100 TAHUN MAS KAWIN DI NEGERI PAHANG RM22.50

Alhamdlilah Tuanku Sultan Pahang dalam titah, perkenan pindaan Kadar Mas Kahwin Negeri Pahang bermula dengan RM100 ke atas bagi menggantikan kadar RM22.50 .
Alhamdulillah. Kata orang yang dah bernikah. Itu kadar ketetapan yang masih rendah berbanding kadar mas kawin di negeri lain.
Kadar RM22.50 sen itu dibuat pada 1925 @100 tahun lalu. Kadar yang sama ditetapkan di negeri Johor. Kenapa ditetapkan pada nilai itu? Itu tak dapat dijelaskan kerana tidak beroleh sumber dokumen yang menceritakannya .
Pada waktu itu(1925) nilai RM22.50 sen itu bolehlah membeli seekor ibu kerbau dan seekor anak kerbau sedang naik jaras.
Nilai duit itu bersamaan nilai RM sekarang ini:
Seekor ibu kerbau RM6500.00
Seekor anak kerbau sedang naik jaras RM3800.00
Nilai RM22.50 sen pada tahun 1925 itu bersamaan RM10,300.00 pada tahun 2024.
Patutlah P.Ramlie dalam adegan filem sambut akad nikah ditutur, " Aku terima nikahnya dengan mas kawin RM22.50 HUTANGGG."
Penonton pun ketawa terbahak-bahak. Nampak seperti lucu tetapi realitinya wujud kes berhutang mas kawin itu.
Dalam kajian kes dari buku daftar nikah di Pejabat Qadhi Daerah Kuala Lipis, Pahang diberitakan ada catatan sekitar tahun 1940-an, ada bakal suami menyambut akad nikah dengan HUTANG mas kawin
‌Dalam kajian kos sara hidup awal 1900 di Pahang, ada kes orang Jawa yang duduk di Damak, Jerantut. Ditanya macam mana boleh datang ke Damak. Mereka memaklum mereka ditangkap oleh Belanda lalu dijual kepada pedagang Inggeris di tengah laut. Mereka dibawa ke Kuantan dan kumpulan mereka diarah membuat jalan Kuantan ke Benta. Gaji yang diberi Inggeris sekitar 25 sen sebulan.
Nilai 25 sen pada awal 1900 itu dianggap mewah pada waktu itu.
Tahun 1925 itu, mas kawin RM22.50 wajib disedia pihak lelaki. Akan kenduri kendara dibuat di rumah perempuan sahaja dengan maufakat tanggung kos bersama. Tidak ada kenduri kendara di sebelah lelaki melainkan sambut menantu dengan baca tahlil dan doa selamat diikuti jamuan ringan.
Berlalu masa dibuat orang berkenduri kendara di rumah pengantin lelaki dan pengantin perempuan. Maka adat berkenduri dua belah pihak itu asalnya khas kepada adat raja raja dan pembesar bergelar. Jika dibuat oleh rakyat biasa, terasalah sangat terbeban dalam urusan pernikahan. Namun hal berkenduri kendara di dua belah pihak itu dianggap wajib. Maka tidaklah tertanggung beban oleh pengantin lelaki sehingga ramai berhutang piutang untuk melaksanakan kenduri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan