TOK KELI PENGHULU SEGA



            Salah seorang Penghulu yang terkenal di Lembahan Lipis ialah Tok Keli.  Beliau dilahirkan di Sega Lama sekitar tahun 1833.   Asal keturunan beliau dapat diuruti seperti berikut iaitu Tok Keli bin Tok Muhamad bin Tok Aya (Yahya) bin Tok De Abdul Rahman anak Itam Mas Pahang (suaminya Tok Koris – Kota Labu, Kelantan) binti Tok Kaya Ibrahim.     Ibu   Tok Keli bernama  Tok Ngah keturunan Tok Mansor (Bugis) 
            Beliau menjawat jawatan Penghulu Mukim Sega  sejak zaman pemerintahan Bendahara Ali iaitu sekitar tahun 1853M  bertanggungjawab sepenuhnya kepaa pentadbiran Orang Kaya Lipis (Tok Kaya Hasan).   Sehingga tahun 1892, ketika penyusunan semula Penghulu Raja, nama Tok Keli masih diangkat sebagai Penghulu Sega.
Sepanjang tempoh pentadbirannya, banyak peristiwa penting dapat dicatat.  Antaranya ialah:

i. Berperang ke Selangor
            Akan berlakunya perang saudara di Selangor (1872-1873) , bergeraklah Tok Keli dengan segala panglima di mukim Sega.  Bersatulah tentera dari Sega dengan tentera dari Penjom pimpinan Orang Kaya Wan Teh, bapa tiga pupunya bergerak ke Genting Sempah.  Dalam kalangan tentera Tok Keli itu dilantiknya  Panglima Juan bin Imam Mohamad , ketua pasukan sayap kiri, Panglima  Abdul Rahman bin Panglima Juan, ketua pasukan sayap kanan. Hj. Abdullah bin Sintam, pembawa tepak sireh.  Mereka kemudiannya bergerak ke arah Kuala Kubu  dan Rawang untuk menghalau tentera Raja Mahadi.    

ii. Membawa Clifford berjumpa Tok Perba Jelai
            Dalam satu peristiwa, Hugh Clifford diberitakan hendak pergi berjumpa Tok Raja di Bukit Betong.   Hal ini dicatat dalam rekod Inggeris  pada  Pada 13 Januari 1887, Weld menghantar Hugh Clifford, yang ketika itu berusia 20 tahun memasuki Ulu Pahang dari Selangor.  Sesampai di Sega, dia menemui Tok Keli dan meminta Tok Keli menghantarnya berjumpa dengan Tok Raja di Bukit Betong.   Akan Tok Keli amatlah dia faham akan kemajuan negeri Selangor di bawah nasihat Inggeris. Tentulah hajat Clifford itu sangat berkait dengan hal hendak memajukkan kawasan Ulu Pahang itu.
            Akan pengikut Tok Keli di Mukim Sega sangat ragu akan  keikhlasan Hugh Clifford kerana  telah pecah khabar  mengatakan  ramai pembesar Pahang yang  tidak suka kepada cara Inggeris hendak meluaskan pengaruhnya di Pahang.  Akan Tok Keli ketika melihat kepada Hugh Clifford, ingin diuji adakah orang putih berakhlak baik atau buruk. Jika berakhlak buruk, dipancung sahaja kepalanya keesokan harinya . Jika berakhlak baik, mesti ditolong untuk ditemukan dengan Tok Raja di Bukit Betong.  Lalu  pada sebelah malamnya, diperintah seorang perempuan tidur di samping Clifford.  Akan Clifford, apabila Tok Keli menduganya sebegitu, tidurlah dia menghadap dinding, tidak disentuhnya perempuan yang berbaring di sisinya.  Maka keesokan harinya, ditanya Tok Keli kepada perempuan itu, apa yang Clifford lakukan kepadanya. Dijawab perempuan itu bahawa Clifford tidak menjamahnya. 
            Mendengar jawapan itu, yakinlah  Tok Keli bahawa  Clifford itu berakhlak baik dan wajarlah dia menghantar  Clifford  menemui Tok Raja di Bukit Betong.
            Lalu dipersiap angkatan menghantar Clifford ke Bukit Betong.  Maka akan  Mat Kilau yang berada di Budu, tidaklah senang hatinya apabila mendengar berita itu.  Diperintah orang-orangnya mengejar angkatan  yang mengiringi  Hugh Clifford. Namun usaha itu tidak kesampaian kerana Tok Keli telah sampai dahulu ke Bukit Betong.  Berbincanglah  Hugh Clifford dengan Tok Raja dan tercapailah beberapa keputusan.
            Oleh kerana Hugh Clifford berhajat hendak menemui Wan Ahmad di Pekan untuk urusan berikutnya; dimasukkan oleh Tok Keli akan Hugh Clifford itu ke dalam tong, dibalut tong itu dengan kain kuning.  Berhilirlah rakit sampai ke penambang di muara Kuala Lipis.  Sesampai di situ, Tok keli memberitahu pengikut Mat Kilau bahawa Tok Raja mengirim hadiah kepada Baginda Sultan di Pekan.  Hadiah itu ada di dalam tong dan tiada siapa diizinkan membuka tong itu tanpa titah  Sultan.  Akan pengikut Mat Kilau, dilepaskan rombongan berakit itu menghilir Sungai Jelai dan rombongan Tok Keli pula mudiklah masuk ke Sungai Lipis untuk balik ke Sega.
            Mat Kilau mendapat khabar akan peristiwa itu.  Berdebar-debarlah hatinya.  Rasa geram kepada Tok Keli atas kerjasama menghantar Hugh Clifford  bertemu Tok Raja  terbuku kepadanya. Namun apakah daya, Tok Keli itu pemerintah sealam-alam Sega, lagi pula dia menkah dengan seorang Rawa bernama Ketam.  Perempuan itu  suku sakat MaT Kilau di Temau –Ajai      Akan perempuan itu diletak Tok Keli   tinggal di Kampung Petai berhampiran dengan Kg Chenua  dan kemudian hasil perkongsian hidup dengan Tok Keli, lahirlah seorang anak lelaki bernama Mohd Taibi.

iii. Kehadiran Tentera Kolonal Walker Di Lubuk Petai
            Sesudah menghampiri tahun 1892M, dikhabarkan Inggeris hendak menghapus orang-orang yang tidak bersetuju dengan titah Sultan Pahang.  Maka padawaktu itu, Inggeris sudah memasukkan pengaruhnya di dalam istana Pahang.  Segala pembesar dan penghulu tidak lagi dibenarkan memungut sendiri cukai.  Mereka semuanya akan diberi pencen tahunan bagi saran hidup.  Hal ini menimbulkan rasa ketidakpuasan hati  pembesar dan ramai pembesar menunjukkan sikap penentangan terhadap dasar pentadbiran Inggeris.
            Maka gemparlah akan orang Sega Lama kerana berhampiran Lubuk Petai, berkubu tentera Ingeris pinpinan Kolonel Walker. Pecah khabar Sega Lama akan diserang oleh Inggeris. Selepas itu, Kolonal Walker dan askarnya akan menyerang Budu pula.
            Akan hal itu disampaikan oleh orang kampung kepada Tok Keli. Tok Keli memberitahu dua tiga hari lagi dia akan pergi menghalau orang putih itu. Maka jawapan Tok Keli itu sangat mengusarkan hati orang kampung Sega Lama.
            Setelah tiga hari berlalu, berjalanlah Tok Keli menuju ke tempat orang putih berkhemah berhampiran Lubuk Petai. Dalam perjalanan itu , dia melalui kawasan sawah padi. Dicantas oleh Tok Keli akan sebatang padi. Dibuatnya serunai daripada batang padi itu lalu ditiup serunainya ketika angin bertiup menghala ke khemah askar orang putih.
            Ditiupnya berterusan serunai itu sambil berjalan. Akhirnya Tok Keli sampai ke kawasan khemah askar orang putih itu. Sesampainya di situ, dilihatnya semua askar orang putih itu tidur belaka. Dikejutkan oleh Tok Keli akan semua askar orang putih itu.
            " Sedap sungguh bunyi tiupan seruling tadi," kata Kolonal Walker. " Siapa yang meniupnya sampai kami tertidur."
            " Aku yang meniup seruling itu," kata Tok Keli. " Kalau aku berniat jahat kepada kamu dan pasukan kamu, habis aku lambas semua kepala kamu. Oleh kerana itu, mulai sekarang kamu beredarlah dari sini."
            Mendengar kata Tok Keli itu, Kolonal Walker mengarahkan anak buahnya bersiap-siap meninggalkan mukim Sega.



iv. Membenarkan pembukaan Kampung Sungai Jahit.

            Ada pun Hj. Salim anak Jeliha anak Tok Aki anak Tok De Abdul Rahman  anak Itam Mas Pahang anak Tok Kaya Ibrahim waktu itu tinggal di Ajai; akan anaknya bernama Muhamad Sidik dihajat oleh Tok Keli, Penghulu Mukim Sega hendak dikahwinkan dengan orang Sega. Namun Muhamad Sidik berkehendak bernikah dengan Mas Da anak Tujuan Saka orang Temau. 
            Hal ini dimaklum oleh Hj. Salim ayah Muhamad Sidik kepada Tok Keli. Akan Tok Keli tidak menghalang kerana Tujuan Saka itu orang terbilang dan beragama dari tanah seberang. Selain itu, abang Tujuan Saka bernama Fakeh Khalifah itu bernikah dengan keturunan Baginda Demu yang tinggal di Budu. Akan Tok Keli Penghulu Sega itu juga ada bernikah isteri kedua dengan orang Rawa di Temau melahirkan anak lelaki bernama Mohd Taibi

            Maka dipinang oleh Hj. Salim akan Mas De. Sewaktu hendak dibuat kenduri, dibincangkan adat berkenduri itu dengan Tok Keli.

            “ Tidakkah jadi salah kita Datok pada undang-undang Pahang membuat kenduri bersebelahan ini?

            Maka kata Tok Keli, “ Kalau dengan suruhan sahaya begitu, Tuan Haji buat sahajalah begitu. Tinggal lagi apa-apa hal sahaya akan bertanggungjawab.”

            Lalu dibuatlah kenduri di sebelah keluarga Hj. Salim. Demikian hal itu menjadi perkara pertama-tama berlaku dalam mukim Sega.
Ada pun Hj. Salim itu ialah Tuan Kadi yang pertama dalam wilayah Raub. Dia juga adalah abang tiri kepada Tengku Abdul Samad yang kemudiannya beranakkan Tengku Kudin yang menjadi Penghulu Mukim Gali yang pertama

            Setelah berlaku perkahwinan itu, Tujuan Saka memberi maklum kepada Tok Keli akan hajatnya hendak membuka tanah paya di Kuala Sg. Jahit. Maka dipersetujui oleh Tok Keli. Selang beberapa lama selepas perang Gali, Muhamad Arif anak Tujuan Saka (adik beradik Mas Da) diberi surat kebenaran membuka kampung di Kuala Sungai Jahit. Sebahagian kawasan kampung yang diberi kebenaran itu diberi pula oleh Muhamad Arif kepada sepupunya bernama Hajah Sarifah anak Fakeh Khalifah.

            Demikian terikatlah di Sungai Jahit itu kekerabatan mereka dengan orang sebelah Sega dan orang sebelah Budu.

            Maka masa membuka Kuala Sungai Jahit itu hampir bersamaanlah dengan masa membuka Kampung Durian Sebatang, Kuala Dong, Temau dan Ajai

v. Tidak Menghadiri Majlis Sultan

            Maka sejak Wan Ahmad menerima gelaran Sultan, tidaklah Tok Keli itu datang mengadap ke istana Pekan atau menghadiri mana-mana majlis Sultan.  Itu disebabkan rasa kecewanya beliau kerana pihak istana menerima pengaruh Inggeris.  Hal itu bersabit juga dengan rasa sakit hatinya atau tindakan Sultan tidak menghalang Inggeris daripada membakar kampung Budu.  Akan kampung Budu itu didiami oleh waris-waris Tok Keli sama ada daripada keluarga Baginda Demu atau pun keluarga orang-orang Rawa yang tinggal di Budu itu.
            Jadi untuk menguruskan segala rekod pentadbirannya di Mukim Sega itu, diarah sahaja Khatib  ( Kerani ) Ipeh bin Imam Long yang tinggal di Kuala Atok menghantar laporan tersebut ke istana.  Maka dalam menjalankan tugas itu berkali-kali ke Pekan, terasa sukar juga bagi Khatib Ipeh untuk mencari tempat tinggal di Pekan itu.  Lalu dia pun bernikah dengan Siti Hawa , orang Langgar.  Akan isterinya itu dibawa balik ke Kuala Atok.  Dari isterinya itulah berzuriat anak bernama Nong dan Siti Ada.  Akan keluarga Nong itu kemudiannya mendiami Kampung Kuala Atok .  Keluarga Siti Ada itu membuka pula satu kampung kecil dalam Kampung Kuala Atok itu iaitu kampung Pulai.
            Maka ketidakhadiran Tok Keli itu ke majlis Sultan Pahang itu dalam maklum Wan Ahmad.  Maka alasan ketidakpuasan Tok Keli bersebab ketidakhadiran tersebut tidaklah menimbulkan murka Sultan melainkan selalulah disebut oleh Wan Ahmad itu kepada Khatib Ipeh iaitu,” Tak mengapalah Tok keli itu tidak hadir ke majlis Beta kerana Beta tahu beliau sayang sangat kepada kubangnya  (sindiran akan ikan keli tidak mahu meninggalkan kubang).  Maka perkataan itu disampai kepada Tok Keli oleh Khatib Ipeh.  Akan Tok Keli tidaklah dijawab apa-apa akan sindiran Wan Ahmad itu.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan