PEMBUKAAN KAMPUNG BATU TALAM



Hubungan orang di Ulu Pahang dengan kawasan Slim River dan Sungkai   di Perak sudah wujud sebegitu lama.  Ini disebabkan adanya hubungan dagang orang-orang Ulu Pahang ke Perak merentasi Banjaran Titiwangsa.   Perdagangan   dari Pahang seperti   ternakan Kerbau, Bijih Timah dan Emas serta hasil hutan bermutu tinggi didagangkan  ke Sungkai dan Slim River.  Demikian juga barangan tenunan, makanan dan senjata dibawa ke hulu Pahang.

Kedudukan  Batu Talam di hulu Sungai Lipis menjadi tempat transit perdagangan darat ke Sungkai dan Slim River di Perak   sangat penting.   Tempat ini sesuai sebagai tempat pengumpulan barangan dagangan  dan  persinggahan.  Air Sungai  Lipis  yang dalam di sebelah hulu  sesuai dijadikan tambatan untuk menilai cukai  dan melaksanakan urusniaga.  

Memandangkan kepentingan memajukan perdagangan di kawasan Ulu Pahang,  Tok Kaya Chandak (Orang Kaya Lipis ke-11) meminta adiknya Tok De Abdul Rahman meninjau kawasan yang sesuai sebagai petempatan.  Urusan ini dilaksanakan sesudah kawasan kampung Sega Lama selesai dibuka.

Tok De Abdul Rahman dan anak buahnya  telah mudek ke hulu dan akhirnya mendapati kawasan  kiri dan kanan Sungai Lipis  di antara  kuala  Sungai Batu dan di  sejarak pandang dari kuala  Sungai  Bekil  sesuai dijadikan  petempatan.  Ini disebabkan tebing Sungai Lipis  lebih melandai dan sungainya pula lebar dan dalam.  Sementara di kawasan daratnya sesuai ditanam padi  dan tanaman makanan yang lain.  Kampung Batu Talam telah dibuka oleh Tok De Abdul Rahman sebagai  petempatan   sekitar tahun 1720-an    

Ketika   hayat Tok Kaya Chandak, Orang Kaya Lipis ke-11 ini,selain memeriksa perhentian perdagangan hulu di jeti Sega Lama, jeti Pulau Rumbiah, beliau juga   datang menziarahi adiknya, Tok De Abdul Rahman.  Dengan takdir Allah, beliau meninggal dunia di Batu Talam. Peristiwa itu berlaku kira-kira di sekitar tahun 1747M  dan jenazah beliau dimakamkan di kampong Pulau, Batu Talam. 

Pada tahun-tahun 1970-an, Tun Ghazali Shafi’e pernah menziarahi kuburan ini.  Ini disebabkan beliau  ini adalah dari keturunan Tok Kaya Chandak ini  ( Ghazali  anak Nah anak Tok Kaya Sintol anak Tok Kaya The  anak Wan Idris anak Inah anak Tok Kaya Chandak.)

 Kampung Batu Malim tumbuh sesudah Kampung Batu Talam pesat berkembang.  Tok Malim ( tidak dapat dikesan keturunannya) didakwa sebagai pembuka kampong ini (catatan Zakaria Hitam). Tok Malim  tinggal di kaki Bukit Barok. Di pangkalan Tok Malim itu ada sebuah batu besar . Batu tersebut digunakan oleh Tok Mailm sebagai tempat duduk semasa mengambil air sembahyang. Selepas Tok Malim meninggal dunia maka batu tempat Tok Malim mengambil air sembahyang itu dipanggil Batu Tok Malim.  Sesudah itu gelaran  Batu Tok Malim menjadi  Batu Malim sahaja.  Kampung di mana Tok Malim tinggal ini diberi nama Batu Malim.  Kampung ini masih wujud sehingga kini.

Kisah tentang Tok Malim ini perlu diselami dengan saksama. Perkataan Malim itu itu sendiri diambil dari perkataan ‘ mualim ‘ iaitu orang yang mengajar ilmu.  Jika diambil daripada pengertian ini  pastilah mualim itu (Tok Malim)  orang yang memiliki ilmu agama yang sangat tinggi.

             
 
           Sementara Kampung Hulu Sungai mulai dibuka oleh Pahlawan Tok Cha bin Imam Muhamad  dan pengikutnya yang balik dari berperang saudara di Selangor  sekitar 1870M.   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan