KAMPUNG AJAI DIBUKA


Sesudah dibuka kampung Batu Talam, tidak adalah keinginan ketika itu untuk membuka kawasan yang lebih hulu di Sungai Lipis ( Ulu Sungai) disebabkan kawasan tersebut berhutan tebal, banyak binatang buas dan tidak banyak kawasan pamah untuk kegunaan bertanam padi.
Maka oleh cucu cicit dan kaum kerabat Raja Ahmad (Tok Prak) yang tinggal di Sengkela    ingin membuka kampung beralih pula ke batang Dong.  Tempat pertama dibuka ialah kampung Ajai dan kemudian hari, kampung Ajai ini telah berkembang meliputi kampung-kampung kecil lain iaitu kampung Kuala Dong, kampung, Panchor , kampung Sungai Kayu Ara dan kampung Sungai Kerak.
Antara mereka ialah Tok Haji Abdul Latif ( Haji Mahkota) yang berasal dari tanah kerinci, Jambi , Sumatera; Tengku Alim @ Tuan Fakeh , Tok Sarih  bin Tok Unus dari Chenor .  Akan kedudukan tokoh  pembuka kampung Ajai ini ialah Tok Haji Abdul Latif itu ialah menantu Raja Ahmad (Tok Prak), sementara Tengku Alim @ Tuan Fakeh(bernikah dengan Tibah binti Hj. Abdul Latif)   dan Tok Sarih bin  Tok Unus itu ialah menantu kepada Tok Haji Abdul Latif.
Selain  mereka, terdapat tokoh-tokoh lain yang mengikuti pembukaan kampung Ajai  iaitu Tok Panglima Rantau, Panglima Jo Pogang, Tok Bilal Laton, Haji Shukor, Tok Berarun  dan Haji Abdul Wahid

Akan nama kampung ini disebut Ajai  disabitkan  dengan anggapan setiap kali berburu binatang hutan dan binatang itu masuk ke kawasan lingkungan perkampung, sah sudah binatang itu akan menemui  ‘ ajal ‘ . Akan kata itu akhirnya disebut  ‘ Ajai ‘ sahaja.  Ada juga yang mengkisahkan nama kampung itu diperoleh daripada  sebatang pokok ‘ Kijal ‘ yang besar.  Akan perkataan ‘ Kijal ‘ itu lama-kelamaan  berubah disebut ‘ Ajai ‘ sahaja.

Akan tokoh pembuka Ajai ini saling berkerabat dengan keluarga Tok Keli Penghulu Sega kerana berlaku perkahwinan dengan keluarga Tok Keli yang tinggal di Kampung Durian Terung, Chenua iaitu bersebelahan dengan kampung Sengkela.  Akan keluarga Tok Keli ini sangat kuat pengaruhnya dalam sistem politik tradisional waktu itu kerana merekalah yang  mentadbir lembahan Sungai Lipis dari muara Sungai Lipis hingga ke air meleleh di kaki Gunung Lipis berhampiran Slim River,Perak.   Maka jiwa kekerabatan orang Ajai ini sangat rapat dengan orang-orang di Sega dan Budu kerana kaum keluarga Tok Keli daripada keturunan Baginda Demu dan Tun Ismaun menetap di Budu.

Dalam tempoh yang panjang,  kampung Ajai ditadbir oleh beberapa orang ketua kampung yang direstui oleh Penghulu Sega.  Antara mereka ialah Tok Empat Haji Rausi bin Khatib Ismail (1872M – 1969M), Tok Empat Selimin bin Tok Empat Rausi (1940M – 1971M), Tok Empat Haji Mansor bin Haji Mat Nasir (1972M – 1994M), Tok Empat Abdul Rahman bin Sani (1998M … . )

Tiada ulasan:

Catat Ulasan