Orang-orang Rao di Raub

1.     Pendahuluan
            Saya menulis riwayat ini untuk menjadi ingat-ingatan kepada ahli keluarga saya yang bergelar dan tidak bergelar yang menetap di dalam daerah Raub dan juga kepada yang sudah berhijrah keluar dari daerah ini.  Pengkisahan Orang-orang Rao di Raub ini   merupakan riwayat cakap dengar  dan rekod Teromba Salasilah Keluarga  yang saya rekodkan bagi tujuan penyediaan kertas pembentangan ini.  
           
            Dalam menulis Pengkisahan: Orang-orang Rao di Raub
ini,  saya dirujuk sebagai  sebutan:
i. Hasanuddin bin Md Isa  anak Ramlah  anak Zainab  anak  Ubi    anak kepada Hj. Mat Saman (isterinya Tok Bisah binti Tok Til – Sega), anak  Khatib Deraman  (isterinya Halimah binti Lebai Diman) anak      TIDAK DITEMUI NAMA – cucu Tok Perak (suaminya Tok Unus Kg. Macang Gelap, Chenor) anak Fatimah  anak Tok Perak Sengkela.
            Sewaktu menyiapkan kertas pembentangan ini, saya membuat rujukan  pengkisahan  daripada bahan-bahan berikut: 
i.                    Cerita-cerita yang saya  peroleh   dalam hayatnya pertemuan saya dengan  Fatimah Sam @ Wan Bugong anak Bilal Nir anak Hj. Muhamad Saman anak Khatib Deraman  sekitar tahun 1996 di rumah di Kg. Pasir Bayam,  Raub.

ii.                  Teromba  Salasilah Keluarga Baginda Demu, Tok Kaya Ibrahim, Tok Mansor Bugis susunan Penghulu Mat Dahan (edisi jawi). 

iii.                Teromba  Salasilah Keluarga (edisi rumi) susunan Muhamad  bin Imam   Hj. Abdullah bin Sintam  bin Imam Janal bin  Wan Husin (Tok Dahalek)  bin Tun Abdul Latif (Orang Kaya Maharaja Perba Jelai Pertama). Teromba ini dalam simpanan En. Yusof bin Muhamad, guru Tari Silat Pedang Kampung Kuala Atok.

iv.                Teromba Besar Tok Perak (soft copy) susunan Zaffuan Haji Manap
v.                  Pengkisahan dalam karya-karya tempatan

            Setelah dinilai akan setiap teromba salasilah keluarga  dan riwayat lisan dan tulisan yang dijadikan rujukan,  saya menyusun  Pengkisahan Orang Rao di Raub ini seadanya.

Wilayah Hulu Pahang

            Wilayah Hulu Pahang merangkumi Lembahan Lipis dan Lembahan Jelai adalah kawasan yang sangat selamat didiami.  Lembahan Jelai ditadbir oleh Maharaja Perba Jelai  dan di Lembahan Lipis pula ditadbir oleh Orang Kaya Lipis.  Kedudukan kedua-dua pembesar ini wujud selepas runtuhnya empayar Melayu Melaka. Di Lembahan Lipis, Sungai Lipis mengalir dari sempadan Perak sampai bertemu Sungai Jelai membentuk muara Sg. Lipis.  Di muara Sungai Lipis ini, tertubuhnya petempatan awal oleh Tun Ibrahim dari Melaka dan Baginda Demu dari Perak.  Ini berlaku sekitar 1530 Masihi. 

Dari kawasan muara Sungai Lipis ini, melalui perkahwinan antara anak cucu kedua tokoh ini,  mereka    membuka kampung halaman sepanjang Sungai Lipis sehingga terbangunnya Budu sebagai pusat pentadbiran Orang Kaya Lipis.  Dari Budu ini, dibuka pula kampung Tersan,  Kuala Atok, Sega Lama, Sengkela  dan sehingga tahun 1670, kampung Batu Talam di hulu Sungai Lipis telah dibuka oleh Tok De Abdul Rahman.

Demikian juga kepada anak cucu Tun Ibrahim , mereka turut giat membuka kampung halaman untuk kesenangan anak cucu mereka.  Antaranya Tun Bandu Sulaiman bin Tun Ibrahim membuka kampung Salang. Tun Sulung bin Tun Pandak Sapa bin Tun Osman bin Tun Isap bin Tun Enda bin Tun Bandu Sulaiman membuka kampung Lalang,  Tun Safar bin Tun Pandak Sapa membuka Kampung Tanjung Besar Hilir, Tun Ahmad bin Tun Pandak Sapa membuka kampung Tanjung Besar Hulu, Tun Pandak Sapa sendiri membuka kampung Perlum.  Kebanyakan kampung yang dibuka itu dalam daerah Kuala Lipis.

Kedatangan Orang Rao Ke Raub  

Sehingga tahun 1750M,  keluarga Tun Ibrahim dan Baginda Demu mencorakkan petempatan di tebing Sungai Lipis.  Sekitar tahun 1755 Masehi seorang bangsawan Rao  iaitu   Raja Ahmad @ Panglima Tok Perak   dari Luhak Tanah Datar, Minangkabau, tepatnya dari Sungai Tarab, Pagaruyung berpindah  ke Hulu Pahang  membawa isterinya, Tok Nuriah  serta   anaknya iaitu   iaitu Imam Abdullah Hasyim @ Tok Duhas, Tok Akil, Tok Barir, Halipah, Anjang Mas Suka dan Tok Pudi   dengan diikuti juga oleh anak saudaranya, Raja Hitam menuju ke Hulu Pahang.[1] Mereka ke Hulu Pahang melalui banjaran Titiwangsa melalui  Tapah ke Hulu Slim sehingga tembus ke Hulu Sungai, Batu Talam (di buka oleh Tok De Abdul Rahman bin Tok Aya).

            Dari Batu Talam, beliau diberi maklum ada tanah antara Pasir Purun dengan Batu Talam yang belum diteroka.  Untuk  mendiami tanah itu mestilah   mendapat  Orang Kaya Lipis iaitu  Tok Kaya Chandak di Kampung Terap, Budu .  Tok Panglima Perak diberi izinkan membuka kampung di tebing Sungai Lipis.

            Di Semantan Hulu itulah Panglima Tok Perak, Raja Hitam dan pengikutnya membuka kampung yang kini dikenali sebagai  Kampung Sengkela (sekarang dalam Mukim Sega) dan Kampung Gesing (sekarang dalam Mukim Semantan Hulu). Kampung Sengkela itu diperoleh nama daripada rotan Sengkela yang tumbuh dengan banyak di situ.  Di sini jugalah Panglima Tok Perak beroleh isterinya yang kedua bernama Tok Mikrah iaitu anak jati Kampung Terap  Budu yang juga masih keturunan Datuk Baginda Demu dan Tok Kaya Busu.   Dari perkahwinan ini Panglima Tok Perak  dengan Tok Mikrah ini beroleh tiga orang anak iaitu Tok Pandak Lena, Tok Fatimah dan Kulop Mat Daham . 
           
            Kulop Mat Daham itu menetap di Durian Sebatang, Perak.   Anak kepada Kulop Mat Daham bernama Sadik menetap di Lambor Kanan, Perak.  Tok Pandak Lena itu menetap di Semantan (Ulu)  Akan keturunan mereka ini mendiam kampung Sengkela, Ajai, Pasir Bayam, Dong, Durian Sebatang dan  Sungai Pasu Luar.

            Dari keluarga Raja Ahmad @ Tok Perak ini, menjadi tempat berpaut sekelian ramai panglima Rao dari rantau Sumatera yang berhijrah ke Raub.  Sekadar menyebut antaranya  Panglima Jabaringin  berasal   dari Rao Koto Rajo atau Rao Tanjung Beringin bernikah dengan Anjang Mas Suka anak Raja Ahmad @ Tok Perak.  Berdiam mereka di Gesing.  Hasil perkahwinan itu, salah seorang anaknya bernama Intan Zubaidah dinikahkan dengan  Haji Abdullah Malim Pendita    dari Koto Rajo, Rao Mapattunggul, Pasaman, Sumatera Barat. Beliau orang ke-5 datang meneroka Kampung Temau selepas tokoh berempat dari Kampar. Ada seorang adik-beradiknya di Kalumpang bernama Haji Siun.  Berdiamlah mereka di kampung Temau dan keturunan mereka berkembang ke Dong dan Lechar.

            Selain itu, anak Panglima Tok Perak ini turut bernikah dengan keluarga Tok Kaya Ibrahim di Budu.  Antaranya ialah  Imam Abdullah Hasyim @ Tok Duhas bernikah dengan wanita Budu (tiada catatan nama) . Akan keturunan mereka kemudiannya ramai mendiami kawasan Ajai, Dong dan Durian Sebatang. 

            Tok Barir bin Panglima Tok Perak bernikah dengan Tok Sirah binti Tok Aya  bin Tok De Abdul Rahman (pembuka Batu Talam) anak Itam Mas Pahang binti Tok Kaya Ibrahim (Budu). Akan keturunan mereka dikemudian harinya ramai mendiami kawasan Sega, Temau, Kuala Gali dan Durian Sebatang.

            Halifah anak Tok Perak bernikah dengan Daeng Bugis. Anaknya bernama Banun bernikah dengan Tan Ibrahim lalu membuka Temau. Akan keturunan mereka kemudiannya ramai mendiami kawasan Temau, Dong dan Pintu Padang. 

            Tok Akil anak Tok Perak. Anak cucunya mendiami kampung Ajai.

            Tok Pudi anak Tok Perak. Anak cucunya mendiami kampung Gesing, Ajai, Benta, Dong, Durian Sebatang, Gali Hilir dan Pintu Padang.

            Selain itu, Panglima Tok Perak ini bernikah dengan Tok Safiah di Pekan.  Hasil pernikahan itu mendapat anak bernama Halimah lalu dijodohkan dengan Datuk Paduka (Kampar Lima Kota, Bangkinang, Sumatera) lalu membuka kampung di Temau.  Pernikahan itu melahirkan Siti Omai.  Akan Siti Omai ini dinikahkan dengan Tengku Tan Joleng Tujuan Saka Mas bin Tengku Limbang Laut – Tanjung Alai, Rao Mapattunggul, Sumatera Barat.  Berdiam anak cucu mereka    di  kampong Temau juga sampai ke Dong 

            Raja Ahmad @ Tok Perak juga bernikah dengan Ibu Kuntum di Bukit setugal berzuriat Mas Kuntum.  Beliau juga bernikah dengan seorang perempuan di Kerambit berzuriat anak bernama Tok Uban.


RAJA AHMAD
@PANGLIMA PERAK
 Berkahwin
TOK NURIAH
(Sungkai – Perak, 1728M)
Imam Abdullah Hashim@Tok Duhas, Tok Akil ,Anjang Mas Suka, Halifah, Tok Barir, dan Tok Pudi@Tok Chu
RAJA AHMAD
@PANGLIMA PERAK
Berkahwin
TOK MIKRAH BT TOK KAYA BUSU
(Semantan Ulu, Pahang, 1756)
Pandak Lena, Fatimah Kulup Mat Daham
RAJA AHMAD
@PANGLIMA PERAK
Berkahwin
IBU KUNTUM
(Bukit Segumpal – Chenor, 1760
Mas Kuntum
RAJA AHMAD
@PANGLIMA PERAK
Berkahwin
PEREMPUAN
(Kerambit, Lipis, 1762M)
Tok Uban
RAJA AHMAD
@PANGLIMA PERAK   
Berkahwin
TOK SAPIAH
(Pulau Manis, Pekan – 1774M)
Halimah

Gelombang Kedatangan Kedua Orang Rao ke Raub
           
            Apabila Kompeni Belanda masuk ke Indonesia, Belanda menjajah negeri-negeri beraja.  Lalu  daulat Sultan Tunggal Alam Bagagar Shah Johan dijatuhkan oleh Belanda pada tahun 1833M .  Tekanan cukai yang tinggi ke atas rakyat dan pemburuan keluarga diraja dan panglima raja memaksa ramai orang Rao meninggalkan Pagaruyung.

            Akan  kesampaian   Tengku Muda Khairul Alam bin Tengku Badrul Alam  (Raja Muda  Padang Nunang)  dan  sepupu  Baginda Tengku Umbak binTengku Tialam dari  Padang  Nunang   dan pengikutnya  ke mukim  Sega      disambut dengan  gumbira oleh Tok Muhamad bin Tok Aya binTok De Abdul Rahman anak Itam Mas Pahang binti  bin  Orang Kaya Ibrahim  yang menjadi Penghulu  Sega  pada waktu  itu.  Untuk  mengikat kasih penduduk  mukim Sega dengan keluarga diraja ini, dinikahkan  oleh Tok Muhamad  akan Tengku Muda Khairul Alam yang sudah berusia itu dengan     Jeleha,   anak Aminah    iaitu jugalah anak sepupu Tok Muhamad .  Akan Jeleha  itu telah pun mempunyai anak bernama Mohd Salim  dan Fatimah  dengan  suami pertamanya  dahulu (Hj. Abd. Manan Ar Rao) .   Pernikahan itu berlaku sekitar 1839 di Gesing . Hasil perkahwinan ini , Baginda  memperoleh seorang anak dinamakan  Tengku Abdul  Samad.  Maka diamlah Baginda di Gesing  (sekarang ini dalam Mukim Semantan Ulu).
                                                                                                                                                                                                 Kehadiran  Baginda dan Pengikut Baginda ke Gesing telah meramaikan penduduk  di situ dan terbukalah pula Kampung  Pulau Rumbiah.   Secara beransur-ansur, pengikut Tengku Muda Khairul Alam membuka kampung kecil lain seperti Kampung Kundang Patah dan  Kampung Ria Semantan.

            Tengku Muda  Khairul Alam meninggal dunia setelah beberapa  tahun  menetap di Gesing  .  Baginda  dikebumikan  di Tanah Perkuburan Tanjung Raja. (kubur  baginda tidak wujud  lagi kerana  hakisan tebing  sungai  menghanyutkan kawasan  kuburan baginda itu.)   Akan Tengku  Abdul Samad itu kemudiannya tinggal bersama kakak tirinya bernama Fatimah di kampung Ajai. 

            Akan sepupu  Tengku Khairul  Alam,  Baginda Tengku Umbak binTengku Tialam dari  padang  Nunang   ini dijodohkan oleh Tok Muhammad dengan  Siti Ajar  anak Aminah,berzuriat dia anak bernama Tengku Rashiah, Raja Fatimah dan Raja Puteri.
                                           
            Akan kemudian harinya, anak cucu Tengku Muda Khairul Alam bertebaran mendiami kampung Batu Malim, Kampung Batu Talam, Kampung Ria Semantan, Kg. Semantan Ulu, Kampung Kundang Patah, Kampung Pancur, Kampung Kuala Dong, Kampung Ajai, Kampung Dong, kampung Durian Sebatang, Kampung Gali Tengah dan Ulu Gali.

            Ketokohan Tengku Ali atau Tok Shaharom penting disebut dalam persejarah orang Roa di Raub.  Dari keluarga inilah lahirnya Tok Gajah, Panglima Perang yang menjadi sebutan di negeri Pahang.  Demikian besar namanya pahlawan ini.  Ramai yang mencari-cari usul keturunannya dan ramai ingin mengetahui di mana tinggal kaum kerabatnya.  Ayahanda Rasu Abdul Salam iaitu , Teuku Ali@Tengku Ali dicatat berasal dari Bilah Paning, Pagarruyung, merantau ke Bidor lalu bergerak melintasi banjaran Titiwangsa lalu singgah di Temau.  Adat orang mendatang dinikahkan oleh pembesar tempatan dengan anak gadis mereka. Lalu Teuki Ali dinikahkan dengan seorang gadis bernama Wan Siti Hajar@Tok Dina binti Sheikh Ali .  Perekod sejarah meriwayatkan Siti Hajar @ Tok Dinar  dikaitkan  dengan susur galur daripada keluarga Tok Baginda Demu  yang tinggal di Budu.   Ini bermaksud Tok Gajah adalah pahlawan dua mukin iaitu mukim Budu dan Mukin Sega.  Bapanya bermastautin  di mukim Sega  dan ibunya berasal dari Mukim Budu.  Akan pemerintah kedua mukim ini  saling rapat kekerabatannya daripada keluarga Baginda Demu , keluarga yang memerintah Jelai dan keluarga kerabat Tun Ismaun,  Orang Kaya Lipis.

            Perkahwinan Teuku Ali@Tengku Ali dengan Wan Siti Hajar@Tok Dina   telah melahirkan lima orang cahaya mata : Ranting Mas,  Hajjah Maimunah, Rasu Abdul Salam (Tok Gajah), Khatib Mohd Amin dan Khatib Mohd Arif.  Dengan mengusakan tanah pertanian dan mencari emas di Ulu Temau sampai ke Peruang, Teuku Ali membawa anak-anak lelakinya berniaga emas dan hasil hutan di pasar penjom.  Di sinilah  Rasul Abdul Salam berkenalan dengan pembesar Pahang seperti Tok Raja serta anak-anaknya Wan Embong, Wan Muhamad dan Tok Kaya Wan Daud, Tok Kaya Teh  bin Tok Kaya Busu Bin Tok Kaya Chandak (orang kaya lipis)  yang juga mempunyai tanah lombong emas di Penjom.   Selain urusan membayar cukai emas kepada Orang Kaya Lipis itu, mereka turut mengambil pandangan tentang pengaruh bangsa Asing yang menjajah  di tanah seberang dan bangsa Inggeris telah mula masuk ke Tanah Melayu.

            Namun begitu dalam peristiwa  perebutan emas di Ulu Temau;  dalam satu perbalahan merebut emas mentah, Ratin Mas  anak Teuku Ali yang sarat mengandung anak yang pertama telah dibunuh. Suaminya, Haji Hassan Keramat, turut dibunuh dalam perebutan itu. Bagi menenangkan keadaan, Teuku Ali membawa keluarganya berdiam di Kampung Permatang di Budu.  Di sinilah Rasu Abdul Salam menyempurnakan pembelajarannya dalam ilmu kepahlawanan dan ilmu agama.  Ini disebabkan di Budu itu telah tumbuh pusat-pusat pengajian agama dan gelanggang kependekaran.  Namun begitu, tidak lama kemudian, Teuku Ali  dan keluarganya kembali semula ke Temau.  Di sinilah Rasu Abdul Salam mendalami ilmu tareqat  dan menyampaikan pengajaran agama kepada penduduk setempat.

            Sewaktu   bermastautin di Pulau Tawar,   Rasu Abdul Salam  yang dikenali sebagai Imam Perang Rasu oleh Bendahara Wan Ahmad, ada mengundang Pendekar Mat Aris dan Pendekar Sutan Juan dari tanah Minangkabau, Sumatera untuk melatih anak-anak dan keluarganya ilmu pencak silat secara tertutup. Pendekar Sutan Kari dan Bintang Terus adalah antara pendekar–pendekar yang melatih Pendekar Endol bin Imam Nong, Pendekar Ahmad bin Tok Muda Abdullah di Pulau Tawar, sebelum kemasukan British.

            Perkahwinan Rasu Abdul Salam dengan Teh Mahda  mengeratkan hubungan  Rasu Abdul Salam dengan Wan Ahmad di Pekan.  Teh Mahda - anak Tok Kaut Burau  ; susurnya adalah campuran darah Kesultanan Melaka, Seri Menanti dan Kelantan, sama dengan Tok Dinar juga,  mereka berdua  berwaris anak beranak, pangkat lain-lain. seorang pangkat nenek sedara, seorang pangkat cucu sedara..   ,Teh Mahada adalah adik kepada Panglima Perang Pahang Khatib Baharain orang Tembeling.  Mereka adalah anak Tok Kaut Burau yang berkahwin dengan anak perempuan Tok Muda Bujal. Tok Muda Bujal berkahwin dengan Tun Noriah anak kepada Tun Pedah Yusuf @ Tun Da adik kepada Tun Koris datuk kepada Sultan Ahmad Pahang Yang Pertama. 
           
            Dalam Perang Saudara (1857-1863M) di Pahang, Imam Perang Rasu Abdul Salam menjadi terkenal kerana khidmat bakti dan taat setia beliau kepada Wan Ahmad, putera al-Marhum Bendahara Tun Ali yang berperang menentang kekandanya Bendahara Tun@Wan Mutahir.  Sebaik sahaja Perang Saudara tamat (1863M), Wan Ahmad ibni al-Marhum Bendahara Tun Ali telah dilantik menjadi Bendahara Pahang (1863M), manakala Imam Perang Rasu pula dilantik kemudiannya oleh Bendahara sebagai Orang Besar Raja, menjaga kawasan Pulau Tawar (dahulunya dalam Ulu Pahang, tetapi kini dalam Daerah Jerantut).  Kawasan ini dibuka oleh pengikut bapanya bernama Malim Yunus (seorang ulamak Mendailing) . 

            Walau bagaimanapun, gelaran “Imam Perang Indera Gajah Pahang” telah dikurniakan oleh Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah (Pengasas Kesultanan Melayu Pahang Moden, 1882-1914M) kepada Imam Perang Rasu sesudah beliau menunjukkan kepahlawannya dalam Perang Selangor (November, 1873M).  Setelah itu, hubungan Tok Gajah-Sultan Ahmad bertambah intim, dan akhirnya Pahlawan Pahang ini menjadi “orang kesayangan istana”, serta penasihat tidak rasmi kepada baginda sultan, terutama mengenai hal-ehwal Ulu Pahang  Beliau kemudiannya diberi amanah  menjaga kawasan – kawasan lain. Kawasan Hulu Pahang Di Bawah Imam Perang Rasu ini  bermula dari Pulau Tawar menghala ke Batu Redap hingga ke Kuala Piul; kawasan dariTanjung Sakti hingga ke Kangsa ; kawasan dari Pedah hingga ke Tanjung Lindung, dan akhirnya, Lembah Sungai Budu (Lipis).Pada tahun 1883M, Imam Perang Indera Gajah telah diamanahkan memerintah “Kg. Budu” oleh Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah (Sultan Pahang 1, 1882-1914M), mengambil alih autoriti pemerintah asalnya, Tok Kaya Teh@Wan Teh bin Tok Deris@Wan Deris (Orang Kaya Lipis Ke-12).      Namun wilayah Budu itu dikembalikan semula kepada Tok Kaya Sentol pada 1878. Hal itu lanjutan bantahan Maharaja Perba Jelai, Wan Idris bin Wan Muhammad  dan juga jasa Tok Muda Sentol bin Tok Kaya Teh yang membasuh malu pada muka Sultan dengan menewaskan  seorang pahlawan  Bugis bernama Daeng Muhamad di Pekan yang angkuh dan mencabar kejantanan orang Pahang.
                       
            Namun kecemerlangan Tok Gajah sebagai  Pahlawan Ulu itu mulai malap apabila Inggeris mula mengembangkan pengaruhnya di Pahang pada 1893 - 1895.  Dengan membuat perjanjian sulit dengan Sultan Pahang dan pembesar Pahang di Kuala Sungai Salan, Pulau Tawar untuk mengukuhkan tekad menentang Inggeris;  pemberontakan Pahang dimulakan.  Namun oleh kelicikan Inggeris menggunakan orang Melayu Pahang sebagai kuda tungangannya; pasukan Tok Gajah Jeram Ampai dikalahkan.  Sesudah berlakunya perang di Jeram Ampai, Jerantut.  Tok Gajah dan pengikutnya beredar ke hulu Sungai Lebir  dan  kemudian berundur ke Pasir Nering, Hulu Terengganu.  Pada tahun 1901. Tok Gajah meninggal dunia di  di Kampung Pasir Nering, Kuala Berang, Hulu Terengganu.  

            Tok Gajah   telah berkahwin beberapa kali. Isteri-isteri beliau antaranya yang dapat disebut : Iti, Cik Jebah (Kg Batu Naga, Budu), Teh Mahade binti Tok Kaut (Burau), Bedah, Mah, Cik Siti (Kuala Kenong) dan Tijah.  Anak-anak Tok Gajah, antara yang dapat dicatatkan ialah Awang Baiduri (Ulu Jelai) hasil perkahwinannya dengan Cik Siti (Kuala Kenong), Mat Kilau, Teh De, Awang Nong, Teh Ibrahim, dan Yang Chik (hasil perkahwinannya dengan Teh Mahade). Perkahwinannya dengan Cik Jebah (Budu), Tok Gajah memperolehi 8 orang anak. Antara yang diketahui namanya ialah Abdul Rahman dan Mat Kahar.  Anak-anak yang lain tidak diketahui namanya.
                       

Orang Rao di Budu

            Selain orang-orang Rao mendiami lembahan Lipis di sebelah Raub, sebahagian mereka berhijrah terus di Pusat Pemerintahan Orang Kaya Lipis di Budu.  Antaranya ialah   Fakeh Garang bin Sutan Muhamad bin Merah Mas.  Akan Merah Mas itu bergelar Tengku Muda Tanjung Alai, Ketuanan Padang Unang, Rao Mapattunggul.  Dan kedudukan itu sangat disegani oleh sekelian orang – orang Rao yang ada di Budu.   Di Budu itu, beliau dijodohkan dengan Endul binti Mat Saman bin Tok Baki bin Tok Mat Saleh bin Ngah Endik bin Mohamad Ali Jaafar Sidiq bin Baginda Demu menghasilkan 4 orang zuriat  iaitu Abdul Samad, Mukim Ahmad, Hj. Abdul Rauf dan Tekah.

            Di kalangan anak-anak Fakeh Garang ini, Abdul Samad lebih cemerlang dalam ilmu kepahlawanan dan daya kepimpinannya.    Beliau dibesarkan dalam masyarakat Budu yang mementingkan ikatan persaudaraan, kepahlawanan dan hidup beragama. Dalam zaman remajanya, beliau mempelajari ilmu kepahlawanan daripada Pendekar Arif, Pendekar Antah dan Mat Kilau.    Beliau terlibat dalam perang Sega, perang Gali,  perang Selangor dan menunjukkan daya kepimpinan yang baik dalam masyarakat.  

Dengan kalayakan-kelayakan yang ada pada Panglima Garang Abdul Samad itu, Sultan Ahmad al-Muadzam Shah ibni Bendahara Seri Maharaja Tun Ali mengeluarkan titah melantik Panglima Garang Abdul Samat ke jawatan Penghulu Mukim Budu bermula dari tahun 1891.
Selain tokoh-tokoh Rao yang sudah disebut, seorang lagi tokoh Rao yang turut berhijrah ke Budu ialah Fakeh Khalifah Saka.    Tengku Kitam Fakeh Khalifah Saka Mas ialah orang yang telah dipatutkan menerima pusaka daripada Merah Mas iaitu Tuanku Yang DiPertuan Tanjung Alai, Rao. Maka sebab digelar akan dia Fakeh Khalifah itu ialah kerana ia telah menggantikan raja pada tatkala suatu masa berkenaan dengan menghadapi peperangan tatkala Rao memerangi Mandailing. 

Adapun Fakeh Khalifah merantau dia dari Rao ke Tanah Semenanjung ialah pada masa sudah berhenti orang Rao berperang ke Mandailing. Dan Fakeh Khalifah ini serta bersama-sama pergi berperang ke Mandailing itu kemudian barulah pergi merantau ke Tanah Semenanjung. Maka berhanyut-hanyutlah perantauannya itu dan lalulah dia ke Rembau, Negeri Sembilan. Dan sepuluh tahun lamanya lebih kurang dia tinggal di Rembau dan dari Rembau berhanyut-hanyut pula lalu dia ke Pahang. Dan tinggal dia di daerah Mukim Budu, Lipis, Pahang dan lalulah dia berkahwin di Budu dengan seorang namanya disebut orang Tok Ba namanya perempuan itu. Barangkali Tok Ba itu namanya yang sebenar "Bahimah"kah atau pun "Bariah"kah maka di panggil Ba, Ba sahaja oleh orang. Tok Ba ini ada tiga beradik. Pertama Mas Sara, kedua Da Mahida dan ketiga Tok Ba. Maka semuanya itu anak kepada Teh Fakir. Teh Fakir anak kepada Abu Samah. Abu Samah anak Imam Malik. Imam Malik anak Mat Salleh. Mat Salleh anak Ngah Endik. Ngah Endik cucu Datuk Baginda Demu. Asalnya dari Perak. Maka Tok Ba itulah perempuan kepada Fakeh Khalifah. Kemudian maka berpindah pula Fakeh Khalifah itu bersama-sama Tok Ba itu dari Budu ke Kampung Temau, Dong. Kemudian lagi Fakeh Khalifah pun pergi ke Mekah menunaikan fardhu haji maka teruslah Fakeh Khalifah meninggal dunia di Mekah al-Musyarrifah.

            Adapun Haji Daud anak kepada Fakeh Khalifah ini dijadikan orang akan dia Qadhi daerah Selama, Perak pada zaman Sultan Abdul Jalil Kerajaan Perak. Dan Haji Daud ini anak-anaknya di daerah Selama, pertama Long dan kedua Ngah Ibrahim. Dan anak kepada Haji Daud ini yang di Kampung Gesing namanya Khadijah.

Penutup

Mudah-mudahan pertemuan keluarga Rao pada hari ini dapat merapatkan silaturahim  sesame keluarga besar Rao di Tanah Malaysia dan Indonesia.




[1]  Sultan Ahmad ialah  putera kepada Yamtuan Raja Pangkat 1@Datuk Bendahara Putih Tuan Titah Ke-10 merangkap Orang Besar Anggota Dewan Besar Empat Balai Kerajaan Pagarruyung yang juga bergelar Tuan Titah Sungai Tarab (merangkumi Gunung Merapi dan Gunung Singgalang), Tanah Minangkabau (Sumatera Barat – Indonesia) yang lahir sekitar tahun 1683M.       Raja Ahmad dihantar pula oleh ayahandanya ke sekitar Tanah Datar dan Tanah Agam untuk belajar  persilatan dan Agama Islam sehingga usianya 20 tahun, dan berjaya menjadi Al-Hafiz, serta mahir  dalam pelbagai bidang ilmu : Saraf, Nahu, Fekah, Usuluddin, Syariah, Tafsir serta fasih berbahasa Arab. Ketika berusia 24 tahun (1707M), Raja Ahmad kembali ke Sg. Tarab, dan berkahwin dengan anak seorang Pembesar Kerajaan Pagarruyung.   Sekitar tahun 1725M, Raja Ahmad telah meninggalkan kampung halamannya Sungai Tarab pada suatu tengah malam tanpa diketahui oleh sesiapa pun. Beliau  keluar dari Tanah Datar (Alam Minangkabau)   meninggalkan isteri dan putera-puteri serta kaum kerabatnya yang lain menuju Semenanjung Tanah Melayu ditemani anak saudaranya  yang berusia 20-an bernama Raja Hitam,   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan