Membuka Kampung Raub

Lokasi Raub adalah satu kawasan di tengah jalan darat  perdagangan bergajah dari Kuala Lipis menuju ke Kuala Kubu      Inilah jalan yang digunakan  untuk membawa masuk tentera upahan dan jalan tentera Pahang menuju ke Selangor dalam perang saudara di Selangor.  Jalan inilah juga  digunakan oleh Kolonal Walker dan Clifford  membawa peralatan tentera untuk menyerang Budu.

Menamakan tempat ini sebagai Raub mempunyai berbagai versi  penceritaan.  Saya mengambil catatan yang diputuskan oleh Dewan Persuratan Melayu Pahang Cawangan Raub pada tahun-tahun 1980-an  berhubung pembukaan kampung Raub ini.  Ahli Dewan Persuratan Melayu Pahang ( DPMP ) menemui bekas ketua kampung sempalit Encik Nasir Salleh untuk mengkaji asal usul nama Raub. Menurutnya Raub di buka oleh Tengku Laksamana Alang Shah bersama dua anak lelakinya Awang dan Kassim pada tahun 1882. Ketika itu Pahang belum bernaung di bawah pemerintahan Inggeris. Katanya Tengku Laksmana itu berasal dari Natar, Pagar Ruyung di Sumatera mengembara bersama anaknya melalui Kuala Kubu, Selangor mengikuti alur sungai dalam hutan belantara menuju ke sini. Setelah sekian lama mereka mengembara, di tebatan. Apabila sampai di kawasan tersebut Laksamana mendapati sesuai untuk membuka petempatan. Kedua-dua tebing tobak itu cantik kerana tanahnya berpasir dan menarik.

Kawasan itu sekarang merupakan padang besar Majlis Daerah Raub. Menurut Encik Nasir setelah membuka kawasan perkampungan mereka menanam pelbagai sayur-sayuran di tebing tanah berpasir itu. Dalam masa yang sama mereka mencari rotan, damar, getah jelutung dan memburu binatang berhampiran kawasan hutan. Pada satu hari Laksmana Alang Shah dan anaknya berhasrat untuk membuat gulai paku lalu mereka ke tebatan tersebut lalu mencabut sepohon paku. Apabila pasir yang melekat itu bederai kelihatan serbuk emas. Sejak itu Laksmana dan anak buahnya meraub pasir dan tanah berlumpur di sepanjang tebing sungai itu untuk mencari emas. Setiap kali meraub mereka amat gembira mendapat emas. 

Ceritanya ini diakui kebenaran oleh tokoh budaya dan pengamal adat istiadat daerah ini, Encik Othman Sabudin 69 tahun. Menurutnya sekitar 1882 seorang ahli agama bernama Haji Abu yang berasal dari Sumatera datang ke Raub bersama anak buahnya. Walaupun ada percanggahan dari segi tokoh yang menerokai kawasan  ini tetapi cerita asal usul tempat  ini adalah sama iaitu daripada kegiatan meraub emas di kawasan tersebut.

Ada satu pendapat terpencil yang menyatakan asal nama daerah Raub itu sebenarnya berpunca daripada nama suku “ RAO” digelar Rawa oleh orang semenanjung yang begitu ramai sekali mendominasi jumlah kawasan terbabit hinggakan daerah Raub terkenal dengan lubuk orang Rao di negeri Pahang. Dengan peredaran masa cara percakapan telah bercampur gaul dengan cara pertuturan orang Pahang akhirnya Rao itu berubah menjadi Raub iaitu daerah yang paling ramai dihuni oleh suku Rao yang asalnya dari Sumartera barat.  Pendapat ini saya fikir sangat lemah kerana mengapa suku Roa yang ada di Lancang tidak menamakan tempat itu Raub  , atau suku Rao yang ada di Temerloh, Negeri Sembilan tidak menamakan tempat itu Raub.  Jadi nama Raub itu tentu ada hubungan degan sesuatu peristiwa lain. 

Cerita adanya emas di kawasan ini sampai ke pengetahuan penduduk Dong, Durian  Sebatang dan Gali lalu mereka mengusahakan perlombongan emas secara mendulang.  Akhirnya wujud petempatan penduduk di Sempalit dan  kampung Raub .  Sebuah masjid dibangunkan di perkampungan ini pada 1898M.  Letaknya di simpang jalan menuju  ke Bukit Koman (sebelah restoran Sentosa)
 Dengan adanya bijih emas yang berharga itu, kerajaan Pahang pada zaman  pentadbiran  Inggeris telah memajak usaha perlombongan emas ini kepada anak raja Selangor iaitu  Raja Impeh bin Raja Abdullah  (menantu Tengku Abdul Samad- Penghulu Gali) dan abangnya Raja Ismail bin Raja Abdullah  pada tahun 1880-an.  Mereka menjalankan aktiviti perlombongan di kawasan Sempam. Namun begitu konsesi perlombongan itu tidak lama disebabkan kos operasi yang tinggi. 

Kerajaan Pahang memajakkan operasi pengeluaran emas ini kepada  Raub Australian Gold Mine (RAGM) yang didaftarkan pada 1889 di Queensland, Australia. RAGM juga dikenali sebagai Raub Gold Mine. Pada awalnya syarikat lombong ini dikenali sebagai Australian Syndicate Ltd dan kemudian Australian Gold Mining Co. Ltd pada 1892. RAGM beroperasi sehingga 1961.
Kaedah perlombongan yang dijalankan di daerah Raub adalah kaedah bawah tanah ( shaft mining) dan ia dimulakan di Lubang Raub (Raub Hole). Operasi perlombongan emas ini berpusat  di   Bukit Koman. 


Pada 10 Mei  1958, satu kemalangan di Lombong Derrick telah meragut 12 nyawa.  Kejadian ini berlaku semasa para pekerja menebuk terowong lama yang dipenuhi air.  Air dari terowong itu membanjiri  terowong baru dan menyebabkan pekerja yang bekerja di terowong baru mati lemas. Hal ini berlaku kerana pelan lombong bawah tanah telah dimusnahkan oleh tentera Jepun semasa menguasai kawasan perlombongan ini.   Insiden ini   sangat menjejaskan aktiviti perlombongan RAGM di Raub.   Pada 1957, RAGM mempunyai 615 orang pekerja telah merosot kepada 267 orang. Faktor   ancaman keselamatan oleh gerila komunis  selepas pembunuhan Sir Hendry Gurney di Bukit Frazer  adalah salah satu faktor.  Pekerja Cina yang  tinggal di Teras telah dipindahkan ke Ipoh.  Selain itu  kemerosotan harga emas dan berlaku pemogokan pekerja berterusan menyebabkan kos perlombongan merosot.Akhirnya pada 19 Disember 1961, RAGM menutup operasi perlombongan di Raub.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan