ERTI ISLAM DALAM PERLEMBAGAAN

SEGARKAN PENAFSIRAN ISLAM DALAM PERLEMBAGAAN NEGARA

Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang diperlengkap dan diperkukuh dengan beberapa peruntukan lain telah memartabatkan Agama Islam sebagai agama bagi Persekutuan. Penafsiran Islam sebagai religion dengan menyempitkan pengertian agama setakat ibadah sepatutnya diketepikan.

Hal yang demikian kerana Islam yang sudah diamal sejak 1297 di Pasai dan sebelum 1326 di Terengganu sudah menafsirkan dengan jelas bahawa Islam ialah sistem yang syumul merangkumi seluruh aspek hidup, Islam adalah negara dan watan, pemerintah dan umat, akhlak dan kekuatan, rahmat dan keadilan, kebudayaan dan undang-undang, ilmu dan kehakiman; Islam merangkumi material dan harta benda, usaha dan kekayaan, jihad dan dakwah, tentera dan fikrah, akidah yang benar dan ibadat yang sah.

Insan yang menerima Islam sebagai pegangan agamanya, memiliki ikatan dan komitmen yang mendalam kepada Tuhan Maha Pencipta. Islam adalah Addin, satu cara hidup yang lengkap dan berkesinambungan, mengaitkan kehidupan di alam dunia dan di alam akhirat.

Dalam undang-undang negeri Perak, Johor , Pahang dan Terengganu sejak 1600 sudah membuktikan bahawa Islam itu adalah Ad-deen yang sudah sebati diamalkan dalam masyarakat negeri-negeri Melayu.

Ya, kenapa perlu ditafsir kepada tafsiran lain.

Islam sebagai agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, Tanah Simpanan Melayu diperuntuk dan dipertahankan, kedudukan istimewa Orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain dilindungi, kedaulatan Raja-Raja Melayu memer...intah Negara kekal terjamin.

Perkara-perkara ini tidak boleh dipinda di dalam Perlembagaan semata-mata melalui suara majoriti dua pertiga ahli-ahli Dewan Rakyat atau ahli-ahli Dewan Negara tanpa perkenan Raja-Raja. Perkara-perkara ini tidak boleh sewenang-wenangnya dijadikan modal politik untuk kepentingan politik. Perkara-perkara tersebut adalah prinsip asas, prinsip utama yang tidak boleh sama sekali diperdagangkan. (Raja Nazrin - lihat http://www.islam.gov.my/sites/default/files/bahagian/bpict/titah_diraja.pdf )

SEJARAH BERMULANYA BERKENDURI DUA BELAH PIHAK DI MUKIM SEGA

Ada pun sesetengah perkara dilarang atas rakyat Pahang tatkala dahulu-dahulu iaitu pertama membuat bumbung rumah dengan cara bErbumbung lima. Kedua, membuat rumah beranjung. Ketiga, membuat rumah bertangga papan berpahat. Keempat membuat kenduri kahwin bersebelahan di antara pihak laki-laki dan pihak perempuan. Maka segala perkara yang tersebut itu tidak boleh diperbuat oleh rakyat Pahang kerana perkara-perkara tersebut khas bagi raja-raja sahaja. Sesiapa rakyat yang berbuat seperti itu nescaya akan dihukum atasnya dengan hukuman yang berat.

Ada pun Hj. Salim anak Jeliha anak Tok Aki anak Tok De anak Itam Mas Pahang anak Tok Kaya Ibrahim waktu itu tinggal di Ajai; akan anaknya bernama Muhamad Sidik dihajat oleh Tok Keli, Penghulu Mukim Sega hendak dikahwinkan dengan orang Sega. Namun Muhamad Sidik berkehendak bernikah dengan Mas Da anak Tujuan Saka orang Temau. Hal ini dimaklum oleh Hj. Salim ayah Muhamad Sidik kepada Tok Keli. Akan Tok Keli tidak menghalang kerana Tujuan Saka itu orang terbilang dan beragama dari tanah seberang.

Maka dipinang oleh Hj. Salim akan Mas De. Sewaktu hendak dibuat kenduri, dibincangkan adat berkenduri itu dengan Tok Keli.

“ Tidakkah jadi salah kita Datok pada undang-undang Pahang membuat kenduri bersebelahan ini?

Maka kata Tok Keli, “ Kalau dengan suruhan sahaya begitu, Tuan Haji buat sahajalah begitu. Tinggal lagi apa-apa hal sahaya akan bertanggungjawab.”

Lalu dibuatlah kenduri di sebelah keluarga Hj. Salim. Demikian hal itu menjadi perkara pertama-tama berlaku dalam mukim Sega.

Ada pun Hj. Salim itu ialah Tuan Kadi yang pertama dalam wilayah Raub. Dia juga adalah abang tiri kepada Tengku Abdul Samad yang kemudiannya beranakkan Tengku Kudin yang menjadi Penghulu Mukim Gali yang pertama

Misteri Kota Gelanggi


Novel: Misteri Kota Gelanggi
Status: Novel Remaja
Penulis: Hasanuddin Md Isa
Penerbit:  Penerbitan IlhamBaru, Kuala Lumpur.
Editor:  Baharudin Ali Masrom Al-Haj
Sinopsis.

                Amin, Musa, Lim, Samy dan Mohan merancang untuk membuat penyelidikan kerja kursus mata pelajaran Sejarah.  Kawasan yang hendak diselidik ialah sejarah Kota Gelanggi di Jerantut, Pahang.
                Dengan  bantuan En. Imran, seorang petugas di Museum Negara, mereka mendapat maklumat berhubung lokasi dan sejarah ringkas Kota Gelanggi.  Ini menambahkan semangat mereka untuk membuat penyelidikan.  En. Imran meminta Amin dan rakan-rakannya mendapatkan kerjasama En. Limen yang tinggal di kawasan perkelahan Sg. Salan untuk kerja-kerja penyelidikan selanjutnya.
                Di rumah En. Limen, mereka diperkenalkan dengan Cikgu Joned.  Cikgu Joned menerangkan lagenda Kota Gelanggi kepada mereka.  Selain itu juga, Cikgu Joned membawa Amin dan rakan-rakannya menunggu durian gugur di dusunnya.
                Pergerakan ke kawasan Kota Gelanggi tidak berjalan lancar.  Cikgu Amran yang sepatutnya sampai ke kawasan perkelahan Sungai Salan  tidak dapat sampai pada waktu yang dijanjikan.  Hal ini disebabkan kereta yang dipandunya mengalami kerosakan tayar.  Anak saudar En. Limen yang menyatakan kesanggupan untuk menemani mereka tidak muncul-muncul.
                Akhirnya perjalanan ke lokasi Kota Gelanggi diteruskan setelah mendapat kebenaran Cikgu Amran.  Sesampainya di kawasan berhampiran kota itu, Ali dan rakan-rakannya mendirikan khemah berhampiran sebatang sungai.
                Setelah selesai membersih kawasan perkhemahan, mereka dikunjungi oleh Pak Suki.  Pak Suki memberitahu mereka bahawa kawasan tersebut tidak selamat dan berpuaka.  Mereka dinasihat supaya meninggalkan tempat tersebut. Lim dan Mohan tidak berpuas hati terhadap kata-kata Pak Suki itu.  Pak Suki mengajak Lim dan Mohan masuk ke dalam kota bagi membuktikan kata-katanya adalah benar.
                Lim dan Mohan diperangkap oleh Pak Suki di dalam Kota burung.  Amin, Musa dan Samy berusaha untuk menyelamatkan rakan-rakannya itu.  Dalam usaha mereka itu, Amin dan Samy ditangkap oleh  Jamin dan Pian yang menjalankan kegiatan pengedaran dadah di kawasan Kota Gelanggi itu.  Namun begitu, dengan kebijaksanaan Lim dan Samy, akhirnya mereka dapat melepaskan diri dan menghubungi pihak berkuasa Polis untuk menangkap Pak Suki, Pian dan Jamin. 



Sedutan dari novel:

SAMY  jemu benar menunggu Musa dan Amin.  Dia cuba melayani fikirannya sendiri.  Tiba-tiba sahaja dia teringat Sundramoorty, bapanya.  Tentu bapanya berasa susah hati jika bapanya itu tahu betapa kusutnya perjalanan penyelidikan yang sedang dilakukan oleh anaknya.
            “ Samy!”
            “ Samy! “
            “ Samy! “ Kedengaran suara memanggilnya.
            Samy cuba mengecam suara siapa itu.  Pasti itu suara Musa, fikir Samy.
            “ Samy!  Kamu berada di mana? “
            “ Aku berada di sini! “ jerit Samy.
            Musa mendapatkan Samy di tempat persembunyian Samy.  Tempat itu terletak di belakang semak-samun yang melindungi pandangan dari kawasan hadapan terowong Kota Burung.
            “ Kamu jumpa Lim dan Mohan? “  Samy segera bertanya.
            “ Tak jumpa.”
            “ Apa yang terjadi kepada mereka? “
            “ Aku tak pasti,” jelas Musa. “ Tapi  Amin meminta kamu turut membantunya di dalam terowong sana.”
            “ Apa yang sudah berlaku? “
            “ Perjalanan kami dihalang oleh runtuhan batu di terowong sempit,” jelas Musa. “ Kita perlu membuang batu-batu besar itu untuk mencari jejak Lim dan Mohan.”
            “ Jadi, aku juga perlu   memasuki terowong ini? “
            “ Begitulah kata Amin,” ujar Musa. “ Malah kita perlu pantas bertindak bagi membolehkan kita mengesan jejak Lim dan Mohan.”
            “ Tapi bagaimana jika kita semua terperangkap nanti? “ soal Samy.
            Musa berfikir sejenak.
            “ Apa yang harus kita lakukan? “ soal Musa kembali.
            “ Aku fikir kita perlu tinggalkan mesej,” cadang Samy.
            “ Hendak tinggalkan kepada siapa? “
            “ Kita tulis satu surat dan selitkan pada pokok atau batu di sini.”
            “ Bagaimana jika mesej itu dijumpai oleh penjahat? “
            “ Kalau penjahat tak jumpa pun , kita memang masuk ke satu tempat yang mudah kita diperangkap.”
            Musa mengangguk-anggukkan kepala.
            “ Jika begitu, elok kita tulis mesej itu,” kata Musa.
            Samy mengeluarkan telefon bimbitnya.  Satu mesej ditulis .
            Cikgu Amran,
            Kami masuk ke dalam terowong Kota Burung.  Selamatkan kami jika kami belum keluar sebelum jam empat petang ini. – Samy/10.30am-Rabu
            Setelah selesai menulis mesej itu, Samy membiarkan sahaja telefonnya dalam keadaan berfungsi.  Dia berhasrat akan sentiasa mengesan talian telefon sepanjang jalan masuk ke Kota Burung nanti.
            “ Ayuh kita pergi,” ajak Samy.
            Musa mendahului perjalanan.  Ketika memasuki terowong Kota Burung itu, dia, memasang lampu dan berjalan dengan pantas.  Samy mengekorinya dan turut berjalan pantas juga.
            “ Masih jauhkah perjalananan kita ini? “ Samy bersuara.
            “ Kira-kira seratus meter lagi,” beritahu Musa.
            Mereka meneruskan perjalanan. Terowong itu semakin gelap.  Lampu picit yang dipegang oleh Musa cuma dapat memancarkan cahaya sekitar dua puluh meter ke hadapan sahaja.
            “ Tunduk,” jerit Musa.
            Samy terkejut dari lamunannya.  Segera dia menundukkan kepala.  Ratusan ekor burung kelawar berterbangan di atas kepala mereka.  Lima minit kemudian, baharulah semua burung kelawar itu tidak lagi kedengaran meluru di kawasan terowong itu.
            “ Dari mana datangnya burung-burung itu? ‘ soal Samy.
            “ Burung-burung itu memang bergayutan di dinding terowong.  Apabila cahaya lampu suluh mengenai mata burung-burung itu, burung itu kesilauan dan lari bercempera,” beritahu Musa panjang lebar.
            Mereka meneruskan perjalanan.  Setelah melalui kawasan bencah-bencah air, akhirnya mereka nampak cahaya lilin berkelip-kelip di hujung terowong.
            “ Amin! “ seru Samy.
            “ Saya di sini! “ jerit Amin.
            Akhirnya mereka sampai berhampiran Amin.  Bajunya basah lenjun oleh curahan peluh.  Setimbun batu dilonggokkan oleh Amin di tepi terowong itu.
            “ Ada tiga batu besar yang menyekat laluan ke hadapan,” beritahu Amin.  Dia menunjukkan ketiga-tiga biji batu yang dimaksudkan.
            “ Aku fikir kita boleh mengalih batu itu,” kata  Musa.
            “ Aku fikir pun begitu,” kata Samy.
            Setelah memeriksa kedudukan batu-batu yang menghalang perjalanan dalam terowong itu, akhirnya mereka berjaya juga membuka laluan perjalanan.
            “ Seperti yang saya jangkakan,  memang terowong ini masih jauh ke hadapan,” kata Amin.
            “ Berhati-hati melalui kawasan runtuhan batu-batan ini,” beritahu Amin.  Dia menyambung kata lagi, ”  Bumbung terowong ini nampaknya banyak rekahan.  Mungkin akan roboh bila-bila masa sahaja.”
            Mereka berjalan berhati-hati melintasi kawasan terowong paling sempit itu.  Setelah  berada di tempat yang agak selamat, mereka berkumpul semula.
            “ Ini mungkin jejak Lim dan Mohan,” Musa bersuara sambil lampu picitnya di suluh ke kesan lumpur di lantai terowong.
            “ Nampaknya mereka bergerak ke hujung terowong ini,” Amin membuat andaian.
            “ Kita mesti teliti  dan berhati-hati,” Samy membuat saranan pula.
            “ Ikat tali keselamatan ke pinggang,” arah Amin. “ Saya dapati di hadapan sana laluan yang tidak rata.”
            Musa dan Samy mengikut arahan Amin.  Pergerakan mereka didahului oleh Amin kemudian Samy dan Musa berjalan di belakang sekali.  Dengan berjalan agak lambat, mereka dapat mengimbangkan badan ketika berjalan di atas batu-batan yang tidak rata.
            “ Berhati-hati.  Ada lubang besar di sebelah kanan sana.  Batu-batan di sini semakin licin,” beritahu Amin lagi.
            Mereka memerlahankan langkah.  Ketika Amin sudah mendekati lubang besar yang dimaksudkan tadi, dia menghentikan langkah.
            “ Mengapa berhenti? ” tanya Samy.
            “ Saya lihat ada kerlipan lampu di dalam lubang besar itu,” beritahu Amin. “ Padamkan semua lampu picit.  Kita perhati siapa yang berada di dalam lubang besar itu.”
            Suasana kegelapan menyelubungi mereka.  Mereka menajam pandang ke arah lubang besar.  Kerlipan lampu itu kadang-kalanya menyuluh ke arah mereka, tetapi suluhan itu tertampan kepada batu-batan di tepi lubang besar.
            “ Kita bergerak ke hadapan sedikit,” kata Amin.
            Mereka bergerak cukup lambat dalam kegelapan terowong itu.  Kira-kira tiga meter mereka bergerak, Amin mengarahkan pergerakan itu dihentikan.  Mereka memandang ke arah lubang besar.
            “ Itu seperti Lim,” kata Samy.
            “ Pastikan betul,” kata Amin.
            Mereka  merenung ke dalam lubang besar.
            “ Memang  Lim,” Musa mengesahkan.
            “ Awasi sekitar kita.  Mungkin ini perangkap,” kata Amin.
            Mereka  mengambil sedikit masa  memasang telinga mendengar bunyi-bunyi yang ada di dalam terowong itu.
            “ Mengapa Lim dikurung di dalam lubang besar itu? “ soal Samy.
            “ Mungkin  Pak Suki mengurungnya di sana,” Musa membuat andaian.
            “ Habis, apa yang perlu kita lakukan,” celah Samy.
            “ Saya akan turun ke dalam lubang besar itu,” kata Amin. “ Kamu dan Samy hendaklah menghulur tali  secukupnya untuk membolehkan saya turun dengan selamat.”
            Dengan menggunakan tali yang dihulur oleh Samy dan Musa, Amin turun perlahan-lahan ke dalam lubang besar.  Akhirnya dia sampai ke dasar lubang. Dengan bersembunyi di sebalik batu besar di dalam lubang besar itu, dia memerhati ke arah kerlipan lampu.
            “ Lim! “ seru Amin setelah pasti Lim yang berada berhampiran kerlipan lampu  itu.
            Lim yang sejak tadi bersandar di tebing lubang tersentak.  Dia bangun dan memerhati ke sekitarannya.
            “ Lim! “ seru Amin lagi.  Dia mengeluarkan lampu picit dan menyuluh ke muka Lim.
            Lim  menghadang mukanya dengan lengan.  Terasa amat silau suluhan lampu ke mukanya.
            “ Aminkah itu? “ tanya Lim.
            “ Ya, saya di sini. Macam mana kamu boleh berada di dalam lubang yang dalam ini.”
            “ Aku terjatuh.”
            “ Mohan di mana? “
            “ Dia pergi mendapatkan bantuan.”
            “ Pak Suki? “
            “ Dia menghilangkan diri sebaik sahaja burung kelawar berlepas lalu di kawasan dekat bencah air.”