PANGLIMA GARANG ABDUL SAMAD BIN FAKEH GARANG

Hasil perkahwinan Fakeh Garang     dengan Endul binti Mat Saman bin Tok Baki bin Tok Mat Saleh bin Ngah Endik bin Mohamad Ali Jaafar Sidiq bin Baginda Demu menghasilkan 4 orang zuriat  iaitu Abdul Samad, Mukim Ahmad, Hj. Abdul Rauf dan Tekah.

Di kalangan anak-anak Fakeh Garang ini, Abdul Samad lebih cemerlang dalam ilmu kepahlawanan dan daya kepimpinannya.    Beliau dibesarkan dalam masyarakat Budu yang mementingkan ikatan persaudaraan, kepahlawasan dan hidup beragama. Dalam zaman remajanya, beliau mempelajari ilmu kepahlawanan daripada Pendekar Arif, Pendekar Antah dan Mat Kilau.

Namun begitu, pergolakan politik Pahang 1863  berikutan perebutan takhta antara Wan Mutahir dengan Wan Ahmad menyaksikan penduduk Budu  pada waktu itu memihak kepada Wan Ahmad. Peperangan itu berlarutan. Anak-anak Wan Mutahir membawa askar upahan dari Selangor untuk menyerang Sega pada 1868M .   Panglima Garang Abdul Samad bersama-sama penduduk Budu  bergegas ke Sega membantu Penghulu Tok Keli bin Tok Muhamad menghalau askar-askar Wan Mutahir.  Lagi pula penduduk di  Sega itu adalah waris rapat orang Budu dari jalur Baginda Demu, Tok Kaya Ibrahim dan Tok Perak @ Raja Ahmad.

Dalam membantu Raja Abdul Samad mengukuhkan takhta kerajaan Selangor daripada gangguan Raja Mahadi, pada 1873M, pendekar yang handal di  Kampung Budu telah menyertai angkatan Tok Gajah ke Kuala Kubu.  Pengalaman dalam peperangan ini dirasai oleh Pendekar Garang Abdul Samad.

Namun kemasukan pengaruh Inggeris di Pahang  pada 1892 menimbulkan bantahan pembesar Pahang.  Hugh Cliford dengan hampir 2,000 tenteranya datang ke Budu dan memaksa Mat Kilau dan Tok Gajah mengikut corak pemerintahan Inggeris.  Namun permintaan Cliford itu ditolak.  Akhirnya  kampung Budu dibakar dan Tok Gajah dan Mat Kilau dijadikan buruan pihak Inggeris.

Bukanlah orang-orang di Budu itu tidak membuat persiapan untuk menentang Inggeris.  Tok Gajah telah mempersiapkan  Kampung Budu itu dengan parit penampan dan kubu-kubu pertahanan. Tetapi rempuhan tentera Inggeris  yang bersenjata lengkap  tidak mampu dihalang oleh pahlawan Melayu.  Peristiwa itu berlaku pada  Ramadan bersamaan  Mei 1892 mengorbankan 300 penduduk Kampung Budu . Akhirnya demi kelangsungan hidup, orang-orang Budu terpaksa menerima corak pentadbiran Inggeris.

Sehingga 1892, Inggeris mengujudkan sistem mukim dan setiap mukim dilantik seorang penghulu.  Penghulu-penghulu ini selain menguruskan hal kemasyarakatan setempat sebagaimana diamalkan sebelum ini, penghulu juga melaksanakan urusan pendaftaran tanah milik peribadi. 

Bagi melantik seorang Penghulu di Budu memerlukan ketelitian. Seorang penghulu pada waktu itu dinilai daripada keturunannya daripada  kalangan orang-orang besar setempat, seorang yang disegani dalam soal bela diri , mempunyai ahli waris yang ramai dan berpengaruh dalam masyarakat.
Lalu apabila dipandang-pandang dalam kalangan masyarakat Budu ketika itu, Panglima Garang Abdul Samad dilihat calon yang istimewa.  Selain terlibat dalam beberapa kali peperangan, beliau adalah titisan dari keluarga besar Baginda Demu yang sangat berpengaruh di Lembahan Lipis.  Beliau juga dari titisan darah Fakeh Garang bin Sutan Muhamad bin Merah Mas.  Akan Merah Mas itu bergelar Tengku Muda Tanjung Alai, Ketuanan Padang Unang, Rao Mapattunggul.  Dan kedudukan itu sangat disegani oleh sekelian orang – orang Rao yang ada di Budu.  Akan bapanya Fakeh Garang itu adalah pengikut setia Wan Daud  yang bersungguh-sungguh mengangkat Wan Ahmad menaiki takhta Pahang.  Akan hubungannya dengan keluarga Tok Gajah yang ada di Budu itu tidaklah bersangkut hati mereka kerana isteri kedua Tok Gajah bernama Jebah Bt Ibrahim berasal dari Batu Naga dekat Kg Chat, adalah  adek beradik dengan  Endik bin Ibrahim yang menjadi isteri Panglima Garang Abdul Samad.

Selain itu ada juga cerita-cerita lisan setempat yang mengatakan dalam satu pertandingan memanjat pokok kelapa, Panglima Garang Abdul Samad amat tangkas memanjat pokok kelapa dan turun dengan pantas dengan kepala ke bawah dan kaki ke atas.  Akan cerita ini cumalah menjadi pelengkap akan kewibawaah Panglima Gagah Abdul Samad diangkat ke jawatan Penghulu.

Dengan kalayakan-kelayan yang ada pada Panglima Garang Abdul Samad itu, Sultan Ahmad al-Muadzam Shah ibni Bendahara Seri Maharaja Tun Ali mengeluarkan titah melantik Panglima Garang Abdul Samat ke jawatan Penghulu Mukim Budu bermula dari tahun 1891.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan