BAHASA DALAM CERPEN


          Menyusun bahasa dalam karya sastera seumpama jua menyirat benang-benang halus untuk membuat jaring atau mengayam mengkuang untuk dibuat tikar.  Semua harus dibuat dengan cermat dan teliti agar hasilan yang diperoleh sesedap mata memandang, berkualiti dan disenangi ramai.

 Dalam menulis cerpen,  akurlah bahawa selain cerita yang menarik,  pemilihan bahasa yang indah dan tersusun itu menjadikan cerpen itu kukuh dan mampu bertahan dalam genre kesusasteraaan.

Maksud cerpen

            Cerpen ialah singkatan kata daripada perkataan cerita pendek.  Cerpen juga sebahagian daripda cereka (cerita reka-rekaan).
            Hashim  Awang Glosori Mini Kesusasteraan, Fajar Bakti , 1987) menyebut bentuk cereka yang pendek yang membawa satu persoalan bagi menghasilkan satu kesan tertentu yang indah.  Ia memusatkan diri pada satu watak dalam suatu situasi di suatu tempat dan ketika.
            Hendry Guntur Tarigan (Prinsip-prinsip Dasar Sastera, 1984: Penerbit Angkasa Bandung) mengutip kata B. Mathew menyebut bukan cerita pendek jika tidak ada sesuatu yang diceritakan.  Hendri Guntur sendiri mengulas cerpen seperti berikut " cerita pendek harus mengandungi interpretasi pengarang tentang komsepsinya mengenai kehidupan, baik secara langsung atau pun tidak langsung, harus menimbulkan satu efek dalam fikiran pembaca, cerita pendek juga mengandungi detail-detail dan insiden-insiden yang dipilih dengan sengaja, dan yang bisa menimbulkan pertanyaan-pertanyaan di dalam fikiran pembaca.

Bahasa  Dalam Cerpen

            Berhubung bahasa dalam cerpen ini, Dr. Lim Swee Tim berpendapat:
            Pada umumnya, cerpen bertolak daripada satu idea pokok. Bagi menyampaikan idea ini, kita mencari dan memilih watak yang sesuai dengan perwatakannya yang khusus bagi membantu kita menampilkan gagasan yang ingin kita ketengahkan itu.
            Kita susun peristiwa daripada satu peringkat ke satu peringkat dengan cermat.  Orang memanggilmya plot.  Kita pilih pula sudut pandangan yang sebaik mungkin, kemudian memberi latar yang sesuai serta menarik kepada cerita kita.
            Penyampaian dari mula hingga ke akhir kita gunakan bahasa.  Tanpa bahasa kita tidak mungkin dapat menyampaikan apa-apa.  Malah kalau bahasa tidak kuat, kita barangkali tidak mampu untuk menyajikan sesuatu yang berkesan dan indah.  Kelemahan penguasaan bahasa akan melemahkan penggarapan tema.  Cepen menjadi tawar dan hambar.  Banyak aspek kejiwaan dan psikologi watak, kita tidak mampu menghuraikannya dengan mendalam.
            Gambaran alam dan suasana pula menjadi tidak berkesan dan tidak mampu menimbulkan kesan keindahan.  Penulis perlu menguasai dengan baik apa yang disebut metafora[1], simili[2], hiperbola[3], inversi[4], alusi[5], analogi[6] , personifikasi[7]  imejan[8] , perlambangan [9]dan lain-lain unsur puitis.
.
            Bagaimana mendalami bahasa?
            Cara paling mudah ialah melalui pembacaan. Penulis muda perlu banyak membaca karya-karya besar tokoh sastrawan .  Sudahkah membaca novel  Ranjau Sepanjang Jalan karya Shahnon Ahmad atau novel Sungai Mengalir Lesu karya A. Samad Said atau novel Seorang Tua di Kaki Gunuug karya Azizi Hj. Abdullah atau Saudagar besar dari Kuala Lumpur karya Kris Mas atau novel Desa Pingitan karya  Baharudin Sidi atau Hari-hari Terakhir Seorang Seniman karya Dato' Dr. Anwar Ridhwan dan lain-lain.
Selain membaca karya-karya kreatif, jangan abaikan membaca selalu buku tatabahasa.  Lihat dan semak selalu buku Tatabahasa Dewan yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.  Selain itu, selalulah berdamping dengan Kamus Dewan untuk memantapkan penggunaan sesuatu kosa kata.
            Untuk gaya bahasa cerpen, cuba-cuba dapatkan buku Kris Mas yang berjudul Perbincangan Gaya Bahasa Sastera (DBP 1988).  Menurut Kris Mas, gaya bahasa bermaksud cara atau ragam bahasa itu dipakai, khususnya dalam tulisan atau karangan (hal 13). Gaya bahasa juga dirujuk kepada gaya seseorang penulis menggunakan bahasa (hal.14).  Bagi Kris Mas, bahasa itu ialah perahu yang didayung oleh setiap sastrawan dan ditumpang oleh pembaca dalam pelayaran yang ingin mencari kebenaran (hal.16).

Prasyarat menghasilkan bahasa yang bain dalam cerpen

  1. Pemilihan kata

Bagi menghasilkan penulisan yang baik, pemilihan kosa kata yang tepat amat penting.  Kesilapan menggunakan sesuatu perkataan menyebabkan  pemahaman pembaca tersasar jauh daripada apa yang difikirkan oleh penulis.  Contonya perkataan lihat, tengok, intai, tinjau, tilik  semuanya menggambar apa yang dilihat oleh mata tetapi setiap perkataan memberi maksud yang berbeza.

  1. Pembinaan ayat yang mantap
Ayat yang baik lahir dari struktur yang betul.  Dalam tatabahasa bahasa Melayu  ada empat pola ayat yang mendominasikan pengolahan ayat.  Struktur itu ialah FN + FN,  FN + FS,  FN + FA  dan  FN + FK.

            Dalam penulisan karya sastera, penggunaan kata  diperindahkan dengan menggunakan  bahasa puitis.   Lihat bentuk gaya bahasa puitis dalam ayat di bawah.

(i)         Air sungai menyenak ke tebing.  Hujan semalaman menjadikan sungai sebak.  Arus deras menunda sampah sarap yang tesangkut pada tunggul-tunggul berceranggah di tepi tebing. (Dharmala N.S  Cerpen  Rakit)

Air sungai menyenak – personifikasi
Hujan semalaman menjadikan sungai sebak – Hiperbola
Arus deras menunda sampah - hiperbola

(ii)        Sago berasa kepedihan hatinya perlahan-lahan surut.  Dia teringat pada mimpi-mimpi yang memberi harapan lain saban malam sejak dua bulan terakhir ini. (Baharuddin Kahar, Cerpen Sempena Ganja Iras)

mimpi-mimpi yang memberi harapan lain - personifikasi
kepedihan hatinya perlahan-lahan surut -  imejan

  1. Dialog yang mantap

Dialog dalam cepen mempunyai fungsi yang besar menghidupkan penceritaan. 

(i) memperkenalkan watak
Dialog  memberi kesan kepada pembaca apabila dialog itu sendiri memperkenalkan watak-watak dalam penceritaan.  Sebagai contoh , lihat dialog di bawah.
            " Siapa dia? "
            " Namanya Pipah.  Tetapi dipanggil Pip saja.  Dia sekampung dengan saya.  Tapi sudah lama tinggal di KK."
            " Dia kerja apa? "
            " Setiausaha sebuah firma yang besar di sana.  Saya tidak tahu nama firma itu," kata Baitah.
            (Cerpen Sebuah Pekan Bernama Semporna karya Abdullah Hussein. Antologi SPBS, DBP hal. 128 - 129)

(ii) Dialog tanpa penjelasan

Dialog yang kemas tidak memerlukan keterangan suasana.  Memadai pembaca membaca dialog.  Pembaca sudah tahu  siapa yang berkata dan kepada siapa dia berkata. Lihat pula dialog dari cerpen Susanne dan Penyair yang pulang karya Zakaria Ali (Dewan Sastera; Ogos 1973: 1)

" Jebat, aku punyai sesuatu nak aku katakan padamu."
" Apa? "
" Tentang Leonard Weekend ini meyakinkan aku bahawa ia tetap cinta padaku."
" Dan kau memulangkan kembali cintanya? "
" Entahlah.  Aku sayang padanya'" bisik sussane.
" Tapi aku tak percaya aku cinta padanya sepertiia mencintai aku."


(iii) Dialog dengan penjelasan

Namun begitu, ada baiknya juga jika dialog itu diberi keterangan supaya pembaca benar-benar dapat memahami apa yang diceritakan oleh pengarang.  Saya mengambil contoh seperti dialog berikut.

" Aku akan megusulkan undi tidak percaya terhadap pucuk pimpinan parti," ujar Lavasqui secara tebuka sehari selepas berita itu tersiar di akhbar.
" Kau memerlukan dua pertiga majoriti ahli jawatankuasa pusat, Lavasqui," komen Dave.
" Aku telah mengira kau sebagai penyokongku yang pertama,"
Dave menyepi.  Dia cuma merenung tepat ke muka sahabatnya.

(iv) Menukar dialog kepada cakap pindah

Terdapat juga penulis yang menukar dialog kepada cakap pindah.  Contohnya Anwar Ridhwan dalam karyanya berjudul Di Negeri Belalang menulis begini.

Dia ditanya apa tujuannya datang ke kota mati itu.  Dia memberi jawapan bahawa dia tanpa tujuan sebenarnya dan tidak mengharapkan penemuan yang luar biasa.  Dia sudah terbiasa untuk menemui kekosongan dalam hidupnya. Itu, katanya sama seperti mendulang emas di kali yang memang tidak mempunyai emas.
            ( Novelet Di Negeri Belalang, Marwilis Publisher, 1989: 59 – 60)


4. Pelukisan

            Untuk memberi gambaran yang tepat, pengarang perlu menulis secara terperinci tentang sesuatu perkara.  Perincian penulisannya itu menyebabkan pembaca benar-benar berpuas hati .  Inilah pelukisan  bahasa dalam sesebuah karya sastera.
            Dalam novel terjemahan berjudul Perjuangan Sia-sia karya John Steinbeck (DBP, 1981) bahasa pelukisan ini digarap dengan baik.

            Akhirnya malam menjelang.  Di luar lampu-lampu jalan telah menyala dan lampu neon pada papan tanda restoran berkelip-kelip memancar sinar merah menyala ke udara.  Lampu neon di papan tanda itu melontarkan sinar merah redup ke bilik Jim Nolan.  Telah dua jam dia duduk di kerusi goyang kecil yang keras di bilik itu dengan melunjurkan kedua-dua kakinya ke lantai dan menepuk-nepuknya untuk menghilangkan rasa kebas itu menjalar naik dan turun hingga ke buku lalinya, kemudian dia berdiri lalu menyalakan lampu yang tidak bertudung dan kelihatanlah sebuah katil putih besar dengan cadarnya berwarna putih seperti kapur sebuah almari kayu oak berwarna keemasan dan permaidani merah bersih yang terhampar yang warnanya telah bertukar menjadi kecoklatan dengan tepinya yang meleding (hal. 1).
           
Perhatikan gambaran di dalam bilik itu dengan perabot yang sama sekali tidak diceritakan oleh pengarang.  Hanya sesudah lampu dipasang, baharu dapat dilihat dengan jelas keadaan bilik yang dihuni oleh Jim Nolan.






Latihan

Tandakan ( /)  menandakan anda benar-benar faham.

Frasa
metafora
hiperbola
Personi fikasi
inversi
alusi
Perlambangan
imejan
simili
Pipinya bak pauh dilayang








Laut fikirnya kembali bergelonjak








Semut menjerit menggegarkan langit








Dedaun kayu melambai mesra








Kau umpama bulan








Hatinya lara duka menanggung rindu








Dialah Hamzah yang syahid di medan Badar








Air matanya membanjiri pipinya








Kakinya mula bernanah, kuning hijau, hanyir dan membengkak








Dialah mawar berduri








Angin berlalu sahut menyahut








Dia membina projek gajah putih








Wajah rindu berpaut erat








Kaulah buaya tembaga yang mengganggu anak gadisku








Hatinya remuk bagaikan kaca terhempas ke lantai








Kotak rasanya mengandung kecewa








Api menjulang ke langit pertama








Embun pagi menyapu wajahnya








Rasa sakit menyucuk ke sudu hati, menyenak lalu menolak ke pusat otak











1.Gaya bahasa kiasan atau perbandingan.  Sifatnya ringkas, padat dan tersusun rapi.  Oleh itu, biasanya terdiri daripada dua perkataan.  Satu perkataan bersifat konkrit dan satu lagi bersifat mujarad (abstrak) yang menjadi pembanding.  Contohnya ialah ‘ laut fikir’ sebagai bandingan luasnya alam pemikiran.

[2] Sejenis gaya bahasa perbandingan menggunakan kata-kata tertentu.  Antara kata-kata yang digunakan untuk tujuan membandingkan dua perkara ini ialah ‘ seperti, bagai, bak, laksana, umpama.  Contohnya ‘ pipinya bak pauh dilayang.   Contoh lain iaitu, Dia kelihatan cantik bagai merak menggigal

[3] Gaya bahasa yang membawa pernyataan yang berlebih-lebihan.  Gaya bahasa sebegini cuba menekan suatu pandangan, pemikiran atau perasaan.  Contohnya dalam puisi karya Azmi Yusoff:
                Mengais mimpi hanyir

Di segenap ceruk kota

                Menyudu igauan hancing
                Di sentap pelosok bandaraya.
                Penggunaan perkataan “ mengais “ dan ‘ menyudu’ memberi gambaran kehidupan amat menderita melebihi keadaan menderita sebenarnya.

[4] Membalikkan kata sehingga berlaku penyimpangan dari segi tatabahasa.  Contohnya ungkapan ‘ Telah berkecai hancur hati lara duka’.  Sepatutnya dalam susunan tatabahasa yang betul ialah ‘ Hati duka lara telah hancur berkecai’. Pembalikan kata seperti ini bagi puisi bertujuan untuk menimbulkan kesan kelainan serta kesegaran pengucapan.

[5] Sejenis gaya bahasa perbandingan yang merujuk secara tidak langsung kepada sesuatu peristiwa, tokoh-tokoh atau karya sastera yang terkenal.

[6] Perbandingan antara dua benda atau hal yang berbeza tetapi dapat dinyatakan dengan  adanya sifat-sifat yang bersamaan.  Contohnya petir dan guruh dianalogi dengan kemarahan yang memuncak.  Walaupun dilihat kedua unsure ini berbeza, tetapi apabila dibandingkan dari segi persamaan nilai, persamaan itu dapat diterima.   


[7] Perbandingan antara dua benda atau hal yang berbeza tetapi dapat dinyatakan dengan  adanya sifat-sifat yang bersamaan.  Contohnya petir dan guruh dianalogi dengan kemarahan yang memuncak.  Walaupun dilihat kedua unsure ini berbeza, tetapi apabila dibandingkan dari segi persamaan nilai, persamaan itu dapat diterima.                      

[8] Imejan digunakan untuk menyatakan fikiran dengan lebih bertenaga dan imaginatif.  Imejan itu termasuklah ; perlukisan, perbandingan, pertalian, penekanan dan alusi.

[9] Perlambangan berfungsi untuk melahirkan makna sesebuah karya sastera pada tahap luaran dan dalaman. Ada pengarang yang menggunakan perlambangan tradisional seperti “ Putih “ melambangkan suci. Ada juga yang menggunakan perlambangan peribadi yang dibinanya sendiri. Umpamanya S.Othman Kelantan (Juara) menggunakan “ lembu “ untuk melambangkan politik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan