JODOH ITU KETENTUAN ALLAH

Sealam-alam Mukim Sega  sebelum  1856M, telah wujud penduduk berbagai-bagai etnik.  Ada etnik rawa, banjar, kampar, mandailing, Melayu  Pahang dan entik lain hidup bercampur-gaul  bermasyarakat.  Akan Penghulu Sega diberikan  arahan kepada semua penduduk di mukim itu mengamalkan adat istiadat  yang sudah berjalan di Sega.  Akan adat istiadat itu sudah terpakai di negeri Pahang sekian lama.

Dalam  kehidupan bermasyarakat,  jalinan maufakat sentiasa diutamakan. Bidalan Melayu ada menyebut , " Kalah adat kerana maufaka.". Ini bermaksud, walaupun sudah difahami dalam satu-satu bangsa itu ada peraturan atau adat tertentu untuk menguruskan sesuatu hal, tetapi jika pada masa itu, semua ahli masyarakat bermuafakat hendak melaksanakan urusan tersebut dengan cara berbeza dengan apa yang biasa dibuat, maka pada waktu itu, tidak diperlukan aturan dan adat istiadat tersebut. Dengan ini, muafakat adalah keperluan sosial yang amat dititikbengikkan.

Namun begitu bagi menjaga keharmonian hidup bermasyarakat dalam banyak urusan kehidupan, adat istiadat digunakan juga. Ini bertujuan untuk memudahkan perjalanan kehidupan. Bidalan Melayu menyebut perihal ini seperti berikut:

Alam beraja, mukim berpenghulu, kampong berketua. Adat itu berhukum.

Orang-orang Melayu hidup mengamalkan adat istiadat sejak wujudkannya tamadun orang-orang Melayu di Nusantara Melayu ini. Apabila Islam datang ke alam Melayu, segala adat istiadat Melayu disesuaikan dengan ajaran Islam. Berhubung hal ini, pantun Melayu ada menyebut;

Kalau jagung kulitnya putih
Tidak berbunga masa berbuah
Di laut Temenggung di darat Pepatih
Adat berpunca kitab Allah

Untuk mengembangbiakkan keturunan, proses perkahwinan dipandang sangat suci.  Untuk itu segala proses ke arah mengahwinkan pasangan lelaki dan perempuan dihalusi agar  keharmonian hidup dapat dicapai.  Demikian sealam-alam  mukim Sega itu  menjalankan istiadat yang sama.

Proses ke arah pertunangan  dimulakan dengan berbisik-bisik.  Ada juga yang tidak melalui proses ini iaitu pihak keluarga menikahkan sesuatu pasangan secara paksa.  Ini dibuat bagi tujuan merapatkan tali keluarga yang semakin jauh .  
 

Proses Berbisik-bisik

Apabila seseorang lelaki dan seseorang perempuan sudah sampai ke tahap boleh berumahtangga, maka antara keduanya mula berkenal-kenalan dan sudah mulai bercita-cita untuk mendirikan rumahtangga. Dalam kehidupan seharian, sudah pasti proses bertanya khabar atau berbisik-bisik dibuat untuk mengetahui status diri masing-masing sama ada masih bujang atau pun sudah berpunya. Jika dalam proses berbisik-bisik ini, antara mereka bersependapat ingin mendirikan rumahtangga, maka pihak lelaki akan memaklumkan kepada keluarganya untuk merisik ke pihak keluarga perempuan.

Proses merisik

Proses merisik ialah satu kaedah iaitu keluarga lelaki menghantar wakil untuk berbincang dengan keluarga perempuan. Wakil kedua pihak biasanya ialah ibu bapa atau seseorang yang sangat dipercayai boleh menyimpan rahsia. Pertemuan diadakan di rumah keluarga perempuan dan semasa pertemuan diadakan, pihak lelaki membawa sebentuk cincin belah rotan sebagai tanda.

Laksamana berbaju besi,
Masuk ke hutan melanda-landa;
Hidup berdiri dengan saksi,
Adat berdiri dengan tanda.

Sekiranya cincin itu tidak dibawa, maka semasa majlis pertunangan dijalankan nanti, pihak lelaki hendaklah membawa 2 bentuk cincin iaitu cincin belah rotan dan cincin bertunang.

Tujuan merisik adalah bagi mendapatkan kemungkinan untuk menjalinkan hubungan keluarga atau menjalinkan ikatan perkahwinan dengan pihak keluarga yang dirisik. Jika risikan berjaya, pertunangan boleh dijalankan namun sebaliknya jika perempuan yang dirisik itu berpunya, maka hasrat tersebut terpaksa dibatalkan. Dengan sebab itu, tujuan merisik boleh mengelakkan daripada meminang orang yang telah berpunya sesuai dengan ajaran Islam.

Perkara yang dibincangkan dalam proses merisik ini ialah mengenalpasti status anak pihak perempuan sama ada masih berpunya atau pun tidak. Jika masih belum berpunya, pihak lelaki akan menyatakan hasrat untuk meminang anak gadis/perempuan tersebut.

Sekiranya pihak perempuan berasa curiga atas keterangan pihak lelaki atau ingin menangguhkan persetujuan menerima masuk peminangan, pihak perempuan boleh meminta tempoh tertentu sebelum memutuskan jawapan setuju hendak menunangkan anak perempuannya atau pun tidak. Sekiranya sehingga habis tempoh itu, pihak lelaki tidak menerima apa-apa maklum balas daripada pihak perempuan, ini bermakna pihak perempuan bersetuju untuk menunangkan anak perempuan mereka dengan anak lelaki pihak lelaki. Tetapi jika dalam tempoh diberikan oleh pihak perempuan itu, pihak perempuan menziarahi pihak lelaki dan menyatakan tidak bersedia menunangkan anak perempuan mereka, maka majlis peminangan dibatalkan. 
Selain itu, pihak perempuan mesti memulangkan cincin belah rotan kepada keluarga lelaki.

Melalui proses merisik ini, sekiranya pihak perempuan berpuas hati dan bersetuju atas semua keterangan semasa perbincangan, pihak perempuan boleh menyatakan persetujuan terus untuk menunangkan anak perempuan mereka dan seterusnya menerima cincin belah rotan sebagai tanda jadinya pertunangan yang bakal dilaksanakan itu.

Semasa majlis merisik ini juga disebut soal langkah bendul. Ini berlaku sekiranya anak gadis keluarga perempuan yang hendak dipinang itu mempunyai kakak, maka pihak lelaki wajar menyediakan sedikit hadiah berupa sepersalinan baju kepada si kakak bagi menghiburkan hati kakaknya. Ini menggambarkan kehalusan budi orang Melayu dalam menjaga hati kakak dan merupakan amat penting menjaga kerukunan di dalam keluarga.


 Sesudah kampung-kampung dibuka dalam kawasan diselia oleh Penghulu Sega, bermacam-macam adat istiadat berbeza wujud di antara kampung-kampung.  Ini disebabkan kehadiran orang-orang dari Sumatera mempunyai adat istiadat yang berbeza.  Dalam hal ini, orang tua-tua dalam kawasan seliaan Penghulu Sega itu berpandangan perlu ada penyelarasan terhadap adat istiadat bermasyarakat supaya kerukunan bermasyarakat itu dapat dijaga.

Asas berperaturan untuk membina rukun bermasyarakat itu dikukuhkan dengan termeterai  peraturan pertunangan  dalam wilayah penguasaan Penghulu Sega.  Tidaklah boleh sesuka hati anggota masyarakat berbuat aturan sendiri.   Maka peraturan ini dipakai sejak terlantiknya Penghulu Sega Pertama iaitu Tok Mat Amin bin Mat Salleh  dan kemudiannya diikuti oleb  Penghulu lain menurut pertimangan penuh bijaksana.

Diamalkan masyarakat di permukiman Penghulu Sega itu aturan  kerja merisik, kerja bertunang-lanang dengan teliti  supaya tidaklah ada yang mendakwa selain yang disepakati.  Sepanjang tempoh di antara majlis merisik ke majlis pertunangan, kedua keluarga dibenarkan berhubung untuk mengetahui perkara-perkara berhubung perminangan seperti tarikh pertunangan, jumlah belanja hantaran, cincin pertunangan, hadiah sepersalinan yang patut dibawa oleh pihak lelaki dan jumlah ahli keluarga lelaki yang akan hadir menghadiri majlis pertunangan.

Dalam masalah belanja hantaran pula, ada tiga jenis kategori belanja boleh menjadi pilihan sama ada belanja sama naik iaitu sama-sama mengeluarkan belanja hantaran, belanja hantaran serta serba satu iaitu sebagai contohnya jika belanja hantaran RM 5000.00, ada hadiah iringan selengkapnya dan belanja hantaran luar serba satu, luar Mas Kahwin dan luar upah nikah iaitu nilai selain wang hantaran tidak disebut dalam pertunangan. Selain itu, dibincangkan jumlah wang belanja yang akan dibawa ke majlis pertunangan sama ada semua sekali, separuh sahaja atau tidak membawa langsung wang belanja tersebut. Dalam amalan masyarakat di Pahang, pihak lelaki akan membawa separuh wang hantaran sebagai menyatakan komitmen untuk mengikat pertunangan.

Dalam tempoh ini, kedua-dua keluarga boleh menentukan wakil yang akan bercakap dalam majlis bertunang nanti. Namun begitu, hal-hal berhubung jenis bentuk cincin pertunangan, wang hantaran dan hadiah sepersalinan yang telah dibincang dalam majlis merisik tidak boleh diubah atau dibincangkan lagi menurut adat di negeri Pahang. Perbincangan berhubung tawar menawar jumlah wang hantaran akan dianggap mengaib dan tidak sesuai dengan budi luhur orang Pahang.

Semua perbelanjaan mengadakan majlis pertunangan ditanggung sepenuhnya oleh keluarga pihak perempuan. Dengan itu, keluarga pihak perempuan akan menentukan jumlah jemputan ke majlis tersebut mengikut keupayaan kewangannya. Dengan erti kata lain, tidak semua ahli kariah dijemput menghadiri majlis pertunangan ini. Kebiasaannya ketua keluarga akan menjemput waris-waris terdekat, ketua kampung dan ahli-ahli agama menghadiri majlis pertunangan tersebut. Ini bertujuan untuk mengesahkan majlis tersebut adalah majlis yang sangat penting di dalam sesuatu kampung.

 Semasa majlis pertunangan

Ibu dan bapa perempuan yang dipinang, ketua kampung, Imam dan ahli agama dan waris terdekat keluarga perempuan akan berada di ruang perbincangan sementara sekumpulan ahli keluarga pihak perempuan yang lain akan menunggu di halaman rumah bagi tujuan mengalu-alukan kedatangan rombongan keluarga lelaki seterusnya menyambut hadiah sepersalinan yang dibawa oleh keluarga lelaki.

Setelah rombongan ahli keluarga pihak lelaki sampai, mereka dijemput naik ke ruang perbincangan. 
Semua alatan dan hadiah yang dibawa diletakkan ditengah-tengah majlis. Biasanya diletakkan bersebelahan dengan barangan hadiah pihak perempuan untuk diberi kepada pihak lelaki. Susunan barang-barang pihak lelaki itu diletakkan mengikut tertib iaitu tepak sirih, sirih junjung, cincin pertunangan, wang hantaran dan barang-barang hadiah sepersalinan.

Sesudah tampil jurucakap pihak lelaki dan pihak perempuan, pengerusi majlis akan memaklum kepada hadirin akan tujuan berhimpun itu.  Sesudah itu pengerusi majlis akan menyerahkan majlis perbincangan kepada kedua-dua jurucakap  kedua keluarga. 

Sebelum jurucakap berbincang panjang,   setepak sirih disuguhkan oleh jurucakap pihak lelaki dan jurucakap pihak perempuan mengapur sirih lalu memakan sirih itu bersama-sama jurucakap lelaki.  Para hadirin tidaklah digalakkan memakan sirih itu kerana tiada apa-apa kepentingannya kepada mereka.  Ini disebabkan acara memakan sirih oleh kedua jurucakap  itu sebagai sapaan hormat dan untuk melancarkan perjalanan air liur memudahkan bercakap, menenangkan debaran jantung dan menerbitkan rasa bersama-sama menjayakan majlis.

Hal-hal yang dibincangkan ialah setuju atau menolak peminangan, syarat-syarat semasa bertunang, jumlah hantaran dimuktamadkan, tarikh perkahwinan  dan mengisytiharkan pertunangan itu kepaa semua yang hadir di majlis itu. Berhubung terma dan syarat pertunangan itu, ada keluarga yang membaca satu persatu  terma tersebut dan ada yang memberi gambaran secara umum sahaja.    Terma-terma dan syarat pertunangan yang menjadi rujukan di permukiman Sega seperti berikut:.   

1.         BERTUNANG
            Hendaklah perunding pertunangan mengisytihar dalam majlis persetujuan menerima peminangan.

2. PERILAKU YANG TERMASUK DALAM ISTILAH ENGKAR
2.1. Semata-mata tidak mahu berkahwin tanpa sebarang sebab.
2.2. Salah seorang berkahwin cara senyap-senyap dengan orang lain.
2.3. Sabit kesalahan berkhalwat atau berzina dengan orang lain.
2.4. Helah - Apabila genap tiga kali bertangguh untuk melangsungkan perkahwinan mengikut tarikh yang ditetapkan dalam istiadat pertunangan.

3.TINDAKAN TATA TERTIB YANG DIKENAKAN JIKA ENGKAR
3.1. Pihak Lelaki - Hilang semua wang hantaran dan cincin yang telah diserahkan pada hari pertunangan.
3.2. Pihak perempuan - Hendaklah mengembalikan semua wang hantaran dan cincin pertunangan yang diterima. ( Jika cincin itu hilang  atau rosak, hendaklah diganti dengan nilai yang sama). dan diiringi dengan wang sebanyak wang hantaranan yang diterima dari pihak lelaki.
3.3. Tanpa wang hantaran awal, maka mana-mana pihak yang engkar dikenakan membayar kepada pihak yang satu lagi sebanyak RM... ( dan cincin akan hilang atau dikembalikan (mengikut pihak mana yang melakukan keengkaran.)

4.CACAT (MENGENAI ANGGOTA BADAN
4.1. Berpenyakit yang membawa kejijikan kepada pihak  sebelah seperti kudis, kurap, sopak dan lainnya.
4.2.Berkeadaan tidak normal pada fizikal/mental disebabkan oleh kemalangan seperti hilang penglihatan/pendengaran atau kecacatan pada tangan/kaki atau hilang daya ingatan atau sebagainya.

5.CELA (MENGENAI PERBUATAN/PERILAKU
5.1. Berkelakuan kurang sopan pada penilaian waris-waris atau masyarakat seperti tidak menghormati bakal ibu bapa mentua atau keluarganya atau bersikap di luar budaya Melayu beragama Islam.
5.2. Melakukan jenayah yang memalukan keluarga seperti terbukti pemabuk /pencuri /penipu dan sebagainya. 
 Tindakan yang patut diambil dalam perkara cacat-cela ini ialah:
 Kedua belah pihak hendaklah berunding semula untuk mendapatkan kata sepakat.  Jika bersetuju berkahwin maka dikahwinkan.  Jika tidak bersetuju berkahwin, maka ' berpulangan " .

6.  BERPERILAKU DI LUAR BATASAN (SAWAN GILA)
6.1. Berdua-dua di tempat sunyi atau di khalayak ramai atau di rumah kedua belah pihak.
6.2. Salah seorang memaksa supaya mereka dikahwinkan dengan segera sebelum tarikh yang ditetapkan.
6.3. Sabit kesalahan berkhalwat atau berzina di antara mereka berdua.
            Tindakan patut diambil dalam perkara ini ialah:
            Hendaklah dilaporkan kepada orang kenamaan tempatan supaya mereka dinasihatkan supaya menghentikan perbuatan seumpama itu untuk kebaikan, dan menjaga maruah keluarga.  Jika tidak boleh  ibendung/dikawal lagi, maka orang kenamaan tempatan hendaklah menyuruh warisnya menyegerakan perkahwinan mereka.

7.KEMATIAN
Satu perkara yang tidak dapat dielakkan.  Maka sebelah pihak yang satu lagi patutlah bersimpati kepada pihak yang terlibat.  Jika  ditakdirkan kedua-duanya berlaku serentak, maka rundingkanlah untuk kebaikan bersama.

8. MEMUTUSKAN PERTUNANGAN
            Mana-mana pihak yang memutuskan pertunangan sebelah pihak yang satu lagi telah membuat persediaan untuk kenduri perkahwinan, maka pihak yang memutuskan pertunangan mesti membayar ganti rugi jika pihak yang satu lagi membuat tuntutan.

9.BARANG SERBA SATU
Tidak termasuk dalam perjanjian ini.  Itu adalah pemberian/hadiah sahaja.

10. MASKAHWIN DAN UPAH NIKAH
Sebanyak mana yang teradat dalam negeri ini dan juga adat tempatan hendaklah dinayar oleh pihak lelaki; berasingan dengan wang hantaran.

11.TEMPOH BERTUNANG
Dinyatakan tempoh bertunang itu dalam berapa waktu jangkamasa

12. MAHAR KAHWIN

Dalam hal menentukan mahar kahwin, maka hal itu menurut diputuskan oleh pejabat Baginda Sultan Pahang.  Akan hal ini  pada tahun 1925, telah diseragamkan di Pahang dan Johor bahawa nilai mahar kahwin itu ialah Dua Puluh Dua Ringgit Lima Puluh Sen.  Akan nilai sebesar itu mampu membeli  seekor ibu kerbau dan anak kerbau jantan yang jaras.  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan