WARISAN PENGHULU GALI

Jalan Dong ke Raub 1900M
Kebanjiran masuk  penghijrah Sumatera  ke  Sega dan Budu  selepas  Perang Paderi  mengwujudkan   persemendaaan dengan penduduk  tempatan.  Dalam teromba kekeluargaan di Mukim Sega dan Budu, nama-nama penghijrah dicatat menjadi suami  atau isteri  penduduk tempatan. 

 Di Lembahan Sungai Lipis , pertempatan awal di Lubuk Lela, Benta  telah berkembang ke Budu ketika    Tun Ibrahim menjadi Orang Kaya Lipis ke- 4. Selepas itu, petempatan penduduk  berkembang di muara Sg. Lipis bergerak ke hulu, melewati Kg. Salang, Kg. Rengai, Kg. Budu, Kg.Tg. Besar, Kg. Tera@Kg. Kemesar.   Pada sekitar 1679M, ketika Tok Kaya Ibrahim bin Tok Kaya Kasar  menjadi  Orang Kaya Lipis ke-10 yang berpusat  di Budu , petempatan penduduk semakin bercambah di kiri kanan Sungai Lipis. Kawasan Kemahang, Tanjung Besar, Budu Chat hingga ke Tualang Padang , kampung Tersang hingga ke Ulu Sungai serta kampung-kampung  di batang Dong dan Gali dibuka  oleh generasi awal  persemendaan  penghijrah dengan penduduk tempatan.

 Penduduk di sebelah ulu (Raub) membuka kampung-kampung kecil dengan lebih banyak.  Walaupun pada peringkat awal, kawasan bermula dari Tersan ke Ulu Sungai dan hingga ke Ulu Gali di bawah penyeliaan  Penghulu Sega, tetapi memandangkan kawasan itu sangat luas dan orang-orang Rao bertambah ramai di situ ; satu mukim baru diwujudkan iaitu Mukim Gali. Mukim ini  diwujudkan sesudah selesai perang  di Selangor (1878M – 1873M)  dan  keadaan di Ulu Pahang kembali aman

1. Tengku Abdul Samad bin Tengku Muda Khairul Alam

Tengku Abdul Samad bin Tengku Muda Khairul Alam  dilantik oleb Bendahara Seri Wa Raja Wan Ahmad sebagai Penghulu Gali yang pertama. Pemilihannya berasaskan jasa-jasa  memberi sokongan kuat di bawah arahan Wan Daud dalam usaha mengangkat  Bendahara Wan Ahmad ke takhta Pahang.   Tengku Abdul Samad telah mengembeling panglima daripada kalangan Rao seperti Panglima Tegu, Sutan Bangkahulu, Sutan Tengahari, Panglima Raja Haji Daud @ Raja Ahmad, Panglima Jo Pogang, Panglima Haji Salleh Lentor, Fakeh Garang dari Budu, Rajo Pasak, Panglima Alam, Haji Muhamad Baki Temau, Imam Perang Haji Yusuf bin Tan Ibrahim dan ramai lagi di sebelah hulu mengekang kemasukan pengaruh Wan Mutahir.

Walaupun di sebelah pihak mengatakan gembeingan itu dipimpin juga oleh Tok Gajah, fakta itu dapat juga diterima.  Tok Gajah mempunyai pengaruh yang kuat di Budu.   Sementara Tengku Abdul Samad dibesarkan dalam lingkungan keluarga Penghulu Sega.  Namun begitu,  peranan Tengku Abdul Samad ini sangat mengukuh.  Beliau mempunyai kekerabatan yang kuat dengan pembesar di Ulu Pahang dan beliau daripada keturunan raja Pagar Ruyung yang masyhur.  .  Ini disebabkan beliau itu pada jalur sebelah ibunya adalah anak dua pupu kepada Tok Keli, Penghulu Sega dan juga terlebih besar dari itu berpangkat anak tiga pupu kepada Tok Kaya Teh  @ Wan Teh  bin Tok Deris @ Wan Idris bin Wan Hasan (Orang Kaya Lipis ke-13)
 
Selain itu,  jasa beliau mengekang pergerakan tentera  Wan Abdul Rahman (Wan Aman) dan Wan Abdullah (Wan Da)  dan tentera Raja Mahadi  sewaktu perang Gali  dan  menyusun strategi mengusir dan mengepung  tentera Wan Da dan Wan Aman sewaktu Perang Sempalit  dicatat sebagai jasa yang besar  dalam mengamankan kawasan hulu Pahang (Raub).    Demikian juga peranan Tengku Abdul Samad turut mengembelingkan  tenaga orang Rao di Raub dan menyatukan mereka di bawah ketumbukan tentera Tok Gajah untuk mengamankan Kuala Kubu dicatat sebagai jasa besar  mendaulatkan Bendahari Wan Ahmad di takhta kerajaan Pahang.

Sesudah selesai perang  Selangor 1970-an , tentera Pahang pulang semua ke Pahang.  Kepala pasukan perang dianugerah hadiah dan pangkat oleh Seri Wa Raja Wan Ahmad atas segala jasa mereka. Pada penghujung tahun 1870-an ini , beliau dilantik oleh Seri Wa Raja Wan Ahmad menjadi Penghulu Gali yang pertama.  Tengku Abdul Samad bin Tengku Khairul Alam meninggal dunia pada tahun 1924 ketika berusia 85 tahun.

Pada zaman Tengku Abdul Samad menjadi penghulu ini, geran pemilikan tanah diwujudkan.  Setiap orang perlu mendaftar   tanah masing-masing dan dikur  keluasannya dan ditanam batu pancang.  Pembukaan tanah-tanah baru khususnya untuk bertanam getah dibuat oleh penduduk Mukim Gali.

2. Tengku Kudin bin Tengku Abdul Samad. (1871M – 1943M)

Tengku Kudin dilantik menjadi Penghulu Gali yang ke-2  pada 1924 mengantikan ayahanda beliau yang meninggal dunia.  Seperti bapanya, beliau mempunyai daya kepimpinan yang tinggi  dan dihormati oleh saudara-maranya.

Tengku Kudin dilahirkan pda tahun 1871M di Kampung Durian Sebatang.  Di kampung ini, beliau dibesarkan dan diberi asuhan dalam ehwal agama, persilatan bela diri dan bergaul dengan masyarakat.  Beliau mengikuti  bapanya dalam urusan rasmi  Penghulu  ke istana dan ke mukim-mukim yang lain.  Dengan itu pandangan hidup dan pemikirannya berhubung pentadbiran  berkembang lebih awal.
.
Setelah sampai masanya, beliau berkahwin dengan Hjj. Sulung binti Dahalan dan dikurnia zuriat iaitu Tengku Abdul Hamid dan Tengku Abdul Majid.
Tengku Kudin kemudiannya diangkat menjadi Orang Kaya Berlapan dengan gelaran Dato’ Setia Lela Pahang.

3. Tengku Abdul Majid bin Tengku Kudin

Tengku Abdul Majid bin Tengku Kudin dilantik sebagai Penghulu Gali ke-3  menggantikan bapanya.

4.Tengku Abdul Hamid bin Tengku Tengku Kudin

Sesudah Tengku Abdul Majid  melepaskan jawatan Penghulu Gali, naik pula adiknya Tengku Abdul Hamid bin Tengku Kudin.  Beliau bersara pada 1.6.1946.

5. Tengku Mahmud bin Tengku Abdul Majid.

Tengku Mahmud bin Tengku Abdul Majid menjadi Penghulu Gali ke-5 selepas Tengku Abdul Majid.   Beliau dilahirkan pada 20.10.1916 di kampung Durian Sebatang.  Pendidikan awalnya di Sekolah Melayu Dong sehingga tahun 1934.  Beliau dihantar belajar ke MCCCK  pada tahun 1935 sampai tahun 1936.  Setelah itu bekerja sebagai kerani di State Medical Office Raub, kemudian ditukarkan ke Pejabat Daerah Raub.  Semasa perang, beliau berkhidmat dalam Pasukan Tentera Budiman (F.M.S.V.F).  Pada masa ini, beiau menjadi Pegawai Propaganda bagi kampung-kampung dalam jajahan Raub.  Setelah perang tamat, beliau kembali berkhidmat di Pejabat Daerah Raub.

Beliau dilantik menjadi Penghulu Gali ke-5 pada tahun 1946.  Jawatan ini disandangnya sehingga tahun 1951.  Mulai tahun 1952, Institusi Penghulu Pahang diberi Gred 1 dan Gred 2.  Jawatan Penghulu Gali dan Penghulu Sega berada pada jawatan Gred 1. Tengku Mahmud dilantik menjadi Penghulu Gali Gred 1.
Sepanjang perkhidmatannya, beliau pernah menjadi Ahli Pengelola Sekolah Kebangsaan Raub, Ahli Pengelola Sekolah Menengah Kebangsaan Raub, Ahli Pengelola Sekolah Menengah Mahmud Raub.  

Sepanjang perkhidmatan beliau sebagai Penghulu Gali, beliau dianugerah gelaran Dato’ Setia Lela Pahang paa tahun 1959M.  Beliau dikurnia pingat PJK pada tahun 1961M, dan Jp pada 1972 oleh Sir Abu Bakar. Pada 1976, beliau dikurnia pingat SMP oleh Sultan Hj. Ahmad Shah.


Pada    tahun 1972, beliau bersara sebagai Penghulu Gali.  Setelah itu mulai 1.6.1972, beliau dilantik berkhidmat  sebagai Timbalan Pengerusi  Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Pahang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan