Sesudah kekalahan
kerajaan Pagaruyung , pihak Belanda memburu saki baki pemimpin dan turut mengenakan cukai yang tinggi kepada
penduduk. Hal ini menyebabkan ramai yang berhijrah ke Semenanjung Tanah Melayu
terutama ke Selangor, Negeri Sembilan, Perak dan Pahang.
Di Pahang, kawasan
yang dituju ialah di kawasan Bentong, Raub dan Temerloh. Akan pergerakan mereka ke Raub itu ramai
yang menetap di Gali. Akan perihal nama
gali itu dikatakan diambil daripada perkataan ‘ Kali’ yang bermaksud sungai.
Di kawasan tersebut Lama kelamaan perkataan ‘ Kali ‘itu bertukar kepada
‘ Gali ’.
Dengan lembah Sungai
Gali yang diapit oleh Gunung Benum dan Bukit
Kijal, terbentanglah kawasan pertanian yang subur. Maka pendatang dari Sumatera ini membangunkan
kampung halaman mereka di Gali. Antara
tokoh yang dapat dikesan pada awal pembukaan kampung Gali ini ialah Panglima
Tegu , Sutan Bangkahulu, Sutah Tengahari, Mandara Lubuk Setia Raja, Penghulu
Balang Alam. Di antara mereka itu,
Mandara Lubuk Setia Raja itu lebih berketerampilan sebagai pemimpin. Lalu diangkat orang menjadi pemimpin di
kampung Gali itu.
Setelah kawasan paya
dan ladang dibuka, makmurlah kehidupan mereka di Gali. Akan keadaan itu ,
kerajaan Pahang pada zaman Bendahara Tun
Mutahir telah mengutus surat mengutip
cukai di Gali pada 17 Jamadiawal 1276
Hijrah bersamaan 30 Disember 1859
Masihi. Akan urusan mengutip cukai itu
dijalankan oleh Tok Muda Teh ( Orang
Kaya Lipis) dan Wan Daud (yang diberi kurniaan pemerintahan di
Lembahan Lipis).
Namun begitu, keadaan
yang aman itu terganggu apabila berlaku perang saudara di Pahang bersabit
perebutan takhta di antawa Wan Mutahir dan Wan Ahmad. Akan penduduk di Gali tersilap baca akan
perkembangan politik itu. Mereka
menyangka Wan Mutahir mampu
mempertahankan kuasanya. Ketika Wan Aman Dan Wan Da memujuk pemimpin penduduk Gali agar bersama mereka dan kepala pemimpin Gali itu akan dianugerah
tanah lombong emas jika keluarga Wan Mutahir berkuasa; maka penduduk Gali
berpihak kepada Wan Aman dan Wan Da.
Memanglah pada
peringkat awal perang saudara itu, pembesar Hulu Pahang berpihak kepada Wan
Mutahir, tetapi kemudian mereka menyebelahi
Wan Ahmad. Antara sebabnya Wan
Daud bin Wan Pahang yang menjaga
Lembahan Lipis berasa cukup marah kerana hulubalang Wan Mutahir telah membunuh
sepupunya bernama Panglima Perang Kiri Wan Embong dan Tok Raja Wan Idris. Maka tindakan orang Gali memihak kepada Wan
Da itu membawa kepada berlakunya Perang
Gali pada 1869. Kesudahan daripada
perang ini, kalahlah angkatan Wan Da dan
beredarlah mereka ke Selangor.
Akan kepala pemimpin
kampung Gali itu diberi pangadilan.
Mendara Lubuk Setia Raja, Sutan Bangkahulu dan Sutan Tengahari bebas
daripada hukuman mati. Tetapi kepala
perang di bawah mereka dijatuhkan hukuman mati.
Dengan keadaan itu, beredarlah Sutan Bangkahulu ke Kuala Kubu dan meninggal dunia di sana.
Sementara Sutan Tengahari beredar
ke Tanjung Malim dan meninggal dunia di sana.
Sesudah peristiwa
perang itu, kembalilah kehidupan penduduk Gali pada asalnya. Akan cucu cicit Tok Perak @ Raja Ahmad dan
cucu-cicit orang-orang dari Mukim Sega terus giat membuka tanah di sekitar
Gali. Pada kemudian hari tumbuhlah
kampung-kampung kecil seperti Sungai Pasu, Tanah Berchangkul, Padang Bidara,
Genting Bemban, Serdam, Kg. Panjang di Gali Tengah. Sementara di Ulu Gali pula terbukalah kampung
Tok Machang, Sempalit Tok Lubuk, Pintu Padang dan Kg. Jemapar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan