Novel ini memenangi tempat ke-2 (novel) Sayembara Penulisan ITBM, PENA,
BH yang diumumkan 21 April 2015 lalu. Kalau pun tidak kerana
bersayembara, memang pun saya ingin menghasilkan novel sedemikian dalam
kerjaya saya sebagai penulis. Namun takdir Allah mengangkat pemikiran
itu lebih awal ke persada pembaca dengan mentakdirkan karya ini
memenangi sayembara itu.
Bagi memperindahkan pengolahan bahasanya ,
saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Sdr. Zulkifli
Jamaasin selaku editor penerbitan yang bersungguh-sungguh menyemak
karya ini dan terima kasih kepada ITBM yang menerbitkan karya ini.
Sinopsis
TAJUK NOVEL : Sarjana Bangsa
KARYA: HASANUDDIN MD ISA
Isyraf Eilmy mengemukakan hujah yang bernas ketika membawa Papa Lee
memeluk Islam. Untuk memudahkan dia memberI kefahaman Islam kepada
keluarga Papa Lee dan merapatkan ikatan kekeluargaan, Isyraf Eilmy
bertunang dengan Norlaily Lee. Sebagai seorang Pensyarah di Fakulti
Alam Melayu UKM, Isyraf Eilmy diberi tugasan oleh Prof. Dr. Sadiq
untuk merangka dan membentang kertas kerja di konvensyen Kebudayaan
Melayu Antarabangsa. Dalam tempoh membuat rumusan itu juga,
keluarganya mahu dia melangsungkan perkahwinan dengan Norlaily Lee.
Percangahan pendapat terhadap isu-isu berkaitan politik menyebabkan
Isyraf Eilmy dan ahli keluarganya selalu berdebat. Namun begitu,
perdebatan itu berakhir tanpa menyebabkan perpecahan dalam keluarga.
Sikap terbuka ahli keluarga dalam perbezaan pendapat disebabkan
kecintaan meeka kepada ilmu pengetahuan dan senantiasa ingin mencari
kebenaran.
Dalam beberapa sesi pertemuan dengan Dr. Sadiq, Isyraf
Eilmy cuba menyakinkan pensyarah tersebut bahawa gagasan penyatuan kaum
bertunjangkan tauhid lebih sesuai ditekankan dalam kebudayaan
masyarakat berbanding penyatuan dan perkongsian kebudayaan. Bertolak
daripda dasar tauhid ini, percambahan ilmu pengetahuan pasti menuju
kebenaran. Dengan mengemukakan hujah-hujah terhadap pandangannya itu,
Prof. Dr. Sadiq bersetuju pemikiran tersebut diangkat dalam bentuk
kertas kerja.
Atas permintaan Papa Lee yang mahu menjalani
rawatani rawatan di luar Negara, perkahwinan Isyraf Eilmy dengan
Norlaily Lee dibuat secara bersederhana. Majlis dicadangkan dijalankan
di kedua belah pihak menggunakan adat budaya yang tidak bercanggah
dengan Islam.
Isyraf Eilmy membentang pemikiran yang hendak
disampaikan dalam konvensyen dalam satu perjumpaan dengan ahli
keluarganya. Bapanya memberi beberapa pandangan tentang sejarah
peradaban Melayu yang mengukuhkan institusi kemasyarakatan. Ibunya pula
menjelaskan sejarah penyebaran Islam yang cukup panjang di alam
Melayu.
Dalam sesi pembentangan kertas kerja di Konvensyen
Kebudayaan Melayu, Isyraf Eilmy menerima beberapa sanggahan daripada
peserta konvensyen. Namun begitu, Isyraf Eilmy dengan bantuan Prof.
Samsudin dan bapanya, Cikgu Hasan telah memberi penjelasan sebaiknya
terhadap masalah yang ditimbulkan.
Papa Lee Kam Seng yang
mengikuti siara langsung konvensyen tersebut melalui siaran TV berasa
cukup bangga terhdap pemikiran yang dikemukakan oleh Isyraf Eilmy.
Namun begitu, oleh keadaan kesihatannya yang tidak stabil, dia
dimasukkan ke wad sakit jantung Kuala Lumpur.
.
Novel '
Sarjana Bangsa' mengemukakan tema kemasyarakatan. Masyarakat hanya
dapat dibangunkan apabila setiap individu di dalam masyarakat itu
memiliki rasa cinta yang mendalam terhadap ilmu dan menghayati ajaran
agamanya (Islam).