PANCARAN HIKMAH

 

Kiranya yang terbit daripada

hati bapa adalah cinta dan mendalam   sayang kasih.

Bapa menjadikan dirinya mercu semangat

mengukuh untuk anak berjuang mengukir jaya.

 

Sesekali bapa memandang,

ada ihsan memikat memancar hikmah kehidupan.

Bapa menghulurkan kedua tangan

terpenuh hikmah untuk disuap

ke dada anak-anak kosong lompang ilmu dan

pengalaman.

Dengan menyentuh ubun-ubun kepala,

anak-anak terasa belai manja,

asuhan dan

tertib aturan hidup.

 

Dengan mengadah wajah,

tangan bapa diangkat memohon terpenuh

berkat rezeki untuk diri dan seisi keluarga.

Anak-anak mengamin sekelian doa dan

turut berdoa demi kesejahteraan bapa berbaca

mustajab sekelian doa

ALLAHUMAGHFIRRLI WALIWALIDAYYA

(Ya Allah, ampuniku dan ampuni kedua orang tuaku)

 

Ada hikmah ingin menumpah

tersimpan di hati bapa genap bulan

genap tahun.

Bapa menatap wajah setiap anak.

Setiap satunya   dititip permata hikmah

mengikut mampu dan  asa upaya

Hiduplah anak pada jalan-jalan

Taqwa.

 

 

SEMPAM BARU

RAUB 2024


 


ISI HATI


Tidak mudah untuk mengenali,

tidak mudah untuk bersapaan,

jua tidak mudah menabur janji

pada sesosok tidak dikenali ISI HATI. 

Yang tampak pada raut wajah 

adalah kulit kasar bertempelan adunan pelembab, 

lalu calitan wangian cuba mengusir satu perasangka 

akan keberadaan BAIK 

di pertimbangkan akal ingin diwaraskan.


Dalam menilai ISI HATI

Ada kebaikan yang dipuji

Ada kejahatan disembunyi

Ada teguran yang ditunda

kerana ISI HATI akan tampil 

akan melebar ke raut wajah 

dalam duka, 

dalam suka, 

dalam tawa,

dalam tangis, 

dalam diam 

dan 

dalam kata yang memengkis. 


ISI HATIKU

Aku mengikhlas untukmu

ISI HATI KAU

Aku minta Allah jalurkan di garis lurus

Kerana ISI HATI itu

Ada disebut dalam kitab panduan...

AL QURAN

"Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala (isi hati) 

yang terkandung di dalam dada." 

(Surah Al-Mulk : Ayat 13)




Sempambaru

2024

 



PILIH RAYA SUNGAI BACK UP


Tiba-tiba ada pilih raya lagi

Katanya kecil tidak sebesar dulu

Bersabit mati Tok Wakil yang tidak

meninggalkan wasiat waris 

mendakap PESAKA 


Kempen untuk undi pilih raya Sungai BACK UP

Kata

Berkata

Kata berkata

Berkata-kata

Terkata-kata

Mengata-ngata


Kempen lagi

Mengata-ngata

Berkata-kata

Terkata

Kata-mengata


Kempen-kempen lagi

Terkata

Dikata

Kata mengata

Mengata mengata

Kata untuk undi

Berkata untuk undi

Terkata untuk undi

Dikata untuk undi

Mengata untuk undi


Entah berapa dosa

Entah berapa pahala

Catatan Raqib Sang Malaikat catat data

bersiaplah di pertimbangan Masyhar.