RASU ABDUL SALAM – PAHLAWAN TURUN DARI RAUB

 Atas batang tubuhnya, pahlawan ini diberi nama  Rasu Abdul Salam bin Shahrum@Teuku Ali.  Beliau juga dikenali sebagai Khatib Rasu dan Imam Perang Rasu.

Demikian besar namanya pahlawan ini.  Ramai yang mencari-cari usul keturunannya dan ramai ingin mengetahui di mana tinggal kaum kerabatnya.  Ayahanda Rasu Abdul Salam iaitu , Teuku Ali@Tengku Ali dicatat berasal dari Bilah Paning, Pagarruyung, merantau ke Bidor lalu bergerak melintasi banjaran Titiwangsa lalu singgah di Temau.  Adat orang mendatang dinikahkan oleh pembesar tempatan dengan anak gadis mereka. Lalu Teuki Ali dinikahkan dengan seorang gadis bernama Wan Siti Hajar@Tok Dina binti Sheikh Ali .  Perekod sejarah meriwayatkan Siti Hajar @ Tok Dina  dikaitkan  dengan susur galur daripada keluarga Tok Baginda Demu  yang tinggal di Budu.   Ini bermaksud Tok Gajah adalah pahlawan dua mukin iaitu mukim Budu dan Mukin Sega.  Bapanya bermastautin  di mukim Sega  dan ibunya berasal dari Mukim Budu.  Akan pemerintah kedua mukim ini  saling rapat kekerabatannya daripada keluarga Baginda Demu , keluarga yang memerintah Jelai dan keluarga Tun Ismaun,  Orang Kaya Lipis.

Perkahwinan Teuku Ali@Tengku Ali dengan Wan Siti Hajar@Tok Dina   telah melahirkan lima orang cahaya mata : Ranting Mas,  Hajjah Maimunah, Rasu Abdul Salam (Tok Gajah), Khatib Mohd Amin dan Khatib Mohd Arif.  Dengan mengusakan tanah pertanian dan mencari emas di Ulu Temau sampai ke Peruang, Teuku Ali membawa anak-anak lelakinya berniaga emas dan hasil hutan di pasar penjom.  Di sinilah  Rasul Abdul Salam berkenalan dengan pembesar Pahang seperti Tok Raja serta anak-anaknya Wan Embong, Wan Muhamad dan Tok Kaya Wan Daud, Tok Kaya Teh  bin Tok Kaya Busu Bin Tok Kaya Chandak (orang kaya lipis)  yang juga mempunyai tanah lombong emas di Penjom.   Selain urusan membayar cukai emas kepada Orang Kaya Lipis itu, mereka turut mengambil pandangan tentang pengaruh bangsa Asing yang menjajah  di tanah seberang dan bangsa Inggeris telah mula masuk ke Tanah Melayu.

Namun begitu dalam peristiwa  perebutan emas di Ulu Temau, Dalam satu perbalahan merebut emas mentah, Ratin Mas  anak Teuku Ali yang sarat mengandung anak yang pertama telah dibunuh. Suaminya, Haji Hassan Keramat, turut dibunuh dalam perebutan itu. Bagi menenangkan keadaan, Teuku Ali membawa keluarganya berdiam di Kampung Permatang di Budu.  Di sinilah Rasu Abdul Salam menyempurnakan pembelajarannya dalam ilmu kepahlawanan dan ilmu agama.  Ini dsebabkan di Budu itu telah tumbuh pusat-pusat pengajian agama dan gelanggang kependekaran.  Namun begitu, tidak lama kemudian, Teuku Ali  dan keluarganya kembali semula ke Temau.  Di sinilah Rasu Abdul Salam mendalami ilmu tareqat  dan menyampaikan pengajaran agama kepada penduduk setempat.

 Sewaktu   bermastautin di Pulau Tawar,   Rasu Abdul Salam  yang dikenali sebagai Imam Perang Rasu oleh Bendahara Wan Ahmad, ada mengundang Pendekar Mat Aris dan Pendekar Sutan Juan dari tanah Minangkabau, Sumatera untuk melatih anak-anak dan keluarganya ilmu pencak silat secara tertutup. Pendekar Sutan Kari dan Bintang Terus adalah antara pendekar–pendekar yang melatih Pendekar Endol bin Imam Nong, Pendekar Ahmad bin Tok Muda Abdullah di Pulau Tawar, sebelum kemasukan British.

Perkahwinan Rasu Abdul Salam dengan Teh Mahda  mengeratkan hubungan  Rasu Abdul Salam dengan Wan Ahmad di Pekan.  Teh Mahda - anak Tok Kaut Burau  ; susurnya adalah campuran darah Kesultanan Melaka, Seri Menanti dan Kelantan, sama dengan Tok Dina juga,  mereka berdua  berwaris anak beranak, pangkat lain-lain. seorang pangkat nenek sedara, seorang pangkat cucu sedara..   ,Teh Mahada adalah adik kepada Panglima Perang Pahang Khatib Baharain orang Tembeling.  Mereka adalah anak Tok Kaut Burau yang berkahwin dengan anak perempuan Tok Muda Bujal. Tok Muda Bujal berkahwin dengan Tun Noriah anak kepada Tun Pedah Yusuf @ Tun Da adik kepada Tun Koris datuk kepada Sultan Ahmad Pahang Yang Pertama.  

 Dalam Perang Saudara (1857-1863M) di Pahang, Imam Perang Rasu Abdul Salam menjadi terkenal kerana khidmat bakti dan taat setia beliau kepada Wan Ahmad, putera al-Marhum Bendahara Tun Ali yang berperang menentang kekandanya Bendahara Tun@Wan Mutahir.  Sebaik sahaja Perang Saudara tamat (1863M), Wan Ahmad ibni al-Marhum Bendahara Tun Ali telah dilantik menjadi Bendahara Pahang (1863M), manakala Imam Perang Rasu pula dilantik kemudiannya oleh Bendahara sebagai Orang Besar Raja, menjaga kawasan Pulau Tawar (dahulunya dalam Ulu Pahang, tetapi kini dalam Daerah Jerantut).  Kawasan ini dibuka oleh pengikut bapanya bernama Malim Yunus (seorang ulamak Mendailing) . 

Walau bagaimanapun, gelaran “Imam Perang Indera Gajah Pahang” telah dikurniakan oleh Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah (Pengasas Kesultanan Melayu Pahang Moden, 1882-1914M) kepada Imam Perang Rasu sesudah beliau menunjukkan kepahlawannya dalam Perang Selangor (November, 1873M).  Setelah itu, hubungan Tok Gajah-Sultan Ahmad bertambah intim, dan akhirnya Pahlawan Pahang ini menjadi “orang kesayangan istana”, serta penasihat tidak rasmi kepada baginda sultan, terutama mengenai hal-ehwal Ulu Pahang  Beliau kemudiannya diberi amanah  menjaga kawasan – kawasan lain. Kawasan Hulu Pahang Di Bawah Imam Perang Rasu ini  bermula dari Pulau Tawar menghala ke Batu Redap hingga ke Kuala Piul; kawasan dariTanjung Sakti hingga ke Kangsa ; kawasan dari Pedah hingga ke Tanjung Lindung, dan akhirnya, Lembah Sungai Budu (Lipis).Pada tahun 1883M, Imam Perang Indera Gajah telah diamanahkan memerintah “Kg. Budu” oleh Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah (Sultan Pahang 1, 1882-1914M), mengambil alih autoriti pemerintah asalnya, Tok Kaya Teh@Wan Teh bin Tok Deris@Wan Deris (Orang Kaya Lipis Ke-12).      Namun wilayah Budu itu dikembalikan semula kepada Tok Kaya Sentol pada 1878. Hal itu lanjutan bantahan Maharaja Perba Jelai, Wan Idris bin Wan Muhammad  dan juga jasa Tok Muda Sentol bin Tok Kaya Teh yang membasuh malu pada muka Sultan dengan menewaskan  seorang pahlawan  Bugis di Pekan yang angkuh dan mencabar kejantanan orang Pahang.

Namun kecemerlangan Tok Gajah sebagai  Pahlawan Ulu itu mulai malap apabila Inggeris mula mengembangkan pengaruhnya di Pahang pada 1893 - 1895.  Dengan membuat perjianjian sulit dengan Sultan Pahang dan pembesar Pahang di Kuala Sungai Salan, Pulau Tawar untuk mengukuhkan tekad menentang Inggeris;  pemberontakan Pahang dimulakan.  Namun oleh kelicikan Inggeris menggunakan orang Melayu Pahang sabagai kuda tungangannya; pasukan Tok Gajah Jeram Ampai.  Sesudah berlakunya perang di Jeram Ampai, Jerantut.  Tok Gajah dan pengikutnya beredar ke hulu Sungai lebir  dan  kemudian berundur ke Pasir Nering, Hulu Terengganu.  Pada tahun 1901. Tok Gajah meninggal dunia di  di Kampung Pasir Nering, Kuala Berang, Hulu Terengganu. (gambar post)

Tok Gajah   telah berkahwin beberapa kali. Isteri-isteri beliau antaranya yang dapat disebut : Iti, Cik Jebah (Kg Batu Naga, Budu), Teh Mahade binti Tok Kaut (Burau), Bedah, Mah, Cik Siti (Kuala Kenong) dan Tijah.  Anak-anak Tok Gajah, antara yang dapat dicatatkan ialah Awang Baiduri (Ulu Jelai) hasil perkahwinannya dengan Cik Siti (Kuala Kenong), Mat Kilau, Teh De, Awang Nong, Teh Ibrahim, dan Yang Chik (hasil perkahwinannya dengan Teh Mahade). Perkahwinannya dengan Cik Jebah (Budu), Tok Gajah memperolehi 8 orang anak. Antara yang diketahui namanya ialah Abdul Rahman dan Mat Kahar.  Anak-anak yang lain tidak diketahui namanya
PERSEMENDAAN ANAK RAJA RAO KE RAUB


Akan  kesampaian   Tengku Muda Khairul Alam bin Tengku Badrul Alam(Raja Muda  Padang Nunang)  dan  sepupu  Baginda Tengku Umbak binTengku Tialam dari  padang  Nunang   dan pengikutnya  ke mukim  Sega   pada 1830-an  disambut dengan  gumbira oleh Tok Muhamad bin Tok Aya binTok De bin  Orang Kaya Ibrahim  yang menjadi Penghulu  Sega  pada waktu  itu.  Hal ini disebabkan  berita tewasnya  kerajaan di Padang Nunang oleh angkara  Belanda dalam perang Paderi di Rao (1821 - 1832) telah sampai awal dibawa  orang Rao ke Sengkela dan Sega.

Untuk  mengikat kasih penduduk  mukim Sega dengan keluarga diraja ini, dinikahkan  oleh Tok Muhamad  akan Tengku Muda Khairul Alam yang sudah berusia itu dengan     Jeleha,   anak Aminah (suaminya Lebai Diman)  iaitu jugalah anak sepupu Tok Muhamad .  Akan Jeleha  itu telah pun mempunyai anak bernama Mohd Salim  dan Fatimah  dengan  suami pertamanya  dahulu (Hj. Abd. Manan Ar RAO) .   Pernikahan itu berlaku sekitar 1839 di Gesing . Hasil perkahwinan ini , Baginda  memperoleh seorang anak dinamakan  Tengku Abdul  Samad.  Maka diamlah Baginda di Gesing  (sekarang ini dalam Mukim Semantan Ulu).
                                                                            
                                                                       Kehadiran  Baginda dan Pengikut Baginda ke Gesing telah meramaikan penduduk  di situ dan terbukalah pula Kampung  Pulau Rumbiah.   Secara beransur-ansur, pengikut Tengku Muda Khairul Alam membuka kampung kecil lain seperti Kampung Kundang Patah dan  Kampung Ria Semantan.

Tengku Muda  Khairul Alam meninggal dunia setelah beberapa  tahun  menetap di Gesing  .  Baginda  dikebumikan  di Tanah Perkuburan Tanjung Raja. (kubur  baginda tidak wujud  lagi kerana  hakisan tebing  sungai  menghanyutkan kawasan  kuburan baginda itu.)   Akan Tengku  Abdul Samad itu kemudiannya tinggal bersama kakak tirinya bernama Fatimah di kampung Ajai. 

Akan sepupu  Tengku Khairul  Alam,  Baginda Tengku Umbak binTengku Tialam dari  padang  Nunang   ini dijodohkan oleh Tok Muhammad dengan  Siti Ajar  anak Aminah,berzuriat dia anak bernama Tengku Rashiah, Raja Fatimah dan Raja Puteri.


Akan kemudian harinya, anak cucu Tengku Muda Khairul Alam bertebaran mendiami kampung Batu Malim, Kampung Batu Talam, Kampung Ria Semantan, Kg. Semantan Ulu, Kampung Kundang Patah, Kampung Pancur, Kampung Kuala Dong, Kampung Ajai, Kampung Dong, kampung Durian Sebatang, Kampung Gali Tengan dan Ulu Gali.

PEMBUKAAN KAMPUNG TEMAU

  
Kedatangan penghijrah dari Sumatera ke kawasan Lembahan  Sungai Lipis menumbuhkan kampung-kampung baru.  Di petempatan asal di Terap Budu hingga ke Cherang tidak mampu lagi menampung pertambahan penduduk lalu dibuka kampung Budu Chat, BuduEmpau, Budu Macing, Telapis hingga ke Peruang.

Di sebelah hulu Sungai Lipis , kaum keluarga Tok Kaya Ibrahim (Orang Kaya Lipis ke-10), kaum keluarga Tok Baginda Demu dan Tok Mansor Bugis  dan kaum kerabat Raja Ahmad @ Tok Prak.   berlumba-lumba membuka kampung baru.  Maka   dibangunkan Kg. Tersan, Kuala Atok, Sega Lama. Sengkela, Batu Talam dan juga Ajai.  Kawasan hutan yang masih kosong ketika itu berada di hulu Ajai dan  di kiri   Sungai Dong dan Sungai Gali.

Sesudah Kampung Ajai dibuka oleh  anak cucu Raja Ahmad @ Tok Prak, perkembangan kampung itu tersekat di sebelah kanan Sungai Dong sahaja.  Maka di sebelah kiri Sungai Dong itu , oleh anak menantu cucu Raja Ahmad berusahalah untuk  membuka tanah untuk kediaman dan bertani.

Akan Tan Fakeh  orang Kampar  yang bernikah dengan Madunah, (anak Mas Suka anak Tok prak)   mula meneroka  membuka satu kawasan anak Sungai yang ditumbuhi pokok limau yang besar.  Daripada perkataan ‘  Limau ‘  itu, secara beransur-ansur disebut ‘ Temau ‘.

 Sesudah enam tahun di situ datanglah  Tok Paduka (orang Kampar) yang bernikah dengan Halimah anak Tok Prak  serta    Tan Ibrahim  (bernikah dengan  Banun anak Lipah anak Tok Prak)  dan Tok Baginda orang Kualuh, Kubu, Sumatera (bernikah dengan Maimunah cucu Tok Prak) membuka kampung halaman.  Kawasan yang dibuka ialah di tanah pamah antara Bukit Pak Asin dan Bukit Kepayang dan antara Kuala Temau dan Kuala Beniat.  Sejumlah wang diberikan kepada sakai yang mendiami di situ untuk menebas-menebang  dan mereka berempat berbahagi  tanam pamah itu mengikut banyak mana belanja yang diberi kepada sakai-sakai yang menebas-menebang.  Di atas tanah itu, dipanggillah rakan taulan mereka bercucuk tanam dan mendirikan rumah kediaman. Akan urusan ini selesai pada sekitar 1805M.

Sesudah dapat dijayakan bercucuk tanam di tanah pamah itu, datang pula Tok Malim Pendita dari Selayang, Sumatera (bernikah dengan Intan Zubaidah anak Mas Suka  anak Tok Prak)  membuka tanah di Bukit Asin.

Setelah 11 tahun kampung Temau itu dibuka, Datok Paduka meninggal dunia dan dikebumikan di Bukit Kepayang.  Dalam tempoh itu juga Tan Fakeh diangkat menjadi ketua dan pawang.   Dalam tempoh ini juga datangnya    keluarga  Haji Muhamad Salleh lentor   dan keluarga Teuku Ali @ Tok Shaharom di kalangan orang Rao  dan lain-lain ke Temau.

Teuku Ali@Tengku Ali  itu berasal dari Bilah Paning, Pagarruyung . Beliau    berhijrah dari Sumatera ke Tanah Melayu (1780M) bersama adiknya yang tengah  bersama 300 orang pengikut mereka dengan menaiki 12 buah kapal menyusur muara Sungai Perak, lalu singgah di sebuah tempat yang kini dikenali sebagai Bidor .  Sebahagian pengikutnya mengambil keputusan untuk tinggal menetap di Bidor (Perak), manakala sebahagian lagi meneruskan perantauan mengikut Teuku Ali@Tengku Ali dari Ulu Sg. Perak menjelajah hingga ke Ulu Sg. Lipis, lalu menghilir Sg. Lipis sampai ke Temau (Raub).
Di Kg. Temau, Teuku Ali@Tengku Ali bertemu jodoh dengan seorang gadis Temau bernama Siti Hajar@Tok Dinar. Setelah mengahwini Siti Hajar@Tok Dinar, lalu Teuku Ali@Tengku Ali menukar namanya kepada Tok Shahrom. Tidak lama kemudian, orang kanannya yang bersama-sama merantau bernama Malim Yunus(seorang ulamak Mendailing) telah mengambil keputusan meneruskan pengembaraan mereka menghilir Sg. Lipis, dan Sg. Jelai sehingga tiba ke suatu petempatan yang cukup sesuai kerana kawasannya tinggi, dan  berhampiran sungai pula, lalu diberi nama tempat itu Pulau Tawar.
Perkahwinan Teuku Ali@Tengku Ali dan Siti Hajar@Tok Dinar  telah melahirkan lima orang cahaya mata : Ranting Mas , Hajjah Maimunah, Rasu Abdul Salam (Tok Gajah), Khatib Mohd Amin dan Khatib Mohd Arif. Antara anak-anaknya itu Rasul Abdul Salam  muncul sebagai pahlawan  ternama   dalam sejarah Pahang sebagai Tok Gajah..

Namun suasana tenang  di Temau itu tiba-tiba kembali huru hara apabila berlaku perang saudara di Pahang  1857  bersabit perebutan takhta di antara Wan Ahmad dan Wan Mutahir.   Di pihak pembesar hulu  Pahang ketika itu tiadalah menyokong Wan Ahmad.  Maka Dato’ Bahaman  yang menyokong Wan Ahmad  telah berhubung dengan Wan Daud bin Wan Pahang  meminta menyokong Wan Ahmad.  Atas sikap  pihak Wan Mutahir yang kurang menghargai sokongan  orang di hulu, maka Wan Daud telah mengumpulkan 400 pahlawan di hulu  untuk membantu Wan Ahmad menaiki takhta.   Wan Daud campurtangan dalam konflik itu kerana  hendak membalas dendam kepada Wan Mutahir yang telah memerintah hulubalang Wan Mutahir membunuh sepupunya Wan Embong bin Tok Raja Wan Idris. Maka dalam konflik ini, orang Temau turut terlibat.  Antara mereka ialah Rasul Abdul Salam @ Tok Gajah bin Tok Shahrom @ Tengku Ali. Selain itu  Panglima Haji Muhamad Salleh lentor orang Rawa, Haji Muhamad Baki  dan Imam Perang Haji Yusuf bin Tan Ibrahim dan ramai lagi.

 Akan kemaraan tentera  Wan Aman  hingga ke Mukim Sega     banyak menganggu  penduduk Temau.   Hasutan dan paksaan agar penduduk di situ menyertai pasukan Wan Aman  menjadikan penduduk berasa serba-salah.   Akan kaum kerabat Tok Prak di kampung Temau ini tidaklah mahu terlibat dalam pergolakan politik tempatan.    Lalu penduduk awal Temau ini berpindah ke rumah kaum kerabat mereka di Sengkela, Gesing dan Batu Talam.  

Setelah masalah politik Pahang selesai  dan setelah tiga tahun kampung Temau itu ditinggalkan,  mereka pun kembali semula  mendiami kampung tersebut.

Bagi menegakkan rukun bermasyarakat  sesudah pembukaan kali kedua kampung Temau ini,  bersepakat penduduk Temau itu melantik  keturunan dan kaum kerabat   Tan Fakeh sebagai ketua di Temau.

Di kemudian hari, kampung Temau ini melebar hingga terbuka pula  Kampung Sungai Jahit (Dong).

Ketua Kampung Temau  dan Penghulu Mukim Dong
i. Tan Fakeh
ii. Tan Ibrahim
iii. Hj. Muhamad Baki (menantu Tan Fakeh)
iv. Imam Perang Hj. Yusuf   (1828-1914)  (anak Tan Ibrahim)
v. Tok Muda Hasan (menantu Imam Perang Yusuf dan cucu Tan Fakeh)
v. Bakhtiar (anak Tok Muda Hasan dan ccicit  Tan Fakeh)
vi. Muhamad Amin (anak Tok Muda Hasan dan Cucu Imam Perang Yusuf)

vii. Mahmud

KAMPUNG AJAI DIBUKA


Sesudah dibuka kampung Batu Talam, tidak adalah keinginan ketika itu untuk membuka kawasan yang lebih hulu di Sungai Lipis ( Ulu Sungai) disebabkan kawasan tersebut berhutan tebal, banyak binatang buas dan tidak banyak kawasan pamah untuk kegunaan bertanam padi.
Maka oleh cucu cicit dan kaum kerabat Raja Ahmad (Tok Prak) yang tinggal di Sengkela    ingin membuka kampung beralih pula ke batang Dong.  Tempat pertama dibuka ialah kampung Ajai dan kemudian hari, kampung Ajai ini telah berkembang meliputi kampung-kampung kecil lain iaitu kampung Kuala Dong, kampung, Panchor , kampung Sungai Kayu Ara dan kampung Sungai Kerak.
Antara mereka ialah Tok Haji Abdul Latif ( Haji Mahkota) yang berasal dari tanah kerinci, Jambi , Sumatera; Tengku Alim @ Tuan Fakeh , Tok Sarih  bin Tok Unus dari Chenor .  Akan kedudukan tokoh  pembuka kampung Ajai ini ialah Tok Haji Abdul Latif itu ialah menantu Raja Ahmad (Tok Prak), sementara Tengku Alim @ Tuan Fakeh(bernikah dengan Tibah binti Hj. Abdul Latif)   dan Tok Sarih bin  Tok Unus itu ialah menantu kepada Tok Haji Abdul Latif.
Selain  mereka, terdapat tokoh-tokoh lain yang mengikuti pembukaan kampung Ajai  iaitu Tok Panglima Rantau, Panglima Jo Pogang, Tok Bilal Laton, Haji Shukor, Tok Berarun  dan Haji Abdul Wahid

Akan nama kampung ini disebut Ajai  disabitkan  dengan anggapan setiap kali berburu binatang hutan dan binatang itu masuk ke kawasan lingkungan perkampung, sah sudah binatang itu akan menemui  ‘ ajal ‘ . Akan kata itu akhirnya disebut  ‘ Ajai ‘ sahaja.  Ada juga yang mengkisahkan nama kampung itu diperoleh daripada  sebatang pokok ‘ Kijal ‘ yang besar.  Akan perkataan ‘ Kijal ‘ itu lama-kelamaan  berubah disebut ‘ Ajai ‘ sahaja.

Akan tokoh pembuka Ajai ini saling berkerabat dengan keluarga Tok Keli Penghulu Sega kerana berlaku perkahwinan dengan keluarga Tok Keli yang tinggal di Kampung Durian Terung, Chenua iaitu bersebelahan dengan kampung Sengkela.  Akan keluarga Tok Keli ini sangat kuat pengaruhnya dalam sistem politik tradisional waktu itu kerana merekalah yang  mentadbir lembahan Sungai Lipis dari muara Sungai Lipis hingga ke air meleleh di kaki Gunung Lipis berhampiran Slim River,Perak.   Maka jiwa kekerabatan orang Ajai ini sangat rapat dengan orang-orang di Sega dan Budu kerana kaum keluarga Tok Keli daripada keturunan Baginda Demu dan Tun Ismaun menetap di Budu.

Dalam tempoh yang panjang,  kampung Ajai ditadbir oleh beberapa orang ketua kampung yang direstui oleh Penghulu Sega.  Antara mereka ialah Tok Empat Haji Rausi bin Khatib Ismail (1872M – 1969M), Tok Empat Selimin bin Tok Empat Rausi (1940M – 1971M), Tok Empat Haji Mansor bin Haji Mat Nasir (1972M – 1994M), Tok Empat Abdul Rahman bin Sani (1998M … . )

PEMBUKAAN KAMPUNG BATU TALAM



Hubungan orang di Ulu Pahang dengan kawasan Slim River dan Sungkai   di Perak sudah wujud sebegitu lama.  Ini disebabkan adanya hubungan dagang orang-orang Ulu Pahang ke Perak merentasi Banjaran Titiwangsa.   Perdagangan   dari Pahang seperti   ternakan Kerbau, Bijih Timah dan Emas serta hasil hutan bermutu tinggi didagangkan  ke Sungkai dan Slim River.  Demikian juga barangan tenunan, makanan dan senjata dibawa ke hulu Pahang.

Kedudukan  Batu Talam di hulu Sungai Lipis menjadi tempat transit perdagangan darat ke Sungkai dan Slim River di Perak   sangat penting.   Tempat ini sesuai sebagai tempat pengumpulan barangan dagangan  dan  persinggahan.  Air Sungai  Lipis  yang dalam di sebelah hulu  sesuai dijadikan tambatan untuk menilai cukai  dan melaksanakan urusniaga.  

Memandangkan kepentingan memajukan perdagangan di kawasan Ulu Pahang,  Tok Kaya Chandak (Orang Kaya Lipis ke-11) meminta adiknya Tok De Abdul Rahman meninjau kawasan yang sesuai sebagai petempatan.  Urusan ini dilaksanakan sesudah kawasan kampung Sega Lama selesai dibuka.

Tok De Abdul Rahman dan anak buahnya  telah mudek ke hulu dan akhirnya mendapati kawasan  kiri dan kanan Sungai Lipis  di antara  kuala  Sungai Batu dan di  sejarak pandang dari kuala  Sungai  Bekil  sesuai dijadikan  petempatan.  Ini disebabkan tebing Sungai Lipis  lebih melandai dan sungainya pula lebar dan dalam.  Sementara di kawasan daratnya sesuai ditanam padi  dan tanaman makanan yang lain.  Kampung Batu Talam telah dibuka oleh Tok De Abdul Rahman sebagai  petempatan   sekitar tahun 1720-an    

Ketika   hayat Tok Kaya Chandak, Orang Kaya Lipis ke-11 ini,selain memeriksa perhentian perdagangan hulu di jeti Sega Lama, jeti Pulau Rumbiah, beliau juga   datang menziarahi adiknya, Tok De Abdul Rahman.  Dengan takdir Allah, beliau meninggal dunia di Batu Talam. Peristiwa itu berlaku kira-kira di sekitar tahun 1747M  dan jenazah beliau dimakamkan di kampong Pulau, Batu Talam. 

Pada tahun-tahun 1970-an, Tun Ghazali Shafi’e pernah menziarahi kuburan ini.  Ini disebabkan beliau  ini adalah dari keturunan Tok Kaya Chandak ini  ( Ghazali  anak Nah anak Tok Kaya Sintol anak Tok Kaya The  anak Wan Idris anak Inah anak Tok Kaya Chandak.)

 Kampung Batu Malim tumbuh sesudah Kampung Batu Talam pesat berkembang.  Tok Malim ( tidak dapat dikesan keturunannya) didakwa sebagai pembuka kampong ini (catatan Zakaria Hitam). Tok Malim  tinggal di kaki Bukit Barok. Di pangkalan Tok Malim itu ada sebuah batu besar . Batu tersebut digunakan oleh Tok Mailm sebagai tempat duduk semasa mengambil air sembahyang. Selepas Tok Malim meninggal dunia maka batu tempat Tok Malim mengambil air sembahyang itu dipanggil Batu Tok Malim.  Sesudah itu gelaran  Batu Tok Malim menjadi  Batu Malim sahaja.  Kampung di mana Tok Malim tinggal ini diberi nama Batu Malim.  Kampung ini masih wujud sehingga kini.

Kisah tentang Tok Malim ini perlu diselami dengan saksama. Perkataan Malim itu itu sendiri diambil dari perkataan ‘ mualim ‘ iaitu orang yang mengajar ilmu.  Jika diambil daripada pengertian ini  pastilah mualim itu (Tok Malim)  orang yang memiliki ilmu agama yang sangat tinggi.

             
 
           Sementara Kampung Hulu Sungai mulai dibuka oleh Pahlawan Tok Cha bin Imam Muhamad  dan pengikutnya yang balik dari berperang saudara di Selangor  sekitar 1870M.   

WARISAN PENGHULU SEGA

  
Dalam sistem pemerintahan di Ulu Pahang, Lembahan Sungai  Lipis dari muara Sungai Lipis hingga ke air meleleh tertakluK  mereka di bawah perintah Orang Kaya Lipis.  Akan Orang Kaya Lipis itu meminta nasihat kepada Maharaja Perba Jelai yang menguasai jaluran Sungai Jelai.

Apabila telah dibuka kampung Tersan dan Sega Lama, maka kawasan yang luas itu memerlukan seorang Penghulu yang menjaga selia urusan pemerintahan.  Maka Penghulu Sega pada waktu itu mesti dirujuk terhadap  apa sahaja urusan membuka kampung halaman  dan adat istiadat.  Jadi pengaruh Penghulu Sega sebelum 1859 melebar ke kiri kanan Sungai Lipis bermula dari Jeram Besu hingga ke Air Meleleh.

Akan pemegang jawatan Penghulu  Sega sejak asalnya sangat berkait dengan keturunan  Tok Mat Amin bin Tok Malik, Tok Mansor (Bugis) dan  Tok Kaya Ibrahim.  Akan ketiga kepala keluarga ini, anak buah mereka saling bersemenda dan berkerabat melalui ikatan perkahwinan. Maka semacam diatur akan menjadi Penghulu Sega itu datangnya daripada  keturunan ini. 
 Pewarisan Penghulu Sega dapat dilihat seperti berikut:

1. TOK MAT AMIN BIN  TOK MALIK
            Tok Mat Amin: Sekadar bergelar Tok sebab diala Penghulu, dialah Imam dan dialah pawang. Orang pertama membuka kampung Tanjung Aur / Bukit Tersan seterusnya Mukim Sega. Beliau berhijrah dari Kampung Pagar/Penjom.  Beliau  anak Tok Malik anak Tok Mohd.Salleh anak Tok Endit anak Tok Mohd.Ali Jaafar bin Tok Demu.
              Maka keturunan beliau bertebaran dengan ramai ke Kg Tersan, Kg. Kuala Atok dan Jenut, Kg. Jeram Besu, Kg. Sega Tat, Kg. Sega Lama, Kg. Ulu Renggol dan dikemudian harinya  berserakan tinggal di beberapa mukim lain seperti Mukim Dong, Mukim Batu Talam, Mukim Budu, Mukim Penjom, berkerabat dan bersemenda dengan keluarga di daerah lain. 
            Masa beliau menjawat jawatan Penghulu itu kira-kira anggaran sekitar tahun 1785. Menjelang akhir hayatnya, Tok Mat Amin memilih menantunya Tok Shahbuddin bin Tok Alauddin keturunan Tok Mansur orang Bugis, suami kepada anaknya Tok Itam Radhiah, mengambil alih jawatan sebagai Penghulu, Imam dan Pawang.
             Tok Shahbuddin pula tidak berupaya untuk menyandang ketiga tiga jawatan itu sekaligus. Atas budibicara Tok Shahbuddin lalu menyuruh orang orangnya memanggil abang iparnya Tok Muhammad bin Tok Aya yang tinggal di Kampung Pasir Purun, Sengkela, yang bersempadan dengan Mukim Semantan Hulu, untuk di lantik sebagai Penghulu menggantikan To Mat Amin.
            Lantikan ini dipersetujui oleh Tok Mat Amin. Manakala jawatan Imam, Tok Shahbuddin yang diberi kuasa penuh itu menamakan abang iparnya, Tok Ngah bin Tok Mat Amin iaitu abang kepada isterinya Tok Itam Radhiah lalu bergelar Tok Imam Ngah. Tok Shahbuddin hanya memegang jawatan Pawang sahaja.

2. TOK MUHAMMAD BIN TOK AYA
Tok Muhammad bin Tok Aya: Tok Aya bin bin Tok Da (De) anak Tok Koris dan Itam Mas Pahang anak tok Kaya Ibrahim. Tok De Abdul Rahman,  adik- beradik  dengan Tok Kaya Chandak.   Tok De (pembuka Batu Talam) ada makamnya ada di Batu Talam. Tok Muhammad memegang jawatan Penghulu Sega sekiatr tahun-tahun 1809M.   

Tok Keli bin Tok Mohamad: Keturunan Tok Kaya Ibrahim. Ibunya Tok Ngah keturunan Tok Mansor (Bugis)  Beliau menjawat jawatan Penghulu Mukim Sega sekitar tahun 1853M .  Akan berlakunya perang saudara di Selangor (1872-1873) , bergeraklah Tok Keli dengan segala panglima di mukim Sega.  Bersatulah tentera dari Sega dengan tentera dari Penjom pimpinan Orang Kaya Sintol, tiga pupunya bergerak ke Genting Sempah.  Dalam kalangan tentera Tok Keli itu dilantiknya   Panglima Juan bin Imam Mohamad , ketua pasukan sayap kiri, Panglima  Abdul Rahman bin Panglima Juan, ketua pasukan sayap kanan. Mereka kemudiannya bergerak ke arah Kuala Kubu  dan Rawang untuk menghalau tentera Raja Mahadi.    
Pada zaman Tok Keli menjadi Penghulu Sega, Inggeris masuk campurtangan dalam pemerintahan Pahang.  Pembesar Pahang tidak dibenarkan mengutip cukai hasil masyhul di kawasan mereka.  Mereka dibayar gaji tahunan mengikut pangkat dan gelaran.  Hal ini menyebabkan ramai pembesar Pahang tidak berpuas hati.

4. TOK IMAM TEH BIN TOK TIL
Tok Imam Teh bin Tok Til: (lahir 1866) cucu Tok Shahbuddin bin Tok Alauddin (Bugis) beristerikan Tok Itam Robiah anak Tok Mat Amin.)  Imam Teh anak saudara sepupu Tok Keli. Pada zaman pemerintahan Tok Keli, penghijrahan  penduduka Rawa, Jambi  dan Kampar ke Raub berlaku pada kadar bilangan yang ramai.  Kekacauan di Sumatera disebabkan dasar penjajahan Belanda, memaksa penduduk di Sumateri menyelamatkan nyawa dan harta benda mereka   dengan berhijrah ke mukim Sega.

5. MUHAMAD SAMAN BIN ABDULLAH
Muhamad Saman bin Abdullah :Orang Temerloh, Penghulu Mukim Semantan Hulu.Dipindahkan ke Mukim Sega mengisi tempat  yang sepatutnya dipegang oleh Tok Muhammad Dahan bin Imam Teh.

6. MUHAMMAD DAHAN BIN IMAM TEH
Muhammad Dahan bin Imam Teh :Menjadi penghulu Sega sekitar tahun 1916. Anak kpd Penghulu Imam Teh bin Tok Til. Sepatutnya menjadi penghulu ke 5 Mukim Sega diperintahkan ke Mukim Semantan Hulu (menjalani tempoh percubaan) selama tiga tahun dan selepas itu balik menjadi Penghulu Mukim Sega. Penghulu Muhammad Dahan bekas guru di sekolah Melayu Raub, memohon kepada DO Raub supaya menambah seorang lagi penghulu memandangkan Mukim Sega besar. Pada zaman Penghulu Mohammad Dahan ini, kelas pelajar perempuan dibuka di Sekolah Melayu Sega.

7. PILUS BIN LONG TAIB
Pilus bin Long Talib :Cicit Tok Keli sebelah ibunya. Menjadi Penghulu II Mukim Sega sebelum ditukarkan ke Mukim Hulu Dong. Balik ke Mukim Sega menggantikan Muhammad Dahan yang bersara.

8. YAAKOB BIN HASAN
Yaakob bin Hassan :Berkahwin dengan Bainah binti Idris bin Awang Long keturunan Tok Malik selimang daripada warisan Tok Maimunah binti Tok Muhamad Ali Jaafar bin Tok Demu. Yaakob (tidak begitu jelas asal usulnya) dilantik sebagai Penghulu II Sega. Apabila Pilus balik ke Mukim Sega,Yaakob dipenghulukan ke Mukim Tras.

9. SYED ABDUL RAHMAN BIN SYED MUHAMMAD
Syed Abdul Rahman bin Syedd Muhammad bin Syed Abdul Rahman (Tuan Dagang)   bin Abd Kadir bin Ali bin bin Abdullah bin Ali bin Muhammad bin Abu Bakar bin Ali bin Abu Bakar bin Ali bin Muhammad bin Ali bin Alwi Al-Kherrid  bin Muhammad Hamidan bin Adburrahman sehingga ke Rasulullah s.a.w..   Syed Abdul Rahman  merupakan cicit kepada Tok Keli dan cucu kepada Alus isteri Tuan Dagang( Syed Abdul Rahman) .   Kebolehannya sangat menyerlah kerana beliau  bekas pelajar  di Madrasah Al Junied Singapura yang masyhur itu. Sewaktu berkursus di Institut Pertaniah Serdang, beliau berkenalan dengan orang kaya Sabah  bernama Tun Datu  Mustafa  .  Beliau menjadi Penghulu II Mukim Sega manakala Penghulu I ialah   Penghulu Pilus dua pupu kepada Syed Abdul Rahman.  Beliau menjadi Penghulu penuh apabila Penghulu Pilus bersara,                                       
10. BAHAUDDIN BIN AHMAD
Bahauddin bin Ahmad: Pembantu Pertanian dilantik Penghulu II Sega sebelum menjadi penghulu penuh. Ahmad adik kpd. Muhamad Dahan bin Imam Teh bin tok Til.

11. AHMAD BIN ALANG
Ahmad bin Imam Alang: Pegawai Awam dari Jabatan Kesihatan dilantik Penghulu ke 11. Imam Alang bin Imam Jinal bin Tok Imam Teh bin Tok Muhamad bin Tok Tok Aya bin tok De bin Tok Koris.

12. OTHMAN BIN HJ. HUSSIN
Othman bin Hj. Hussin bin Gaduh bin Tok Man. Tok Man bin Tok Pandak bin Tok Ngah Abu Bakar bin Tok Malik Selimang bin Tok Pudin. Tok Pudin anak Tok Maimunah adik beradik Tok Embong Pian dan Tok Ngah Endit. Asalnya beliau ialah guru dan kemudian dilantik SPA menjadi Penghulu.

Selepas Penghulu Othman bin Hj.Hussin, Penghulu Mukim Sega dilantik oleh SPA tidak lagi mengikut waris.