Pembukaan Kampung Tenggelan

Apabila tiba musim durian gugur, serentak pula dengan musim petai mengeras mata.  Akan penduduk kampung di sekitar  Jeram Besu, Kuala Atok dan Sega  berbeka-beka  hendak mengumpulkan tempoyak dan petai jeruk.   Akan dua jenis buah kayu ini memang ada ditanam di dalam kampung tetapi tidaklah terlalu banyak.    Jadinya untuk mengumpulkan mata petai yang banyak dan isi durian untuk tempoyak, kenalah dicari di kawasan tertentu di dalam hutan.

Salah satu lokasi yang didakwa banyaknya pokok petai dan durian ini ialah di Tenggelan.  Kawasan ini terletak di Ulu Kampung Sega , di dalam hutan yang kini sudah berada  di tepi sempadan darah Lipis – Raub.   Untuk pergi ke sana, berpakat-pakat anak-anak muda dan orang tua yang tahu hal ehwal jalan ke Tenggelan itu.  Dibuat persiapan bekalan mancis api , gula, beras dan ikan masin untuk seminggu.  Dibawa garam sebanyaknya untuk digaul dengan isi durian yang hendak dibuat tempoyak.  Perjalanan dari Kuala Atoka tau Ulu Sega melalui denai-denai hutan  itu memakan masa sehari setengah.

Sebenarnya kawasan Tenggelan itu sudah diteroka oleh peneroka awal.. Kampung ini mula dibuka oleh ‘Apit Limpang’ Haji Panglima kiri Mat Daud.  Beliau  berasal dari Minangkabau dan merupakan Panglima Kiri Maharaja Perba Jelai Wan Muhamad bin Wan Deris (1882-1919).  Beliau mempunyai 3 orang anak iaitu Mat Akil, Mat Akhir  dan Hajjah Rahmah. Mat Akil bapa kepada Long merupakan Tok Empat (ketua kampung) Kampung Barus.

‘Apit limpang’ merupakan panglima kiri, orang yang sehidup semati dengan Tok Raja hanya ganti mata dan telingga baginya. Apabila rantau Jelai berlaku petelingkahan atau ingin berperang dengan orang luar, Tok Raja akan menjemput ‘Apit Limpang’ ke Bukit Betong yang jauh dua hari perjalanan dari kampung Tenggelan mengikut Sungai Tenggelan lalu masuk ke Sungai Telang untuk menyediakan angkatan perang. Boleh dikatakan persediaan peralatan perang ini menjurus kepada ilmu kebatinan yang tidak dapat dijangkau dengan akal fikiran yang manusia tetapi itulah ilmu perang yang ada.   Inilah yang dipergunakan orang melayu zaman-berzaman. Jasa ‘Apit Limpang’ yang paling besar kepada Tok Raja apabila beliau berjaya membantu beliau dalam perang Pahang- Selangor 1872 bersama pembesar pahang yang lain.


Dari segi lokasi petempatan penduduk,  Kampung Tenggelan ini sudah tiada lagi pada hari ini kerana penduduk kampung tersebut telah meninggalkan kampung mereka.  Ini disebabkan  gangguan Komunis pada zaman darurat 1948-1960. Sesudah itu, kerja-kerja pembalakan di situ telah memusnahkan pokok petai  dan durian yang menjadi tumpuan selama ini. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan