Membuka Kampung Pagar, Kuala Lipis

Kampung Pagar itu letakkannya di sebelah kanan menghilir Sungai Lipis kira-kira 9.6 kilometer dari muara Sungai Lipis. Dalam daerah Lipis, inilah antara kampung tertua yang didiami keluarga orang Islam.
Akan Baginda Demu yang berkampung di Lubuk Yong  muara Sungai Lipis  merasakan kampungnya itu sudah padat penduduknya.  Muara Sungai Lipis pada waktu itu dijadikan pusat persinggahan segala dagang dari sepanjang Sungai Lipis dan Sungai Jelai untuk membayar cukai.  Lagi pula di kawasan itu tempat bercucuk tanam semakin berkurangan.  Olehitu, Baginda Demu memberi isyarat kepada anaknya yang bernama Muhamad Ali Jaafar Sidik  untuk membuka kampung yang baru.

Akan Muhamad Ali Jaafar Sidik tertarik hendak membuka kampung di tebing  Sungai Lipis.  Ini disebabkan Lembahan Sungai Lipis itu di bawah perintah Orang Kaya Lipis ( Tun Abdul Hamid ) juga adalah ahli keluarga  Tun Semaun, Datuk Saudaranya.  Dari segi meminta kebenaran membuka tanah di mana-mana untuk dibuat kampung halaman bukanlah satu halangan.  Lagi pula dirasakan tiada jua dihalang oleh Sultan yang memerintah  negeri Pahang kerana keluarga  Sultan Pahang dan keluarga bapanya adalah titis daripada darah kesultanan Melaka.
Namun begitu tempat yang dipandang baik dijadikan kampung itu didiami oleh orang asli di bawah ketuanya bernama Batin Gedemang. Setelah berunding dengan Batin Gedemang, disyaratkan oleh Batin itu mertilah dibuat pertandingan menguji kehandalan.  Jika  Muhamad Ali Jaafar Sidik menang, kawasan Dario Neneram Dengkul di sebelah hilir hingga ke Tekup Rama di sebelah hulu akan diserahkan kepada Muahamd  Ali Jaafar Siddiq.

Pada suatu  Jumaat yang baik, dibuatlah pertandingan kehandalan itu. Pada peringkat  6 permainan awal segala permainan yang dimainkan semuanya seri. Pada permainan ke-7, diberi oleh Muhamad Ali Jaafar Sidiq satu permainan iaitu mengatur telut tujuh biji dan ditarik dari bawah sebiji lepas sebiji.  Maka didahulukan oleh Muhamad Ali Jaafar Sidik berjaya menarik tujuhbiji telur tanpa jatuh.  Akan Batin Gedemang mencuba sedaya upaya tetapi cuma berjaya menarik lima butir telur sahaja.
Akan Batin Gedemang  mengaku kalah dan merayu diberi sedikit pampasan atas kehilangan wilayah yang diperintahnya selama ini.  Maka Muhamad Ali Jaafar Siddiq bermurah hati membayar emas urai pada harga sebanyak  SECEKUK LENGAN BAJU, SEGANTANG ULANG ALING, SECEPIR BALI, SETAMPUK PINANG  kepada Batin Gedemang.  Maka Batin Gedemang mengarahkan anak buahnya berundur dari kawasan itu.  Sehinga kemudian hari, jadilah kampung itu milik anak cucu Muahmad Ali Jaafar Siddiq  dan tiada siapa berani mengaku sebagai empunyai wilayah itu.
Setelah semua orang asli di kawasan itu berunsur ke kawasan lain, Muhamad Ali Jaafar Siddiq dan keluarganya  menebas-menebang hutan belukar  untuk dijadikan kawasan pertanian. Rumah-rumah dibina  dan sempaan kawasan pertanian  setiap keluarga ditentukan.  Selesai urusan itu, berpindahlah ahli keluarga  Muhamad Ali Jaafar Sidik dari Lubuk Yong ke kawasan baru.

Sebagai petempatan baru di kawasan pinggir hutan, masalah yang dihadapi ialah gangguan binatang buas terutamanya harimau.  Untuk menyelesaikan masalah itu, Muhamad Ali Jaafar Sidiq  mengarahkan anak buahnya memotong kayu hutan dan  membuat pagar yang kukuh  memagari seluruh kampung mereka.  Maka sejak itu, kawasan kampung itu dipanggil KAMPUNG PAGAR. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan