PERSOALAN YANG MELINGKARI SIRIH JUNJUNG SEBAGAI KEPALA HANTARAN


Dalam satu perbincangan bersama-sama Prof. Dato' Mokhtar Shafi'e  , Tuan Kadi Daerah Temerloh, Tuan Kadi Daerah Chenor, Tuan Kadi Daerah Bera, Tuan Kadi Daerah Maran, Tuan Kadi Daerah Jengka, Tuan Kadi Daerah Pekan dan Ketua Penolong Pengarah Undang-undang Keluarga JAIP di Pejabat Kadi Daerah Bentong sekitar tahun 2010, soal sirih junjung dalam adat istiadat Melayu ditimbulkan dan mereka meminta saya membuat sedikit penyelidikan mengenai soal ini.  Lalu dengan sedikit usaha saya bentangkan kepada mereka perkara ini seperti sedikit catatan di bawah.
PERSOALAN YANG MELINGKARI SIRIH JUNJUNG SEBAGAI KEPALA HANTARAN


Memang cantik dan menarik gubahan barangan yang diletakkan di atas baki berlapik sutera halus bersulam emas dan perak. Mata terasa sejuk dan hati terasa tenang melihat barangan yang tentu sangat bernilai dari segi harganya dan bernilai dari segi perasaannya.

Namun begitu, ramai juga yang mempersoalkan kenapa Sirih Junjung dipilih menjadi kepala hantaran. Sesudah itu diikuti cincin pertunangan, segubah wang, nashkah al-Quran dan peralatan sembahyang, pakaian dan seterusnya buah-buahan dan makanan
Mengapa al-Quran itu tidak ditinggikan darjatnya menjadi kepala hantaran?

Ada sudah suara-suara mencadangkan agar dihapuskan sahaja adat penggunaan Sirih Junjung dan memadai al-Quran sahaja mendahului segala hadiah dan hantaran. Alasan yang diberi ialah Sirih Junjung merupakan barangan yang dikaitkan dengan unsur-unsur lama dalam agama Hindu. Terkandung di dalamnya juga semangat dan ruh animisme dan dibimbangi akan menjadi syirik atas kepercayaan itu.

Maaf kepada adik kakak kerana berbicara tajuk ini. Saya cuba untuk memahami berhubung adat bersirih junjung ini dalam beberapa sudut.

i. Asal usul
Saya tidak memperoleh ketetapan sejarah menjadikan sirih sebagai gubahan Sirih Junjung . Namun begitu, tradisi makan sirih merupakan warisan budaya silam, melebihi 3,000 tahun yang lampau dan diamalkan dengan meluas di rantau Asia Tenggara, hingga ke abad ini. Pengamalnya terdiri daripada pelbagai golongan masyarakat termasuk pembesar negara, raja serta kalangan istana dan tidak ketinggalan juga kanak-kanak.

Tradisi ini tidak dapat dipastikan dari mana asalnya. Ada meramalkan tradisi ini berasal dari India, berdasarkan hubungan kebudayaan benua India dengan Nusantara Melayu ini amat rapat. Tambahan pula, pengaruh Hindu-Budha kepada alam Melayu memakan waktu beberapa kurun sebelum Islam menjadi jiwa umat Melayu di Nusantara ini.

Jika diambil bukti dari sumber linguistik pula, kemungkinan besar tradisi ini berasal dari kepulauan Indonesia. Pelayar terkenal Marco Polo di abad ketiga belas telah menulis dalam catatannya bahawa terdapat segumpal sentil atau songel tembakau dimulut kaum India. Kenyataan ini dijelaskan juga oleh penjelajah terdahulu daripadanya seperti Ibn Batuta dan Vasco Da Gama yang menyatakan terdapat masyarakat di sebelah Timur memakan sirih

ii. Filsafat di sebalik penggunaan Sirih Junjung.

Sirih Junjung adalah alat adat Melayu yang punyai filsafat yang kukuh. Bukan dibuat gubahan Sirih Junjung itu sebagai barang mainan untuk menghias pemainan mata. Adat Melayu menetapkan bawalah Sirih Junjung ke majlis peminangan kerana inilah alat yang mengisi jiwa Melayu itu. Inilah hasil kreativiti masyarakat Nusantara yang tidak ada dalam adat-adat bangsa yang lain.

Dalam adat meminang, Sirih Junjung ini digunapakai sebagai “kepala wakil” rombongan yang datang, supaya jelas maksud terang hajat.

“Junjung Adat, Julang Hasrat, Julung Semat”

1) Rombongan yang datang hendak mengingatkan tuan rumah supaya mendengar dahulu permintaan. Jangan ada ingatan hendak terus menghalau. Sang pria hantar rombongan kerana dia ini men“Junjung Adat”. Kalau dia hendak bersenang-senang cara, dia boleh membawa lari sahaja anak gadis tuan rumah itu.

2) Rombongan yang datang merendah diri, sanggup menyerah nasib kepada tuan rumah , walaupun ada di kalangan mereka yang datang itu berkedudukan tinggi dalam masyarakat; mereka sanggup kerana men”Julang Hasrat” tuan punya tubuh; ingatkan tuan rumah supaya berbudi bahasa dan berbelas kasihan dalam perbuatan dan pertuturan. Hendak mengingatkan tuan rumah bahawa sebelum ini sudah ada terjadi darah tumpah ke lantai apabila rombongan dihina dan dia jadi mabuk lupa “Julang Hasrat” tuan punya badan!

3) Sirih Junjung itu sangat halus buatannya, diselit rapi dan kemas tak dapat dipastikan mana hujung mana pangkalnya daun, “Julung Semat” mesti dipakai walau apa pun jua hasil perbincangan. Jika sudi ayuh kita jalankan urusan serapi selitan, sampai selesai (ijab kabul). Jika tak sudi tak mengapalah. Simpanlah sebab tolakan sekemas selitan, jangan dijaja sehingga memalukan sang pria, kerana itu bukan perbuatan orang bermaruah dan terhormat.

iii. Sirih Junjung tidak membawa unsur kehinduan dan animisme.
Elok sahaja diakui bahawa dalam masyarakat India, sirih pada mulanya bukan untuk dimakan, tetapi sebagai persembahan kepada para dewa sewaktu sembahyang di kuil-kuil. Beberapa helai daun sirih dihidangkan bersama-sama dengan kelapa yang telah dibelah dua dan dua buah pisang emas.

Namun begitu, apabila masyarakat Melayu menggubah gubahan Sirih Junjung, gubahan itu tidak bermaksud kepada alat penyembahan. Tidak juga bermaksud alatan itu menyimpan kuasa mistik yang membolehkan sesuatu majlis dan atur cara itu berjalan lancar tanpa gangguan makhluk halus.

Kesimpulan.
Sirih Junjung adalah ciptaan bangsa Melayu Nusantara dalam memeriahkan kehidupan. Syariat mengikat rukun kehidupan. Adat mencantik gaya perbuatan.

Maaf saya pohon kepada para budayawan jika kiranya ulasan saya ini sangat bertentangan dengan faham tuan-tuan. Maaf kepada mualim dan muaddib jika penjelasan saya tersasar jauh daripada ilmu didikan. Marilah kita mensucikan perkara yang suci dan mencela perkara yang cela menggunakan ilmu dan hikmat, bukan menolak berdasarkan rasa dan sentuhan jiwa.

1 ulasan:

  1. Izinkan saya mencelah,
    ulasan tuan mengenai Sirih Junjung sebagai kepala hantaran sesungguhnya sangat indah.

    Oleh hal yang demikian sebagaimana kita sedia maklum bahawa di Nusantara ini Adat itu bersendi Hukum. Jadi sirih junjung itu (tepak sirih) adalah pembuka kata (adat) untuk menyatakan sesuatu kerana menjalankan tugas atau membuat amalan. Sesuai dengan ungkapan bahawa segalan amalan itu hendahlah dengan niat (niat termasuk tertib - Agama)

    Bagi kita (melayu beradat) Agama dan dan Adat tidak boleh dipisahkan. Sirih junjung itu senonim bagi niat.

    Sekian Wallah hu aalam bissawab...

    BalasPadam