PULANG KE HALAMAN DIRI        

 

Hari ini pulang ke halaman diri

Ada jejak yang tinggal ingin dikesan

ingin diukur segala kepayahan.

Perjalanan sejauh ini mencari

sejalur rasa seluas pandang.

Bertapa setiap kali menapak

hanyir ikan dan maungan rumput adalah

rakan menolak sekuak semangat.

 

Di sepanjang laluan onak duri kait mengait.

Ada kaki tercarit

dan ada duri yang mengarit.

Pedih nyilu adalah mainan

Langkah tidak seharusnya longlai

kerana menongkah arus adalah

perjalanan seorang pejuang perkasa.

Siapakah yang ingin bersusah

yang ingin dicatat kesulitan

kehidupan tidak menjanji kesenangan.

 

Hidup perlu diteruskan segigih

Godaan dan cabaran adalah resam

adalah juga menolak dan menarik prinsip hidup.

Pulang ke halaman ini

Ada pesan perlu ditunai

Ada amanah perlu dipulangkan

Ada tanggungjawab masih terpikul.

Hidup tidak didirikan atas lesu

Tidak membisu pada kebatilan

Tidak meremeh desakan lawan.

 

Di halaman diri

Aturan fitrah jati diri

Itu perjalanan seterusnya.

 

 

 

Sempambaru

Raub

10.1.2020

 

 

 

 

 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan