MESEJ DAKWAH DALAM NOVEL MEREKA YANG TERTEWAS

 
MENGENAI diri orang-orang yang beriman, Allah memberi penegasan di dalam al-Quran. Maksudnya: Orang-orang yang beriman laki-laki dan orang-orang yang beriman perempuan, setengahnya menjadi pembantu yang setengahnya. Mereka menyuruh denan kebaikan dan melarang daripada kemungkaran (At-Taubah: 71)

Al-Qurthubi berkata tentang ayat di atas, bahawa Allah swt telah menjadikan amar-makruf, nahi munkar adalah sebagai pembeda di antara golongan orang-orang yang beriman dengan golongan orang-orang munafik. Tugas menyuruh mengerjakan kebaikan dan melarang daripada melakukan kemungkaran merupakan satu kewajipan bagi setiap orang Islam (Ali Imran: 110/ Al- 'Araf: 157/ Yusof: 108). Tugas ini perlu dijalankan setelah mengetahui bahawa sesuatu yang mungkar itu mungkar dan sesuatu yang makruf itu adalah makruf. Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya: " Maka hendaklah yang telah menyaksikan di antara kamu menyampaikan ilmu kepada yang tidak hadir: (HR Bukhari dari Ibnu Abbas) Penyebaran dakwah Islam kepada semua manusia dilakukan lantaran sifat manusia yang alpa dan pelupa. Sifat asasi yang ada dalam diri manusia inilah yang memerlukan manusia dingati berulang-ulangkali. Dalam hal ini juga, Dr. Abdul Karim Zaidan merumus bahawa sumber penyakit jiwa umat manusia dahulu dan sekarang ialah jahilnya manusia kepada Tuhan, engkar adanya Tuhan, tidak mahu mengakui dirinya sebagai hamba Tuhan yang mempunyai sifat maha kekurangan dan tidak mahu mengikuti ajaran agama yang dibawa oleh Nabi yang terakhir, Muhammad s.a.w. Semua ini disebabkan kerana hati manusia sangat terpaut pada kehidupan duniawi, lupa bahkan ada yang menginkari adanya hari akhirat.

Novel Mereka Yang Tertewas memaparkan mesej dakwah yang menekankan pengabdian diri kepada Allah dan pembinaan jamaah Islamiah. Penekanan kepada aspek ini kerana Lebai Pa sebagai watak utama amat menyedari bahawa amal kehidupan masyarakat Bukit Setugal sudah menyimpang daripada syariat Islam. Hal ini dapat dikesan daripada pelakuan masyarakat Bukit Setugal. " Penghuni Bukit Setugal yang datang bersembahyang berjemaah boleh dibilang dengan jari kedatangannya. Anak-anak muda langsung tidak nampak batang hidungnya. Yang jantan berkibas, melompat,meniarap di gelanggang silat Pendekar Atan, sementara yang betina menghias badan di rumah Mak Andam Tijah..." Kebobrokan masyarkat Bukit Setugal itu dipaparkan dalam dialog berikut ini. " Saya sedar Lebai... saya sedar tentang keadaan penduduk Bukit Setugal yang amat tenat sejak akhir-akhir ini. Dua minggu lepas sahaja, anak jantan Mamat ditangkap basah dengan anak betina Keria. Khabarnya anak betina Keria itu sudah bunting tiga bulan. Masya-Allah budak-budak sekarang." Walaupun begitu, kesedaran sahaja tidak mencukupi untuk membentuk diri pendakwah. Pertama yang dilihat ialah kualiti diri peribadi pendakwah itu sendiri. Dalam hal ini, Lebai Pa menggariskan syarat kualiti diri peribadi yang mampu menanggani segala persoalan dakwah Islamiah. " ... Lebai Pa sedar. Selain daripada kemahuan diri untuk menggabungkan diri dalam barisan penentang kemungkaran, masih terlalu banyak prasyarat untuk melayakkan diri menjadi pendukung risalah Islam yang benar-benar beristiqamah. Soal kefahaman kepada ajaran Islam dengan kefahaman sesempurnanya, keikhlasan hati yang tidak meminta balasan, sanggup beramal dengan ajaran Islam tanpa ragu dan takut, berjihad tanpa bertangguh-tangguh, sanggup berkorban harta dan jiwa, taat setia kepada Islam tanpa dicurigai, sentiasa berusaha membangunkan diri tanpa jemu, tegas dalam pendirian, merasai persaudaraan Islam sejagat dalam pergaulan dan mentaati kepimpinan tanpa berhajat untuk menyanggahnya. Itulah kunci-kunci kepada kejayaan dakwah yang sudah sekian lama difahami oleh Lebai Pa.“) Dapat dihurai dengan lebih lanjut bahawa seorang pendakwah perlu memenuhi syarat-syarat sebagai pendakwah Islam.

Dalam sejaah pengembangan Islam dari awal hingga ke hari ini, dakwah Islamiah dapat diterima dengan berkesan setelah pendakwah memenuhi ciri-ciri dan syarat-syarat seorang pendakwah.
 1.Kefahaman Dalam hal ini, Imam As-Syahid Hasan Al-Banna, pemimpin gerakan Ikhwan Muslimin, Mesir menghuraikan ciri-ciri pendakwah Islam itu seperti berikut: " Saudara yang jujur. Hendaklah saudaa yakin bahawa fikrah kita ini ialah Islam tulen. Hendaklah saudara memahami Islam sebagaimana kami fahami dalam lingkungan dua puluh pokok-pokok ringkas di bawah ini.

1. Islam adalah agama yang menyeluruh, mencakup seluruh bidang hidup. Islam adalah negara dan tanahair, atau pemerintah dan umat. Akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan. Pengetahuan dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman. Kebendaan dan harta kekayaan atau usaha dan kejayaan. Jihad dan dakwah atau tentera dan pemikiran. Aqidah yang benar dan ibadat yang sah.

2. Al-Quran dan hadis adalah sumber untuk mengetahui hukum-hukum Islam bagi setiap muslim. Al-Quran difahami menurut kaedah-kaedah bahasa Arab dengan tida memberatkan dan meringan-ringakan. Hadis difahami melalui periwayat-periwayat hadis yang dipercayai.

3.Iman yang benar, ibadat yang sah dan mujahadah adalah cahaya dan kemanisan yang dicurahkan Allah ke dalam hati sesiapa yang dikehendaki-Nya. Manakala ilham, lintasan-lintasan hati, kasyaf dan mimpi bukanlah menjadi dalil kepada hukum-hukum syariat. Ianya hanya dapat diterima dengan syarat tidak bertentangan dengan hukum-hukum syariat dan nas-nas syariat.

4. Jampi, mentera, mengaku mengetahui perkara ghaib dan seumpamanya adalah kemungkaran yang wajib diperangi, kecuali jampi-jampi dari ayat-ayat al-Quran atau jampi-jampi yang diterima daripada Nabi Muhammad s.a.w.

5. Pendapat imam (ketua) atau penolongnya masih boleh diandaikan dan untuk muslihat boleh diterima sekiranya ia tidak bercanggah dengan kaedah-kaedah syariat. Ianya boleh diterima mengikut keadaan, situasi sekeliling dan adat.

 6. Perkataan seseorang boleh diterima dan ditolak kecuali perkataan Rasulullah yang maksum. Perkataan orang-orang yang terdahulu (salaf) kita terima jika bersesuaian dengan al-Quran dan hadis. Jika tidak, maka al-Quran dan hadis adalah ikutan kita yang utama. Tetapi kita tidak melemparkan kecaman dan mencacatkan seseorang dalam masalah Khilafiah sebab mereka telah sampai kepada apa yang mereka sampai (dalam mencari hukum melalui dalil yang mereka pegang).

7. Seorang muslim yang peringkat ilmunya belum sampai kepada darjat nazar (boleh mengeluarkan hukum dari dalil) dalam hukum-hukum furu' (cabang), sayugia beliau mengikut mana-mana imam. Di samping ikutannya itu, adalah baik jika beliau berusaha mencari dan mengetahui dalil-dalil dan menerima petunjuk yang disertakan dengan dalil sekiranya beliau yakin bahawa orang yang memberi petunjuk itu mempunyai keahlian. Sekiranya seorang muslim itu tergolong dalam orang yang berilmu, sayugia beliau menyempurnakan ilmunya hingga ke peringkat nazar.

8. Perselisihan pendapat dalam cabang-cabang hukum fekah tidaklah menjadi sebab pepecahan dalam agama dan tidak menjadi sebab perbalahan dan permusuhan, kerana setiap orang yang berijtihad diganjari pahala. Tidak ditegah jika dilakukan penyelidikan (melalui perbincangan) dalam masalah-masalah khilafiyah untuk mencari hakikat dengan syarat perbincangan hendaklah berdasarkan: Kasih kepada Allah dan bekerjasama untuk mencari kebenaran dan hakikat dengan tidak membawakan kepada pertengkaran yang tercela dan ta'asub.

9. Membincangkan masalah yang tidak berjejak kepada kenyataan (tidak dapat dipraktikkan) adalah tergolong perkara memberat-beratkan yang ditegah oleh syariat. Sebagai contoh, membincang cabang-cabang hukum yang masih belum berlaku, membincangkan penafsiran al-Quran yang belum dicapai oleh manusia, membincang tentang keistimewaan antara para sahabat Rasulullah atau membincang tentang keistimewaan antara para sahabat adalah ditegah kerana para sahabat mempunyai keistimewaan sebagai seorang sahabat. Mereka diganjari menurut niat mereka, tambahan pula masalah taawil adalah dibenarkan.

 10. Mengenal Allah, mentauhidkan Allah dan membersihkan Allah dari sekutu-Nya adalah aqidah yang paling tinggi dalam Islam. Ayat-ayat al-Quran dan hadis yang menyentuh sifat-sifat Allah hendaklah kita terima tanpa tanggung dan taawil. Kita jauhi perselisihan ulama-ulama dalam masalah ini. Kita berpada dengan apa yang dipadakan oleh Rasul dan para sahabat. Mereka yang mendalam ilmunya mengatakan,
" Kami beriman dengannya, kesemuanya adalah dari Tuhan kami" (Ali Imran 3:7)

11. Semua bid'ah yang dilakukan di dalam agama yang tidak ada asal sandarannya, dipandang baik oleh manusia menurut nafsunya sahaja sama ada dengan menambah atau mengurangkan apa yang telah disyariatkan adalah kesesatan yang wajib diperangi dan dihapuskan dengan cara yang paling baik supaya tidak membawa kepada perkara yang lebih buruk dari bid'ah itu sendiri.

12. Bidah yang dilakukan dengan menambah atau mengurangkan mengikut pendapat sendiri dengan cara-cara tertentu dalam ibadat yang mutlak adalah termasuk dalam masalah khilafiyah. Setiap orang mempunyai pendapat tertentu dan tidak menjadi kesalahan mencari hakikat melalui bukti dan dalil.

13. Mengasihi, menghormati dan memuji orang-orang yang soleh atas apa yang mereka lakukan aalah satu sudat dari (qurbah) iaitu menghampirkan diri kepada Allah. Wali-wali yang disebutkan Allah dalam firman-Nya. Mereka yang beriman dan bertaqwa (Al-fushilat), karamah berlaku kepada mereka dengan syarat yang ditentukan oleh syariat, di samping kita beriktikad bahawa mereka tidak berkuasa melakukan manfaat dan mudarat terhadap diri mereka dalam hidup dan mati mereka, lebih-lebih lagi mereka tidak berkuasa memberikan manfaat atau mudarat kepada orang lain.

14. Walau bagaimanapun, menziarahi kuburan adalah sunnah yang disyariatkan menurut cara yang diterima oleh Rasul. Tetapi meminta pertolongan dari si mati, walau bagaimana bentuk sekali pun, demikian juga menyeru mereka untuk memberi pertolongan , meminta diri mereka menunaikan hajat, dari jauh dan dekat, bernazar untuk mereka, membina perkuburan, mengelambui perkuburan, meneranginya dengan lampu dan memperluaskannya, juga bersumpah dengan selain dari Allah dan perkara-perkara yang seumpamanya adalah rekaan dan dosa besar yang wajib diperangi. Kita tidak melakukan perkara-perkara ini demi menutup pintu kemungkaran.

15. Mengiringi doa dengan tawasul (perantaraan) kepada Allah melalui makhluk-Nya adalah masalah khilafiyah dalam kaifiat doa, tidak termasuk dalam masalah akidah.

16. Situasi (uruf) yang salah tidak dapat megubah pengertian hakikat pada lafaz-lafaz syariat, malah wajib kita memastikan batasan-batasan pengertian yang dimaksudkan dari lafaz-lafaz itu, dan kita harus berhenti pada pengertian yang dimaksudkan itu sahaja. Kita juga harus waspada dari tertipu dengan perkataan-perkataan dalam semua bidang dunia dan agama. Penilaian adalah pada benda, bukan pada nama yang diberikan pada benda itu.

17. Akidah adalah asas kepada amal. Amalan hati lebih penting daripada amalan anggota. Menghasilkan kesempurnaan dalam dua bidang ini ( hati dan anggota) adalah tuntutan syariat, sekalipun taraf tuntutan itu berbeza.

18. Islam membebaskan akal, mendorong supaya menilik dan mengamati alam sekeliling. Islam juga mengangkat darjat ilmu dan ulama', mengalu-alukan ilmu dan ulama' yang soleh dan bermanfaat dalam semua perkara. Hikmat merupakan barang tercicir bagi mukmin di mana sahaja dia mendapatinya, beliaulah yang lebih berhak memilikinya.

19.Boleh jadi bidang yang dipersoalkan oleh pandangan syariat dan pandangan akal berlainan antara satu sama lain tetapi akal dan syariat tidak akan bercanggah dalam perkara-perkara yang qat'ei (nyata dan putus). Tidak ada percanggahan antara hakikat ilmiah yang sah dengan kaedah syariat tetap. Perkara-perkara yang dzanni (belum nyata dan putus) dari sudut akal dan syariat hendaklah ditakwil supaya bersesuaian dengan yang qat'ei. Sekiranya pandangan kedua-dua sudut akal dan syariat masih dzanni, maka pandangan syariatlah yang lebih utama diikuti sehingga pandangan akan tetap atau gugur.

 20. Jangan saudara mengkafir seseorang muslim yang mengucap dua kalimah syahadah oleh sebab fikiran atau maksiat yang dilakukannya sedangkan beliau masih lagi melakukan tuntutan syahadahnya dan melakukan segala yang difardukan ke atasnya, kecuali jika beliau berikrar dengan kalimah kufur atau beliau mengingkari perkara yang telah diketahui dari agama secara pasti, atau beliau mendustakan lafaz dan pengertian yang terang dan jelas di dalam al-Quran, atau beliau mentafsirkannya dengan penafsiran yang tidak sesuai dengan aliran bahasa Arab walau sedikit pun, atau beliau melakukan satu perbuatan yang tidak dapat ditakwilkan selain daripada kekafiran.


 2.Ikhlas Ikhlas dalam menjadi pra-syarat juru dakwah ialah mengharap keredhaan Allah dan ganjaran pahalanya daripada semua perkataannya, amalannya dan jihad yang dilakukannya dengan tidak memandang ke pada keuntungan duniawi, kemegahan gelaran, kedudukan terkemuka dan sebagainya. Keikhasan ini penting kerana masyarakat akan menilai diri peribadi juru dakwah terlebih dahulu sebelum benar-benar memahami ajaran Islam yang disampaikannya. Di dalam novel Mereka Yang Tertewas, persoalan ikhlas ini diulang beberapa kali oleh Lebai Pa sebagai pelopor dakwah di Bukit Setugal. Pertama ketika memberi keyakinan kepada Uda Puat dan Mat Yasin bahawa mereka perlu menjalankan dakwah Islamiah walaupun tanpa kehadiran Imam Min (hal.80). Kedua ketika meminta Mat Yasin bersabar atas dugaan Kidam dan Tijah yang melemparkan tuduhan palsu (hal. 141) dan ketika menyatakan dengan tegas tujuan dakwah Islamiah yang dijalankan sewaktu Jemilah merasa tertekan atas tujuan Lebai Pa menyebarkan dakwah. " Saya menyeru kepada kebenaran Islam bukan untuk mengejar pangkat dan tanda jasa, tidak juga bertujuan untuk meminta sesuap nasi atau upah duitan, tidak berhasrat untuk meminta sanjungan dan pujian. Saya melakukan semuanya itu kerana kasih saya kepada penghuni Bukit Setugal ini. Saya ingin membawa mereka daripda cara penghidupan yang jahil tentang hukum-hakam agama kepada kejelasan Islam, daripada kedungguan kepada kebijaksanaan, daripada kesempitan kehidupan kepada keluasan aturan Islam."

 3. Beramal Dengan Bersungguh-Sungguh Amal yang terbaik ialah hasil ilmu dan ikhlas. Dalam hal ini, menurut As-Syahid Imam Hasan al-Banna, ada tujuh peringkat amal yang dituntut kepada juru dakwah. i.Melakukan Islah kepada diri sendiri. ii.Membentuk rumahtangga muslim iii.Membimbing masyarakat iv.Membebaskan watan dari segala bentuk penjajahan v.Mengislah kerajaan sehingga menjadi sebuah kerajaan Islam yang diredhai Allah.

4. Jihad Jihad merupakan perjuangan berterusan membela kebenaran agama. Peringkat jihad yang terendah ialang mengengkari dengan hati. Sementara peringkat jihad yang tertinggi ialah perang sabil. Di antara kedua-dua jihad ini, juru dakwah dianjurkan menjalankan jihad dengan lisan, tulisan bagi menyarakan kebenaran kepada pemerintah yang fasiq dan zalim. Aspek jihad ini ditampil dalam novel Mereka Yang Tertewas lantaran perjuangan menyebarkan Islam di Bukit Setugal tidak dapat dijalankan tanpa Jihad. Dalam hal ini, Lebai Pa sebagai watak utama menyebut kesulitan melaksanakan jihad ini berkali-kali. " Medan beangan-angan tidak sama dengan medan bercakap, medan bercakap tidak sama dengan medan beramal, medan beramal tidak sama dengan medan berjihad dan medan berjihad yang sebenar tidak sama dengan medan jihad yang palsu. Semua orang boleh berangan-angan, tetapi tidak semua angan-angan itu dapat dilahirkan dalam bentuk percakapan. Semua orang boleh bercakap tetapi tidak semua orang yang boleh bercakap itu mampu beramal. Semua orang mampu terjun ke medan berjihad. Ingatlah Yasin, medan jihad yang sebenar sahaja yang diterima Allah pahalanya."

5. Pengorbanan Dalam usaha menyebarkan Islam, mengorbankan jiwa, harta, masa, kesenangan hidup bagi tujuan menegakkan dakwah Islam adalah sesuatu yang dituntut. Allah akan menganjarkan ganjaran Syurga atas pengorbanan itu. Allah berfirman: Maksudnya: " Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin itu, diri dan harta mereka dengan memberikan Syurga kepada mereka" (At-Taubah 9:111)

 6. Taat Kepada Islam dan Teguh Pendirian Juru dakwah yang ingin meneruskan cita-cita perjuangan dakwah Islamiah mesti taat kepada Islam. Mereka mesti teguh pendirian dan tetap perjuangan Islam ini sebagai agenda utama dalam kehidupan. Oleh keana perubahan masyarakat itu memakan waktu yang lama, maka juru dakwah perlu teguh pendirian. Sebarang rasa lemah dalam meneruskan perjuangan dakwah Islam perlu dihapuskan dalam diri kerana ternyata matlamat cita-cita perjuangan Islam itu amat suci dan perlu diperjuangkan Dalam novel Mereka Yang Tertewas, Lebai Pa yang menghadapi cabaran dakwah berupa fitnah demi fitnah tetapi dia terus mengukuhkan pendirian untuk terus memperjuangankan Islam. Hal ini dapat dilihat seperti ungkapan berikut: Cacian makuan dan lemparan tuduhan yang mengoncangkan perasaan, adalah semangat untuk terus berjuang. Ugutan dan ancaman kesakitan yang membimbangkan kehilangan kelazatan duniawi, semuanya adalah sunnah yang dijadikan oleh Allah. Segala-galanya itu berlaku untuk memastikan setiap pendukung dakwah Islamiah itu benar-benar ikhlas dan bersungguh-sungguh hati dalam mengisytiharkan Islam kepada masyarakatnya. Semuanya itu terjadi untuk menapis lalu memisahkan manusia-manusia yang ada kepentingan diri daripada turut serta dalam barisan pejuang Islam yang tulen kerana tugas dan tanggungjawab pejuang Islam itu semakin berat dari sehari ke sehari. Lebai Pa baharu malam itu dapat memahami sunnah dakwah yang dahulunya berkali-kali diceritakan oleh arwah Imam Mat Bukit Keledang kepadanya. Biarlah Tijah melemparkan seribu tuduhan. Biarlah Pak Soh mengatur seribu rencana untuk membantutkan usaha sucinya itu. Biarlah sesiapa sahaja walaupun seluruh isi kandung Kampung Bukit Setugal membenci dakwah menyeru kepada kebaikan dan melarang daripada melakukan kemungkaran yang dijalankannya itu dengan sebenci-bencinya. Namun Lebai Pa bertekad untuk terus tegak dalam merempuh arus masyarakat yang cuba untuk menghalangnya... ."

 7. Persaudaraan Islam Suatu aspek penting yang perlu ada dalam diri juru dakwah ialah memahami dengan mendalam erti persaudaraan Islam. Lantaran Islam itu untuk semua bangsa, maka penyeruan Islam itu tidak boleh terbatas kepada sesuatu kaum atau bangsa sahaja. Persaudaraan Islam mengumpulkan kasih sayang dan mewujudkan kekuatan padu dalam masyarakat. Dalam persaudaraan Islam ini, masing-masing mereka akan saling bantu membantu. Rasulullah s.a.w. menyebut mengenai persaudaraan Islam ini seperti berikut:
Maksudnya: Bandingan antara orang mukmin dengan mukmin yang lain samalah seperti binaan yang saling mengukuh antara satu sama lain.

 8. Mentaati Kepimpinan Dalam pengembangan dakwah Islamiah, juru dakwah hendaklah taat kepada kepimpinan yang adil dan saksama. Peimpin dalam gerakan dakwah bertangungjawab sepenuhnya menyusun gerakan dakwah untuk bermatlamat mencapai keredhaan Allah. Seorang pemimpin yang ditaati dalam dakwah Islamiah ialah pemimpin yang diyakini kemampuan dan keikhlasan sehingga timbul rasa kasih terhadap pemimpin itu. Walaupun tidak dibincangkan secara mendalam pra-syarat menjadi juru dakwah ini, namun dapat difahami bahawa untuk menzahirkan dakwah yang berkesan memang memerlukan juru dakwah yang berwibawa.

 Dalam novel Mereka Yang Tertewas, Lebai Pa sebagai orang yang berilmu dan tegap teguh memegang prinsip Islam ditampilkan. Kewibawaan ini menjadi asas penting menjadikan seseorang juru dakwah itu dapat menghadapi rintangan-rintangan dalam dakwah Islamiah. Tribulasi Perjuangan Juru dakwah yang berjuang menyebarkan Islam perlulah menerima hakikat bahawa untuk menyempurnakan penyebaran Islam itu memerlukan masa yang panjang .Tidak ada jalan dekat untuk Islam itu diterima umum. Lalu juru dakwah perlu menempuh berbagai-bagai rintangan dari musuh Islam dan daripada orang-orang Islam yang jahil berupa ancaman ketakutan dan ancaman kehilangan rezeki. Allah dengan jelas menyebut tribulasi dakwah Islamiah dalam surah al-Ankabut 29: 2-3/ Al-Baqarah 2:214/Muhammad 47:31/ Al-An'aam 6: 34/Ar- Ra'ad 13:17 dan lain-lain lagi.

Di dalam novel Mereka Yang Tertewas, Lebai Pa menghadapi tribulasi perjuangan yang perit. Beliau dikecam kerana menyampaikan dakwah yang benar. Ini dapat dilihat amat rapat dengan Pak Soh itu mengatakan kita ini menyebarkan ajaran sesat." (35) Demikian juga dalam perjuangan yang seterusnya, Lebai Pa terpaksa mempertahankan kebenaran Islam yang diperjuangkannya di hadapan Tuan Kadi Daerah Kalisendung. Berbekalkan keyakinan atas kebenaran Islam yang dibawanya, Lebai Pa menegaskan pendiriannya. " Jika pada pendapat tuan, apa yang saya perjuangkan ini adalah salah, saya rela dihukum. Saya rela! Jika saya dipenjara, saya berkhalwah. Jika saya dibuang negeri, saya melancong. Jika saya dibunuh kerana menegakkan perjuangan suci ini, saya mati syahid." Malah dalam menghadapi tribulasi perjuangan ini, Lebai Pa terpaksa menghadapi kemungkinan maut apabila beliau bertarung dengan Kidam. Hal ini disebabkan Kidam yang gila isim itu perlu dipulihkan. Dan Lebai Pa cuba mengubati Kidam atas dasar persaudaraan Islam yang kukuh. Sesungguhnya tribulasi perjuangan dalam penyebaran Islam ini berlangsung sejak Islam diturunkan Allah kepada manusia. Rasulullah s.a.w. menceritakan perihal tribulasi perjuangan ini dalam hadisnya yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dari Qais. " Aku telah mendengar Habab r.a. berkata: Aku telah mendatangi Rasulullan s.a.w. sedang dia berbantalkan burda di bawah naungan kaabah. Pada masa itu kita telah menerima penyiksaan yang keras daripada kaum Musyrikin lalu dia berkata: Tidak mahukah kamu berdoa kepada Allah? Lalu Rasulullah s.a.w. duduk dengan merah padam mukanya lantas bersabda: Sesungguhnya telah terjadi kepada orang-orang sebelum kamu telah disikat dengan sikat-sikat besi, yang mencakar daging-daging dan urat-urat mereka hingga ke tulang-tulang mereka. Itu tidak memalngkan mereka dari ugama mereka. Dan kepala mereka digergaji hingga terbelah dua. Ini tidak memalingkan mereka dari agama mereka. Satu masa nanti pasti Allah akan menyempurnakan urusan agama ini dengan memberi kemenangan kepadanya di mana orang yang menunggang itu berjalan dari Sana'aa di Yaman ke Hadralmaut tanpa takut-takut kecuali hanya kepada Allah..'

Berhubung dengan ujian dan cabaran dakwah ini, Imam Hasan al-Banna dalam risalah ' Antara masa lalu dan masa kini' dalam tajuk ' Ranjau-ranjau di perjalanan' menggambarkan keperitan yang dihadapi oleh jurudakwah. " Saya ingin berterus-terang menyatakan kepada kamu bahawa hari ini, dakwah kamu ini masih belum dikenali orang ramai. Apabila mereka mengetahui dan memahami matlamat dan tujuan dakwah ini, kamu akan menerima permusuhan dan pertarungan sengit daripada mereka. Kamu akan mendapati di hadapan kamu kesukaran-kesukaran dan kamu akan dihalangi oleh ranjau-ranjau. Hanya pada ketika itulah sahaja, kamu baru mulai mengikuti jalan pendukung dakwah... ataupun sekarang ini, kamu masih belum dikenali. Kamu masih di peringkat membuat persediaan dan jihad yang dituntut oleh dakwah. Kejahilan umat tentang hakikat Islam akan tetap sebagai rintangan di pertengahan jalan. Kamu akan mendapati ahli agama yang terdiri para ulama rasmi akan memandang ganjil pemahaman kamu terhadap Islam dan mengengkari jihad yang kamu lakukan untuk memperjuangkan kefahaman kamu. Kesemua bentuk pemerintah akan tegak serentak menghadapi kamu. Semua kerajaan akan berusaha membatasi kegiatan kamu dan meletakkan rintangan-rintangan di jalanmu."

Syukur

 


Yang berasa di hati
kecukupan itu benar
anugerah berpanjangan sikit banyak
hati menerima penuh redha
mohon keberkatan.

Syukur itu tampil membijak
kemurahan
Kerendahan diri
dan
kesabaran

SASTERA ISLAM – ISTILAH ATAU AMALAN?


 
Sebelum tahun-tahun 1980-an itu, hasrat hendak membikin aliran sastera Islam itu sudah kedengaran. Gelonjak baru ini diselang-seli oleh polimek Sastera Islam antara Shahnon Ahmad dengan Kasim Ahmad. Shahnon seperti yang dikenali sudah mula mengetengahkan sastera Islam melalui novelnya Saregenge. Kasim Ahmad, tokoh kritikan sastera waktu itu  mempunyai pandangan berbeza dengan Shahnon dalam mendefinisikan sastera Islam.




            Shahnon berpendapat sastera Islam itu terbit dari dunia dalaman yang terpancar darinya suatu pandangan yang selari dengan teologi yang benar. Jikalau akidah tidak benar, dengan sendirinya terbatal amalan lahirnya. Sastera Islam itu dianggap sebagai suatu ibadah ialah sastera yang membawa nilai-nilai Islam dari individu muslim yang menghasilkannya kerana Allah.




            Pandangan Shahnon ini dikatakan tegas dan sendat. Sastera Islam itu mesti zahir daripada pengarang berperibadi Islam dan isi kandungnya berteraskan akidah. Manakala Kasim Ahmad membuat penafsiran agak longgar terhadap sastera Islam. Bagi Kasim, dia cuba mengemukakan satu teori untuk mendapatkan suatu kepastian terhadap apa yang disebut sastera Islam. Bagi Kasim, apabila teori itu dapat diterima, maka selesailah masalah untuk mengecam mana karya yang boleh digolongkan ke dalam sastera Islam. Dalam soal ini, Kasim tidak memikirkan hal akidah Islam. Maksudnya jelas bahawa kesusasteraan Islam itu boleh wujud daripada siapa sahaja apabila tepat atau tidak lari daripada teori yang dikemukakannya itu.




            Walaupun  begitu, perbincangan tentang sastera Islam itu turut dibicarakan oleh Prof. Mohd Kamal Hasan, Shafie Abu Bakar, Abdul Rahman Rukaini, Sidi Gazalba dan lain-lain pemikir sastera Islam. Dalam membuat tanggapan terhadap sastera Islam itu, umpamanya Shafie Abu Bakar mengutip kata-kata Muhamad Qutb:




            " Seni sastera Islam bukan sahaja seni yang terhad kepada penyebutan Islam semata-mata, bukan juga semata-mata terkongkong kepada menasihati, menunjuk jalan dan menggesa manusia membuat kebaikan dan tidak terhad kepada pembicaraan terhadap akidah yang disulami falsafah semata-mata. Seni sastera Islam ialah seni yang menggambarkan segala kewujudan menurut juruspandang keislaman, iaitu merupakan ungkapan-ungkapan yang indah tentang Islam, kehidupan dan insan itu sendiri. Seni sastera Islam ialah seni yang memaparkan pertemuan yang saling menyempurna di antara keindahan dengan kebenaran. Keindahan adalah hakikat alam tercipta. Manakala kebenaran adalah puncak daripada keindahan. "