Mengikut cerita orang Pahang di sebelah Raub
mengatakan Apabila Wan Ahmad anak Maharaja Perba Jelai Wan Idris kembali semula
ke Pahang setelah berperang di Selangor, Wan Muhamad telah pergi ke Pekan .(
Sebagaimana dicerita oleh Hugh Cliford dalam tajuk “ In The Days When The Land
Was Free” dalam buku In Court Kampung- 1927) Wan Ahmad telah menunjukkan kelakuannya yang sombong dan
menyalahi adat terhadap Bendahara Wan Ahmad.
Tidak lama selepas Wan Ahmad kembali ke Jelai, Bendahara Wan Ahmad
memanggil Wan Lingga, anak sepupu Wan Ahmad yang masih ada di Pekan dan Tok Muda
Sentol anak Tok Kaya Setia Lela Teh
datang mengadap. Diperintah Wan Ahmad itu dibunuh. Wan Lingga mengaku sanggup menjalankan hukuman itu dengan syarat Tok Muda Sentol membantunya. Tok Muda sentol agak keberatan tetapi
pura-pura menunjukkan taat setianya.
Akan Tok Muda
Sentol memaklumkan titah Bendahara itu kepada bapanya Tok Kaya Teh. Tok Kaya Teh melarang anaknya terlibat dalam
rancangan itu. Alasannya ialah Wan Ahmad itu sepuak dengan mereka dari jurai
Tun Abdul Latif. Maka beliau menghantar
utusan pergi ke Jelai memberitahu Maharaja Perba Jelai Wan Idris dan
mengingatkan Wan Ahmad.
Wan Lingga kembali ke Pekan memaklum apa yang
berlaku. Bendahara Wan Ahmad memerintah
Wan Lingga dan Tok Gajah memerangi Tok
Raja Perba Jelai dan Orang Kaya Lipis.
Dalam satu serangan yang dibuat, Tok Raja dan Orang Kaya Lipis berjaya
mempertahankan diri. Orang Kaya Lipis
diarah datang menyerah diri ke Pekan tetapi ditolak oleh Orang Kaya Teh.
Bendahara Wan Ahmad kemudiannya
memerintah Wan Lingga untuk membunuh Orang Kaya Lipis Tok Teh .
Wan
Lingga pergi menyerang dan membakar rumah Orang Kaya Lipis Tok Teh di
Penjum. Namun begitu, Tok Teh dapat
melepaskan diri berenang menyeberangi Sungai Lipis dalam keadaan dihujani
peluru senapang yang ditembak oleh Wan Lingga. Beliau bergerak ke rumah Dato' Setia Wangsa Ismail Tok Maulud di Tanjung Besar.
Atas nasihat Dato' Setia Wangsa Ismail Tok Maulud, Tok Kaya Teh ditemani oleh Tok
Muda Sentol bergerak ke Pekan untuk menyerah diri. Akan Bendahara Wan Ahmad menahan Tok Kaya Teh dan Tok Muda Sentol di Pekan,
tidak dibenarkan pergi ke mana-mana dan jawatan Orang Kaya Lipis itu dipeca
pada 1875M..
Bendahara Wan Ahmad melantik Tuan Sheikh Kecil menguruskan hal memungut cukai di Lembhan
Lipis. Akan kegagalan Wan Lingga
menjalankan tugasnya, dihukum Wan Lingga itu dengan memotong gaji tahunannya.
Tinggallah Tok Kaya Teh dan Tok Muda Sentol di Pekan, tidak boleh
pulang-pulang ke Penjom. Maka menjelang
tahun 1882, gemparlah di daerah Pekan itu ada seorang Bugis berjual diri di
pasar. Dimintanya orang menikan tubuhnya
bernama Daeng Muhamad. Peraturan menikan itu ialah ditikam dada dan perut
dikenakan bayaran 15 ringgit, rusuk dan belakang 10 ringgit, dan pinggang ke
bawah 5 ringgit. Sesiapa yang hendak menikamnya, bolehlah berbuat
demikian mengikut bayarannya. Maka sekelian orang di Pekan itu mencuba,
tiada lut ke tubuhnya.
Akan Daeng Muhamad itu khabarnya
berjasa menaikkan Wan Ahmad atas takhta dan menuntut dilantik menjadi orang
besar. Permintaan ini amat
mendukacitakan Bendahara Pahang itu kerana pada masa itu semua kawasan sudah
mempunyai Orang Besar kecuali Lipis.
Oleh kerana permintaan itu tidak dilayan, maka Daeng Muhamad mencabar
sekelian Pahlawan Pahang agar berlawan bertikam dengannya. Maka menyembahlah Dato’ Maharaja Perba Jelai Wan Idris bin Wan
Muhammad, Tok Setia Ismail bin Maulud, Imam
Indera Gajah Rasu bin Shaharom@Teuku Ali, dan Dato’ Bahaman Orang Kaya Semantan
memohon diperkenankan oleh Baginda
kepada salah seorang daripada mereka bukan sahaja untuk mencuba kepandaian
Orang Bugis itu, bahkan berlawan pun mereka sanggup. Maka jawab Baginda, “Beta
sudah tau kebolehan Orang Kaya semua, tetapi apa yang beta sedang fikirkan
sekarang, beta mau tahu kebolehan orang muda, bakal menggantikan Orang Kaya
yang akan menjaga negeri ini, iaitu Sentol anak Tok Kaya Teh”.
Tok Muda
Sentok pada waktu masih tersangat muda. Mendengar titah agar dia berlawan
dengan orang Bugis yang kebal itu; Tok
Kaya Teh menyerahkan kain cindai dan
Keris Panjang Penjum buatan Tok Baki kepada Tok Muda Sentol. Sesampai di istana, Tok Muda Sentol
menjunjung duli kepada Bendahara Pahang. Bendahara Wan Ahmad mengizinkan Si Sentol masuk ke gelanggang
pertarungan, lalu mendekati orang Bugis itu, seraya ditikamnya di “ulu hati”
terus ke belakang. Orang Bugis itu pun langsung tersungkur ke bumi lalu
mati. Kata orang yang empunya cerita, satu liang luka di ulu hatinya,
tetapi tujuh liang tembus di belakangnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan