10 TAHUN OPERASI PERSATUAN SAHABAT TAHFIZ AL FALAH RAUB (SAHABAT TAHFIZ @ ST)

Terawal kata diucapkan tahniah dan Syabas kepada Us. Mohd Zaki bin Sulaiman, Pengerusi Persatuan Sahabat Tahfiz Al Falah Raub atau kejayaan dan daya usaha keras memajukan Persatuan dan program tahfiz di SMA Al Falah. Kira-kiranya sudah menjangkau 10 tahun usia operasi Persatuan Sahabat Tahfiz Al Falah Raub. Meski didaftar pada 28 Oktober 2015, gerakan membantu Pembangunan program tahfiz di Sekolah Menengah Agama Al Falah Batu Talam (SMAAFBT) itu sudah bermula pada 2014 dengan perbekalan dua orang guru pembimbing. Itu lanjutan daripada kesukaran Almuni Sekolah yang mengemas jentera pentadbiran disebabkan setiap ahli berada di lokasi saling berjauhan.
Program tahfiz yang dijalankan itu adalah program yang diadaptasi daripada kurikulum tahfiz Darul Quran JAKIM. Tempoh masa pelaksanaan cuma satu jam 20 minit @ 6.20 pagi hingga 7.40 pagi pada setiap hari persekolahan. Pelaksanaan kelas di dalam kawasan sekolah dengan setiap guru membimbing sekitar 12 hingga 17 orang pelajar. Guru pembimbing diambil daripada sukarelawan yang mempunyai asas Pendidikan Islam dan ilmu al-Quran yang baik. Sebahagian guru itu ada pengkhususan dalam bidang tahfiz al-Quran.
Atas kesedaran untuk melihat pelajar-pelajar upaya menghafaz Al Quran, Sang Pengetua telah berbincang panjang dengan Us. Mohd Zaki bin Sulaiman, bekas ketua pelajar SMAAFBT juga Pembantu Hal Ehwal Islam ( Bahagian Penguatkuasa) JAIP bagaimana rencana untuk mengujudkan satu dana khas sumbangan awam bagi membantu Pembangunan Program Tahfiz di SMAAFBT Raub itu. Maka di hujung perbincangan itu , satu pertubuhan berdaftar di bawah ROS ditubuhkan atas nama Persatuan Sahabat Tahfiz Al Falah Raub . Fungsi utamanya mencari dana untuk membantu kos kewangan yang akan digunakan bagi menjayakan program tahfiz sepanjang tahun. Bersabit hal itu, di dalam perlembagaan persatuan dimasukkan usaha memungut dana awam untuk melaksanakan aktiviti dan alhamdulillah, item perlembagaan itu diluluskan di peringkat ROS.
Us. Mohd Zaki bin Sulaiman selaku Pengerusi Persatuan Sahabat Tahfiz dengan susunan oraganisasi yang lebih teratur telah mencari penyumbang yang berminat menaja Program Tahfiz Al Falah yang dijalankan. Modus operandi membuka tajaan RM10.00 sebulan disambut masyarakat Islam yang punyai kesedaran tinggi kepentingan menghafaz al-Quran. Maka daripada sumbangan itu, Persatuan Sahabat Tahfiz berupaya menaja perbekalan pembimbing tahfiz daripada dua orang kepada tujuh dan kini seramai sebelas orang guru. Setiap pembimbing tahfiz diberi honorarium @ sagu hati sebanyak RM600.00 sebulan. Itu yang upaya diberikan setakat ini bagi urusan kerja selama satu jam dua puluh minit itu.
Bagi memantapkan Program Tahfis Al Falah 2024 ini, selain menaja honorarium bulanan untuk sebelas orang guru, pihak persatuan juga membantu menaja Program Hari Anugerah Tahfiz, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC ) bagi guru tahfiz dan guru-guru bukan kakitangan tetap,menaja Hadiah Galakan Murid Program Tahfiz, menaja Kursus Peningkatan Kemahiran Guru Tahfiz, menaja bayaran Ceramah dan Kuliah Agama, menaja Bantuan Murid Miskin Yang Memerlukan Bantuan, menaja Sumbangan Hari Raya untuk semua pelajar, menaja Sagu hati Imam Terawih di kalangan Pelajar, menaja bantuan kepada penitia mata Pelajaran agama Islam dan akademik, menaja kos aktiviti kokurikulum dan hal ehwal pelajar dan sedikit tajaan untuk penyelenggaran kompleks sekolah. Alhamdulillah, atas segala keihlasan semua penyumbang yang memberi sumbangan ke tabung Persatuan Sahabat Tahfiz sepanjang 2023-2024 ini, pihak Persatuan Sahabat Tahfiz berupaya menyediakan satu dana berjumlah RM117,700.00 (SATU RATUS TUJUH BELAS RIBU dan TUJUH RATUS RINGGIT SAHAJA) bagi menaja aktiviti Program Tahfiz al-Quran dan aktiviti-aktiviti berkaitan memantapkan Pendidikan Islam di SMA Al Falah, Raub ini.
Saya selaku Penasihat Persatuan Sahabat Tahfiz Al- Falah ,Raub dengan rendah hati mengucapkan ribuan terima kasih atas kesungguhan semua penyumbang bagi menyediakan dana membantu program tahfiz ini. Allah juga membalas segala budi baik tuan puan. Dengan iringan doa mudah-mudahan Allah memberkati kehidupan tuan puan seterusnya, senantiasa dalam keampunan Allah dan diluruskan jalan-jalan ke Jannah.
Wassalamu’alaikum warrahmatullahi wabarokatuh

Tiada ulasan:

Catat Ulasan