TOK KAYA CHANDAK (Orang Kaya Lipis Ke-9)

                

          Tok Kaya Chandak bin Tok Koris  atau disebut  juga Tok Kaya Chandak anak Itam Mas Pahang binti Tok Kaya Ibrahim bin Tok Kaya Kasar adalah tokoh yang memegang teraju jawatan Tok Kaya Lipis ke-9.   Wilayah naungan Orang  Kaya Lipis itu bermula dari muara Sungai Lipis hinggalah ke air meleleh meliputi segala cabang alor  dan anak sungai  yang  menuju ke Sungai Lipis.




          Kelahiran  Tok Kaya Chandak  dianggar sekitar 1670M.  Beliau dibesarkan di Kampung Terap Budu   dan mula menjawat jawatan Orang Kaya Lipis ke-9  menggantikan datoknya, Tok Kaya Ibrahim yang meninggal dunia  sekitar tahun 1700M.  Sewaktu  pentadbiran Tok Kaya Chandak ini, kawasan Budu dibuka kepada kemasukkan ahli agama, pedagang dan panglima perang yang datang dari Tanah Bugis, Tanah Sumatera  dan Terengganu.

            Pentadbiran Lembahan  Lipis  yang berasal dari pemegang utamanya Hang Semaon turun temurun anak cucu dari jurai keturunannya mentadbir Lembahan Lipis.  Demikian adat sejak dahulu dan dijalankan sehingga kini.  



      
          Turutan penjawat jawatan  Orang Kaya Lipis itu  sebelum dan selepas Tok Kaya Chandak  dapat dijelas seperti berikut:
1.      Tok Kaya Hang Semaon    
2.      Tok Kaya Abdul Hamid,
3.      Tok Kaya Abdul Rahman
4.      Tok Kaya Bandu Sulaiman bin Tun Ibrahim
5.      Tok Kaya Muhammad, 
6.      Tok Kaya Abdul Hamid II,
7.      Tok Kaya Kasar  
8.      Tok Kaya Abdullah Hashim  
9.      Tok Kaya Talib @ Ibrahim Tok Kaya Candak  (1700M – 1740M)
10.  Tok Kaya Busu, 
11.  Tok Kaya Hassan  
12.  Tok Kaya Teh – 1863 ( meninggal dunia di Penjom )
13.  Tok Kaya Sentul,   
14.  Tok Kaya Awang Perang
15.  Tok Kaya Abdul Razak Hussein
,         Dengan mengekalkan Kampung Terap Budu sebagai pusat pentadbirannya, Tok Kaya Chandak mengalakkan ekspedisi membuka petempatan baru di sepanjang tebing Sungai Lipis.  Eskpedisi ini dijalankan oleh ahli keluarga dari jurai keluarga Tok Kaya Ibrahim, Tok Baginda Demu , Tok Mansor Bugis dan Tun Ibrahim yang saling bersemenda.
 
            Lalu sepanjang tempoh pentadbiran Tok Kaya Chandak di  Lembahan Lipis,  banyak petempatan penduduk dibuka.  Ada berupa kampung yang kecil dan ada yang agak besar .   Kesemua kampung yang baru dibuka ini diketuai oleh kaum kerabat  Tok Kaya Chandak dan Tok De Abdul Rahman baik sebagai Tok Kaya Lipis atau Penghulu Mukim.  Contohnya  Imam Mat Amin bin Tok Malek bin Tok Salleh bin Tok Ngah Endik bin  Mohamad Ali Jaafar membuka kampung di Tersan.  Anaknya  Embong Saedah bernikah dengan Tok Sebudin bin Tok Kaya Busu.  Cucu Tok Sebudin iaitu Tok Teh bin Til  diangkat menjadi Penghulu Sega ke-4. Akan Tok De Abdul Rahman, beliau  meletakkan anaknya bernama Tok Aya tinggal  bersama keluarga Tok Alauddin di Sega sebagai mewakili keluarga Tok Kaya Ibrahim di situ.  Tok muhamad bin Tok Aya  kemudiannya membuka kampung di Pasir Purun berhampiran Sengkela.  Beliau menggantikan Tok Mat Amin Kg. Tersan menjadi Penghulu Sega ke-2.   Berdiam dia di situ setelah beliau bernikah dengan Ngah anak Tok Shabudin bin Tok Alaudin bin Tok Mansor Bugis.  Akan Tok De Abdul Rahman   dan pengikutnya  bergerak lagi ke kawasan hulu lalu membuka  kampung Batu Talam.

            Dalam sistem pentadbiran sewaktu itu, Tok Kaya Lipis selaku ketua berperanan memberi perlindungan keselamatan penduduk-penduduk di kawasan pentadbirannya.  Penduduk yang tinggal di Lembahan Lipis dijamin  bebas bergerak dalam wilayah pentadbiran Tok Kaya Lipis, bebas mencari rezeki dan bebas membuka kampung halaman baru dengan kebenaran Tok Kaya Lipis.  Sebagai imbalan atas jaminan tersebut, penduduk membayar sejumlah cukai daripada perolehan pendapatan yang diperoleh.  Selain itu, tambatan perahu    dibangunkan untuk urusniaga sepanjang Sungai Lipis.  Bermula di Kuala Sungai Lipis, tambatan itu dibina di kampung Pagar, Kuala Sungai Rengai, Benta, Tersan, Lubuk Petai  Sega, Pasir Purun, Pulau Rumbiah dan Batu Talam.  Melalui tambatan perahu ini, Sungai Lipis menjadi lebuh perdagangan dengan membawa pelbagai hasil hutan ke sebelah hilir dan juga dari Batu Talam, perdagangan jalan darat digunakan untuk membawa barangan dagangan ke Slim River, Perak.


            Tok Kaya Chandak meninggal dunia di Batu Talam sekitar 1740M dan dikebumikan di Bukit Chucoh Batu Talam.  Jawatan Tok Kaya Lipis ke-10 disandang pula oleh anaknya Tok Kaya Busu.

WARISAN ORANG KAYA LIPIS


            Orang Kaya Lipis adalah  status  birokrasi pentadbiran tradisional di Hulu Pahang    Pada peringkat awal, urusan pentadbiran bernaung terus kepada Kerajaan Joor-Riau.  Namun kemudian, penyusunan semula dibuat  pada zaman pemerintahan Sultan Abdul Ghafur Muhyiddin Shah (Sultan Pahang ke-XII).  Institusi pembesar ini  diletak dalam kalangan Orang Besar Berlapan Negeri Pahang.

            Tidak diragui bahawa Hang Semaon bin Hang Tuah itu adalah penjawat pertama gelaran orang Kaya Lipis ini.   Sumber teromba keluarga di Benta, Penjom dan di Tanjung Besar menyebut dengan jelas akan kedudukan orang Kaya Lipis itu seperti berikut:


(1) Tok Kaya Hang Semaon putera Hang Tuah

            Beliau merupakan pentadbir cukai  sepanjang Sungai Lipis.  Bernaung di bawah kekuasaan  Johor-Riau dan berdamping dengan  Tok  Perba Jelai. Ada beberapa pendapat mengatakan beliau tiada berzuriat.  Namun apabila ditelusuri daripada beberapa kisah berkaitan zaman tersebut, nyata yangdimaksudkan tiada berzuriat itu pada watak Hang Semaon bin Hang Daud bin Hang Abdullah bin Hang Jet @ Majid bin Laksamana Hang Tuah.

            Hang Semaon (bernikah dengan Dang Kemala)  berzuriatkan    Tun Abdullah .  Tun Abdullah berzuriatkan Tun Abdul Hamid. Tun Abdul Hamid berzuriatkan Tun Aulia. Tun Aulia bernikah dengan Tun Ibrahim mendapat Zuriat Tun Bandan Patani, Tun Bandu Sulaiman, Tun Abdul Jalil, Tun Mudahika, TunBehor@ Tun Bahar, Tun Siam dan Tun Dewi.

(2) Tok Kaya Abdul Hamid,
            Beliau anak kepada Tun @ Hang Abdullah.

(3) Tok Kaya Abdul Rahman,
            Beliau anak kepada Tok Kaya Abdul Hamid.

(4) Tok Kaya Bandu Sulaiman bin Tun Ibrahim
            Tun Bandu Sulaiman ialah anak kepada Tun Ibrahim bin Tun Muhamad bin Temenggung Tun Omar (Melaka).  Bapanya Tun Ibrahim berkahwin dengan Tun Aulia, pangkat cicit kepada Hang Semaon .  Pada zaman Tok Kaya Bandu Sulaiman ini, petempatan penduduk di Kuala Sungai Rengai dibuka.  Pembukaan ini kemudiannya memberi ruang kepada anaknya Tun Enda dan keturunannya membuka kampung sehingga ke Kemesar.

(5) Tok Kaya Muhammad,
            Beliau anak kepada Tun Bandu Sulaiman.

(6) Tok Kaya Abdul Hamid II,
            Beliau anak kepada Tok Kaya Muhammad.

(7) Tok Kaya Kasar
            Beliau anak kepada Tok Kaya Abdul Hamid II

(8) Tok Kaya Abdullah Hashim
            Ada riwayat menyebut beliau adalah anak kepada Hang Semaon bin Hang Daud bin Hang Abdullah bin Hang Jet@ Majid bin Laksamana Hang  Tuah.  Beliau menjadi Tok Kaya Lipis pada 1600 masihi hingga 1679 Masihi .  Beliau meninggal dunia di Laut China Selatan sewaktu berurusan ke  Jambi jambi untuk mengambil Lela Majnun  @ Lela Rantika. .  Jenazahnya dibawa pulang dan dikebumikan di Penjom, Kuala Lipis.

(9) Tok Kaya Talib @ Ibrahim
            Mengambil alih pentadbiran Tok Kaya Lipis daripada abangnya pada 1670 Masihi hingga 1700 Masihi.
 
 (10) Tok Kaya Candak  (1700M – 1764M)
            Tok Kaya Chandak anak kepada Itam Mas Pahang (bernikah dengan Tok Koris dari Kota Labu, Kelantan) binti Tok Kaya Ibrahim.    Ramai orang di Kota Labu itu berasal dari Pahang.  Namun (penulis) tidak dapat mengesan pergerakan awal orang Pahang ke pusat pemerintahan kerajaan Kelantan di Kota Labu tersebut.  Tok Kaya Chandak mempunyai 5 orang anak iaitu Tok Kaya Busu, Tok Amir, Tok Maulud, Tok Inah dan Tok Mas.  Tok Inah bernikah dengan Wan Hasan (Wan San) bin Tun Abdul Latif – kerabat Maharaja Perba Jelai. Tok Kaya Chandak meninggal dunia di Batu Talam, Raub  dan dikuburkan di Kuala Sungai Batu. 

(11) Tok Kaya Busu,
            Tok Kaya Busu anak kepada Tok Kaya Chandak.  Beliau mempunyai anak iaitu Tok kaya Hasan, Tok Amir, Tok Maulud, Tok Inah dan Tok Mas.

(12) Tok Kaya Hassan
            Beliau anak kepada Tok Kaya Busu.  Beliau mempunyai anak iaitu Tok Aminah, Tok Hamidah dan Senai.

(13) Tok Kaya Teh – 1863 (,meninggal dunia di Penjom)
            Beliau anak Tok (Wan) Deris anak Tok Inah binti Tok Kaya Chandak. Beliau mempunyai dua orang anak iaitu Tok Adam (hilang pada hari ke-40 perkahhwinannya)  dan Sintol.

(14) Tok Kaya Sentul,
            Beliau anak kepada Tok Kaya Teh. Beliau naik sebagai Orang Kaya Lipis pada usia 17 tahun dan diberi anugerah gelaran Orang Kaya Settia Wangsa. Beliau mempunyai anak iaitu Tok Muda Long (dibunuh oleh penjajah Inggeris), Hj. Idris, Mas Pahang, Busu, Fatimah Sham ( Fatimah Sham beribu To Puan Yang berkahwin dengan Hj. Hussein bin Long bin To' Jemain (asal Bera) . Anak-anak Fatimah Sham ialah Hjh Siti Nah, Hj. Zainuddin (Benta), Mohd Noh, Hj. Hamzan (Penjom), Abd. Wahab (meinggal semas kecil) , Dato' Setia Wangsa Hj. Abdul Razak dan Halijah. Kembar Halijah tidak diketahui namanya diberi kepada orang lain semasa kecil.  Fatimah Sham juga ada anak bernama Hjh Sutinah dengan suami lain bernama Ismail) , Susah, Teh  dan Awang Perang.   Beliau memindahkan pusat pentadbiran dari Budu ke Penjom setelah didapati Penjom mempunyai kawasan emas bermutu tinggi.

(15) Tok Kaya Awang Perang,
            Beliau anak kepada Tok Kaya Sintol dari isteri bernama Tok Arfah. Tok Kaya Awang Perang berkahwin dengan Hajjah Nordiah berzuriat seorang anak bernama Hajjah Zubaidah ( Budu) 

(16) Tok Kaya Mahmud bin Mat,
       Beliau orang Pekan (MB Pahang yang pertama) .   Beliau dilantik oleh Sultan Pahang mengisi jawattan Orang Kaya Lipis.  Kedudukan keluarga beliau di Pekan ialah seperti berikut.   Mahmud bin Mat bin Che Lambak bin Encik Perak bin Tok embong bin Tok Bandar Jenal (Orang Kaya Indera Shahbandar 2) bin Tok Tondek (Orang Kaya Indera Shahbandar  1) 

(17) Tok Kaya Abdul Razak Hussein
            Beliau anak kepada Timah binti Tok Kaya Sintol.
            Akan kedudukan Tok Kaya Lipis itu, berkuasalah jalur keturunan Hang Semaun ini  atas segala urusan cukai dan pemilikan tanah bermula dari Kuala Sungai Lipis hingga ke Air Meleleh.

            Secara tradisi, gelaran Orang Kaya Lipis (kemudiannya digelar Dato’ Setia Wangsa), dipilih dan dilantik daripada keturunan Tok Kaya Hang Semaun@Hang Ismaun bin Hang Tuah atau keturunan Tun Ibrahim dari Melaka atau setidak-tidaknya dilantik di kalangan individu daripada jalur keturunan ini.  Itulah adat dahulu kala, adanya  tiada ubah.


BAGINDA DEMU (Titis Keturunan Laksamana Hang Tuah)

Pertikaman di antara Laksaman Hang Tuah dan Laksamana Hang Jebat itu benar-benar berlaku.  Dari sumber mana jua tetap menceritakan Laksamana Hang Jebat itu tewas di tangan Laksamana Hang Tuah.  Akan urusan pengebumian jenazah Hang Jebat itu dicerita dalam banyak riwayat dilakukan oleh Hang Tuah, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu.  Tiada orang Melaka menyaksikan urusan tersebut.

Setelah selesai urusan pengebumian Hang Jebat,  Laksamana Hang Tuah mengadap Sultan dan beliau pun baliklah ke Hulu Melaka tanpa membawa anak isteri dengan ditemani saudara bertiganya.  Hatinya begitu gundah mengenangkan kehilangan saudaranya Hang Jebat yang menjadi mangsa percaturan politik di Melaka.  
 
Maka kesan durhaka kepada Raja pada waktu itu amat dahsyat balasannya.  Maka diurus Laksamana Hang Tuah  menghantar Dang Wangi @ Dang Baru @ Dang Inangsih binti Sayyid Thanauddin  @ Adi Putra balik ke Pulau Besar.  Akan sekelian orang Semai Laut yang menjadi pengikut Hang Jebat diminta bersiap untuk berhijrah.

Dengan kehendak Allah, Laksamana Hang Tuah meninggalkan hulu Melaka berhijrah dan akhirnya sampailah ke Perak.  Beliau bertemu jodoh di Perak.  Kampung Asam (Kumbang) nama tempatnya.  Isterinya  bernama Halimah ( keramat Kampung Asam Kumbang).   Hasil perkahwinan itu, dapatlah empat orang anak.  Yang tuanya bernama Masada bernikah dengan Mamak Bendahara Perak. Yang kedua bernama Seri Dewi bernikah dengan Raja Mahmud.  Akan Raja Mahmud itu kerabat juga dengan raja-raja Melaka.  Yang ketiga bernama Hang Semaon   dan yang keempat; Panglima Mat Saaih.

Hasil perkahwinan Raja Mahmud dengan Seri Dewi yang hendak dicatat ada dua.  Yang tuanya bernama Raja Muhamad (Raja Muda Perak).  Raja Muhamad diserahkan pada penjaga sebagai anak raja.

Oleh kerana anak raja ini ada keganjilannya, pengasuh tersebut membawa anak raja itu berjumpa Nujum Diraja.  Keputusannya diterangkan pada pengasuh dengan katanya, “ Anak raja ini amatlah baiknya di luar  Perak dan di Perak sebaliknya.”  Maka kata Nujum Diraja itu bermaksud tidak usah dirajakan Raja Muhamad itu di Perak.  Sumber-sumber lisan dalam kerabat Baginda Demu itu memberi penjelasan begini .   Nujum Diraja bercerita kepaa Raja Mahmud bahawa Seri Dewi itu anak Halimah dan Halimah itu kerabat terdekat  Laksamana Hang Jebat yang menderhaka.  Maka tidak molek jika titisan zurat yang berkerabat begitu duduk di atas takhta Perak.

            Keputusan ramalan nujum itu dipersembahkan  kepada Raja Mahmud. Ringkas ceritanya anak ini disuruh bunuh lalu diserahkan kepada Mamak Bendahara melakukan tugasan terrsebut.  Akan tetapi Mamak Bendahara tidak berbuat begitu.  Mamak Bendahara menghantar anak itu jauh dari istana.  Akan hal ini disebut dalam dokumen lama di Jelai seperti berikut,”  MAKA BENDAHARA GARANG PUN HENDAK BERBALIK KE NEGERI PERAK. MAKA DITINGGALKAN BAGINDA DAMUN..?... ITU KEPADA MAHARAJA PERBA ORANGNYA DITINGGALKAN...? OLEH.. BENDAHARA GARANG DUA BELAS KELAMIN AKAN MEMBELAKAN BAGINDA DAMUN ITU.”

Raja Muhamad dijadikan anak angkat dan diberi nama ‘ Demu ‘.  Tak lama kemudian, isteri Bendahara pun melahirkan anak perempuan lalu diberi nama ‘ Temu ‘ .  Beberapa tahun berlalu, Demu yang sudah besar dibawa balik ke Perak. .  Demu ada ayam sabungnya sendiri.  Dia mula melangkah kaki ke gelanggang Diraja menyabung ayam.  Demu tak pernah kalah bersabung ayam dan  dalam hal bermain senjata pun bijak tak ada taranya ketika itu.

Apabila sudah dewasa, Demu dan Temu dikahwinkan.  Ketika itu, adik Temu bernama  Raja Ahmad dilantik Raja Di Hilir kerana ayahandanya syak anaknya Raja Muhamad masih ada (hidup) dan dialah yang berhak menjadi Raja Muda.  Maka itulah jawatan Raja Di Hilir diwujudkan.

Akhirnya kesah anak muda yang bijak menyabung ayam dan pintar bermain senjata dengan asuhan Mamak bendahara itu sampai ke pengetahuan Raja Mahmud.  Dengan ini menguatkan lagi bahawa anak muda ini ialah Raja Muhammad, anakanda Baginda.  Dengan tegasnya diperintah Mamak Bendahara menghalau orang muda itu keluar dari negeri Perak seberapa segera.


Akan hal kemurkaan Raja Mahmud itu sampai ke pengetahuan Seri Dewi.  Maka Seri Dewi menasihati Demu supaya segera beredar membawa sekelian kerabat keluar dari Perak.  Maka perkara itu dibawa ke pengetahuan Bandahara.  Lalu  Bendahara yang bijak itu dengan senang melepaskan anaknya pergi ke Pahang 5 beranak dan dua orang pengawal peribadi.  Rombongan itu terdiri daripada bapa saudaranya , Hang Semaon  Saaih bin Datok LaksamanaHang Tuah.dan Panglima Mat Saaih bin Datok LaksamanaHang Tuah.

BERMULANYA INSTITUSI ORANG KAYA LIPIS

 Oleh kebimbang akan keselamatannya anaknya, akan Seri Dewi menasihati anaknya agar segera beredar dari Perak.  Maka hal itu diberitahu kepada Raja Bendahara lalu Raja Bendahara yang bijak itu dengan senang melepaskan anaknya pergi ke Pahang 5 beranak dan dua orang pengawal peribadi.  Rombongan itu terdiri daripada bapa saudaranya , Panglima Hang Semaon dan Panglima Mat  Saih.


Dari Kuala Perak, Baginda Demu dan orang-orang menaiki sebuah perahu lalu belayar ke arah selatan.  Setelah beberapa lama di laut, maka sampailah ia di Bentan.  Pada masa itu, Raja Abdul Ghaffur sedang memerintah Johor dengan gelaran Sultan Muzaffar Syah dari  tahun 1564 Masihi sehingga 1570 Masihi.  Anakanda Baginda Raja Abdullah menjadi Yam Tuan Muda Riau (Johor).   Maka kedudukan mereka dalam kekerabatan kekeluargaan masih dalam  lingkungan  kerabat Marhun Bendahara Tun Perak Melaka juga. Apabila tiba di Bentan, Baginda Demu  telah masuk mengadap Yam Tuan Muda Riau.  Ia menyembah tujuannya sebagaimana yang diperintah oleh ayahanda, Baginda Temu


                Mendengar sembah Baginda Demu itu, maka Yam Tuan Muda Riau pun bertitah, “ Silalah saudara kita ke Pahang kerana di sana negeri masih gugup dengan rimba raya lagi pun sunyi.”   Setelah mendapat persetujuan , Yam Tuan Muda itu ; maka Baginda Demu pun belayar menuju ke Kuala Pahang.  Di Kuala Pahang, Baginda Demu pun mengadap Bendahara Pahang.  Ia mempersembahkan segala tujuannya kepada Baginda.  Tujuan Baginda Demu itu diperkenankan oleh Bendahara Pahang lalu ia membenarkan ia mudik ke Sungai Pahang.

                Bendahara berkata, “ Carilah di mana jua suatu tempat yang dipersetujui. Silalah buat asalkan jangan bergaduh dengan orang lain.”

                Teramatlah gembiranya Baginda Demu kerana telah mendapat persetujuan Bendahara itu. Maka ia pun mencari perahu galah untuk digunakan memudiki Sungai Pahang.  Apabila telah mendapat perahu yang sesuai, maka perahu itu dimuatkan dengan bekalan.  Maka tempat ditujunya ke tempat yang selamat di mana adanya pentadbiran Maharaja Perba Jelai di Hulu Pahang.  Maka dipilih begitu kerana  Maharaja Perba Jelai itu ada jua tali kekerabatan dengan  Raja Bendahara di Perak.  Setelah mustaid semuanya, maka Baginda Demu dengan orang-orangnya mudiklah.  Setelah beberapa hari mudik, maka sampailah Baginda Demu di satu tempat baru dibuka oleh orang-orang Islam yang datang dari Minangkabau.  Ia pun singgah di situ.


                Selepas dua tiga hari berhenti di tempat yang baru dibuka itu, maka Baginda Demu mudiklah. Akhirnya sampailah Baginda Demu di Kuala Temerloh.  Ia mendapati Kuala Temerloh tidak berapa jauh bezanya dengan kampung yang disinggahnya dahulu dan berhenti di situ beberapa hari.


                Setelah beberapa hari berhenti di Kuala Temerloh, barulah  Baginda Demu meneruskan perjalanannya. Ia mendapati perjalanannya amat sukar kerana pada masa itu, tempat-tempat di kiri kanan Sungai Pahang itu masih dipenuhi dengan hutan dan tidak banyak didiami orang.


                Pada suatu hari , maka sampailah Baginda Demu di suatu kuala sungai di sebelah kanan mudik.  Apabila didengarnya bunyi suara orang ramai di kuala sungai itu, maka Baginda Demu pun berhenti di sana. Ia mendapati beberapa orang asli berpondok di sana.


                Apabila melihatkan Baginda Demu singgah di tempat kediaman mereka, maka beberapa orang asli itu datang menghampiri orang-orang yang baru sampai itu.  Ramai juga yang lari.  Orang-orang yang datang menemui Baginda Demu itu dipujuk dengan baik.  Mereka dinasihatkan supaya jangan takut akan dia.  Dengan cara itu, maka dapatlah Baginda Demu bercakap-cakap dengan mereka.


                Baginda Demu mendapati tempat itu amat sesuai untuk dijadikan tempat kediaman.  Dengan sebab itu,  ia pun berunding dengan orang-orang asli di situ. Orang-orang asli itu pun memberitahu Tok Batin, ketua mereka.  Tok Batin berempat bersaudara tidak bersetuju dengan cadangan Baginda Demu itu.  Sekiranya orang yang mendatang itu masih berkehendak juga, maka ia mestilah dibeli dengan emas.

                Dengan takdir Allah jua, sebelum Subuh Baginda Demu telah turun menjala lalu sebiji tajau (pasu) masuk dalam jalanya.  Di dalam tajau itu penuh dengan barang emas.

                Setelah memuatkan tajau ke dalam perahu, maka Baginda Demu pun menunaikan solat fardu Subuh. Apabila telah selesai sembahyang Subuh, maka mereka un berkayuh mudik mendapatkan perahu besar mereka. Tajau itu pun dimasukkan ke dalam perahu besar.

                Apabila telah selesai makan alas perut, Baginda Demu pun mudik semula. Setelah beberapa hari mudik, maka sampailah Muhamad Ali Jaadar ke kuala sungai tempat ia singgah dahulu.

                Setelah selamat perahunya ditambat, maka Baginda Demu dengan diikuti oleh beberapa orang naik ke darat menemui Tok Batin berempat bersaudara. Apabila berjumpa, maka bersemukalah Baginda Demu dengan Batin berempat bersaudara iaitu Batin Serindun, Batin Tualang, Batin Teberau dan Batin Pak Sungkai. Maka berundinglah Baginda Demu dengan batin-Batin tersebut.

                Apabila telah ditetapkan tempat dan harganya, maka Tok Batin Saridun pun memanggil orang-orangnya yang ada di situ. Ia memberitahu anak buahnya supaya tidak ragu-ragu lagi. Katanya, “ Kami berempat bersaudara dengan semua puak kami telah bersetuju menjual tempat ini iaitu satu kawasan dari Batu Redap (sempadan daerah Jerantut dengan daerah Temerloh) di sebelah hilir ke Tanjung Lindong di sebelah hulu kiri kanan Sungai Pahang kepada encik yang baru datang ini yang bernama Baginda Demu dengan harga dibayar emas sebanyak: ‘ Segantang Ulang Aling, Sedasar Bali, Secekok Lengan Baju ’.  Dengan ini maka tempat itu terserahlah kepadanya selama-lamanya. Kami sekelian tidaklah berhak lagi di tempat itu.”

                Percakapan Tok Batin itu dijawab oleh Baginda Demu dengan berkata, “ Wahai deme sekelian. Sungguh pun tempat yang tersebut itu sudah aku beli dan Tok Batin sudah serahkan kepada aku, tetapi aku tidak larang deme sekelian duduk dan cari makan di tempat yang diserahkan kepada aku itu, asalkan deme sekelian mahu menurut hukun dan perintah aku pula.”

                Maka percakapan Baginda Demu dengan  sekelian batin itu adalah satu ‘waad’ @ atau janji penyerahan.  Lalu terserahlah kawasan tersebut kepada Baginda Demu.  Untuk mentadbir kawasan tersebut, Baginda Demu mengangkat bapa saudaranya bernama Hang Semaun @ Ismaun menjadi ketua.  Kemudian daripada itu dititah oleh Baginda Raja di Johor Riau mengangkat Hang Semaon@Ismaun ini menjadi Orang Kaya Lipis Yang Pertama.