Pembukaan Kampung Kuala Atok

Kampung Kuala Atok itu wujud daripada pembukaan berperingkat bermula dari kawasan  Padi Setempat.  Lokasinya ialah di tepi  tebing Sunggai Lipis di hulu sedikit dari lubuk yang dalam dipanggil ‘ Lubuk Benggali ‘.  Dari tebing Sungai  Lipis menganjur ke tanah permatang terdapat lembahan pamah yang sesuai dibuat tanah paya dan tapak rumah kediaman. 

          Akan Embong Saedah ( suaminya Tok Sebudin  bin Tok Kaya Busu)  anak Tok Mat Amin Bukit Tersan, beranak dia  empat orang anak iaitu Imam Long, Ngah Mahiyah, Itam Mas Pahang dan Tok Teh

          Orang pertama yang meneroka Padi Setempat ialah keluarga Imam Long.  Kesan-kesan tinggalan rumah anak cucu Imam Long  masih dapat dilihat pada tahun  - tahun 1960-an.  Terdapat beberapa rumah yang masih berada di sekitar kawasan tersebut. Antaranya dimiliki oleh Idris anak Doh anak Yong anak Khatib Ipeh anak Imam Long,  rumah Jemilah anak Seoma anak Khatib Hijau anak  Kumin   anak Mohd Amin anak Tok Malek, rumah  Lebai Hasan anak Timah anak Hj. Derapor anak Imam Long.

          Akan  kampung halaman di Padi Setempat  selalu ditenggelami air bah setiap tahun, beralihlah  Imam Long   dan anak-anaknya  Haji Derapor, Tok Khatib Ipeh Lebai Yat dan Dayang   serta anak cucu Imam Long   membuat kampung  di permatang bukit  bersebelahan kebun jagung mereka di Bukit Setahil Tugal (Setugal).  Maka kerja membuka kampung  memakan masa berbulan-bulan kerana kawasan  berbukit-bukit itu masih hutan dara  dan kawasan tanah paya di tepi anak sungai sangat selut dan sesuai bertanam padi.  Berhari-hari dan berbulan-bulan mereka  bekerja  untuk urusan itu.

          Memandangkan  kawasan kaki paya hingga ke permatang bukit  itu tidaklah terlalu luas, maka diusahakan kawasan itu secara beramai-ramai dengan menugal jagung.   Setiap keluaga diperuntukkan setahil benih jagung.  Dalam kerja berderau mengusahakan kebun jagung itu, terbitlah pakatan menamakan kawasan kebun mereka itu sebagai Bukit Setahil tugal atau Bukit Setugal.
         
                    Maka pada suatu hari yang panas, sesudah bekerja membersihkan kawasan  untuk bertanam padi, Imam Long mengajak anak cucunya mandi-manda di sungai berdekatan.  Oleh air sungai yang jernih dan sejuk, bermain-main  mereka  di sungai  itu  dengan menyelam lama-lama.   Akan Imam Long mempunyai kebolehan menyelam lama di dalam air.  Diajak anak cucunya  bermain-main menyelam siapa yang lama.  Maka dalam permainan itu, tidaklah mampu anak cucunya   mengalahkan Imam Long  menahan nafas di dalam air.   Dilaung-laung oleh Derapor, Ipeh, Yat, Dayang dan anak-anak merka  supaya Imam Long segera timbul.  Didengar Imam Long  akan laungan itu  lalu  timbullah dia dipermukaan air.

          Oleh peristiwa itu, dinamakan sungai itu Sungai Atok merujuk kepada  kebolehan  Imam Long  menyelam lama di dalam sungai itu.  Maka bersandarkan kepada nama sungai  yang mengairi tanah paya di sekitarnya, dipanggil orang kemudian kawasan itu   sebagai KUALA ATOK  kerana  tempat mandi-manda  Imam Long itu sudah hampir benar dengan kuala  sungai itu.  Sungai itu bertemu dengan  Sungai Lepeh  di kawasan kampung tinggal mereka bernama Padi Setempat.

          Pada peringkat awalnya  Imam Long  dan anak buahnya bersolat Jumaat di masjid      kampung  datoknya, Imam Mat Amin di Kampung Tersan.  Sehingga kemudiannya sekitar tahun 1860  apabila penduduk  Kuala Atok telah bertambah dan sahlah pada hukum syarak mendirikan sembahyang Jumaat mengikut Mazhab Imam As-Syafi'e, baharulah dibina masjid lama di permatang Bukit Kuala Atok.  Di masjid itu, naiklah  Khatib Ipeh  sebagai pembaca khutbah Jumaat.  Amat hafaz  seluruh isi khutbah tanpa membaca teks khutbah yang dibekalkan oleh pejabat agama Islam di Istana Sultan Pahang.  Dialah menjadi Imam pertama kampung Kuala Atok.  Akan segala urusan anak buah yang ada di kampung itu,  Hj. Derapor selaku anak yang tua menjadi rujukan  segala masalah anak buahnya.   Mahu tidak mahu perlu diteroka tanah hutan  yang lebih luas untuk kediaman.  Berlakulah pakatan untuk  mengagihkan kawasan  penempatan mengikut ahli kekeluargaan yang  rapat.

          Sekitar tahun  1805, penduduk di sekitaran Padi Setempat semakin ramai.  Sebahagian besarnya ialah cucu cicit  Tok Mat Amin  Kampung Tersan.  Selain itu, keluarga Tok Kembar dari kampung Pagar turut mencari tanah bercucuk tanam ke kawasan sekitar Bukit Setugal.
 
          Oleh Imam Long bin Tok Sabudin, diajaknya anak-anaknya iaitu Hj. Derapor,  Khatib Ipeh, Yat dan Dayang membuka jaluran pematang  dari Bukit Setugal menuju ke air mudik.  Kerja meneroka hutan itu berhenti  di satu tempat disebut ‘ Kubang Sawa’ (simpang tiga kuala atok – dekat masjid baru)

          Ada pun tanah paya di seberang Sungai Atok itu cantik juga untuk bertanam padi  dan diminta oleh adik  beliau  bernama  Tok   Teh   bin Tok Sabudin  untuk diteroka dan dijadikan kampong halaman.  Diteroka oleh Tok Teh  dan anak-beranaknya iaitu Tok Timah, Tok Li dan Mak Tut,   dijadikan kampong halaman lalu dipanggil kawasan itu ‘ Bukit Atok’.

          Setelah Kampung Bukit Atok itu didirikan, maka akan Tok Yat bin Imam Long ingin pula membuka kampong halaman di sebelah  kampong  Bukit Atok itu. Lalu diteroka pula kampong  bersesuaian dengan keperluan anak beranaknya   Setelah sekolah kebangsaan Kuala Atok didirikan pada tahun 1910, dikenali kawasan kampong itu sebagai  KAMPUNG SEKOLAH. Kampung ini merentang hingga ke Sungai Chenoor sampai ke sempadan  Kampung Olok Empang

              Dalam perkembangan  seterusnya Kampung Kuala Atok ini, keluarga Tok Pawang Lingga dan Mat Akhir telah membuka kampung menjalur dari Kuala Alor Pulai hingga ke Ulu Pulai.  Kawasan tanaman padi dan getah diusahakan  serta kawasan kediaman di bina di atas permatang bukit Pualai.  Akan kampung ini dinamakan pulai kerana di sekitar alor Pulai itu dikhabarkan ditumbuhi pokok Pulai yang merimbun banyakknya.

           Tok Sintam (Abdul Karim )  bin   Imam Janai bin WanHusin (Tok Dahalek)    membuka pula  kawasan di hulu sebatang  alor menuju ke kawasan bukit.  Semasa kerja-kerja membuka penempatan itu terlalu banyak binatang ‘ Merang ‘  terdapat di kawasan sungai.  Lalu sepakat mereka menamakan kawasan itu sebagai ‘ Kampong Merang.’  Akan Sintam ini kemudiannya mendapat anak iaitu  Dong, Abdul Rahman, Adam, Imam Hj. Abdullah, Teh, Ahmad dan Hjjh. Saripah.  Mendiamilah mereka kawasan itu ke cucu cicit mereka.

          Apabila berlakunya perang  saudara di Selangor kira-kira pada tahun 1873 ramai  penduduk di mukim Sega  yang dipanggil berkhidmat menjadi panglima perang di bawah ketumbukan Wan Daud.  Antara mereka ialah Tok Juan bin Imam Muhamad Keramat Budu Terap, Abdul Rahman bin Tok Juan bin Imam Muhamad , Tok Keli bin Mohamad bin Tok Aya  bin Tok De .  Tok Juan memimpin  Sayap Kiri, Abdul Rahman memimpin Sayap kanan  menuju ke Kuala Kubu dan Tok Keli bersama-sama Hj. Mohd Nor menuju ke Ulu Kelang.  Selain itu Tok Cha bin Imam Muhamad dan Tok Akal bin Imam Muhamad dari Budu turut menyertai pasukan ini.

          Setelah tamat perang  sekitar 1884 dan kalahlah pihak Raja Mahadi, maka baginda Sultan Ahmad  menangguhkan pengunduran pulang pasukan Pahang di Kuala Kubu.  Ini bertujuan supaya dapat dikutip cukai bagi membayar belanja perang.  Mana-mana penduduk  yang gagal membayar cukai dijadikan hamba kerahan   kepada panglima perang untuk  bekerja di Pahang.

            Dalam hal ini, Tok Juan bin Imam Muhamad  yang menjadi Ketua Sayap Kiri pasukan Pahang dianugerah  40 orang hamba.  Hamba-hamba ini dikerah membuka kampong  yang kemudiannya dikenali sebagai PAYA PERANGGAN.  Paya Peranggan ini di sebelah kanan kampung Kuala Atok dipisahkan oleh Alor  Temalir.
  
          Akan hal Tok Abdul Rahman bin Tok Juan bin Imam Muhamad;  dia juga seperti  bapanya membawa pulang hamba dan membuka pula kampong di kawasan tanah berselut di hulu (Kg. Sekolah) . Dibuatnya empang kecil untuk tujuan mengairi kawasan paya dan di hilir empang itu dibangunkan kampong halamannya.     Dengan kerjasama hamba kerahan dan penduduk kampong Kuala  Atok, dibina saliran parit dari olok empang menuju ke  Bukit Atok.  Satu lagi saliran ialah dari Gambut menuju paya peranggan.  Setelah selesai  kerja-kerja membina kampong itu, Tok Juan dan Tok Abdul Rahman membebaskan hamba kerahan itu.  Pulanglah mereka semula ke Kuala Kubu dan ada juga hamba kerahan perempuan  yang diambil oleh penduduk Kuala  Atok sebagai isteri.

          Sehingga tahun 1888,  sealam-alam Kuala Atok itu menjadi sangat  luas.  Apabila Tok keli memegang jawatan Pembesar Berlapan di Mukim Sega, maka dikeluarkan arahan melantik ketua kampong Kuala Atok bagi memudahkan urusan berkerajaan di Pahang.

          Maka akan penduduk Kuala Atok    memandang hal ini juga penting.   Untuk melantik seorang ketua  perlu banyak perkara yang dipertimbangkan.  Terlebih lagi sang ketua ini perlu sangat-sangat dipercayai oleh Penghulu Mukim Sega yang menjadi  Penghulu  Raja Pahang.

          Maka pada waktu itu tidaklah ada tokoh yang rapat dengan  Tok Keli dari segi kekeluargaan  melainkan  anak sepupu Tok Keli yang bernama  Tok Abdul Rahman bin Tok Juan bin Imam Muhamad (Keramat Budu Terap) .  Dalam jalur keturunan lain dapat dibaca sebagai Abdul Rahman binti   Mastera binti Uji  bin Ngah Janggut bin Tok Aya  bin Tok De binti Itam Mas Pahang bin  Tok Kaya Ibrahim (Budu ).

          Setelah Tok Abdul Rahman ini meninggal dunia sekitar tahun 1920-an, maka sepakat pula penduduk Kuala Atok mengangkat tokoh kedua  menjadi  ketua kampong   iaitu Bilal Ibrahim bin Yat  bin  Imam Long bin Sabudin bin Tok Kaya Busu bin Tok Kaya Chandak binti Itam Mas Pahang bin Tok Kaya Ibrahim (Budu).     Dapat dibaca juga jalur keturunannya seperti berikut. Bilal Ibrahim bin Yat binti   Imam Long binti Embong Saedah bin Tok Mohd Amin (Keramat Bukit Tersan) bin Abdul Malik Tok Malek     bin  Tok Mat Saleh bin  Ngah Endek bin  Mohd Ali Jaafar Sidek. Mohd Ali Jaafar Sidek bin  Raja Muhamad baginda Demu  binti  Seri  .

          Sesudah Bilal Ibrahim meninggal dunia, berlama-lama juga Kampung Kuala Atok tiada berketua.  Sehingga sesudah  merdeka (1964) diangkat Mahmud bin Ubar bin Umar bin Teh  Din bin Tok Mat Amin Bukit Tersan menjadi ketua kampung.  Semasa zaman pentadbirannya, Tanah Pinggir Sejuk dan Tanah Pinggir Ulu Temalir dibuka.  Tanah seluar lima ke enam ekar itu diagih kepada penduduk Kuala Atok  untuk tanaman getah. Pada masa ini juga (1963) jambatan besi dibina merentasi Sungai Lipis dan pada (1967) sebuah masjid  batu dibina di sisi tanah perkuburan Kuala Atok.

          Akan tengka kawasan tanah pinggir Temalir ke Kubang Sawa amat luas tanah belum diteroka.   Maka Hj. Mohd Isa bin Omar bin Juan bin Imam Muhamad telah mengajak kaum keluarganya membuka jaluran bukit Temalir dan bukit Gambut.  Sementara di sebelah jaluran Bukit Gambut, Hj. Mohd Nor bin Lebai Ali serta keluarga Tok Akal bin Imam Muhamad telah membuka kawasan tanah pertanian dan kampung halaman membawa hingga ke Selimang.

          Sesudah Mahmud bin Ubar berhenti menjadi ketua kampung, agak lama juga Kampung Kuala Atok tiada berketua.  Maka kira-kira tahun 1970, diangkat  Abdul Manan bin Umar bin Juan bin Bilal Muhamad  (anak Saudara Hj. Abdul Rahman – ketua kampung pertama) menjadi ketua  kampung Kuala Atok ke-4.   Pada zaktu pentadbirannya, tanah berkelompok kampung Sejuk dibuka dan diagih kepada penduduk Kuala Atok.  Pada waktu ini juga api letrik dan air paip dibawa masuk dan jalan berturap tar dibina.
          Sesudah Abdul Manan bin Umar melepaskan jawatan  ketua kampung, agak lama juga  Kampung Kuala Atok tiada berketua.  Jawatan itu kemudiannya disandang oleh Yusuf bin Mat sebagai ketua kampung Kuala Atok ke-5 pada 1981.

          Sesudah Yusuf bin Mat ,  pada tahun  1993  Ahmad Asnawi   bin Lebai Hasan anak Timah anak Hj. Derapor anak Imam Long diangkat menjadi ketua kampung ke-6.  Akan jalur keturunan Ahmad Asnawi sebelah maknya boleh dibawa seperti berikut. Ahmad Asnawi anak Dayang anak Siti Nah anak Tok Tahir anak Baanum (bernikah dengan Imam Pamat ) .  Abang Iparnya tirinya Mahmud bin Ubar adalah ketua kampung Kuala Atok  sebelum itu  dan Tok Empat keria, abang Ipar tirinya menjadi Tok Empat Kampung Tersan)

          Kamaruzaman bin Abas bin Bilal Ibrahim (Ketua kampung Kuala Atok ke-2) bin Lebai Yat bin Imam Long   diangkat menjadi ketua kampung  pada 1996  dan    meletak jawatan tahun  2010.  Akan selepas itu Kampung Kuala Atok ditadbir oleh Ahli Jawatankuasa Kampung .



Tiada ulasan:

Catat Ulasan