SAJAK: BIDAK-BIDAK DI PAPAN PERJUANGAN

Sajak: Bidak-bidak di Papan Perjuangan

Di papan perjuangan berkotak segi
Bidak-bidak berlari ke hadapan tanpa undur,
tanpa fikir ia akan tegak
atau rebah
atau akan terusir ke luar garis gelanggang
atau kekal di situ.

Bidak-bidak di papan perjuangan
Taat pada acara dan perintah
kerana tugas untuk mengusir lawan bukan untuk kesenangan diri
bukan untuk mengunyah habuan secubit
semahal harga sebuah mobil tua.

Perjuangan bukan satu gurauan
Pengorbanan bukan satu kesiaan
kerana bidak- bidak cuma dicipta untuk teguh
mempertahan kedaulatan wilayah
mengukuh tapak pemimpin
yang selama ini adil padanya.

Bidak-bidak di papan perjuangan
adalah satu cerita perjuangan
yang akan diulang dan diulang
yang akan diperkasa setiap generasi
menjadi lagenda yang akan disambut
ulangtahun pertarungannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan