan cicit kepada Tok Keli dan cucu kepada Alus isteri Tuan Dagang( Syed Abdul Rahman) .   Kebolehannya sangat menyerlah kerana beliau  bekas pelajar  di Madrasah Al Junied Singapura yang masyhur itu. Sewaktu berkursus di Institut Pertaniah Serdang, beliau berkenalan dengan orang kaya Sabah  bernama Tun Datu  Mustafa  .  Beliau menjadi Penghulu II Mukim Sega manakala Penghulu I ialah   Penghulu Pilus dua pupu kepada Syed Abdul Rahman.  Beliau menjadi Penghulu penuh apabila Penghulu Pilus bersara,                                       
10. BAHAUDDIN BIN AHMAD
Bahauddin bin Ahmad: Pembantu Pertanian dilantik Penghulu II Sega sebelum menjadi penghulu penuh. Ahmad adik kpd. Muhamad Dahan bin Imam Teh bin tok Til.

11. AHMAD BIN ALANG
Ahmad bin Imam Alang: Pegawai Awam dari Jabatan Kesihatan dilantik Penghulu ke 11. Imam Alang bin Imam Jinal bin Tok Imam Teh bin Tok Muhamad bin Tok Tok Aya bin tok De bin Tok Koris.

12. OTHMAN BIN HJ. HUSSIN
Othman bin Hj. Hussin bin Gaduh bin Tok Man. Tok Man bin Tok Pandak bin Tok Ngah Abu Bakar bin Tok Malik Selimang bin Tok Pudin. Tok Pudin anak Tok Maimunah adik beradik Tok Embong Pian dan Tok Ngah Endit. Asalnya beliau ialah guru dan kemudian dilantik SPA menjadi Penghulu.
Selepas Penghulu Othman bin Hj.Hussin, Penghulu Mukim Sega dilantik oleh SPA tidak lagi mengikut waris.