NOVEL AL-ABRAR - GAYA BAHASA YANG KRITIS




KEFUNGSIAN GAYA BAHASA PENGULANGAN DALAM NOVEL AL-ABRAR: SATU ANALISIS WACANA
(THE FUNCTIONALITY OF REPETITION IN THE
AL-ABRAR NOVEL: A DISCOURSE ANALYSIS)

Abstrak. Makalah ini membincangkan kefungsian gaya bahasa pengulangan dalam novel Al-Abrar yang dianalisis menggunakan pendekatan wacana. Tujuan analisis dibuat adalah untuk melihat kefungsian gaya bahasa pengulangan yang ditinjau penggunaannya dalam aras perenggan. Teori Halliday (1985) yang memanfaatkan tema dan rema akan diaplikasikan bagi menjelaskan kefungsian gaya bahasa pengulangan tersebut. Terdapat lapan gaya bahasa pengulangan yang dikenal pasti iaitu pengulangan anafora, simplok, anadiplosis dan paralelisme yang berfungsi sebagai unsur penjelasan, pengembangan, pengharmonian dan penambahan idea dalam perenggan. Pengulangan epizeuksis dan mesodiplosis berfungsi sebagai unsur penegasan dan sokongan hujah. Manakala pengulangan epistrofa dan epanalepsis berfungsi sebagai unsur pelengkap fakta dan penegasan maksud dalam perenggan.
Kata kunci dan frasa: kefungsian gaya bahasa pengulangan, pendekatan wacana, tema, rema
Abstract. This article discusses the functionality of repetition in the Al-Abrar novel based on a discourse approach. The purpose of this analysis is to investigate the functionality of repetition at the paragraph level. Halliday’s theory (1985) which uses themes and rhemes was used to explain the functionality of repetition in the novel. Eight forms of repetition were identified. Four of them are anaphora, symploke, anadiplosis and parallelism which function as idea explanation, idea expansion, idea harmonization and idea addition respectively. The rest are epizeuxis and mesodiplosis which function as argument emphasis and support, as well as epistrophe and epanalepsis which function as fact complements and meaning-emphasis in a paragraph.
Keywords and phrases: functionality of repetition, discourse approach, themes, rhemes

PENGENALAN
Secara ringkasnya, wacana dapat ditafsirkan sebagai unit bahasa yang melangkaui batas ayat. Wacana juga merupakan satuan bahasa yang lengkap strukturnya dalam hierarki tatabahasa. Harimurti Kridalaksana (1984, 208) menjelaskan bahawa wacana sebagai satuan bahasa terlengkap; dalam hierarki gramatikal dan juga merupakan satuan tertinggi atau terbesar. Wacana ini direalisasikan dalam bentuk karangan yang utuh seperti (novel1, buku, siri ensiklopedia, dan sebagainya) perenggan, kalimat atau kata yang membawa amanat yang lengkap. Namun begitu, dalam kertas ini penulis akan memanfaatkan wacana perenggan untuk menganalisis kefungsian gaya bahasa2 pengulangan dalam novel Al-Abrar.
Terdapat lapan unsur gaya bahasa pengulangan yang digunakan oleh Hasanuddin Md. Isa dalam novel Al-Abrar. Gaya bahasa yang dimaksudkan ialah anafora, epizeuksis, epistrofa, simplok, mesodiplosis, epanalepsis, anadiplosis dan paralelisme. Gaya bahasa pengulangan dikelompokkan mengikut jenis-jenisnya berdasarkan pendekatan dan pandangan Gorys Keraf (1990), Rahman Shaari dan Henry Guntur Tarigan (1989). Pemanfaatan antara Ilmu Sastera dan Ilmu Linguistik melalui pendekatan analisis wacana dalam novel akan dihuraikan dalam makalah ini. Hasil karya yang diterbitkan oleh Creative Enterprise Sendirian Berhad ini mengandungi 334 muka surat yang merangkumi 19 bab bertemakan kemasyarakatan dan keagamaan. Pemilihan karya beliau dalam kajian ini kerana mengambil kira gaya bahasa pengulangan yang kerap digunakan dalam karya tersebut.
Pengkaji-pengkaji sebelum ini hanya menjelaskan kefungsian unsur pengulangan yang digunakan dalam novel berfungsi sebagai penegasan sahaja. Unsur pengulangan tersebut berlaku di awal, tengah dan akhir ayat. Namun begitu, analisis wacana yang ditunjukkan akan membuktikan bahawa dengan memanfaatkan tema dan rema yang menghasilkan ayat topik dalam perenggan akan dapat menjelaskan kefungsian gaya bahasa pengulangan dengan berpada. Jadual 1 menunjukkan contoh ayat yang dicerakinkan berdasarkan struktur tema dan rema yang diperkenalkan oleh Halliday (1985, 38–40).
  Contoh ayat yang dicerakinkan menggunakan pendekatan tema dan rema oleh Halliday
Tema - has given my aunt that teapot
Rema - has been given that teapot by the duke
The duke - the duke has given to my aunt

Nahu fungsional Halliday (1985, 38–40) yang diasaskan daripada aliran Linguistik Praha telah menjelaskan bahawa fungsi ayat seperti dalam Jadual 1 adalah berperanan menyampaikan mesej (idea) yang terbina daripada unsur tema dan rema. Tema yang dimaksudkan adalah idea lama, manakala rema adalah idea baru. Dalam contoh yang dikemukakan tema bagi ayat tersebut ialah the duke, my aunt dan that teapot manakala rema bagi setiap tema ialah has given my aunt that teapot, has been given that teapot by the duke dan the duke has given to my aunt. Penggabungan antara tema dan rema inilah yang akan menghasilkan ayat topik. Seterusnya, ayat/klausa topik tersebut akan dikembangkan melalui ayat kedua dan ayat berikutnya sama ada daripada unsur tema mahupun remanya bagi membentuk kesatuan perenggan yang utuh. Penulis akan menerapkan pengaplikasian penggunaan tema dan rema dalam ayat topik pertama bagi pengulangan kata dalam analisis aras perenggan bagi kajian ini.

Longacre (1979, 116) bersetuju dan telah menggariskan empat andaian utama wujudnya unsur nahuan yang dapat diterima dalam perenggan.
Pertama: Wujudnya struktur konstituen hierarki iaitu morfem, kata, frasa, klausa, ayat, perenggan dan wacana bagi wacana monolog dalam sebarang bahasa.
Kedua: Perenggan mempunyai persamaan dalam aras antara ayat dan wacana iaitu dari sudut perenggan menyamai ayat panjang dan perenggan juga mempunyai persamaan dengan wacana pendek.
Ketiga: Fungsi slot dalaman perenggan tidak dapat ditafsirkan hanya berdasarkan satu ayat sahaja tetapi harus mengambil kira perenggan yang terbina daripada gugusan ayat.
Keempat: Bahagian-bahagian perenggan ditandai oleh penanda-penanda isyarat utama seperti penghubung dan keterangan bagi menjelaskan kefungsiannya.

Menurut Idris Aman yang dijelaskan dalam Zaharani (2008), pemerihalan unsur nahuan di aras ayat malah di aras perenggan adalah wajar kerana manusia berbahasa bukan sekadar menghasilkan ayat secara terpisah satu-satu, tetapi adalah dalam suatu lakuan bahasa yang dinamakan wacana. Beliau juga menjelaskan bahawa salah satu cebisan wacana ialah perenggan, selain misalnya bahagian atau gugusan perenggan. Kenyataan tersebut juga dapat diperkukuhkan melalui pendapat Longacre (1979) yang menjelaskan bahawa memanfaatkan perenggan sebagai bahan analisis nahu merupakan pendekatan yang munasabah kerana perenggan merupakan satuan bahasa yang lengkap (closure), yang mempunyai permulaaan dan pengakhiran serta mempunyai sifat kesatuan tema (thematic unity).

Ayat topik ialah ayat yang menjadi tunjang dalam penyampaian isi perenggan. Nathesan (1999, 4) menjelaskan bahawa ayat topik bukan sahaja memperkenalkan subjek perenggan, malah berfungsi untuk menyatakan satu idea tentang topik tersebut. Idea inilah yang mengawal keseluruhan ayat yang mahu dibicarakan selanjutnya. Kesemua ayat tersebut haruslah mempunyai pertalian antara satu sama lain, dan pada masa yang sama berkeupayaan untuk mengembangkan idea yang mengawal sesebuah esei. Ismail Ahmad (1996, 46–60), telah menjelaskan secara terperinci tentang struktur pembinaan perenggan. Beliau merumuskan bahawa idea atau fakta yang dijelaskan oleh pewacana wujud dalam satu ayat yang disebut ayat tema atau ayat topik. Ayat topik mengandungi idea atau fakta terpenting dalam sesuatu perenggan dan idea itu merupakan perkara yang difokuskan serta bersifat umum. Fungsi idea topik ialah mengawal fakta-fakta lain dalam perenggan. Lantaran itulah idea topik juga disebut idea pengawal. Terdapat dua ciri ayat-ayat isi yang bersifat baik hasil dari penggemblengan idea topik iaitu pertama; ayat topik tidak boleh mengandungi lebih daripada satu idea, kerana pengembangannya akan menjadi sukar dan bercelaru dan kedua; bilangan ayat isi mesti mencukupi supaya idea dapat dikembangkan sepenuhnya. Manakala ayat-ayat yang lain pula berfungsi sebagai penyokong supaya maklumat tambahan dapat diberikan kepada idea tersebut. Oleh yang demikian, dapat disimpulkan bahawa dalam menghasilkan sebuah perenggan yang baik perlu wujud ayat topik. Ayat topik ialah ayat yang mengandungi fakta yang hendak dibincangkan dan diikuti oleh ayat sokongan yang mengembangkan perenggan dan seterusnya ayat kesimpulan bagi menutup hujah tentang fakta tersebut. Lantaran itulah wajar diterima ayat topik ialah ayat yang menjadi wadah penyampaian isi wacana dalam perenggan.
Secara lebih lanjut, nahu fungsional Halliday (1985, 38–40), yang diasaskan daripada aliran Linguistik Praha dijelaskan bahawa ayat atau dinamakan klausa adalah berperanan menyampaikan mesej (idea) yang terbina daripada unsur tema dan rema (theme and rheme). Tema yang dimaksudkan adalah titik tolak mesej manakala rema adalah mesej atau maklumat yang belum diketahui oleh sasaran wacana. Dengan kata lain, tema adalah idea lama manakala rema adalah idea baru. Lantaran itulah, unsur tema dan rema inilah yang akan dikembangkan melalui ayat kedua dan ayat berikutnya bagi membentuk kesatuan perenggan yang utuh. Menurut Ismail Ahmad (1996), ayat topik yang dimaksudkan tercetus daripada idea pewacana yang diperincikan daripada penggabungan unsur tema dan rema dalam ayat tersebut. Oleh yang demikian, bagi menyeragamkan penggunaan istilah dalam kajian ini, penulis akan menggunakan istilah oleh Halliday iaitu tema dan rema bagi menjelaskan unsur pengulangan dalam kajian ini.
Gerdel dan Slocum (1975, 275) seperti yang dipetik dalam Longacre (1979, 118–119) juga telah menjelaskan tentang perenggan yang terhasil daripada ayat topik  hasil kesinambungan aliran tema dalam ayat tersebut. Beliau telah menghuraikan bahawa jalinan idea bagi ayat topik yang terbina dari unsur frasa, klausa yang membawa kepada penghasilan jalinan ayat dalam satu perenggan akan menghasilkan kesatuan perenggan yang utuh keseluruhannya.
Oleh yang demikian, analisis wacana yang akan dirungkai dalam kertas ini diharap mampu menjelaskan kefungsian unsur pengulangan dalam perenggan tersebut dengan lebih berpada.

PEMAPARAN DATA DAN ANALISIS
Data bagi gaya bahasa pengulangan yang digunakan dalam novel Al-Abrar dipaparkan dalam tajuk ini. Penulis akan memaparkan satu contoh data bagi setiap jenis pengulangan untuk dianalisis dalam kertas ini. Setiap data mewakili satu perenggan.
Anafora
Rahman Shaari (1989, 38) mendefinisikan anafora sebagai pengulangan perkataan atau kalimat beberapa kali oleh seseorang penulis bagi menegaskan sesuatu perkara. Namun begitu, Henry Guntur Tarigan (1989, 192) mengatakan bahawa anafora adalah gaya bahasa repitisi kata pertama pada setiap baris atau setiap kalimat. Dapat disimpulkan bahawa anafora ialah jenis gaya bahasa pengulangan bagi menegaskan maksud yang disampaikan melalui pengulangan kata atau kalimat dalam sesuatu kata. Tokoh-tokoh tersebut hanya menjelaskan anafora sebagai gaya pengulangan yang diulang pada kata pertama pada setiap baris atau setiap kalimat. Berbeza dengan analisis wacana berdasarkan tema dan rema yang dapat menjelaskan kefungsian pengulangan dalam setiap perenggan dapat dijelaskan dengan berpada. Jadual 2 menunjukkan bagaimana unsur pengulangan anafora dicerakin dan dianalisis dalam aras perenggan.
Analisis
Idea utama (tema) wujud dalam ayat topik pertama (A1) Dunia ini panggung penghidupan. Frasa penghidupan menjadi tema utama dalam perenggan dan berfungsi sebagai idea penggerak kepada ayat seterusnya. Ayat kedua (A2) hingga ayat kelima (A5) pula berfungsi sebagai ayat sokongan dalam perenggan. Dalam ayat kedua (A2), idea yang terhasil ialah: Kehidupan ini bergerak dari satu episod ke satu episod. Seterusnya ayat ketiga (A3): Terkandung di dalam kehidupan itu peristiwa demi peristiwa, tragedi demi tragedi yang memecahkan suara hati. Ayat keempat (A4): Ada manusia yang berjaya, ada manusia yang gagal.


Anafora

(i) Dunia ini panggung penghidupan, fikir Hamidi membuat perbandingan. Manusia adalah pelakon, pengarah dan pak dalang yang menghidupkan kemeriahan panggung penghidupan itu. Kehidupan ini bergerak dari satu episod ke satu episod. Terkandung di dalam kehidupan itu peristiwa demi peristiwa, tragedi demi tragedi yang memecahkan suara hati. Ada manusia yang berjaya, ada manusia yang gagal. Ada manusia yang miskin dan ada manusia yang kaya-raya, mewah membeli sekalian benda. Dan manusia yang berbagai-bagai ragam itu melakonkan episod-episod penghidupan mereka sesempurnanya tanpa arahan seorang pengarah atau berpandu kepada sebuah skrip lakonan yang kaku (hlm. 1)

Ayat topik:
(A13) Dunia ini panggung penghidupan

Tema
– Penghidupan
(A2) Kehidupan ini bergerak dari satu episod ke satu episod

Ayat sokongan:
(A3) Terkandung di dalam kehidupan itu peristiwa demi peristiwa, tragedi demi tragedi yang memecahkan suara hati.

Rema
– Isi sampingan
(A4) Ada manusia yang berjaya, ada manusia yang gagal.

– anafora
(A5) Ada manusia yang miskin dan ada manusia yang kaya-raya, mewah membeli sekalian benda.

Ayat kesimpulan
(A6) Dan manusia yang berbagai-bagai ragam itu melakonkan episod-episod penghidupan mereka sesempurnanya tanpa arahan seorang pengarah atau berpandu kepada sebuah skrip lakonan yang kaku.
Ayat kelima (A5): Ada manusia yang miskin dan ada manusia yang kaya-raya, mewah membeli sekali benda. Ayat keenam (A6): Dan manusia yang berbagai-bagai ragam itu melakonkan episod-episod penghidupan mereka sesempurnanya tanpa arahan seorang pengarah atau berpandu kepada sebuah skrip lakonan yang kaku.

Unsur pengulangan anafora berlaku dalam ayat keempat (A4): Ada manusia yang berjaya, ada manusia yang gagal dan ayat kelima (A5): Ada manusia yang miskin dan ada manusia yang kaya-raya, mewah membeli sekali benda. Pengulangan pada kata ada manusia berfungsi sebagai unsur penjelasan kepada frasa penghidupan yang digunakan dalam ayat sebelumnya. Kesimpulannya, maklumat penghidupan dapat dikukuhkan dengan maklumat tambahan manusia yang keseluruhan cerita tersebut berkisar tentang kehidupan manusia. Kisah dalam perenggan tersebut dapat disimpulkan dalam ayat keenam (A6) mengenai kisah penghidupan manusia iaitu: Dan manusia yang berbagai-bagai ragam itu melakonkan episod-episod penghidupan mereka sesempurnanya tanpa arahan seorang pengarah atau berpandu kepada sebuah skrip lakonan yang kaku.
Berdasarkan penelitian pada ayat tersebut juga, kesinambungan jalinan gaya bahasa pengulangan anafora tersebut mempunyai kombinasi yang menarik terutamanya dalam menjelaskan realiti yang berlaku dalam kehidupan manusia. Pengarang telah mengadun kata-kata yang diulang-ulang secara harmoni yang bersesuaian dengan permulaan cerita bagi menarik minat pembaca untuk mengetahui kisah sebenar karya Al-Abrar ini hingga ke penghujungnya. Pengarang telah menggambarkan realiti kehidupan manusia ini sememangnya berlaku dalam dua keadaan iaitu terdapat pro dan kontranya sama ada baik atau sebaliknya.
Adunan gaya bahasa yang digarap ini digambarkan oleh watak Hamidi yang bijak menggunakan akal fikirannya untuk memikirkan persoalan bangsa terutamanya bangsa Melayu Islam yang menjadi fokus utama dalam karya Al-Abrar ini. Cetusan daripada permasalahan yang berlaku menjadikan pengarang lebih peka untuk menggunakan gaya bahasa pengulangan ini sama ada secara vertikal atau horizontal bagi mengadun kisah di sebalik karya tersebut dari awal hingga akhir cerita. Permulaan persembahan dengan adunan gaya bahasa pengulangan anafora yang menarik dalam novel Al-Abrar ini merupakan kejayaan pengarang dalam mengeksploitasi kata-kata yang indah susunannya dan maksud yang hendak disampaikan oleh pengarang dapat difahami dengan mudah. Oleh itu jelasnya pengulangan gaya bahasa anafora ini berfungsi sebagai unsur penjelasan idea dalam perenggan. Penjelasan yang dimaksudkan ialah penjelasan tentang kehidupan manusia yang berjaya, gagal, miskin, kaya raya dan mewah.

Epizeuksis
Berdasarkan definisi yang dikemukakan oleh Gorys Keraf (1990: 127), epizeuksis adalah pengulangan yang bersifat langsung iaitu yang mementingkan kata dan diulang berturut-turut.

Epizeuksis
Perenggan
(i) Itu yang aku mahu!!! Itu yang aku mahu!!! Hamidi terus mengukuhkan keazamannya. Biar ia ibarat suatu Palazzo – satu istana indah Rumawi purbakala, yang meskipun telah dibelah bahagi ruang di dalamnya kepada beberapa tempat kediaman namun tetap berdiri tegap ia sebagai gambaran satu bangunan agung. (hlm. 12)

Ayat sokongan:
– penegasan (epizeuksis)
(A1) Itu yang aku mahu!!!
(A2) Itu yang aku mahu!!!

Ayat topik:
Tema – keazamannya
(A3) Hamidi terus mengukuhkan keazamannya.

Ayat kesimpulan
(A4) Biar ia ibarat suatu Palazzo – satu istana indah Rumawi purbakala, yang meskipun telah dibelah bahagi ruang di dalamnya kepada beberapa tempat kediaman namun tetap berdiri tegap ia sebagai gambaran satu bangunan agung.

Analisis
Penggunaan gaya bahasa pengulangan epizeuksis dalam ayat pertama (A1) dan ayat kedua (A2) perenggan bertindak sebagai ayat sokongan. Idea utama (tema) wujud dalam ayat ketiga (A3): Hamidi terus mengukuhkan keazamannya. Idea utama yang dimaksudkan ialah frasa keazamannya. Unsur pengulangan epizeuksis dalam ayat pertama (A1) Itu yang aku mahu!!! dan ayat kedua (A2) Itu yang aku mahu!!! berfungsi sebagai penegasan hujah kepada idea utama dalam ayat ketiga (A3). Kesimpulan perenggan dapat dilihat dalam ayat keempat (A4) Biar ia ibarat suatu Palazzo – satu istana indah Rumawi purbakala, yang meskipun telah dibelah bahagi ruang di dalamnya kepada beberapa tempat kediaman namun tetap berdiri tegap ia sebagai gambaran satu bangunan agung.
Unsur penegasan hujah yang dimaksudkan adalah lahir dari perasaan seseorang yang sedang memberontak atau lahir dari jiwa yang sedang membara lantaran semangat dan keazaman yang wujud dalam diri individu. Dalam situasi sedemikian watak Hamidi digambarkan sebagai seorang yang mempunyai keazaman yang kuat dalam memajukan Ketamadunan Melayu Islam. Pengulangan kata tersebut juga bertujuan agar pembaca dapat menghayati cerita seterusnya menimbulkan semangat perjuangan lantaran kebijaksanaan pengarang mengulang-ulang kata yang dikombinasikan dengan unsur penegasan yang  ditunjukkan melalui kata seruan di akhir kata gaya bahasa pengulangan ini. Pengulangan kata yang berturutan ini juga bertujuan untuk membenarkan sesuatu perkataan yang diungkapkan bagi memperkukuhkan sesuatu kata dan dapat menimbulkan rima yang menarik seandainya perkataan tersebut diulang berkali-kali. Begitulah mesej yang hendak disampaikan oleh pengarang kepada pembaca.
Kesimpulannya, pengulangan kata dalam perenggan ini berfungsi sebagai unsur penegasan hujah dalam perenggan.

Epistrofa
Epistrofa ialah pengulangan pada akhir baris sesuatu kalimat (Rahman Shaari 1989, 38). Begitu juga dengan Gorys Keraf (1990, 128) yang mengatakan epistrofa sebagai pengulangan kata atau frasa pada akhir baris atau kalimat berturutan. Oleh yang demikian dapat disimpulkan bahawa epistrofa adalah perkataan yang disusun di hujung baris kata dan ia merupakan kebalikan daripada unsur gaya bahasa anafora yang merupakan pengulangan di awal baris.
Analisis
Analisis di atas menunjukkan bahawa tema (idea utama) berada dalam ayat topik pertama (A1) iaitu: Hamidi membelek-belek nota pendek yang ada di hadapannya lalu menyambung pembicaraannya lagi, "Saya ingin mengalihkan perhatian tuan-tuan terhadap peranan Islam di alam nusantara Melayu ini," ujar Hamidi membuka bicara. Tema yang dimaksudkan dalam ayat tersebut ialah peranan Islam di alam nusantara Melayu. Gaya bahasa pengulangan epistrofa berada pada akhir ayat pertama (A1) dan awal ayat kedua (A2) merujuk kepada kata bicara.
Berdasarkan maklumat pada ayat pertama (A1) kata bicara telah digunakan sebagai penggerak idea untuk melengkapkan fakta pada ayat kedua (A2) hingga ayat keenam (A6). Fakta-fakta yang dimaksudkan ialah ayat kedua (A2): alam nusantara Melayu didatangi pengaruh Hindu Buddha, ayat ketiga (A3): pandangan hidup masyarakat Melayu yang mempunyai suatu pandangan hidup berdasarkan seni bukan falsafah, ayat keempat (A4): ketika Hindu Buddha tiba di nusantara Melayu, ajaran-ajaran yang mengandungi unsur falsafah tidak dihiraukan oleh penduduk peribumi, ayat kelima (A5): ajaran-ajaran sesuai dengan bawaan mereka, dan ayat keenam (A6): Hindu Buddha yang tiba tiadalah berasal daripada sumber falsafah dan metafiziknya, tetapi cuma baki-baki unsur falsafah yang turut disaring oleh tapisan seni.

Epistrofa
Perenggan
(i) Hamidi membelek-belek nota pendek yang ada di hadapannya lalu menyambung pembicaraannya lagi,"Saya ingin mengalihkan perhatian tuan-tuan terhadap peranan Islam di alam nusantara Melayu ini," ujar Hamidi membuka bicara. Dia meneruskan bicara…."Sebelum kedatangan Islam, sudah kita maklumi bahawa alam nusantara Melayu didatangi pengaruh Hindu Buddha. Tetapi kedatangan Hindu Buddha itu tidak berupaya merubah pandangan hidup masyarakat Melayu yang mempunyai suatu pandangan hidup berdasarkan seni bukan falsafah. Malah ketika Hindu Buddha tiba di nusantara Melayu, ajaran-ajaran yang mengandungi unsur falsafah tidak dihiraukan oleh penduduk peribumi. Yang menarik perhatian mereka ialah ajaran-ajaran yang sesuai dengan bawaan mereka. Dalam hal ini, suka saya menyebut bahawa Hindu Buddha yang tiba tiadalah berasal daripada sumber falsafah dan metafiziknya, tetapi cuma baki-baki unsur falsafah yang turut disaring oleh tapisan seni. Implikasi daripada itu, unsur falsafah yang bersendikan akal budi dan pengetahuan akliah dengan sendirinya tersingkir; jauh terusir daripada tempat duduknya." (hlm. 154)

Ayat topik:

Tema
- peranan Islam
(A2) Dia meneruskan bicara…,"Sebelum kedatangan Islam, sudah kita maklumi bahawa alam nusantara Melayu didatangi pengaruh Hindu Buddha.

Ayat sokongan:
 (A3) Tetapi kedatangan Hindu Buddha itu tidak berupaya merubah pandangan hidup masyarakat Melayu yang mempunyai suatu pandangan hidup berdasarkan seni bukan falsafah.
(A4) Malah ketika Hindu Buddha tiba di nusantara Melayu, ajaran-ajaran yang mengandungi unsur falsafah tidak dihiraukan oleh penduduk peribumi.
(A5) Yang menarik perhatian mereka ialah ajaran-ajaran yang sesuai dengan bawaan mereka.
(A6) Dalam hal ini, suka saya menyebut bahawa Hindu Buddha yang tiba tiadalah berasal daripada sumber falsafah dan metafiziknya, tetapi cuma baki-baki unsur falsafah yang turut disaring oleh tapisan seni.

Ayat kesimpulan
(A7) Implikasi daripada itu, unsur falsafah yang bersendikan akal budi dan pengetahuan akliah dengan sendirinya tersingkir; jauh terusir daripada tempat duduknya."

Ayat ketujuh (A7) merupakan kesimpulan penjelasan fakta-fakta yang diberikan iaitu "Implikasi daripada itu, unsur falsafah yang bersendikan akal budi dan pengetahuan akliah dengan sendirinya tersingkir; jauh terusir daripada tempat duduknya."
Kesimpulannya, gaya bahasa pengulangan epistrofa dalam perenggan tersebut berfungsi sebagai pelengkap fakta dalam perenggan. Pengulangan kata tersebut juga dapat menjelaskan fakta yang diutarakan dengan mudah dan dapat diikuti oleh pembaca dengan berkesan. Berdasarkan ungkaian kata-kata di atas kesinambungan kata yang diterjemahkan adalah fakta mengenai pengaruh Hindu Buddha di alam nusantara.

Simplok
Simplok adalah pengulangan kata pada awal dan akhir baris dalam sesuatu kalimat. Menurut beliau lagi seperti yang diperturunkan oleh Henry Guntur Tarigan (1988) bahawa simplok juga wujud dalam kalimat-kalimat yang berturut-turut (Rahman Shaari 1990, 38). Manakala Gorys Keraf (1990, 128) mengatakan simplok adalah pengulangan pada awal dan akhir beberapa baris atau kalimat berturut-turut.
Analisis
Pengulangan gaya bahasa simplok ini dapat menggambarkan kronologi peristiwa yang dipaparkan pada awal dan akhir baris kalimat. Gaya bahasa seperti berikut dapat menimbulkan kesan rima yang harmoni dan turutan peristiwa dapat disampaikan dengan jayanya berdasarkan aturan kata yang diolah dengan bijak oleh pengarang. Tema (idea utama) terletak pada ayat topik pertama (A1) Dunia ini panggung penghidupan, fikir Hamidi membuat perbandingan. Frasa panggung penghidupan merupakan tema (idea utama) dalam perenggan. Perbandingan tersebut telah digunakan oleh pengarang dalam kehidupan manusia yang diolah ideanya dalam ayat ketiga (A3) hingga ayat keempat (A4) iaitu ayat ketiga (A3) Kehidupan ini bergerak dari satu episod ke satu episod.
Ayat keempat (A4) Terkandung di dalam kehidupan itu peristiwa demi peristiwa, tragedi demi tragedi yang memecahkan suara hati. Pengulangan simplok dapat dilihat dalam frasa ayat ketiga (A3) satu episod ke satu episod, dan ayat keempat (A4) peristiwa demi peristiwa, tragedi demi tragedi. Oleh itu, pengulangan simplok berfungsi sebagai unsur pengembangan idea dalam perenggan.


Simplok
Perenggan
(i) Dunia ini panggung penghidupan, fikir Hamidi membuat perbandingan. Manusia adalah pelakon, pengarah dan pak dalang yang menghidupkan kemeriahan panggung penghidupan itu. Kehidupan ini bergerak dari satu episod ke satu episod. Terkandung di dalam kehidupan itu peristiwa demi peristiwa, tragedi demi tragedi yang memecahkan suara hati. Ada manusia yang berjaya, ada manusia yang gagal. Ada manusia yang miskin dan ada manusia yang kaya-raya, mewah membeli sekalian benda. Dan manusia yang berbagai-bagai ragam itu melakonkan episod-episod penghidupan mereka sesempurnanya tanpa arahan seorang pengarah atau berpandu sebuah skrip lakonan yang kaku. (hlm. 1)
Ayat topik:
Tema – dunia ini panggung penghidupan
(A1) Dunia ini panggung penghidupan, fikir Hamidi membuat perbandingan.

Ayat sokongan:
 Rema
- simplok
(A2) Manusia adalah pelakon, pengarah dan pak dalang yang menghidupkan kemeriahan panggung penghidupan itu.
(A3) Kehidupan ini bergerak dari satu episod ke satu episod.
(A4) Terkandung di dalam kehidupan itu peristiwa demi peristiwa, tragedi demi tragedi yang memecahkan suara hati.
(A5) Ada manusia yang berjaya, ada manusia yang gagal.
(A6) Ada manusia yang miskin dan ada manusia yang kaya-raya, mewah membeli sekalian benda.

Ayat kesimpulan
(A7) Dan manusia yang berbagai-bagai ragam itu melakonkan episod-episod penghidupan mereka sesempurnanya tanpa arahan seorang pengarah atau berpandu sebuah skrip lakonan yang kaku.

Mesodiplosis
Berdasarkan kenyataan yang dinyatakan oleh Keraf (1990, 128) mengatakan bahawa mesodiplosis adalah pengulangan di tengah-tengah baris atau beberapa kalimat berturutan.


Mesodiplosis
Perenggan
(i) Bangsa Melayu Islam baru harus mencerminkan satu bangsa berperadaban dan bangsa yang jelas kewibawaannya, fikir Hamidi. Bangsa Melayu baru harus menghapuskan sifat bebal dan jumud yang melanda pemikiran dan tindakan bangsa Melayu Islam selama ini. Sifat malas harus diganti dengan sifat rajin. Sikap berlengah-lengah harus diganti dengan sifat tekun. Sifat suka memikir perkara yang remeh temeh dan sementara sahaja harus dialih kepada sifat suka memikir perkara yang serius dan mencabar. Dan segala sifat kebaikan harus digilap dan dilenturkan menjadi suatu identiti bangsa Melayu Islam yang baru itu. (hlm. 28)

Ayat topik :
Tema
– bangsa Melayu
(A1) Bangsa Melayu Islam baru harus mencerminkan satu bangsa berperadaban dan bangsa yang jelas kewibawaannya, fikir Hamidi.

Ayat sokongan :
 Rema
– mesodiplosis
(A2) Bangsa Melayu baru harus menghapuskan sifat bebal dan jumud yang melanda pemikiran dan tindakan bangsa Melayu Islam selama ini.
(A3) Sifat malas harus diganti dengan sifat rajin.
(A4) Sikap berlengah-lengah harus diganti dengan sifat tekun.
(A5) Sifat suka memikir perkara yang remeh temeh dan sementara sahaja harus dialih kepada sifat suka memikir perkara yang serius dan mencabar.

Ayat kesimpulan
(A6) Dan segala sifat kebaikan harus digilap dan dilenturkan menjadi suatu identiti bangsa Melayu Islam yang baru itu.
Analisis
Tema (idea utama) dalam perenggan wujud dalam ayat topik pertama (A1) Bangsa Melayu Islam baru harus mencerminkan satu bangsa berperadaban dan bangsa yang jelas kewibawaannya, fikir Hamidi. Frasa bangsa Melayu merupakan idea utama dalam ayat. Keseluruhannya ayat pertama (A1) hingga  ayat keenam (A6) menjelaskan sikap dan sifat bangsa Melayu. Dalam ayat pertama (A1), sifat yang dimaksudkan ialah, bangsa Melayu Islam baru harus mencerminkan satu bangsa berperadaban dan bangsa yang jelas kewibawaannya. Ayat kedua (A2) pula, bangsa Melayu baru harus menghapuskan sifat bebal dan jumud yang melanda pemikiran, Ayat ketiga (A3) sifat malas harus diganti dengan sifat rajin. Ayat keempat (A4) Sikap berlengah-lengah harus diganti dengan sifat tekun. Ayat kelima (A5) sifat suka memikir perkara yang remeh temeh dan sementara sahaja harus dialih kepada sifat suka memikir perkara yang serius dan mencabar, dan ayat keenam (A6) merupakan kesimpulan bagi sikap dan sifat bangsa Melayu iaitu, dan segala sifat kebaikan harus digilap dan dilenturkan menjadi suatu identiti bangsa Melayu Islam yang baru itu. Pengulangan mesodiplosis dapat dilihat dalam ayat ketiga (A3) dan ayat keempat (A4) dalam frasa harus diganti. Pengulangan tersebut berfungsi sebagai unsur sokongan hujah dalam perenggan.
Gaya bahasa mesodiplosis ini diperindahkan lagi oleh pengarang dengan susunan kata dari ayat tersebut yang mempunyai maksud yang baik dan terdapatnya unsur-unsur nasihat yang cuba diterapkan kepada pembaca. Pengarang cuba membawa mesej nasihat dengan cara menegur sikap segelintir masyarakat Melayu Islam yang diolah dengan kata-kata yang halus iaitu menasihati mereka agar bersikap lebih rajin dan membuat kerja dengan tekun dan sabar yang sememangnya menjadi ajaran utama dalam agama Islam.
Jelasnya, dalam jalinan gaya bahasa mesodiplosis ini pihak pengarang telah mengeksploitasi kata-kata yang membawa unsur dakwah yang menjadi motif utama pengarang dalam berkarya. Jalinan yang harmoni dan seimbang di antara kedua-dua aspek tersebut menjadikan karya ini lebih bertenaga dan berkualiti.

Epanalepsis
Keraf (1990, 128) mengatakan epanalepsis adalah pengulangan yang wujud di akhir kata yang mengulang kata pertama pada frasa atau klausa dalam ayat.

Epanalepsis
Perenggan
(i) "Boleh itu, memang boleh," Hamidi bersuara lagi. "Tapi memakan masa yang lama. Tambahan pula wawasan baru seperti ini memerlukan pengiktirafan dari sudut ilmiah dan ilmunya." (hlm. 62)

Ayat sokongan:
– Epanalepsis
(A1). "Boleh itu, memang boleh," Hamidi bersuara lagi.
(A2). "Tapi memakan masa yang lama.

Ayat topik/ayat kesimpulan:
Tema– wawasan
(A3) Tambahan pula wawasan baru seperti ini memerlukan pengiktirafan dari sudut ilmiah dan ilmunya."
Analisis
Tema (idea utama) wujud dalam ayat terakhir (A3) perenggan. Ayat yang dimaksudkan ialah, Tambahan pula wawasan baru seperti ini memerlukan pengiktirafan dari sudut ilmiah dan ilmunya. Idea utama dalam ayat tersebut ialah wawasan. Manakala isi sampingan dapat dilihat dalam ayat kedua (A2) tapi memakan masa yang lama. Ayat pertama (A1) pula bertindak sebagai pengulangan epanalepsis yang bertujuan untuk memperjelaskan kata pertama yang diulang di akhir ayat. Penegasan kata yang berbentuk sangkalan juga merupakan faktor utama pengarang menggunakan gaya bahasa epanalepsis ini. Berdasarkan ayat yang digarap dalam rangkaian kata tersebut penegasan kata dalam ayat adalah berkombinasi dengan ayat pertama dalam kalimat sebelumnya. Pengulangan kata dalam ayat tersebut adalah bagi menyangkal kata yang dilemparkan oleh Encik Jaafar kepada Hamidi tentang kemampuan Hamidi sebagai pensyarah muda yang dikatakan tidak mampu menghasilkan pemikiran asli dalam merangka pembangunan bangsa. Ayat kesimpulan juga digarap dengan kemas oleh pengarang dalam ayat ketiga (A3) yang berkongsi dengan ayat topik yang mengandungi tema cerita dalam perenggan.
Berdasarkan situasi yang berlaku, pengarang telah menggunakan gaya bahasa epanalepsis bagi menyangkal kenyataan tersebut dengan cara yang lembut dan berhemah serta dikukuhkan dengan hujah yang munasabah. Oleh itu, kekuatan gaya bahasa pengulangan ini dapat dieksploitasi dengan berkesan oleh pengarang tanpa mengganggu emosi pembaca bahkan dapat memperlihatkan kesopanan kata dan ketajaman fikiran pengarang yang diterjemahkan dalam kata-kata yang berkombinasi pada watak dalam ayat tersebut.

Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa pengulangan dalam ayat tersebut berfungsi sebagai unsur penegasan maksud dalam perenggan.


Anadiplosis
Anadiplosis adalah kata atau frasa terakhir dari suatu klausa atau kalimat menjadi kata atau frasa pertama dari klausa atau kalimat berikutnya (Keraf 1990, 128). Manakala Rahman Shaari (1989, 39) pula mengatakan bahawa anadiplosis ialah pengulangan pada hujung baris digunakan untuk memulakan baris yang seterusnya. Beliau juga menyatakan bahawa unsur pengulangan begini biasanya wujud dalam genre puisi. Namun begitu unsur ini juga terdapat dalam karya-karya prosa.
 
Anadiplosis
Perenggan
(i) "Siti memang sedar soal itu," ujar Siti Zubaidah. "Tapi apa yang dapat Siti buat. Soal-soal sebegini bukan kerja-kerja orang politik. Politik itu kuasa. Dengan kekuasaan yang ada semua hal dapat dirubah". (hlm. 5)

Ayat topik:
Tema
– soal itu
(kekuasaan politik)
(A1) "Siti memang sedar soal itu," ujar Siti Zubaidah.

Ayat sokongan :
 Rema
– anadiplosis
(A2) tapi apa yang dapat Siti buat.
(A3) Soal-soal sebegini bukan kerja-kerja orang politik.
(A4) Politik itu kuasa.

Ayat kesimpulan
(A5) Dengan kekuasaan yang ada semua hal dapat dirubah.

Analisis
Tema (idea utama) cerita wujud dalam ayat pertama (A1). Frasa soal itu merujuk kepada kekuasaan politik yang menjadi tema cerita. Ayat kedua (A2) hingga ayat kelima (A5) pula bertindak sebagai ayat sokongan. Pengulangan anadiplosis wujud dalam ayat ketiga (A3) dan ayat keempat (A4) iaitu merujuk kepada perkataan politik. Pengarang juga mempelbagaikan penggunaan gaya bahasa anadiplosis iaitu kata di akhir kalimat pada ayat pertama diulang pada ayat berikutnya. Urutan kata yang diulang secara berturut-turut ini telah dijadikan ilham oleh pengarang untuk mendapatkan idea bagi mengharmonikan cerita.

Kesinambungan jalinan kata dalam ayat memudahkan tanggapan pembaca untuk memahami maksud yang disampaikan.
Gaya bahasa anadiplosis ini juga membuktikan bahawa dalam bidang penulisan, pihak pengarang sememangnya tidak terikat dalam menggunakan satu gaya bahasa sahaja. Bahkan mempunyai pilihan yang luas dalam memperkaya dan memperindah lenggok bahasanya. Lantaran itulah, keunikan dan keindahan bahasa dapat meresap dalam jiwa pembaca kerana dalam sastera, bahasa itu bersifat global. Oleh itu, pengulangan anadiplosis berfungsi sebagai unsur pengharmonian idea dalam perenggan.

Paralelisme
Terdapat pelbagai pendapat yang mengemukakan maksud gaya bahasa paralelisme ini. Antaranya ialah Keraf (1991, 126) yang mengatakan "paralelisme adalah semacam gaya bahasa yang berusaha mencapai kesejajaran dalam pemakaian kata-kata atau frasa-frasa yang menduduki fungsi yang sama dalam bentuk gramatikal yang sama". Manakala Rahman Shaari (1989, 39) menyatakan bahawa "paralelisme ialah pengulangan perkataan-perkataan yang sejajar dalam baris-baris yang berikutnya. Pengulangan ini mungkin berlaku pada bahagian hadapan, tengah ataupun akhir". Harimurti (1984, 121) pula mendefinisikan gaya bahasa paralelisme ini sebagai "pemakaian yang berulang-ulang ujaran yang sama dalam bunyi, tatabahasa atau makna atau gabungan dari kesemuanya yang merupakan ciri khas dari bahasa puitis". Oleh itu dapat disimpulkan bahawa unsur-unsur gaya bahasa paralelisme ini mempunyai persamaan atau mengalami pertindihan dengan unsur-unsur gaya bahasa anafora, epifora dan simplok response.
Analisis
Tema (idea utama) wujud dalam ayat pertama (A1) yang merujuk kepada frasa bangsa Melayu. Penggunaan gaya bahasa paralelisme ini juga mempunyai fungsi yang sama dengan gaya bahasa pengulangan yang lain iaitu bagi mempelbagaikan gaya dan menimbulkan keindahan. Gaya bahasa paralelisme dapat dilihat dalam ayat pertama (A1) bagi frasa bangsa Melayu dan arena kehidupan. Begitu juga dalam ayat kedua (A2) hingga ayat keempat (A4) dapat dilihat pengulangan pada kata bangsa. Dalam konteks perenggan, gaya pengulangan paralelisme ini berfungsi sebagai penambah idea dalam perenggan.


Paralelisme
Perenggan
(i) Bangsaku Melayu Islam ini menyuruhku memikirkan persoalan hidup mati, gagal jaya, jatuh bangun bangsa ini dalam arena kehidupan di dunia ini dalam arena kehidupan di dunia ini, desus suara hati Hamidi. Bangsa Melayu Islam ini perlu diperhatikan kerana kekurangan perhatianlah, maka bangsa Melayu Islam ini tenggelam dalam sejarah peradaban manusia di dunia ini, fikir Hamidi lagi. Dan bangsa Melayu Islam ini seharusnya mampu melahirkan manusia yang lebih hebat sejarah dan rekaciptanya melebihi keagungan bangsa Yahudi yang melahirkan Baruch Spinoza, ahli falsafah. Albert Einstein dalam bidang sains; Karl Marx dalam bidang politik dan sosioekonomi dan Sigmund Freud dalam bidang psikologi. Bukankah bangsa Yahudi yang berjumlah kurang lebih 3.4 juta di Israel itu adalah jumlah yang terlalu kecil jika dibandingkan dengan ratusan juta bangsa Melayu Islam yang mendiami Nusantara Melayu ini? (hlm. 2 )
Ayat topik:
Tema
– bangsa Melayu
(A1) Bangsaku Melayu Islam ini menyuruhku memikirkan persoalan hidup mati, gagal jaya, jatuh bangun bangsa ini dalam arena kehidupan di dunia ini dalam arena kehidupan di dunia ini, desus suara hati Hamidi.

Ayat sokongan Rema
– paralelisme
(A2) Bangsa Melayu Islam ini perlu diperhatikan kerana kekurangan perhatianlah, maka bangsa Melayu Islam ini tenggelam dalam sejarah peradaban manusia di dunia ini, fikir Hamidi lagi.
(A3) Dan bangsa Melayu Islam ini seharusnya mampu melahirkan manusia yang lebih hebat sejarah dan rekaciptanya melebihi keagungan bangsa Yahudi yang melahirkan Baruch Spinoza, ahli falsafah. Albert Einstein dalam bidang sains; Karl Marx dalam bidang politik dan sosioekonomi dan Sigmund Freud dalam bidang psikologi.

Ayat kesimpulan
(A4) Bukankah bangsa Yahudi yang berjumlah kurang lebih 3.4 juta di Israel itu adalah jumlah yang terlalu kecil jika dibandingkan dengan ratusan juta bangsa Melayu Islam yang mendiami nusantara Melayu ini?

KESIMPULAN
Terdapat lapan fungsi gaya bahasa pengulangan yang diacu mengikut pendekatan wacana berdasarkan pengaplikasian tema dan rema.
Kefungsian Gaya Bahasa Pengulangan 109
1. Pengulangan anafora berfungsi sebagai unsur penjelasan idea dalam perenggan.
2. Pengulangan epizeuksis berfungsi sebagai unsur penegasan hujah dalam perenggan.
3. Pengulangan epistrofa berfungsi sebagai unsur pelengkap fakta dalam perenggan.
4. Pengulangan simplok berfungsi sebagai unsur pengembangan idea dalam perenggan.
5. Pengulangan mesodiplosis berfungsi sebagai unsur sokongan hujah dalam perenggan.
6. Pengulangan epanalepsis berfungsi sebagai unsur penegasan maksud dalam perenggan.
7. Pengulangan anadiplosis berfungsi sebagai unsur pengharmonian idea dalam perenggan.
8. Pengulangan paralelisme berfungsi sebagai unsur penambahan idea dalam perenggan.
Konklusinya, pendekatan wacana berdasarkan tema dan rema yang diterapkan dalam sesebuah perenggan dalam novel dapat menjelaskan kefungsian gaya bahasa pengulangan dengan lebih berpada. Kefungsian tersebut tidak terikat sebagai unsur penegasan sahaja. Malahan dengan menggunakan pendekatan wacana, kefungsian unsur pengulangan dapat dilihat dengan lebih luas berdasarkan maklumat yang terdapat dalam perenggan.
Oleh yang demikian, wajarlah karya Al-Abrar ini dijadikan panduan kepada pelajar-pelajar dan masyarakat yang ingin berjinak-jinak dalam bidang penulisan. Pengkaji berharap dapatan kajian ini dapat dimanfaatkan bersama demi kecemerlangan ilmu dan memartabatkan mutu Kesusasteraan Melayu dan Ilmu Linguistik di tempat yang sewajarnya.
NOTA
1. Novel sebenarnya bergantung kepada bahasa bagi menyampaikan cerita. Bagaimanapun bahasa novel yang mengambil laras kreatif tidak sama dengan bahasa dalam bidang ilmu yang lain. Penjelasan seterusnya dapat dilihat dalam Rahman Shaari, Penilaian dan Penghayatan Sastera (1988).
2. Gaya itu adalah jalinan penulisan yang berhubung dengan diksi, imej, imejan, sintaksis dan juga unsur bunyi. Walau bagaimanapun keberkesanan penggunaan unsur gaya bahasa yang tersendiri. Penjelasan seterusnya dapat dilihat dalam Danziger dan Stacy Johnson, An Introduction to Literature Criticm. (Lexington: D. C. Heatah and Company, 1967), 13.
3. A1 (A merujuk kepada "ayat" dan "1" merujuk pertama).

RUJUKAN
Danziger, J. S. 1967. An introduction to literature criticism. Lexington, MA: D. C. Heatah and Company.
Halliday, M. A. K. 1985. An introduction functional grammar. 2nd ed. London: Arnold.
Harimurti Kridalaksana. 1984. Kamus linguistik. 2nd ed. Jakarta: Gramedia.
Hasanuddin Md. Isa. 1995. Al-Abrar. Kuala Lumpur: Creative Enterprise Sdn. Bhd.
Henry Guntur Tarigan. 1988. Prinsip-prinsip dasar sastera. Bandung: Penerbitan Angkasa.
———. 1988. Pengajaran gaya bahasa. Bandung: Penerbit Angkasa.
Ismail Ahmad. 1996. Penulisan saintifik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Keraf, G. 1990. Diksi dan gaya bahasa. Jakarta: PT Gramedia Pustaka Utama.
Longacre, R. E. 1979. The paragraph as a grammatical unit. In Syntax and semantics, ed. T. Givon. Vol. 12. New York: Academic Press.
Nathesan, S. 1995. Keberkesanan penggunaan kata penanda wacana dalam penulisan. Pelita Bahasa 25: 15–16.
———. 1999. Pendekatan dan teknik pendidikan Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Noriha Basir. 2001. Gaya bahasa dalam novel "Al-Abrar" oleh Hasanuddin Md. Isa: Satu kajian. BA diss., Universiti Putra Malaysia.
Rahman Shaari. 1988. Penilaian dan penghayatan sastera. Selangor: Marwilis Publisher.
———. 1989. Penggunaan peribahasa dalam penulisan. Pelita Bahasa 1(1): 38.
———. 1990. Metafora dan personafikasi. Pelita Bahasa 2(5): 35–36.
Shahnon Ahmad. 1974. Perbahasan kertas kerja Baharuddin Zainal. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Zaharani Ahmad. 2008. Aspek nahu praktis Bahasa Melayu. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Artikel oleh:
NORIHA BASIR
Universiti Sains Malaysia
noriha78@yahoo.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan