Unsur Eufemisme dalam Novel Melayu: Satu Manifestasi Kesopanan Bahasa


Unsur Eufemisme dalam Novel
Melayu: Satu Manifestasi Kesopanan
Bahasa

Disalin dengan izin  Zuraidah Jantan




Pengenalan

Kesopanan bahasa merupakan bentuk bahasa misalnya, kata, frasa atau
rangkai kata, atau ayat dan penggunaan bahasa pula misalnya, cakap
secara berkias atau berlapik atau cakap secara tidak berterus-terang
yang bermaksud untuk berlaku sopan kepada orang yang mendengar
atau diajak bercakap bagi tujuan menghormatinya, di samping
memperlihatkan kehemahan terhadap orang yang bercakap agar dia
dianggap sebagai berbudi bahasa (Teo Kok Seong 2003).

Kesopanan bahasa dalam masyarakat Melayu merangkumi
beberapa dimensi, baik yang bersifat verbal mahupun yang bukan verbal.
Kesopanan bahasa dalam bahasa Melayu boleh dimanifestasikan melalui
beberapa bentuk dan penggunaan bahasa. Terutamanya kesopanan
bahasa yang melibatkan hal-hal yang tidak boleh dibicarakan secara
berterus-terang. Terdapat beberapa topik dalam masyarakat Melayu yang
yang tidak boleh dibicarakan dengan sewenang-wenangnya, terutama di
khalayak. Topik itu dilabelkan sebagai ‘tabu’ terutamanya yang meliputi
seks, fungsi badan tertentu, anggota badan tertentu, urusan hamil serta
bersalin, dan najis. Perkataan dan ungkapan yang ada hubungan tentang
topik ini tidak boleh diucapkan sesuka hati, dan juga tidak boleh ditulis,
terutamanya dalam wacana sopan.

Melalui penelitian, didapati bahawa dalam sesetengah kamus juga
tidak disenaraikan perkataan-perkataan yang dianggap tabu ini. Namun,
topik yang menjadi tabu atau larangan ini masih boleh dibicarakan di
khalayak dengan menggunakan dua cara iaitu ‘sirkumlokusi’
(circumlocution) dan ‘eufemisme’ (euphemism). ‘Sirkumlokusi’
merupakan penerangan yang panjang lebar, dan kadangkala bersifat
berbelit-belit sebagai contoh, perkataan “berak” yang diterangkan dengan
menyebut “melibatkan perbuatan mengeluarkan hampas makanan dalam
perut melalui dubur”.

Manakala ‘eufemisme’ boleh disifatkan sebagai
perkataan yang lebih sopan bagi menggantikan perkataan yang dianggap
sebagai kasar seperti “mati” misalnya digantikan dengan “meninggal
dunia”. Mereka yang bertutur dalam bahasa Melayu, baik di kalangan
orang Melayu sendiri mahupun di kalangan bukan Melayu, hendaklah
mengikuti peraturan yang sudah pun ditetapkan mengenai perbicaraan
topik-topik yang menjadi tabu atau larangan itu. Mereka yang melanggar
peraturan ini, yakni memperkatakan topik seks misalnya, dengan
menggunakan perkataan-perkataan asalnya tanpa dikiaskan melalui
penggunaan ‘eufemisme’ atau ‘sirkumlokusi’, akan dianggap sebagai
tidak sopan.


Eufemisme
Oleh kerana kajian ini hanya melibatkan penggantian ‘eufemisme’, maka
penerangan mengenai ‘eufemisme’ sahaja yang akan dijelaskan secara
mendalam. ‘Eufemisme’ dikatakan berasal daripada kata Yunani yang
bermaksud “pemakaian kata-kata atau pernyataan dalam bentuk
perkataan atau pun frasa yang bersifat lebih lembut dan manis. Melalui
‘eufemisme’, kita memperkatakan sesuatu itu seolah-olah sesuatu itu
tidak bersifat begitu. Sebagai contoh, semasa merujuk kepada “tandas”
sebagai “bilik bedak”. Dengan menggunakan ‘eufemisme’, kita boleh
“mencantikkan” beberapa aspek kehidupan yang pada pandangan
masyarakat dan budaya yang bekenaan itu kurang “cantik”.
Sesungguhnya penggunaan ‘eufemisme’ untuk bersifat sopan ketika
membicarakan misalnya fungsi-fungsi badan yang tertentu ataupun hal
beranak. Dalam masyarakat dan budaya Melayu, biasanya penggunaan
‘eufemisme’ ini sering merujuk kepada sesuatu kata yang dianggap lebih
lembut, atau sederhana, lebih baik atau menyenangkan, dan kurang
berterus-terang sifatnya bagi memperkatakan sesuatu yang mungkin boleh
dianggap kasar, keras, menakutkan, menghina atau menyinggung perasaan
seseorang. Ada pendapat yang beranggapan bahawa ‘eufemisme’ boleh
menukarkan kata-kata tabu menjadi lebih bermakna dan tidak memakan
diri (Teo 2003).

Penggunaan penggantian ‘eufemisme’ bukan sahaja digunakan
untuk melembutkan perkataan yang dianggap kasar atau tidak sopan,
sebaliknya ia juga digunakan terhadap perkataan yang berkaitan dengan
persekitaran masyarakat iaitu berkaitan dengan larangan dan kepercayaan
kelompok masyarakat. Dalam masyarakat Melayu tradisi, konsep
kepatuhan kepada adat dan undang-undang banyak dikaitkan dengan
kepercayaan dan pantang larang. Hal ini demikian, kerana perkaitan
tersebut akan memancarkan hubungan yang mendalam lagi bermakna
antara manusia dengan manusia atau antara manusia dengan alam
sekitarnya, termasuklah alam tabii, alam sosial ataupun alam ghaib dan
setiap perhubungan ini diucapkan sebagai adat yang memberikan satu
penegasan yang khusus melalui sikap, perbuatan dan cara. Hasilnya
lahirlah pelbagai pantang yang menjadi pengongkong. 

Oleh itu, penggunaan ‘eufemisme’ ini dipengaruhi dengan
kepercayaan masyarakat Melayu bahawa unsur tabu dan magis mampu
mempengaruhi hidup mereka dan kalau dilanggar segala pantangnya,
akan mendatangkan implikasi negatif. Justeru itu, maka lahirlah beberapa
ungkapan merendah diri apabila mereka berada di sesuatu tempat yang
agak asing bagi mereka. Mereka kerap membahasakan diri mereka
“cucu” dan mengelar kuasa-kuasa ghaib dengan “tuk”, “nenek”. Keadaan
yang sama juga beralaku apabila mereka berhadapan dengan makhluk
nyata. Pemburu misalnya, langsung tidak mahu menyebut perkataan
“harimau” kerana mereka merasakan bahawa kalau perkataan itu disebut,
mereka akan bertemu dengan binatang itu. Oleh itu, nama “harimau”
digantikan dengan “pak belang” yang dianggap lebih sedap didengar dan
tidak mendatangkan sial.

Menurut Za’ba, penggunaan kata-kata yang lebih tertib ketika
bergaul termasuk dalam “kiasan gayang”. Kiasan ini lebih menumpukan
perhatian kepada penyebutan sesuatu isyarat dengan menggunakan
perkataan yang manis dan berupaya menutup sesuatu perkara yang tidak
elok bunyinya misalnya “kencing” diganti dengan “buang air kecil”.

Dalam masyarakat Melayu, penghinaan juga tidak digalakkan. Sebagai
manusia yang dilahirkan sempurna, mereka tidak seharusnya
mengeluarkan percakapan yang boleh menyinggung perasaan orangorang
yang dilahirkan cacat misalnya “orang buta” ditukar “orang kelam”
manakala “orang gila” ditukar “orang hilang akal” (Hasan, 1991).

Terdapat dua jenis ‘eufemisme’ dalam sesuatu bahasa itu. Jenis
pertama ialah ‘eufemisme’ yang mantap erti serta penggunaannya.
Sebagai contoh, “meninggal dunia” dan “kembali ke rahmatullah” dalam
bahasa Melayu, serta “passed away” dan “be laid to rest” dalam
bahasa Inggeris adalah ‘eufemisme untuk mati. Hal ini merupakan
eufemisme lama. Jenis kedua terdiri daripaad ‘eufemisme yang belum
lagi menjadi kebiasaan di kalangan penutur bahasa yang berkesan. justeru
itu, erti serta penggunaannya masih belum mantap. Sebagai contoh,
“dismiss” dan “make away with oneself” dalam bahasa Inggeris yang
merupakan ‘eufemisme’ baru.

Satu perkara yang penting dapat dilihat tentang penggunaan
eufemisme ialah, eufemisme sering kali digantikan dengan yang baru
kerana yang lama itu atau yang sebelumnya itu menjadi kesat dan tidak
sesuai digunakan lagi. Misalnya, perkataan-perkataan asal tentang “najis’
seperti “jamban” yang pada satu ketika dalam perkembangan bahasa
Melayu setelah menjadi kesat, digantikan dengan “tandas’ sebagai
eufemisme kerana ia lebih halus dan sopan daripada perkataan asal atau
lama. Namun, perkataan “tandas” tidak dapat bertahan lama sebagai
sebagai bentuk yang halus dan sopan kerana selepas beberapa ketika, ia
turut dianggap kasar. bentuk “bilik air” sebagai eufemisme baharu
menggantikan bentuk “tandas”. Kebelakangan ini, terdapat sesetengah
pihak yang kurang senang lagi menggunakan bentuk “bilik air” dan
menggantikannya dengan “bilik bedak” atau “bilik selesa”. Oleh itu,
penggantian eufemisme ini dianggap akan terus berlaku tanpa kesudahan
kerana topik-topik tabu dalam masyarakat dan budaya Melayu. Yang
penting sekali ialah makna perkataan ada kaitan dengan topik-topik tabu
itu tidak lagi terletak pada perkataan, tetapi terletak pada pemikiran
masyrakat dan budaya yang berkenaan.

Justeru itu, pengetahuan dan penguasaan aspek kesantunan
berbahasa ini, yakni dari dimensi tabu atau larangan bahasa bukan sahaja
penting untuk seseorang itu dianggap sopan, beradap, dan beradat, tetapi
yang lebih penting lagi ialah pengalaman perlakuan bahasa Melayu ini
melambangkan bahawa seseorang itu peka serta prihatin kepada nilai
dan sikap tentang penggunaan bahasa Melayu yang dikaitkan dengan
tanggapan atau konsep tahu bahasa.




Faktor-faktor Penggunaan ‘Eufemisme’

Dalam masyarakat yang bersopan santun, kata-kata yang dianggap kurang
sopan atau yang tidak sedap didengar atau dianggap menghina itu biasanya
akan digantikan dengan kata-kata yang lebih bermakna sebagai suatu
jalinan pembentukan peribadi penutur. Penutur yang bermaruah akan
patuh kepada susunan kata yang lebih beradap walaupun ada kata-kata
yang sinonim lain yang tidak sopan boleh digunakan ketika bercakap.
Namun begitu, pemilihan ‘eufemisme’ yang sesuai dilihat bergantung
kepada faktor-faktor tertentu misalnya ‘dengan siapa perbualan itu
berlangsung, konteks perbualandan sebagainya. Faktor-faktor ini akan
dibincangkan melalui data-data yang diperolehi di bawah.
(1) “Betul tuk, lepas tu saya menderita kesakitan sewaktu hendak buang
air kecil, hampir sebulan baru sembuh.” (21.1.1)


Analisis

Buang air kecil” merupakan penggantian ‘eufemisme’ atau isyarat yang
digunakan untuk menutup sesuatu perkara yang tidak elok bunyinya iaitu
“kencing” dengan menggunakan perkataan yang manis. Didapati
penggunaan ‘eufemisme’ ini bertujuan berlaku sopan terhadap orang
yang diajak bercakap yang merupakan orang yang lebih tua dan
berpengalaman. Walaupun dalam konteks ayat ini, penggunaan
‘eufemisme’ yang lebih sopan seperti “melepaskan hajat kecil” juga boleh
digunakan, didapati bahawa kesesuaian situasi juga memainkan peranan
yang penting. Iaitu, situasi ayat di atas digunakan bukankanlah situasi
formal sebaliknya, berlatarbelakangkan kawasan kampung dan antara
watak Dollah itu bukanlah dari golongan yang berpendidikan. Di samping
itu, dalam konteks kini, “kencing” yang digunakan bersama-sama
perkataan lain tidak dianggap kasar, sebaliknya telah menjadi mantap
penggunaannya contoh, “kencing manis’, “kencing darah” yang merujuk
kepada penyakit dan “ujian air kencing”. Penggunaan “kencing” dalam
konteks ini tidak menimbulkan reaksi kasar, acbul, biadap dan
seumpamanya.

(2) “Tanpa Pudin, Lebai Pa merasakan dia sudah lama meninggal dunia
ini setelah hampir dicekik oleh Kidam yang semakin memuncak gila
isimnya.” (211.2.2)

(3) “Sejak saya dilahirkan saya tidak pernah mengecapi kasih sayang
daripada sesiapa saja, ibu saya meninggal sejak saya dilahirkan.” (BW
12.6.2.)

(3) Cucunya lahir hari ini diiringi labah-labah, dan Agus kembali ke
rahmatullah, juga pada hari ini. (BW 16.5.2)

(4) “Mama..Ayu dah pergi meninggalkan kita!” (BW 335.2.2)


Analisis

“Meninggal dunia dan kembali ke rahmatullah” merupakan ‘eufemisme’.
Contoh penggunaannya dalam ayat-ayat di atas dilihat sangat menepati
maksud atau definisi eufemisme iaitu bahasa halus untuk sesuatu yang
kurang baik atau penggantian ungkapan yang kurang baik dan dari segi
konotatifnya. “Meninggal dunia” yang digunakan dalam ayat (2) di atas
boleh sahaja diganti dengan kata yang amat sinonim dengannya seperti
“mati”, “mampus” atau “kojol”. Namun di sini, “meninggal dunia” telah
digunakan oleh Hasanuddin Md. Isa kerana ia konteks penggunaannya
dianggap lebih bersesuaian berbanding dengan konteks ayat sepeti berikut
“Tanpa Pudin, Lebai Pa merasakan dia sudah lama mati setelah hampir
dicekik oleh Kidam yang semakin memunjak gila isimnya.”

Konteks penggunaan frasa “meninggal dunia” ini juga dilihat amat
bersesuaian kerana ia digunakan untuk merujuk kepada seorang lebai.
Dalam masyarakat Melayu, status seseorang itu turut memainkan peranan
penting dalam penggantian eufemisme ini. Lebai merupakan seorang
yang alim, warak dalam agama, dan baik budi pekertinya maka,
penggunaan kata “mati”, “kojol”, dan “mampus” adalah tidak wajar
digunakan kerana akan dianggap kasar dan kurang sopan. Sebaliknya
ungkapan yang berterus-terang seperti “mati”, “mampus”, dan “kojol”
yang agak kasar biasanya digunakan untuk merujuk kepada pencuri,
penjenayah dan benda-benda mati yang lain mengikut kesesuaian konteks.
Hassanuddin boleh juga menggunakan rangkai kata “telah
mendahului kita” atau “kembali ke alam barzah” yang dianggap lembut
bunyinya. Namun, penggunaannya kurang sesuai mengikut konteks ayat
kerana “meninggal dunia” itu membawa maksud perbuatan meninggalkan
alam kekal ini untuk selama-lamanya dengan perbuatan di cekik itu.
Sedangkan jika Hasanuddin menggunakan ‘eufemisme’ yang lain, ini
kurang sesuai kerana di dalam ayat ini Lebai Pa sendiri yang mengatakan
dia hampir-hampir mati. Dalam ayat (1) tersebut juga dilihat tidak sesuai
jika digantikan dengan “kembali ke rahmatullah” seperti yang digunakan
dalam Black Widow di mana, penggunaannya dilihat untuk melembutkan
ucapan agar tidak terlalu mengejutkan kepada pihak yang mendengar.
Penggunaan rangkai kata “pulang ke rahmatullah” biasanya digunakan
oleh orang lain untuk menyampaikan sesuatu berita kematian dan
bukannya untuk dirujuk kepada diri sendiri. Begitulah juga dengan “telah
mendahului kita” atau “kembali ke alam baqa”. Maka, kepekaan
Hasanuddin dalam memilih penggantian ‘eufemisme’ ini sesuai
berdasarkan konteks ayat dan kepada siapa penggantian itu ditujukan
amat baik sekali. Hasanuddin amat teliti memilih penggantian
‘eufemisme’ yang sesuai dan yang penting tepat bersesuaian dengan
konteks yang digunakan.

Penggunaan ‘eufemisme’ “meninggal dunia” didapati amat kerap
digunakan oleh Hasanuddin Md. Isa dalam novel ini. Hal ini mungkin
berlaku kerana jalan cerita novel ini merujuk kepada kehidupan
masyarakat Melayu yang terdapat di sebuah kampung dan juga merujuk
kepada sekelompok masyarakat yang berpegang kuat kepada ajaran
Islam. Dalam masyarakat Melayu, penggunaan kata yang digunakan
untuk tujuan menghormati dan berlaku sopan terhadap pihak yang diajak
bercakap amat dititikberatkan.

(5) “Maha suci Allah yang menjadikan Kidam manusia yang hilang
pertimbangan lalu mencabul dan menghancurkan kehormatan orang
lain.” (MYT 211.2.4)

Analisis

“Hilang pertimbangan” sinonim dengan “gila”, “sasau”, “meroyan”,
“hilang akal”, “tak betul” dan sebagainya. Namun, ia tidak digunakan
kerana penyebutan secara berterus-terang akan mencacatkan gaya
bahasa yang cukup indah di dalam novel ini. Selain daripada itu,
penggunaan kata berterus-terang juga akan menjejaskan keseluruhan
novel yang bercorak keagamaan dan akan dianggap terlalu emosional
dalam mengadili watak. Menurut Teo Kok Seong (2000) dalam
masyarakat Melayu, cakap secara berkias atau berlapik atau cakap secara
tidak berterus-terang bermaksud untuk berlaku sopan kepada orang yang
mendengar atau diajak bercakap bagi tujuan menghormatinya. “Hilang
pertimbangan” di sini membawa maksud seseorang itu tidak berkeupayaan
menggunakan akal warasnya bagi membezakan sesuatu perbuatan itu
baik dan buruk namun, keadaan ini belum sampai ke tahap gila. Jika
Hasanuddin menggantikan hilang kewarasan pula, walaupun ia dianggap
agak menepati konteks ayat tetapi ia lebih cenderung secara jelasnya
merujuk kepada orang gila.

(6) “Pak Dek, jenazah dah sampai!” (BW 14.3.1)

(7) “Di surau tadi, dia beritahu saya Senah meninggal dunia, Uda minta
saya mengimamkan jenazah nanti.” (MYT 53.2.11)

(8) “Kalau gitu kita bincangkan perkara Seman kemudian nanti tapi
sekarang kita selesaikan soal jenazah ini dulu.” (BW 15.2.2)

(9) “Apa lagi yang direnangkan? Angkatlah jenazah itu.” (BW 14.4.2)


Analisis

Dalam contoh ayat-ayat di atas “jenazah” merupakan eufemisme bagi
“mayat” yang merujuk kepada oarang yang telah meninggal dunia bagi
umat Islam. Penggunaan ini bertujuan untuk menghormati keluarga dan
orang yang telah meninggal dunia. Selain itu, penggunaan “mayat” dilihat
membawa konotasi yang negatif dan dianggap kasar serta terlampau
berterus-terang. Dalam masyarakat Melayu, penggunaan kata-kata yang
dianggap tidak sopan akan dianggap sebagai ‘kurang ajar’ dan tidak
tahu menghormati orang lain. Penggunaan ‘mayat’ dalam konteks ayat
di atas dilihat akibat pengaruh dari peranan yang watak. Iaitu merujuk
kepada siapa percakapan itu ditujukan, di mana ayat di atas ditujukan
kepada orang yang dianggap lebih tua dan lebih berpengaruh dengan
menggunakan kata nama “Pak Dek”.

Walaupun novel Balck widow bukanlah sebuah novel yang
berunsurkan agama Islam, namun masih terdapat amalan-amalan agama
Islam yang diterapkannya. Iaitu penggunaan ‘eufemisme’ ini dipengaruhi
oleh konteks budaya masyarakat Melayu. Di mana, ia digunakan dengan
merujuk kepada kematian yang berlaku dalam masyarakat islam.
Penggunaan “jenazah” juga dilihat dapat melembutkan perkataan “mayat”
yang wujud dalam suasana sedih terutamanya. Sebaliknya penggunaannya
boleh mewujudkan suasana yang lebih tenang dan tidak keterlaluan.

Dalam novel Mereka yang Tertewas pula, penggunaan “jenazah”
sememangnya diterapkan keran kesesuaian konteks ataau jalan cerita
yang menggambarkan kehidupan masyarakat yang mengamalkan agama
Islam. Selain itu, penggunaan “jenazah” dilihat lebih khusus
penggunaannya berbanding ‘mayat’ contohnya ‘mayat’ boleh sahaja
membawa kepada maksud yang lain contohnya dengan penggunaan
“mayat hidup” yang merujuk kepada seseorang yang hidup tapi tidak
mempunyai apa-apa kepentingan atau sebatang kara.

(10) Tapi malam itu perbincangan dan perbahasan adalah mengenai
perlakuan kidam yang mencabul kehormatan Tijah…” (MYT 191.1.4)

(11) “Kidam…Kidam menjamah tubuh saya.”(MYT 175.5.2)
(12) “Tolonglah Lebai… tolonglah pulihkan anak saya itulah satu-satunya
anak saya di dunia ini. Soal dia mencabul kehormatan Tijah itu, biarlah
kita adili bersama bila Kidam itu sembuh nanti.” (MYT 196.4.2)

(13) Maha suci Allah yang menjadikan Kidam manusia yang hilang
pertimbangan lalu mencabul dan menghancurkan kehormatan orang lain.
(MYT 211.2.4)

(14) Mengapa Murad sanggup menodainya sedangkan dirinya terlalu
sayang dan percaya? (BW 179.1.3)

Analisis

“Mencabul, menjamah tubuh, dan menodai” pula merupakan ‘eufemisme’
sebagai ganti kepada kata “merogol” atau “memperkosa”. Cara ini
digunakan oleh penulis untuk mengelak daripada menggunakan katakata
yang kurang baik, kasar, dan dianggap tidak sopan. Dalam contoh
ayat (10), penggantian “mencabul” digunakan kerana novel ini merupakan
sebuah novel bercorak keagamaan, maka penggunaan kata atau gaya
bahasa yang digunakan juga haruslah menepati corak keagamaan yang
terdapat dalam novel ini.

Dalam contoh ayat (11), “menjamah tubuh” telah digunakan bagi
menggantikan maksud “diperkosa”. Hal in dipengaruhi oleh peranan yang
dimainkan oleh watak. Di mana, Tijah seorang perempuan yang telah
dirogol tidak seharusnya menggunakan perkataan yang terlampau
berterus-terang kerana akan memalukan dirinya sendiri. Ini disokong
oleh pendapat Teo Kok Seong (2000) yang mengatakan, amalan bahasa
tidak berterus-terang adalah tema atau perkara yang penting dalam budaya
Melayu.  Oleh itu, tema novel ini yang bercorakkan keagamaan didapati telah
memainkan peranan penting dalam menentukan unsur penggantian

 Hasanuddin telah menggunakan unsur penggantian
eufemisme untuk mengindahkan karyanya di samping untuk menegakkan
gaya bahasa keagamaan itu sendiri. Selain bertujuan untuk menjaga hati
dan perasaan para pembaca yang akan menganggap novel ini
mengandungi unsur yang baik dan gaya bahasa yang indah berunsur
keagamaan.

(15) “Terimalah jika ada lelaki yang benar-benar ikhlas untuk
mengambilmu sebagai teman hidup” (MYT 41.8.4)

(16) “Orang perempuan saya di rumah tadi ada menyampaikan pesan
bahawa imam hendak berjumpa dengan saya…” (MYT 100.4.4)


Analisis

“Teman hidup dan orang perempuan” dalam ayat di atas merujuk kepada
“isteri” atau “bini” iaitu perempuan yang telah dinikahi oleh seorang lelaki.
Kata lain yang digunakan untuk merujuk kepada ‘isteri’ ialah “bini” dan
orang “rumah”. Penggantian ‘eufemisme’ “Teman hidup” dan “orang
perempuan” dalam novel Mereka Yang Tertewas bertujuan untuk
melembutkan lagi perkataan “isteri” itu. Dalam konteks ayat (15), “teman
hidup” digunakan oleh Lebai Pa ketika dia berbicara dengan Mimah
yang amat sedih kerana tidak dapat mengahwininya. Oleh itu, untuk
tidak menyinggung perasaan Mimah, penulis cuba melembutkan ayat
tersebut. “Orang perempuan saya” masih lagi merujuk kepada “isteri”
dan merupakan ‘eufemisme’ yang sungguh lembut dan sopan, namun
dalam masyarakat Melayu biasanya ia hanya digunakan di kawasankawasan
luar bandar. “Orang perempuan saya” dalam ayat (16),
digunakan oleh Lebai Pa terhadap Imam Min yang kedua-duanya
berlatarbelakangkan pengetahuan agama yang amat mendalam. Walau
bagaimanapun, tanpa mengetahui konteks perbualan atau tidak digunakan
berdasarkan ayat penuh, kemungkinan maksudnya akan menyimpang.
Di kawasan luar bandar, penggunaan “bini” yang dianggap kasar boleh
menjadi ungkapan yang lembut berdasarkan konteks. Hal ini dapat dilihat
apabila “bini” digunakan oleh orang yang lebih tua dan digunakan untuk
merujuk kepada isteri orang yang diajak bercakap, ia dianggap tidak
kasar dan boleh diterima oleh masyarakat. Contohnya “Bini kau ke mana
Man?” kata ayahnya. Sebaliknya, ia akan dianggap kasar dan tidak sopan
sehingga boleh menyinggung perasaan orang yang dirujuk apabila “bini”
disebut oleh suami sendiri apabila berbual dengan orang lain.

 (17) Pengikat kasih telah dijalin dan Ayu kini berbadan dua. (BW
292.1.1)

(18) Ini menandakan tabiat wanita di dalam peringkat permulaan hamil.
(BW 21.4.3)

(19) ...kerana selama sembilan bulan dia hamil berat badannya telah
bertambah. (BW298.5.1)

Analisis

Penggunaan “berbadan dua dan hamil” merujuk kepada “mengandung”
dan yang lebih kasarnya adalan “bunting”. Penggunaan semua katakata
yang merujuk kepada mengansung ini boleh saling bertukar-ganti
mengikut kesesuaian konteks kecuali “bunting”. “Bunting” dianggap kasar
kerana ia biasanya merujuk kepada keadaan haiwan yang mengandung.
Oleh itu, jika “bunting” digunakan untuk merujuk kepada manusia, seolaholah
ia akan menimbulkan konotasi yang negatif dan mampu menyinggung
perasaan pendengar. Namun begitu, ‘bunting’ tidak dianggap kasar apabila
digunakan sebagai “bunting pelamin”. “Bunting pelamin” dalam
masyarakat Melayu di sini merujuk kepada seseorang perempuan yang
mengandung hasil daripada hubungan intim bersama suami pada malam
pertama perkahwinan. “berbadan dua” merupakan ‘eufemisme’ yang
paling baru dan amat sesuai digunakan dalam semua situasi.
(20) “Yap... I ambil cuti sampai you bersalin! I nak jaga you!” (BW
5.3.5)

(21) “I rasa... I nak bersalin di klinik Sri Dang Wangi!” (BW 6.1.3)

(22) Okey... I setuju you bersalin di sana. Nanti... apabila dah dekat
hari bersalin, kita pergi..okey!” (BW 6.2.3)

(23) Malah, semenjak kejadian itu, dia telah merapati Imran sehingga
tidak lagi dimalami Jalil hampir tiga bulan. (BW 3.2.5)


Analisis

Berdasarkan konteks (23) dalam novel Black widow ‘eufemisme’ yang
digunakan adalah “dimalami” yang merujuk kepada perbuatan melakukan
hubungan seks bersama suami. Kata lain yang dianggap berterus-terang
dan kurang sopan adalah “bersetubuh”. ‘eufemisme ini dilihat boleh
dilembutkan lagi dengan menggunakan perkataan “bersama”. Walapun
dilihat terlalu ringkas, namun dalam konteks ayat yang betul, ia cukup
untuk menggambarkan maksud sebenar. Perkataan yang sopan ini
digunakan bagi menggelakkan penggunaan perkataan yang berunsur lucah
di samping cuba menutup jalan cerita yang sebenarnya memberitahu
bahawa Ayu telah melakukan hubungan seks dengan lelaki lain. Oleh itu,
jalan cerita yang sebenarnya mempunyai konotasi negatif, dilembutkan
dengan perkataan yang dilihat lebih bersopan.

(24) “Meninggikan kesenian bangsa atau untuk menghancurkan bangsa
dengan mengajar ilmu yang tidak tertib.” (MYT 198.1.8.1)

(25) “Bang, dah lima tahun Si Aton tu berkahwin dengan Dollah, kenapa
masih belum dikurniakan dengan cahaya mata?” (BW 18.4.1)

(26) ..agar Allah dapat mengurniakan kita dengan cahaya mata yang
suci... (BW 70.2.2)

(27) Aku doakan agar kau selamat diijabkabulkan dan menjalani hidup
keluarga yang bahagia!” (BW 92.4.3)

(28) ..dia amat terhina apabila dituduh dirinya tidak subur lalu tidak
mampu menyambung zuriat keturunannya. (BW 88.5.2)
(29) “Ayu kan nak berkhatan!” (BW 28.2.3)
Dia kelucuan melihat rakaman potret semasa upacara berkhatan. (BW
29.5.2)

(30) Pembantu rumah separuh umur yang berwajah lesi mengatur
pinggan... (BW 140.3.1)


Analisis

Berdasarkan ayat-ayat di atas, kesemua ‘eufemisme’ yang digunakan
dilihat bertujuan untuk melembutkan ayat yang digunakan. ini kerana
kata-kata asal bagi penggantian ‘eufemisme’ itu bukanlah tergolong
dalam kata-kata yang kasar atau tabu. Di samping itu, ia juga digunakan
bagi menjaga air muka orang yang mendengar atau dirujuk. jelaslah
bahawa masyarakat Melayu amat mementingkan pemilihan bahasa
yang sesuai supaya tidak dianggap tidak tahu berbahasa atau kurang
ajar. Hal ini bertepatan dengan pandangan Silzer (2000) iaitu apa yang
terlihat pada budaya akan tergambar pada bahasa dan begitu juga
sebaliknya. Dalam ayat (24) penggunaan “ilmu yang tidak tertib” oleh
Lebai Pa bertujuan agar tidak menyinggung perasaan Pak Soh dan
mengelakkan dari timbulnya perasaan marah apabila cuba memberitahu
bahawa ajaran yang dibawa oleh Pak Soh itu sebenarnya salah. Dalam
masyarakat Melayu, sememangnya hubungan yang baik amat
dipentingkan. dalam konteks ayat 24) juga, dilihat bahawa Lebai Pa bukan
bertujuan untuk marah tetapi bertujuan untuk memberi nasihat atau
kesedaran.“Cahaya mata” dalam ayat (25) merujuk kepada “anak” atau
“zuriat”. Ayat ini digunakan oleh Raja Azmi juga hanya untuk melembutkan
perkataan. Dalam konteks ayat ini, walaupun digunakan perkataan “anak”
atau “zuriat” masih tidak akan menjejaskan maksud atau tujuan ayat
tersebut. Namun, kesan yang ingin ditonjolkan oleh Raja Azmi dalam
ayat (24) dan (25) iaitu kehadian anak amatlah diharap-harapkan. “Tidak
subur” merujuk kepada “mandul” iaitu sesorang yang tidak mampu
memperolehi anak disebabkan oleh masalah kesihatan. Dalam ayat (28),
“tidak subur” digunakan sebagai perumpamaan yang merujuk kepada
tanah yang tidak mendatangkan hasil atau tidak mendatangkan hasil
tetutamanya terhadap tanaman yang memberi faedah. Jika “mandul”
digunakan, seolah-olah watak akan memalukan diri sendiri kerana terlalu
berterus-terang. ‘Eufemisme’ terkini yang merujuk kepada “mandul”
ialah “tidak produktif”. ‘Eufemisme’ bagi orang gaji atau hamba yang
digunakan dalam novel Black widow ialah “pembantu rumah”. Contoh
ini dapat dilihat melalui ayat (30) yang bertujuan untuk menghormati
watak. Terutamanya watak dalam novel ini digambarkan sebagai orang
yang telah berumur yang mana dalam masyarakat Melayu orang yang
lebih tua amat perlu dihormati. Jika “orang gaji” yang digunakan oleh
Raja Azmi, seolah-olah beliau akan menzalimi watak kerana “orang gaji”
itu menrujuk kepada hamba atau kuli.

Rumusan Analisis

Berdasarkan kajian yang dilakukan, dapat dilihat bahawa Hasanuddin
telah menggunakan penggantian eufemisme bagi menunjukkan kesopanan
berbahasa dalam masyarakat Melayu. Penggunaan ‘eufemisme’ ini dilihat
dipengaruhi oleh faktor kepada siapa penggantian ini ditujukan. Perkara
ini penting kerana apabila kita merujuk kepada seseorang yang berstatus
tinggi atau dihormati oleh masyarakat, kita sebagai orang Melayu tidak
akan menyapa dengan menggunakan perkataan yang kasar demi untuk
tujuan hormat. Dalam kajian ini dapati, Hasanuddin telah menggunakan
rangkai kata “meninggal dunia” untuk dirujuk kepada seorang lebai yang
biasanya dihormati kerana pengetahuan agamanya.

Selain dari itu, penggantian eufemisme ini digunakan adalah kerana
perbezaan taraf sosial. Selain untuk tujuan kesopanan berbahasa, ia juga
untuk menunjukkan status perbezaan taraf sosial. Daripada kajian ini
didapati penggantian eufemisme amat jelas mementingkan faktor ini
walaupun novel ini bercorak keagamaan namun, untuk membezakan
watak atau menonjolkan sesuatu watak, penggantian ini digunakan. Bagi
Lebai Pa misalnya, Hasanuddin menggunakan ‘eufemisme’ yang lebih
bercorak keagamaan, lebih baik dan lembut berbanding dengan watak
Kidam dan Tijah. Walaupun, penggantian eufemisme ada digunakan tetapi
kurang lembut seperti yang digunakan kepada watak Lebai Pa.
Penggantian eufemisme yang digunakan untuk merujuk kepada Lebai
Pa dipilih selembut mungkin, Hasanuddin telah menonjolkan watak Lebai
Pa sebagai seorang yang alim dan warak, maka penggantian eufemisme
yang digunakan untuk merujuk kepada Lebai Pa adalah lebih bersesuaian
dengan wataknya sebagai lebai.

Kidam pula telah ditonjolkan sebagai watak penjahat, agak sombong
dan bongkak. Siapa yang akan mmemperkatakan sesuatu dan kepada
siapa hal tersebut diperkatakan akan diambil kira. Dalam erti kata lain,
penggunaan ‘eufemisme’ juga akan dipengaruhi oleh kuasa. Di mana,
seseorang yang berkuasa memperkatakan sesuatu perkara kepada orang
bawahannya atau sebaliknya akan secara tidak langsung menggunakan
penggantian ‘eufemisme’. Ini sama ada untuk tujuan hormat atau untuk
menghormati.

Daripada kedua-dua novel, penggunaan “meninggal dunia” telah
digunakan dengan amat kerap. Ini kerana ‘eufemisme’ meninggal dunia
merupakan golongan ‘eufemisme’ yang dianggap telah mantap
penggunaannya dalam masyarakat Melayu bahkan juga sekarang telah
digunakan oleh masyarakat berbangsa lain juga. Penggunaan ‘eufemisme’
yang belum mantap biasanya akan digunakan saling bertukar-ganti
mengikut kesesuaian konteks untuk dianggap lebih bersopan seperti
penggunaan ‘eufemisme’ yang dapat dilihat dalam kedua-dua novel ini
iaitu “hamil”, “mengandung”, dan ‘berbadan dua”.

Perkembangan Eufemisme

Berdasarkan analisis yang telah dibuat, jelaslah bahawa satu perkara
yang penting dapat dilihat tentang penggunaan eufemisme, ialah
eufemisme akan sering kali digantikan dengan yang baru kerana yang
lama itu atau yang sebelumnya itu menjadi kesat dan tidak sesuai
digunakan lagi.

“Bini” – “Isteri” – “orang Rumah”
“Mampus” – “Mati” – “K.O” – “Meninggal Dunia” – “Kembali Ke
Rahmatullah”
“Mayat” – “Jenazah”– “Arwah”
“Hubungan Seks” – “Bersetubuh” – “Hubungan Intim” – “Bersama”
“Beranak” – “Melahirkan” – “Bersalin”
“Merogol” – “Memperkosa” – “Menodai” – “Menjamah Tubuh”
“Baka” – “Anak” – “Zuriat” – “Cahaya Mata”
“Bunting” – “Mengandung” – “Hamil” – “Berbadan Dua”
“Mandul” – “Tidak Subur” – “Tidak Produktif”
“Hamba” – “Orang Gaji” – “Amah” – “Pembantu Rumah”
“Maruah” – “Kehormatan” – “Kesucian” – “Harga Diri” – “Nama
Baik”

Bagi “meninggal dunia” dan “jenazah” sahaja yang dianggap sebagai
‘eufemisme’ yang telah mantap dari segi makna dan penggunaannya
dalam masyarakat Melayu. Manakala ‘eufemisme’ yang lain, sehingga
kini akan digunakan saling bertukar ganti berganti bergantung kepada
konteks, tujuan penggunaannya, kepada siapa ia ditujukan dan pelbagai
faktor lain. Misalnya, jika pada satu masa dahulu orang suruhan yang
membantu membuat kerja-kerja, digelar “hamba”. Setelah pekerjaan itu
dianggap terlalu daif atau seolah-olah bersifat zalim, ia digelar “orang
gaji” kerana dianggap melakukan kerja-kerja dengan dibayar gaji. Maka,
gelaran “orang gaji” secara umumnya boleh diertikan kepada semua
orang yang bekerja kerana setiap orang yang bekerja dibayar gaji. Kerana
maknanya yang terlalu umum dan seolah-olah dianggap menghina
pekerjaan itu, gelaran tersebut dilembutkan lagi menjadi “pembantu
rumah”. ‘Eufemisme’ ini dilihat lebih mesra digunakan untuk merujuk
kepada orang yang bekerja di rumah orang lain.

Oleh itu, penggantian ‘eufemisme’ ini dianggap akan terus berlaku
tanpa kesudahan kerana topik-topik tabu dalam masyarakat dan budaya
Melayu. Yang penting sekali ialah makna perkataan ada kaitan dengan
topik-topik tabu itu tidak lagi terletak pada perkataan, tetapi terletak pada
pemikiran masyarakat dan budaya yang berkenaan. Menurut Darwis
(1997), kini ‘eufemisme’ atau gaya bahasa halus ini bukan sahaja terhad
di dalam penggunaan perkataan atau ungkapan sahaja tetapi boleh juga
pada keseluruhan ayat, keseluruhan perenggan, bahkan keseluruhan
karya yang ditampilkan1.

Kesimpulan

Berdasarkan analisis yang dilakukan, jelaslah bahawa masyarakat Melayu
amat mementingkan kesopanan bukan sahaja dalam perlakuan bahkan,
dalam penggunaan dan pemilihan bahasa. Dan pengetahuan serta
pemahaman itu wujud pada tahap individu, dan bukannya pada tahap
masyarakat secara keseluruhan seperti yang dinyatakan oleh Gumperz
(1984) iaitu pemilihan sesuatu bentuk ‘eufemisme’ itu bergantung kepada
budaya tersebut.

Kedua-dua novel terdiri daripada genre yang berlainan dan hal ini
didapati juga telah mempengaruhi penggunaan bentuk ‘eufemisme’ bagi
menyesuaikan hasil penulisan mereka dengan kehidupan sebenar
masyarakat Melayu. Dapat dilihat juga, perkembangan ‘eufemisme’yang
berlaku di mana, novel Mereka Yang Tertewas boleh dikatakan novel
yang dihasilkan oleh pengarang lama dan novel Black widow dihasilkan
oleh pengarang baru. Oleh itu dapat dilihat penggunaan ‘eufemisme’
“hamil” dalam novel Mereka Ynag Tertewas dan ‘eufemisme’ yang
baru iaitu “berbadan dua’ dalam novel Black widow. Di sini terbukti
bahawa penggantian ‘eufemisme’ ini akan terus berlaku tanpa kesudahan
bergantung kepada tanggapan masyarakat yang menuturkannya.
Menurut Silzer, bahasa dan budaya dalam masyarakat dan
fenomena yang terikat di antara satu sama lain. Apa yang terlihat pada
budaya akan tergambar pada bahasa dan begitu juga sebaliknya
(2000:1307). Pandangan Silzer ini mempunyai kaitan yang rapat dengan
masyarakat Melayu kerana memang terdapat hubungan yang erat antara
bahasa dan budaya dalam masyarakat Melayu seperti yang diperlihatkan
pada peribahasa, pepatah, pantun2 atau gaya bahasa yang digunakan.
Dengan itu, penggantian ‘eufemisme’ dapatlah dikaitkan dengan
kesopanan berbahasa di kalangan orang Melayu. Satu cara baru yang
digunakan bagi menggantikan kata-kata yang dianggap kurang sopan
dalam masyarakat kita kini ialah dengan menggunakan perkataan
Inggeris yang sama maknanya dengan perkataan yang hendak diucapkan
itu. Misalnya “haid” diganti dengan “period” dan ia tidak dianggap
memalukan.

Fenomena kesantunan atau kesopanan bersifat sejagat, tetapi
strategi kesantunan yang melibatkan aspek kebahasaan untuk berlaku
sopan, didapati berbeza-beza antara satu masyarakat dengan yang lain.
Dalam konteks bahasa dan budaya lain, selain penggunaan ‘eufemisme’
dan ‘sirkumlokusi’, terdapat beberapa cara lain yang digunakan untuk
berlaku soapan ketika berbahasa. Sebagai contoh, dalam wacana bertulis
Inggeris, perkataan-perkataan asal itu di penggal dengan menggunakan
garis “f—k” untuk memperkatakan perkataan Inggeris yang amat popular
itu. Dalam wacana Inggeris menggunakan huruf pertama itu sahaja
sebagai menyebut keseluruhan perkataan itu, diamalkan oleh sesetengah
orang. Misalnya, disebut “ef” untuk “f—k” atau “pi” untuk “piss”
(kencing).


Nota

1 Untuk maklumat lanjut, rujuk Darwis Harahap (1997) dalam Pelita Bahasa.
2 Rujuk Mohammad Fadzeli Jaafar (2000)
Rujukan
Ahmad Khair (2002). Ungkapan halus yang lebih halus. Dewan Bahasa
2 (5).
Brown, R. & Levinson, S. (1978/1987). Politeness: some universals in
language usage. Cambridge University Press.
Darwis (1996). Penghalus: kata-kata yang menyenangkan perasaan.
Pelita Bahasa 8 (2).
Darwis (1997). Gaya bahasa halus. Pelita Bahasa 9 (8): 38-39.
Esther Figueroa (1994). Sosiolinguistic metatheory. British Library
Catologing in Publication Data.
Gumperz, J. (1982a). Discourse strategies. Cambridge: Cambridge
Universiti Press.
Gumperz, J. (1982b). Language and sosial identity. Cambrige: Cambrige
University Press.
Hassan Baseri (1991). Kata pantang dan eufemisme dalam bahasa
Melayu. Pelita Bahasa 3 (12): 46-47.
Mohammad Fadzeli (2000). Tradisi kesopanan dalam pantun Melayu.
Jurnal Dewan Bahasa 44 (5): 616-622.
Saidatul Nornis (2003). Kata makian cina. Jurnal Dewan Bahasa 3
(3): 26-29.
S.Nathesan (1995). Beberapa persoalan penggunaan bahasa Melayu
dan penyelesaiannya. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan
Pustaka.
S. Nathesan (1997). Tabu dalam bahasa Melayu. Pelita Bahasa 9 (3):
48-49.
Teo Kok Seong (1996). Bahasa eufemistik: manis tetapi memperdaya.
Pelita Bahasa 8 (3): 42-44.
Teo Kok Seong (1996). Kesopanan Bahasa. Pelita Bahasa 8 (10): 40-
43.
Teo Kok Seong (1996). Tabu bahasa: kedudukannya dalam masyarakat.
Pelita Bahasa 8 (2): 41-43.
Teo Kok Seong (2003). Kesantunan berbahasa: kes bahasa Melayu.
Jurnal Dewan Bahasa 3 (3): 14-23.

ZURAIDAH JANTAN, pensyarah Jabatan Pengajian Melayu, Akademi
Pengajian Bahasa UiTM Shah Alam. Beliau boleh dihubungi melalui
e-mel zuraidah0420@salam.uitm.edu.my

3 ulasan:

  1. menarik.
    ingin berkongsi pengetahuan dgn tuan berkenaan bahasa tabu vs eufemisme

    BalasPadam
  2. assalamulaikum ...bolehlah saya melihat kajian saudari mengenai kajian eufemisme? kerana saya juga mengkaji eufemisme dalam novel komsas, namun saya melihat dari sudut pragmatik yang menggunakan teori kesantunan leech..mohan perkongsian saudari

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikummusalam.... saya melalukan kajian tersebut secara umum sahaja..dengan mengenal pasti eufemisme berdasarkan pengguna dan konteks.. andai saudari mengkaji eufemisme berlandaskan pragmatik, saya kira itu lebih menarik kerana kajian saudari akan dilakukan secara lebih terperinci dengan melihat semua sudut masyarakat dan budaya..

      ZJ

      Padam