SUNGAI LIPIS BERSIMBAH MERAH




( Dalam usaha menulis kisah ini, saya mendapatkan cerita  daripada  beberapa orang yang mendapatkan cerita itu daripda orang yang terlibat. Antaranya ialah    diambil daripada Sabri bin Yoep Yahaya, Kg. Batu Malim ,  Us. Mahmud bin Khalid , Kg. Kundang Patah, Allahyarham Hj. Merah bin Awang, Kg. Batu Talam juga daripada En. Hashim bin Zabidi Kuala Lipis).






 Peristiwa itu berlaku sejurus Jepun menyerah kalah  dan berundur dari Malaya.   Tentera  bintang tiga  membuat  huru hara ke kampong  orang  Melayu  dengan menangkap  orang Melayu yang bekerja  dengan tentera Inggeris.   Hal itu menimbulkan kebimbangan  kepada orang Melayu.
            Di Batu Malim , deretan kedai di sepanjang sungai menjadikan kawasan itu pekan perniagaan penting di Ulu Pahang.  Aktiviti perniagaan  di Batu Malim dan perlombongan emas di Kampung Pulai sebahagian besar usahakan oleh kaum Cina.  Fahaman Komunis meresapi  pemikiran orang-orang Cina dan timbul rasa angkuh  mereka sebaik sahaja Jepun mengundurkan diri.
Sebelum kejadian berbunuhan  pada 11 Februari 1948 (Isnin),  berlaku rentetan pergeseran  antara orang Melayu dan Cina. Hal itu bermula  pada hari Sabtu 9 februari  apabila sekumpulan orang Cina  berburu babi ke kawasan tanjung  kg. Chain.  Maka cara mereka berburu itu  tidaklah menghormati  tanaman di kebun dua orang Bangkahulu.  Dilambas segala ubi kayu, pisang  dan apa juga tanaman semata-mata hendak  mengejar babi.  Akan kedua orang Bangkahulu itu sangat tidak puas hati  atas  laku orang-orang Cina berburu  babi.
Maka perkara itu  oleh kedua orang  Bangkahulu itu (adik beradik)  itu berjumpa dengan Penghulu Mukim Batu Talam ,  YM Tengku Zohri .  Diceritakan akan ehwal keadaan kerugian mereka.  Maka diputuskan oleh YM Tengku Zohri akan Isnin nanti  dibawa bicara menentukan siapa bersalah dan jumlah denda. 
 Dengan takdir Allah, berjumpalah dia dengan  ketua kumpulan Cina yang berburu babi itu di atas  jambatan kayu  Batu Malim.  Akan si abang  Bangkahulu itu memarahi  Cina itu kerana perbuatan biadap memusnahkan kebunnya.  Dia mengajak ketua Cina itu mengadap YM Tengku Zohri untuk diadili.   Akan  ketua Cina itu memandang remeh   tuntutan ganti rugi itu. Ditinju  ketua Cina berburu babi itu akan   orang Bangkahulu (abang)  sampai jatuh terduduk.  Melihat hal itu si adik terasa sangat tercabar lalu melompat ke belakang Cina itu, dicabutnya parang tapik lalu ditetak di leher Cina itu.  Mati di situ juga akan  Cina yang bongkak itu.
Melihat keadaan itu, kecohlah Pekan Batu Malim.  Namun akan orang tua-tua di situ baik Melayu atau Cina cuba meleraikan  anak-anak muda daripada bertumpah-tumpah darah. Redalah keadaan tersebut  dan hal itu dilapor ke Penghulu   Tengku Zuhri  untuk  diadili.
            Namun begitu menjelang  Subuh  pada 11 Februari  1948 itu,  kedengaran  riuh rendah  orang  Cina bersorak-sorak di pangkal jambatan  Batu Malim. Hal  itu kedengaran  juga sampai ke rumah Tengku Zuhri.   Akan  orang Melayu  yang mendiami  rumah  berhampiran  jambatan  kayu  berbincanglah mereka  akan keadaan orang  Cina yang bersorak-sorakan itu.  Antara mereka  ialah Yoep Yahaya, anaknya  Lehot dan jirannya  Abu Bakar  mengambil  keputusan  untuk meninjau  ehwal Cina yang bersorak itu.  Akan Yoep Yahaya itu orang dari Lambor Kanan, Perak berhijrah ke Batu Malim. Dia bekerja menarik kayu balak menggunakan kederat kerbau  dan berkahwin dia dengan  Sitam anak   Abd.  Rashid   .  Akan Uda Ghafar itu anak   Penghulu Mat Akil yang menjadi  pengikut Maharaja Lela untuk urusan membunuh J.W.W. Birch.  Akan isteri Uda Ghafar itu bernama Teh  Mahyah  anak kepada Imam
Rasu (tok Gajah? –tiada pengesahan)
Berbekalkan semangat hendak berunding,  Yoep Yahaya membawa  parang sebagai senjata,selaras senapang   dan sekotak peluru.  Senapang dan peluru itu sebenarnya kepunyaan OCPD Raub .  Beliau meminjam senapang itu untuk tujuan berburu binatang hutan.  Kebolehan Yep Yahaya menembak dengan baik kerana dia bekas ahli Force 136 yang ditubuh British semasa pemerintahan Jepun.   Pada waktu penjajahan Jepun itu ada 49 orang yang menyertai pasukan Force 136 ini.   Sementara Abu Bakar  pergi  ke reban ayamnya lalu membawa keluar  dua biji bom tangan  yang diperolehnya daripada Jepun  yang  telah berundur dari Malaya.  Disandang  parang panjang  juga sebagai senjata.  Akan Lehod  turut membawa  para panjang sebagai senjata.  Pergilah  Yoep Yahaya, Lehod anaknya dan Abu  Bakar   hendak  berunding  apa yang dimusykil  oleh orang-orang Cina yang bersorak itu.
Kelihatan   lebih dua  ratus orang lelaki  Cina  berkumpul  siap bersenjata  pedang dan parang di pangkal jambatan.   Yoep Yahaya , Lehod dan  Abu Bakar   dapat merasakan  pertumpahan darah  akan berlaku  jika  silap  perundingan.  Dilaung mereka  tujuan mereka datang hendak berunding.   Akan orang Cina itu apabila melihat cuma  tiga orang Melayu  yang bersenjata  berjalan ke arah mereka, orang-orang Cina bersorak riuh rendah .  Tidak diketahui  apa buah kata mereka.   Kemudian mereka  mara  berlari-lari  bagaikan hendak memarang  apa sahaja yang ada  di hadapan mereka.  Akan  Yoep Yahaya  terus-terusan  menembak  ke  arah  orang Cina .  Terhenti hasrat orang Cina untuk segera mara.
Mendengar  kekecohan  bunyi  tembakan senapang    datanglah orang Melayu  membantu  Yoep Yahaya , Lehod dan Abu Bakar.   Menyerbulah mereka ke arah Pekan Sari yang pada waktu itu ada  peniaga Cina berniaga.  Akan peniaga Cina dan  buruh Cina lombong Kampung Pulai yang tiada bersenjata  terlibat sama dalam pergaduhan itu.  Maka ramai orang Cina yang cedera dan mati  bergelimpangan. Akan orang Cina  yang masih berbaki, berpecah mereka  kepada beberapa kumpulan.  Satu kumpulan mengepung rumah Abu Jamal.(ayah Abu Jamal berasal dari Lambor Kiri, Perak.      Akan Abu Jamal  keluar dengan parang  panjang.  Diserbu oleh orang Cina  kepadanya.  Sedemikian handal silat Abu Jamal, sama handal  juga silat orang-orang Cina itu.  Dalam satu tetakan,  putuslah jari kelingking  Abu Jamal dan parang orang Cina mengguris sedikit di tengkuknya sebelah belakang telinganya.  Melihat  Abu Jamal  dicederakan oleh orang  Cina,  jirannya bernama  Abdul Rahman  meluru dengan keris.  Ditikam  orang Cina yang mencederakan Abu Jamal.    Tidak  lut keris itu terkena tubuh  orang  Cina itu.  Lalu Abdul Rahman  menikam tanah dan setelah itu  menikam semula orang Cina itu. Ketika tikaman itu terkena tubuh orang Cina itu, segera dipegang  tengah keris itu oleh orang Cina itu lalu dipatahnya besi keris itu.  Larilah orang Cina itu entah ke mana.
Akan seorang pemuda bernama Mukmin, bersilat dia di Pekan Sari. Tiadalah orang Cina hendak beradu tenaga dengannya.  
            Akan pergaduhan itu akhirnya reda.   Ramai sekali orang Cina yang  mati.  Mayat mereka dicampakkan  ke dalam  Sungai Lepeh  .  Bersimbah merahlah air Sungai Lipis pada waktu itu. Akan pergaduhan itu segera ditenteramkan oleh tentera Gurkha dan Punjabi yang datang dari Raub.  Beberapa orang yang terlibat dalam pergaduhan itu antaranya Yeop Yahaya, Lehot, Hamzah , Abdul Rashid dan lain-lain ditangkap dan dibawa ke rumah Pasong Kuala Lipis.  Dalam  perjalanan menuju  ke Kuala Lipis itu, ramailah orang di kiri kanan jalan di Dong, Sega, Benta dan Penjom melambai tangan ke arah mereka menyifatkan mereka adalah pahlawan orang Melayu yang berani.    Di Kuala Lipis, Lehot demam teruk lalu dihantar ke hospital Kuala Lipis.  Namun agak lama dia tidak dipedulikan  oleh pihak hospital kerana mereka menyangka Lehot seorang pembunuh yang ganas.  Dalam keadaan itu, Lehod khabarnya telah bertempik meminta dirawat  sehingga semua doktor memberi perhatian kepadanya.  Semua yang dituduh itu kemudiannya dibawa ke Pusat Tahanan Batu Gajah.
Dalam pergaduhan itu, dua orang  Melayu  Bangkahulu terkorban lalu  dikebumikan  berhampiran dengan rumah  Penghulu Tengku Zuhri.   Menurut bilangan  orang kampong, seramai 158 orang Cina terbunuh  dan 58 orang cedera.   Namun  begitu dalam rekod   pengkaji sejarah dicatat cuma  seramai 30 orang Cina  terbunuh termasuk 10 orang kanak-kanak Cina dan dua orang Melayu. Seramai 16 orang Cina dan 10  orang Melayu mengalami kecederaan.

            Dalam  keadaan  yang  sangat  tegang itu, seorang  Cina  lelaki  merayu diberi perlindungan.  Akan Cik Tanjung, disimpannya Cina lelaki itu di rumahnya  untuk beberapa ketika tanpa diketahui  oleh orang Melayu  Batu  Malim.  Akan anak Cina  yang diselamatkan  ayahnya oleh  Cik Tanjung masih ada dan selalu juga  balik ke Batu Malim.

             Selain itu juga, antara kesah yang saya dengar maka pada hari Isnin berlakunya peristiwa mandi darah itu berkebetulan pada hari itu  berlangsung  pekan sari di Batu Malim. Maka berdukacitalah sedikit Guru Besar Sek.Melayu Batu Talam apabila dia mendapati ramai sangat murid tidak hadir ke sekolah. Fikirnya anak-anak muridnya yang tak datang itu berleka-leka gamoknya di pekan sari. Lalu guru besar itu yang bernama Jisat bin Abdul Ghani bin Mat Som  bin Tok Jamaludin bin Tok Ngah Janggut bin Tok Aya. Tok Aya bin Tok De Abdul Rahman bin Tok Koris isterinya Tok Itam Mas Pahang. Tok Itam Mas Pahang binti tok Kaya Ibrahim.
            Adapaun Cikgu Jisat itu beranakkan Cikgu   Dasimah yang bersuamikan cikgu Mat Amin.
            Tuan Guru Besar itu (Jisat) mengambil keputusan mencari anak-anak muridnya di pekan sari Batu Malim. Berjalan kakilah ia diatas jalan raya yg tidak bertar bertemankan sebilah parang. Parang itu tidak bersarung. Adapun jalan dari sekolah ke Batu Malim masih hutan belukar. tidak ada sebuah rumah didirikan disepanjang jalan itu.
            Di dalam perjalanan itu maka ditakdirkan Allah lalu trak polis barangkali tujuannya ialah ke Batu Malim untuk meninjau keadaan yang sedang huru hara itu, terus menahan cikgu Jisat dan dibawa ke Balai Polis Raub. Cikgu Jisat pun ditangkap polis lalu ditahan dan dimasukkan ke kem tahanan Tg Beruas selama 5 tahun tanpa bicara.
                Tempat Cikgu Jisat yang kena tahan jadi kosong. Lalu selang beberapa lama maka diperintahkanlah oleh Jabatan Pelajaran menukarkan Cikgu Mohd Zabidi bin Gendut dari Sek.Melayu Tg.Gahai Lipis ke sek.melayu Batu  Talam menggantikan cikgu Jisat

8 ulasan:

  1. AssalamualaikumWBT
    Saya tidak tahu tentang kejadian ini sebelum ni. Saya mendapat klu dari buku yang ditulis oleh Syed Husin Ali (2008).
    Terima kasih.

    BalasPadam
  2. Walaupun sudah berlalu masa, peristiwa ini masih diceritakan bagi menguatkan semangat membela tanah air daripada gangguan musuh.

    BalasPadam
  3. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  4. Bangga dengan arwah datuk saya Yeop Yahaya..
    al-fatihah..

    BalasPadam
  5. Org bangkahulu yg terbunuh itu adalah datuk saya sebelah bapa

    BalasPadam
  6. Org bangkahulu yg terbunuh itu adalah datuk saya sebelah bapa

    BalasPadam
  7. Org bangkahulu yg terbunuh itu adalah datuk saya sebelah bapa

    BalasPadam
  8. Waktu kejadian ini, pengaruh komunis sangat kuat di Raub. Selain Batu Malim, berlaku penculikan orang Melayu oleh Komintang. Mereka ditangkap di Pekan Sehari Sega lalu dibawa di satu tempat beranama Punggut, di Hulu Teridi, Sega. Tidak ada cerita kepulangan mereka selepas itu.

    BalasPadam