WARISAN PENGHULU SEGA

  
Dalam sistem pemerintahan di Ulu Pahang, Lembahan Sungai  Lipis dari muara Sungai Lipis hingga ke air meleleh tertakluK  mereka di bawah perintah Orang Kaya Lipis.  Akan Orang Kaya Lipis itu meminta nasihat kepada Maharaja Perba Jelai yang menguasai jaluran Sungai Jelai.

Apabila telah dibuka kampung Tersan dan Sega Lama, maka kawasan yang luas itu memerlukan seorang Penghulu yang menjaga selia urusan pemerintahan.  Maka Penghulu Sega pada waktu itu mesti dirujuk terhadap  apa sahaja urusan membuka kampung halaman  dan adat istiadat.  Jadi pengaruh Penghulu Sega sebelum 1859 melebar ke kiri kanan Sungai Lipis bermula dari Jeram Besu hingga ke Air Meleleh.

Akan pemegang jawatan Penghulu  Sega sejak asalnya sangat berkait dengan keturunan  Tok Mat Amin bin Tok Malik, Tok Mansor (Bugis) dan  Tok Kaya Ibrahim.  Akan ketiga kepala keluarga ini, anak buah mereka saling bersemenda dan berkerabat melalui ikatan perkahwinan. Maka semacam diatur akan menjadi Penghulu Sega itu datangnya daripada  keturunan ini. 
 Pewarisan Penghulu Sega dapat dilihat seperti berikut:

1. TOK MAT AMIN BIN  TOK MALIK
            Tok Mat Amin: Sekadar bergelar Tok sebab diala Penghulu, dialah Imam dan dialah pawang. Orang pertama membuka kampung Tanjung Aur / Bukit Tersan seterusnya Mukim Sega. Beliau berhijrah dari Kampung Pagar/Penjom.  Beliau  anak Tok Malik anak Tok Mohd.Salleh anak Tok Endit anak Tok Mohd.Ali Jaafar bin Tok Demu.
              Maka keturunan beliau bertebaran dengan ramai ke Kg Tersan, Kg. Kuala Atok dan Jenut, Kg. Jeram Besu, Kg. Sega Tat, Kg. Sega Lama, Kg. Ulu Renggol dan dikemudian harinya  berserakan tinggal di beberapa mukim lain seperti Mukim Dong, Mukim Batu Talam, Mukim Budu, Mukim Penjom, berkerabat dan bersemenda dengan keluarga di daerah lain. 
            Masa beliau menjawat jawatan Penghulu itu kira-kira anggaran sekitar tahun 1785. Menjelang akhir hayatnya, Tok Mat Amin memilih menantunya Tok Shahbuddin bin Tok Alauddin keturunan Tok Mansur orang Bugis, suami kepada anaknya Tok Itam Radhiah, mengambil alih jawatan sebagai Penghulu, Imam dan Pawang.
             Tok Shahbuddin pula tidak berupaya untuk menyandang ketiga tiga jawatan itu sekaligus. Atas budibicara Tok Shahbuddin lalu menyuruh orang orangnya memanggil abang iparnya Tok Muhammad bin Tok Aya yang tinggal di Kampung Pasir Purun, Sengkela, yang bersempadan dengan Mukim Semantan Hulu, untuk di lantik sebagai Penghulu menggantikan To Mat Amin.
            Lantikan ini dipersetujui oleh Tok Mat Amin. Manakala jawatan Imam, Tok Shahbuddin yang diberi kuasa penuh itu menamakan abang iparnya, Tok Ngah bin Tok Mat Amin iaitu abang kepada isterinya Tok Itam Radhiah lalu bergelar Tok Imam Ngah. Tok Shahbuddin hanya memegang jawatan Pawang sahaja.

2. TOK MUHAMMAD BIN TOK AYA
Tok Muhammad bin Tok Aya: Tok Aya bin bin Tok Da (De) anak Tok Koris dan Itam Mas Pahang anak tok Kaya Ibrahim. Tok De Abdul Rahman,  adik- beradik  dengan Tok Kaya Chandak.   Tok De (pembuka Batu Talam) ada makamnya ada di Batu Talam. Tok Muhammad memegang jawatan Penghulu Sega sekiatr tahun-tahun 1809M.   

Tok Keli bin Tok Mohamad: Keturunan Tok Kaya Ibrahim. Ibunya Tok Ngah keturunan Tok Mansor (Bugis)  Beliau menjawat jawatan Penghulu Mukim Sega sekitar tahun 1853M .  Akan berlakunya perang saudara di Selangor (1872-1873) , bergeraklah Tok Keli dengan segala panglima di mukim Sega.  Bersatulah tentera dari Sega dengan tentera dari Penjom pimpinan Orang Kaya Sintol, tiga pupunya bergerak ke Genting Sempah.  Dalam kalangan tentera Tok Keli itu dilantiknya   Panglima Juan bin Imam Mohamad , ketua pasukan sayap kiri, Panglima  Abdul Rahman bin Panglima Juan, ketua pasukan sayap kanan. Mereka kemudiannya bergerak ke arah Kuala Kubu  dan Rawang untuk menghalau tentera Raja Mahadi.    
Pada zaman Tok Keli menjadi Penghulu Sega, Inggeris masuk campurtangan dalam pemerintahan Pahang.  Pembesar Pahang tidak dibenarkan mengutip cukai hasil masyhul di kawasan mereka.  Mereka dibayar gaji tahunan mengikut pangkat dan gelaran.  Hal ini menyebabkan ramai pembesar Pahang tidak berpuas hati.

4. TOK IMAM TEH BIN TOK TIL
Tok Imam Teh bin Tok Til: (lahir 1866) cucu Tok Shahbuddin bin Tok Alauddin (Bugis) beristerikan Tok Itam Robiah anak Tok Mat Amin.)  Imam Teh anak saudara sepupu Tok Keli. Pada zaman pemerintahan Tok Keli, penghijrahan  penduduka Rawa, Jambi  dan Kampar ke Raub berlaku pada kadar bilangan yang ramai.  Kekacauan di Sumatera disebabkan dasar penjajahan Belanda, memaksa penduduk di Sumateri menyelamatkan nyawa dan harta benda mereka   dengan berhijrah ke mukim Sega.

5. MUHAMAD SAMAN BIN ABDULLAH
Muhamad Saman bin Abdullah :Orang Temerloh, Penghulu Mukim Semantan Hulu.Dipindahkan ke Mukim Sega mengisi tempat  yang sepatutnya dipegang oleh Tok Muhammad Dahan bin Imam Teh.

6. MUHAMMAD DAHAN BIN IMAM TEH
Muhammad Dahan bin Imam Teh :Menjadi penghulu Sega sekitar tahun 1916. Anak kpd Penghulu Imam Teh bin Tok Til. Sepatutnya menjadi penghulu ke 5 Mukim Sega diperintahkan ke Mukim Semantan Hulu (menjalani tempoh percubaan) selama tiga tahun dan selepas itu balik menjadi Penghulu Mukim Sega. Penghulu Muhammad Dahan bekas guru di sekolah Melayu Raub, memohon kepada DO Raub supaya menambah seorang lagi penghulu memandangkan Mukim Sega besar. Pada zaman Penghulu Mohammad Dahan ini, kelas pelajar perempuan dibuka di Sekolah Melayu Sega.

7. PILUS BIN LONG TAIB
Pilus bin Long Talib :Cicit Tok Keli sebelah ibunya. Menjadi Penghulu II Mukim Sega sebelum ditukarkan ke Mukim Hulu Dong. Balik ke Mukim Sega menggantikan Muhammad Dahan yang bersara.

8. YAAKOB BIN HASAN
Yaakob bin Hassan :Berkahwin dengan Bainah binti Idris bin Awang Long keturunan Tok Malik selimang daripada warisan Tok Maimunah binti Tok Muhamad Ali Jaafar bin Tok Demu. Yaakob (tidak begitu jelas asal usulnya) dilantik sebagai Penghulu II Sega. Apabila Pilus balik ke Mukim Sega,Yaakob dipenghulukan ke Mukim Tras.

9. SYED ABDUL RAHMAN BIN SYED MUHAMMAD
Syed Abdul Rahman bin Syedd Muhammad bin Syed Abdul Rahman (Tuan Dagang)   bin Abd Kadir bin Ali bin bin Abdullah bin Ali bin Muhammad bin Abu Bakar bin Ali bin Abu Bakar bin Ali bin Muhammad bin Ali bin Alwi Al-Kherrid  bin Muhammad Hamidan bin Adburrahman sehingga ke Rasulullah s.a.w..   Syed Abdul Rahman  merupakan cicit kepada Tok Keli dan cucu kepada Alus isteri Tuan Dagang( Syed Abdul Rahman) .   Kebolehannya sangat menyerlah kerana beliau  bekas pelajar  di Madrasah Al Junied Singapura yang masyhur itu. Sewaktu berkursus di Institut Pertaniah Serdang, beliau berkenalan dengan orang kaya Sabah  bernama Tun Datu  Mustafa  .  Beliau menjadi Penghulu II Mukim Sega manakala Penghulu I ialah   Penghulu Pilus dua pupu kepada Syed Abdul Rahman.  Beliau menjadi Penghulu penuh apabila Penghulu Pilus bersara,                                       
10. BAHAUDDIN BIN AHMAD
Bahauddin bin Ahmad: Pembantu Pertanian dilantik Penghulu II Sega sebelum menjadi penghulu penuh. Ahmad adik kpd. Muhamad Dahan bin Imam Teh bin tok Til.

11. AHMAD BIN ALANG
Ahmad bin Imam Alang: Pegawai Awam dari Jabatan Kesihatan dilantik Penghulu ke 11. Imam Alang bin Imam Jinal bin Tok Imam Teh bin Tok Muhamad bin Tok Tok Aya bin tok De bin Tok Koris.

12. OTHMAN BIN HJ. HUSSIN
Othman bin Hj. Hussin bin Gaduh bin Tok Man. Tok Man bin Tok Pandak bin Tok Ngah Abu Bakar bin Tok Malik Selimang bin Tok Pudin. Tok Pudin anak Tok Maimunah adik beradik Tok Embong Pian dan Tok Ngah Endit. Asalnya beliau ialah guru dan kemudian dilantik SPA menjadi Penghulu.

Selepas Penghulu Othman bin Hj.Hussin, Penghulu Mukim Sega dilantik oleh SPA tidak lagi mengikut waris.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan