Mas Kahwin di Negeri Pahang

Mas Kahwin di Negeri Pahang

Pada tahun 2010 yang lalu , saya dilibatkan oleh Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) sebagai salah seorang ahli jawatankuasa meninjau keperluan mengangkat satu cadangan kenaikan mas kahwin di negeri Pahang Darul Makmur.  Akan soal ini memang memerlukan kajian terperinci supaya perkara ini dikaji asal punca, aplikasi semasa dan kesannya pada masa hadapan.
          Sebagai rakyat Pahang, saya tertarik untuk menulis berhubung  pemberian mas kahwin kepada kaum wanita yang baru berstatus isteri.   Mas kahwin @ mahar@ As-Sadaq@ Al-Ajr dan lain-lain istilah ialah pemberian  wajib seorang suami kepada isteri setelah ijab Kabul.   Kadar mas kahwin  yang diberi kepada setiap isteri di Pahang pada waktu ini ialah RM22.50  kepada  isteri yang asalnya anak dara  atau janda.  Ada berbagai-bagai pandangan  berhubung hal ini.  Ada pihak yang menyokong dinaikkan  kadar mas kahwin itu.  Ada pihak yang menolak dan ada yang suka pada kadar sedia ada.

Penggunaan kadar mas kahwin  RM22.50 ini   sudah  diamalkan lebih kurang  hampir 100 tahun (sumber Berita Harian- 23 March 2010).  Sudah terlalu lama. Saya andaikan tempoh itu kurang sedikit  100 tahun berdasarkan  fakta perundangan di negeri Pahang.  Di negeri Johor, seingat kajian saya hal ini telah dimulakan pada tahun-tahun 1920-an dan tidak berubah juga kadar mas kahwin itu sehingga kini sebagaimana berlaku di negeri Pahang Darul Makmur. 
Dalam melihat  perkembangan soal ini dari segi perundangan di negeri Pahang,  pentadbiran  Inggeris telah  menggubal  undang-undang keluarga  bermula pada tahun 1920. The Muhammedan Marriage and Divorce Registration enactment 1900 diperkenalkan di Pahang serentak dengan Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu yang lain.  Kandungan peruntukannya hampir sama dengan apa yang ada di negeri-negeri lain iaitu berhubung pendaftaran perkahwinan, perceraian, rujuk dan perlantikan Qadhi.  Seterusnya pada tahun 1920, diluluskan The Muhammedan Marriage and Divorce Registration enactment No. 1 of 1920.  Enekmen ini lebih teratur berbanding enekmen sebelumnya tetapi masih dalam skop yang serupa.  Enekmen 1920 tersebut terus dipakai sehingga tahun 1935 apabila enekmen ini dimasukkan ke dalam Undang-undang Semakan Negeri-negeri Melayu Bersekutu Bab 197, 1935 (Muhammedan Marriage and Divorce Chapter 197 of Revised Law of the Federated Malay state 1935).
            Nilai  RM22.50 sen ini merupakan  nilai yang tinggi kepada masyarakat Pahang pada masa yang lalu.  Namun begitu mereka akur dan menyanggupi untuk membayar  nilai mas kahwin itu sebaik sahaja selesai diijab Kabul.  Dengan itu juga dapat dilihat demikian hebatnya pemuda-pemuda  Pahang pada masa lalu dalam soal melunaskan mas kahwin ini kepada isteri mereka.  Pada tahun-tahun 1930-an, seekor kerbau jaras dapat dibeli pada nilai RM16.00.  Ini bermakna nilai RM22.50 itu  boleh membeli seekor kerbau jaras dan dua ekor anak kerbau usia sebulan. Jika hendak dikira pada nilai semasa tahun 2010 ini, tentulah sejumlah RM3,000.00 nilai mas kahwin itu.
            Berbalik kepada  hal mencadangkan kenaikan kadar mas kahwin daripada RM22.50  ke satu kadar yang lebih tinggi.  Ada juga yang berpandangan,  janganlah naikkan tinggi sangat sampai tak mampu dibayar dan terpaksa berhutang pula kepada isteri. 
            Ada juga yang  menyogohkan hadis, " Sebaik-baik mas kahwin itu ialah yang termudah ( al-Shaukaniy,  nil al-awtar,juzuk 7, hal.362).  " Berilah isterimu sekalipun hanya  sebentuk cincin dari besi ( Al-Sunaniy,  Subul al-Salam, Mustafa al-Babbyi  al-Halabi, Mesir, 1369H,1950, juzuk 3, hal  114).
            Ada juga memberi pandangan bahawa jika sampai tidak ada barang berupa harta untuk dijadikan mas kahwin, dibolehkan ayat-ayat al-quran yang diajar kepada isteri sebagai mas kahwin.
            Bagi yang mahu  kadar mas kahwin itu  pada kadar yang rendah, suka sangatlah mereka menyogohkan hadis  ini.  Ada pun dalam soal memberi cincin besi yang disebutkan dimaksudkan satu harta bernilai.  Pada waktu peperangan, sebentuk cincin besi adalah  tinggi juga nilainya.  Demikian juga jika dinilai mengajar isteri yang tidak tahu apa-apa tentang al-Quran.  Jika  nilai mengajar itu dibandingkan dengan yuran kelas tuisyen (sekali belajar/jam), tentu mengambil waktu yang panjang untuk  membolehkan isteri itu menguasai ilmu al-Quran. Maknanya  ada  nilai tinggi juga.  Bayangkan untuk membolehkan isteri menghafaz surah Yasin yang  cuma 83 ayat, tentu mengambil masa  20 hingga 30 jam.  Jika satu jam dinilai perlu dibayar RM20.00.  Tentu kos RM600.00 diperlukan untuk menjadikan isteri itu hafizah al-Yasin.  Besar juga nilai wang untuk  hal yang dianggap mudah itu. .
Setelah melihat penetapan kadar mas kahwin ini, mazhab Shafi'e, Maliki dan Hambali tidak menetapkan had minimum dan maksimum kadar mas kahwin.  Cuma di dalam mazhab Hanafi disebut sekurang-kurangnya 10 dirham (RM97.00).  Namun begitu perlu diingat, negeri Pahang mewartakan penggunaan mazhab Shafi'e  sebagai rujukan segala peraturan yang hendak dilaksanakan di negeri Pahang.

Dalam pada itu, ramai di  kalangan  ibu bapa, ahli-ahli agama, bakal pengantin perempuan, bakal pengantin lelaki, kerabat diraja, NGO Wanita Pahang yang ditemui mengakui perlu ada perubahan kepada kadar mas kahwin di negeri Pahang ini.  Ada yang mencadangkan dinaikkan seperti di Selangor yang menetapkan RM300.00 dan sebarang nilai tunai yang lain disebut mas kahwin atau seperti di Negeri Sembilan yang menaikkan kadar mas kahwinnya kepada RM200.00.
 Namun begitu, ada juga yang mencadangkan nilai sentimental RM22.50 sen itu jangan dibuang.   Jadikanlah  nilai baru itu contohnya RM125.50 sen atau RM225.50 atau nilai yang lebih tinggi.  Nilai RM22.50 sen itu sangat sentimental buat orang Pahang.  Teruskanlah dan jangan dibuang begitu sahaja.
Anak-anak muda yang ingin bernikah di Pahang.  Apakah nilai RM22.50 itu terlalu murah dan perlu dinaikkan atau memadai dengan nilai itu  atau tidak ada masalah untuk dinaikkan?   Berapa nilai baru yang sanggup dibayar nanti?
Apa pula pendapat puteri-puteri yang  belum mendapat mas kahwin.  Tentu mereka ingin dinaikkan mas kahwin itu. Tetapi jumlahnya berapa?  Dan bagi yang sudah berkahwin, tentu ada juga cadangan dalam hal ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan