Pembukaan Kampung Dong

Sesudah kampung  Sungai Jahit itu dibuka, penduduk pun makin bertambah.    Akan anak-anak Haji Abdul Latif @ Haji Mahkota (kerinci, Jambi ) dan Tok Unus (Kg. Macang Gelap, Chenor) yang bernikah dengan  cucu Tok Prak @ Raja Ahmad Sengkela, mereka  itu mendiami kampung Ajai.  Namun sesudah ceruk rantau kampung  Ajai itu  telah diteroka,  teringin mereka untuk membuka kampung halaman sendiri  di kawasan  tanah di sebelah Sungai Jahit.

 Antara anak-anak  Haji Abdul Latif @ Haji Mahkota (kerinci, Jambi ) dan Tok Unus (Kg. Macang Gelap, Chenor)  itu  ialah Tibah, Aminag, Khatib Deraman, Kalsom, Yang Zainab, Hajjah Fatimah Sam ,Dayang dan dua beradik perempuan  yang lain mengambil bahagian menebas –menebang di kiri  kanan  batang Dong.  Daripada keturunan merekalah di kemudian harinya sebahagian besar mendiami kawasan tersebut.

Akan asal-usul kenapa disebut DONG  itu tidaklah disepakati.  Ada yang  mengatakan berasal daripada  terjumpanya ular Tedung yang besar sewaktu menebas hutan sekitar sungai.  Maka tempat itu digelarlah  namanya DONG bersempena  ular Tedung  itu. Wallahu’alam.
Maka yang  kuat menjayakan pembukaan kampung Dong itu datangnya daripada keluarga Yang Zainab (suaminya Jo Pogang al-Rawi).  Membukalah dia kampung halaman di tepi  sungai  Dong itu  (simpang tiga Dong).  Maka diikuti oleh adik beradiknya yang lain. Khatib Deraman mengambil tanah di sebelah hilir  hingga ke Pasir Bayam dan Aminah dan adik beradik perempuannya mengambil kawasan di sebelah hulu hingga ke Jeram Bangkin.

Akan Jeram Bangkin itu satu jeram bertingkat di Sungai Dong itu.  Dengan keadaan air sebelah hulu yang tinggi, maka pembuka awal Dong ini membuat parit mengambil air dari hulu Jeram Bangkin itu  untuk mengairi sawah padi di kampung Dong  hingga ke hulir Sungai Jahit.  Makmurlah mereka bertanam padi  di pamah tepi sungai itu.  Juga di sebelah hilir itu, air dari Sungai Jahit turut membantu pengairan  ke sawah padi.

Dalam berusaha memajukan kampung itu, bersepakatlah mereka melantik  Haji Mat Harun bin Jo Pogang  ( anak  Yang Zainab binti Tok Unus  cicit Tok Prak  Sengkela)  menjadi ketua mereka di situ.  Hal itu bersebab  Haji Mat Harun itu  masih kuat kekerabatannya dengan keluarga Tok Keli, Penghulu Sega.    Sesudah beliau menjadi ketua-kampung, naik pula Abdullah Omar (Bilal Bing)  bin Haji Yusuf.  Sesudah dia naik pula Tok Empat Gik bin Khatib Ismail.  Akan Haji Mat Harun bin Jo Pogang dan Bilal Bing itu dilantik menjadi ketua kampung  sebelum struktur pemerintahan Pahang disusun semula pada 1887.

Apabila sistem pemerintahan Pahang disusun semula pada 1887 itu,  diangkat secara rasmi Gik bin Khatib Ismail  sebagai ketua kampung Dong.  

Akan Khatib Deraman yang membuka tanah  sebelah  hilir  hingga ke Pasir Bayam, rapat sangat hubungannya dengan orang-orang sebelah Sega.  Ini disebabkan beliau bernikah dengan Halimah anak Aminah anak Tok Aki anak Tok De Abdul Rahman anak Itam Mas Pahang anak Orang Kaya Ibrahim.  Akan Halimah itu ibu sepupu  Tok Keli.  Sementara  anaknya yang bernama Haji Muhamad Saman pula bernikah dengan  Bisah  anak  Tok Tel iaitu dua pupu Tok Keli , Penghulu Sega itu.  Maka akan hal membuka tanah di Dong itu tidaklah mendapat apa-apa teguran daripada Penghulu Sega itu.


Sesudah banjir  tahun 71, inginlah dimajukan Pekan Dong itu menjadi petempatan yang ramai penduduk.  Ini disebabkan  jalan menuju ke Ulu Dong telah berjaya dibuat.  Maka YB ADUn Dong pada waktu itu, YB Dato Yop Sendiri bin Haji Husin  meminta jasa baik Hajjah Rial  binti Haji Mat  Adam (ketua kampung pertama) diberi kepada kerajaan tanah payanya di simpang Dong untuk dimajukan sebagai kawasan rumah murah Dong.  Maka atas semangat  hendak melihat majunya Pekan Dong itu, diizinkan oleh Hajjah Rial tanah paya itu digunakan untuk tujuan dibangunkan rumah-rumah penduduk.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan