BERKENDURI KAHWIN

Maka sesudah selesai majlis bertunang, pihak lelaki  akan meninggalkan separuh  wang hantaran kepada pihak keluarga perempuan.  Maka yang separuh lagi itu akan disempurnakan sebulan daripada tarikh  pernikahan.

Sehingga tahun 1856 itu, akan sealam-alam wilayah Penghulu Sega itu memakai adat berkenduri kahwin sekali sahaja di rumah sebelah perempuan.    Hal ini juga termaktub dalam Adat istiadat dalam negeri Pahang pada waktu itu. Dalam hal menjemput menantu, diamalkan cuma berdoa selamat dan berjamuan ringan di rumah pihak lelaki. 

Akan wang hantaran itu digunakan khusus untuk berbuat  jamuan kahwin dan membeli serba sikit alas tilam bantal untuk pengantin.   Maka apabila sudah disempurnakan bayaran hantaran itu, tertanggunglah  soal mengadakan kenduri kahwin itu pada tanggungjawab keluarga perempuan.  Jadi di pihak perempuan  berpakat-pakatlah dalam keluarga mereka  cara mana hendak  menjayakan urusan kenduri kahwin itu.

Maka oleh keluarga perempuan mengagih kerja  kepada beberapa bidang.  Pertamanya soal menjemput tetamu itu diurus oleh Ibu Bapa Pengantin perempuan.  Maka bertanggungjawab ibu bapa bapa perempuan melantik wakil jemputan dalam kalangan adik beradiknya untuk menyampaikan jemputan  hadir ke kenduri perkahwinan itu.  Maka yang dijemput ialah segala kaum kerabat terdekat  keluarga perempuan itu sama banyak juga dengan kaum kerabat terdekat keluarga pengantin lelaki.  Hal ini kerana kenduri yang hendak dibuat  adalah kenduri bersama-sama kedua belah pihak.  Sesudah itu baru dijemput sahabat handai yang tiada talian darah  keturunan.  Akan ibu bapa pihak pengantin perempuan turut bertanggungjawab menyediakan alat alas tidur baring bagi pengantin.
Urusan kedua dalam kerja kahwin ini ialah menyediakan tempat untuk berjamu.  Hal ini dilakukan tiga hari sebelum jadinya majlis.  Diajak seisi kampung bergotong-royong  menyiapkan bangsa memasak dan bangsa makan serta bangku dan meja tempat berhidang dan makan.  Akan alatan itu digunakan segala anak kayu dan buluh yang terdapat di dalam kampung.  Urusan ini diketuai oleh Ketua Kampung yang mengatur maufakat.  Maka sehari sesudah majlis, diatur  maufakat membongkarkan segala binaan ringkas.  Mana yang patut disimpan akan disimpan. Mana yang patut dibongkar akan dibongkar.

Urusan ketiga ialah menyediakan segala urusan berjamu semasa majlis pernikahan.  Urusan ini diuru soleh adik beradik kepada bapa pengantin perempuan.  Ada dua jamuan besar iaitu berjamu paa malam akad nikah  dan berjamu  pada hari persandingan.  Akan berjamu pada malam akad nikah itu ringkas sahaja hidangannya.  Apabila selesai akad nikah dan tahlil doa selamat, dijemputlah ahli tahlil dan keluarga yang bekerja buat urusan kenduri itu berjamu.  Namun begitu, sesudah selesai berjamu lepas tahlil itu, bekerjalah seisi keluarga memasak gulai dan nasi  kerana paa tengah hari esok akan dijalankan jamuan besar pernikahan itu.

Akan pihak keluarga pengantin lelaki tidaklah dibebankan urusan memasak ini.  Namun begitu tidaklah dilarang mereka yang mahir untuk bertolong-bantu.

Apabila semua lauk pauk dan nasi selesai dimasak,  kumpulan anak muda akan mengambil alih untuk urusan menghidang, menyusun pinggan mangkuk dan  berhidang makanan untuk tetamu.  Mereka jugalah akan membasuh pinggang-mangkuk  atas semangat bergotong-royong.

Akan urusan keempat ialah menguruskan segala atur cara majlis berkaitan majlis tahlil dan doa selamat, majlis  akad nikah dan berjamuan besar  pada sebelah siang.  Akan hal urusan keagamaan itu diserahkan kepada  Imam yang dilantik di dalam kampung itu  dan urusan adat istiadat  semasa majlis diurus oleh Ketua Kampung.   Maka akan ibu bapa pengantin pada waktu ini hanya menguruskan  urusan menyambut tetamu sahaja.

Sesudah  berlalu masa, banyak urusan berkenduri kendara ini telah menyalahi adat sehingga menjadi susah dan durja hati  sesetengah pihak.  Ada pihak berasa mereka terbeban menanggung belanja kenduri dan ada pihak pula berasa sebelah pihak lagi terlalu ringan beban kerja  membuat kenduri  berkongsi itu.   Oleh kerana kenduri ini adalah kenduri perkongsian kedua keluarga, selalulah dipinggirkan jemputan di pihak pengantin lelaki.  Maka keluarga sebelah perempuan cuma menjemput kaum kerabat dan sahabat handai mereka sahaja seramai mungkin, manakala tidak disebutkan jumlah patut hadir di pihak keluarga pengantin lelaki.   Demikian  juga  adat bergotong-royong itu telah ditukar kepada sewa menyewa  dan tender sahaja .  Lalu segala urusan menyediakan  bangsal berjamu dan memasak makanan , berhias bilik tidur  dan menghidang makanan ditender sahaja  sehingga berlaku wang hantaran yang diminta melambung tinggi.


Tidaklah ada penyelesaian akan hal mahalnya belanja kahwin ini selagi tiada usaha penguasa agama menunjuk jalan penyelesaiannya.  Akan mengumpulkan majlis pernikahan bebeberapa pasangan dan dijalankan kenduri  bersekali  yang  mula diamalkan sekarang sangat bertepatan dengan hukum syarak  dan berjimat belanja.  Perlulah perkara ini digalakkan  demi memudahkan urusan pernikahan anak muda umat Islam itu berjalan lancar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan