DETIK INDAH KEHIDUPAN











DETIK INDAH KEHIDUPAN
Doa bapa berpanjangan, sejahtera sekelian anakandaku menempuhi kehidupan, diberi rezeki yang baik, dikekalkan kesihatan tubuh badan dan akal fikiran dan teguh berdiri sebagai seorang muslim.
Allahumasolli ala Syaidina Muhammad.
Merujuk tahap kehidupan. Manusia bermula dilahirkan hingga usia 25 tahun itu adalah usia menyediakan diri dengan ilmu dan kemahiran. Usia 25-40 tahun adalah usia pembinaan kerjaya dan pengukuhan peribadi. Usia 40-60 tahun itu adalah usia pemantapan kerjaya dan daya kepimpinan. Bapa telah melalui semua tahap yang getir segala pancaroba itu dengan segigih usaha dan meraih sejumlah jaya. Bapa mencukupkan pengajian hingga ke tahap ijazah lanjutan. Bapa mencukupkan khidmat pada gred gaji cukup selesa. Bapa meraih sejumlah pengiktirafan dalam berkerjaya dan di luar kerjaya.
Sedikit waktu lagi tercapailah usia bapa 63 tahun berjejak di atas muka bumi ini. Terhadap usia ini, teringat bapa kepada kata-kata Muawiyah bin Abi Sufyan. Muawiyah berkata usia wafat Nabi s.a.w. itu pada 63 tahun, usia wafat Abu Bakar 63 tahun dan usia wafat Umar 63 tahun. Kini aku sudah sampai ke usia 63 tahun itu.
Inilah usia emas yang dinanti oleh sekelian manusia. Usia ini jugalah yang dinanti oleh manusia yang rindu kepada Nabi s.a.w. Ketika bapa ayahanda, Almarhum Md Isa bin Omar mencapai usia ini, beliau berkata dengan penuh insaf di hadapanku dengan membaca sepotong hadis Nabi. S.A.W.
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
أَعْمَارُ أُمَّتِي مَا بَيْنَ السِّتِّينَ إِلَى السَّبْعِينَ، وَأَقَلُّهُمْ مَنْ يَجُوزُ ذَلِكَ
Maksudnya: “Umur-umur umatku di antara 60 hingga 70 tahun dan amat sedikit yang lebih daripada itu.” [Riwayat al-Tirmizi (3550)][Hadith ini dinilai hasan gharib oleh Imam al-Tirmizi]
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ عُمِّرَ سِتِّينَ سَنَةً، أَوْ سَبْعِينَ سَنَةً، فَقَدْ عُذِرَ إِلَيْهِ فِي الْعُمُرِ
Maksudnya: “Sesiapa yang sampai usianya 60 tahun atau 70 tahun, maka Allah tidak menerima alasan (lalai mengerjakan perintah Allah) disebabkan umurnya itu.” [Riwayat Ahmad (9251)][Hadith ini dinilai sahih oleh Syeikh Syu’aib al-Arna’outh]
Sebagai warga emas, tempoh usia bapa bersama-sama kalian di atas muka bumi ini tinggal secubit beras waktu di sisi Allah. Tentu saja ingin bapa penuhi sisa baki usia ini dengan amalan terbaik bekal akhirat.
الرَّحْمَنِ بْنِ أَبِى بَكْرَةَ عَنْ أَبِيهِ أَنّنَّ رَجُلاً قَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَىُّ النَّاسِ خَيْرٌ قَالَ مَنْ طَالَ عُمُرُهُ وَحَسُنَ عَمَلُهُ قَالَ فَأَىُّ النَّاسِ شَرٌّ قَالَ مَنْ طَالَ عُمُرُهُ وَسَاءَ عَمَلُهُ
Dari Abdurrahman bin Abu Bakrah, dari bapaknya, bahwa seorang laki-laki berkata, “Wahai Rasûlullâh, siapakah manusia yang terbaik?” Beliau menjawab, “Orang yang panjang umurnya dan baik amalnya”. Dia bertanya lagi, “Lalu siapakah orang yang terburuk?” Beliau menjawab, “Orang yang berumur panjang dan buruk amalnya”
Waktu semakin singkat usia bapa bersama-sama kalian. Maka waktu yang berbaki ini bapa ingin penuhi membuat persediaan ke alam abadi dan mengukuhkan silaturrahim sesama manusia moga dipermudahkan mencapai Syurga Allah sesudah dihisab.
تِلْكَ الْجَنَّةُ الَّتِيْ نُوْرِثُ مِنْ عِبَادِنَا مَنْ كَانَ تَقِيًّا
Terjemahan
Itulah surga yang akan Kami wariskan kepada hamba-hamba Kami yang selalu bertakwa.
(Maryam:63)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan