SISTEM NILAI DALAM NOVEL MEREKA YANG TERTEWAS


KEHIDUPAN  bermasyarakat memerlukan setiap anggotanya saling memahami antara satu sama lain.  Setiap orang memandang

orang lain dengan ukuran tersendiri.  Penggerak kepada ukuran itu ialah nilai.  Nilai itu ialah
tanggapan fikiran dan konsep tentang sesuatu yang dikatakan " level of the mind." (1 )
            Yang jelas, manusia mempunyai sudut pandangan tertentu terhadap apa yang difikirkannya.  Apa yang difikirkannya banyak pula dipengaruhi oleh pandangan masyarakat umum.  Hal ini berlaku kerana masyarakat itu sudah membina sistem nilai yang berakar umbi dalam masyarakat.  Sistem nilai ini mengikat masyarakat untuk mencorakkan kehidupan atas landasan yang telah disusun.  Sistem nilai ini juga membentuk pemikiran masyarakat dan adat istiadat dalam kehidupan.
              Sistem nilai yang bertunjangkan keduniaan dapat dilihat dalam kehidupan masyarakat pengamalnya.  Demikian juga sistem nilai yang bertunjangkan tawheed memperlihatkan gerak laku pengamalnya yang tunduk patuh kepada Allah.
            Aspek kedua dalam melihat sistem nilai ini ialah natijah pemikiran yang menghasil budi masyarakat.  Budi merupakan satu ikatan yang erat, lebih erat daripada ikatan darah dalam pergaulan hidup.  Yang satu menabur budi dan yang satu lagi terhutang budi. (2)
            Di dalam masyarakat Melayu, sistem nilai ini mencerap pandangan-pandangan tertentu terhadap sesuatu kejadian.  Nilai-nilai yang sudah kukuh menjadi cerminan masyarakat.  Nilai-nilai ini menjadi identiti batiniah masyarakat itu.  Oleh itu, sesiapa sahaja yang ingin hidup dalam sesuatu lingkungan masyarakat mesti benar-benar memahami sistem nilai yang diamalkan oleh masyarakat itu.
            Sistem nilai akhirnya menjurus kepada nilai benda jika suasana masyarakatnya mementingkan kekayaan.  Begitu juga sistem nilai menjurus kepada nilai asburd seperti ketinggian budi, ketinggian ilmu.  Juga sistem nilai menjurus kepada pengamalan berterusan adat resam yang dipandang baik pada masa dan tempat masyarakat itu wujud.
           
Nilai kebendaan
Di dalam novel Mereka Yang Tertewas, aspek nilai-nilai hidup masyarakat dicerap dalam pemikiran watak.  Masing-masing watak memang memahami sudut pandangan masyarakatnya terhadap sesuatu kejadian.  Hal ini dapat dilihat dalam ungkapan-ungkapan seperti di bawah.
            Zaman itu.  Mulia kerana emasnya.  Tinggi budi kerana ilmunya.  Tapa cukup sedar.  Lantaran itu dia sanggup meninggalkan kerja-kerja mengambil upah di sawah ladang yang hanya dapat menjanjikan sesuap nasi pada pagi dan malam.  Bekerja menjaga perahu penambang kepunyaan bapanya di tebing sungai lebih lumayan hasilnya.  Tambang pergi balik menyeberangi sungai sudah cukup besar.  Satu sen, itulah nilainya yang boleh ditukar dengan secawan kopi, dua keping cucur badak dan semangkuk nasi lemak. (3)
            Apa yang kita lihat di dalam petikan ini ialah masyarakat di Padi Setempat rata-rata mengakui bahawa ada dua ukuran nilai.  Pertama ialah kekayaan menjadi sanjungan.  Sementara orang-orang yang berilmu akan dikenang jasanya.  Dalam dua aspek penilaian ini, masyarakat akan memilih kaedah termudah untuk menampilkan diri mereka di tengah masyarakat.
            Tapa sebagai watak utama memang menyedari perbezaan nilai kekayaan dengan ilmu.  Pada waktu itu, tanpa kekayaan, orang tidak disanjung.  Untuk menjadi orang yang berilmu, ternyata di Padi Setempat tidak ada ilmuan untuk menjadi rujukan.  Lantas jalan mudah untuk dimuliakan masyarakat ialah mengumpulkan harta kekayaan.  Tapi dalam aktiviti  harian di Padi Setempat, kerja-kerja mengambil upah di sawah seperti menanam padi, menuai padi atau mengerek padi atau mengangin padi tidak memberi hasil lumayan.
             Begitu juga kerja-kerja di ladang seperti menebas atau menanam anak pokok juga tidak memberi hasil lumayan.  Oleh itu, aktiviti memberi perkhidmatan perahu penambang menjadi pilihan.  Aktiviti ini memang berisiko tinggi.  Tetapi semakin tinggi risiko sesuatu pekerjaan, semakin lumayan pula pendapatan diperoleh. Nilai tambang jika dibandingkan pada masa kini (1998) memang besar.  Harga secawan kopi, dua keping cucur badak dan semangkuk nasi lemak dianggarkan RM2.00.  Cuba bayangkan jika pada satu hari, 50 orang menggunakan perkhidmatan perahu penambang itu.  Tentu pendapatan pada hari itu RM100.00.
            Apa yang menjadi persoalan, apakah memandang asas nilai kebendaan ini memang wujud dalam sesuatu masyarakat?  Secara total bagi seluruh masyarakat adalah tidak.  Tetapi  mencintai nilai benda memang lumrah dalam kehidupan manusia.  Malah sepanjang zaman pun, perasaan mencintai harta benda ini akan wujud di dalam hati-hati manusia.
            Ketamakan manusia kepada harta berpunca daripada was-was hati bimbang tidak dihormati manusia. Malah tidak memiliki harta menjadi manusia itu hilang pertimbangan.  Malah menurut pandangan Islam sendiri, kemiskinan dan kefakiran itu adalah tangga-tangga menuju kekafiran. (4).  Kerana itu sepanjang zaman berlalu, manusia yang hidup cuba membebaskan diri daripada belenggu kemiskinan dan kefakiran itu.
Nilai Budi
            Dalam melihat sistem nilai ini ialah natijah pemikiran yang menghasil budi masyarakat.  Budi merupakan satu ikatan yang erat, lebih erat daripada ikatan darah dalam pergaulan hidup.  Yang satu menabur budi dan yang satu lagi terhutang budi.        Ibarat kata pantun Melayu,
            Pisang emas dibawa belayar
            Masak sebiji di atas peti
            Hutang  emas boleh dibayar
            Hutang budi di bawa mati.
           
            Berhubung  penampilan budi dalam masyarakat ini,  pantun melayu juga menyebut:
            Pulau Pandan jauh ke tengah
            Gunung Daik bercabang tiga
            Hancur badan dikandung tanah
            Budi yang baik dikenang juga.
           
            Budi yang baik biasanya menjadi kenangan-kenangan.  Untuk menjadikan perlakuan berbudi itu sebagai kenang-kenangan, perlakuan itu perlu dilakukan dengan penuh keikhlasan.  Semakin utuh keikhlasan atau semakin bermakna perlakuan yang disumbangkan, maka semakin kukuh ingatan masyarakat terhadap budi yang ditaburkan.  Demikian juga, semakin besar budi yang ditaburkan, semakin lama menjadi ingatan dan kenangan.
           
            Di dalam novel Mereka Yang Tertewas, nilai keluhuran budi ini disentuh.  Ketika di Kg. Padi Setempat, Tapa sebagai budak pembawa perahu penambang berjaya menyelamatkan Mimah daripada mati lemas.  Kejayaan itu baginya tidak ada apa-apa.  Tetapi bagi Mimah berbeza.  Mimah menganggap keupayaan Tapa menyelamatkannya dari lemas di tengah arus sungai Lepeh sebagai budi yang tidak terbalas.  Malah ketika Tapa menyatakan hasrat hatinya hendak memperisteri Mimah,  Mimah memberi  jawapan yang menggambarkan kerelaan tak berbelah bagi walaupun Tapa meminta tempoh mengumpulkan wang.
            " Mimah akan tunggu.  Seluruh jiwa raga Mimah untuk Abang Tapa kerana Abang Tapalah, Mimah masih dapat melihat dunia ini.  Jika Abang Tapa tidak menyelamatkan Mimah daripada lemas dulu, entahlah apa yang telah terjadi."(5)
           
            Nilai keluhuran budi itu akan menjadi kenang-kenangan manusia setelah budi yang yang ditabur itu memberi manfaat.(6)  Biasanya yang menerima budi akan lebih mengenang budi yang ditabur itu apabila manfaat itu dapat dikongsi ramai.  Dalam hal ini, pemberian tempat berlindung, makanan atau memberi keselamatan dan keamanan menyebabkan orang-orang yang menerima budi itu akan terus mengingati apa yang diterima mereka.  Seterusnya keluhuran budi ini menjadi  ingatan sebagaimana dicetus dalam suara hati manusia.
           
            " Nama sahabat selalu bermain di bibir anak-anak murid saya itu.  Mereka sentiasa mendoakan keselamatan sahabat."
            " Kenapa sampai begitu sekali kamu jual nama saya kepada mereka, Midin."
            " Sahabat telah banyak menabur budi kepada mereka."
            " Budi! " Lebai Pa kehairanan.  Seingatnya dia tidak memberi apa-apa sumbangan kepada penduduk Padi Setempat.
                        " Tanah yang sahabat warisi daripada awwah bapa sahabat dulu, tanah yang sahabat menyuruh saya waqafkan itu.  Tanah itu dengan sebulat suara penduduk kampung telah dijadikan kawasan budak yang hendak belajar di madrasah saya.  Anak-anak itu sering bertanya kepada saya, siapakah empunya milik asalnya tanah tempat mereka pacakkan pondok-pondok yang melindungi diri  (7)                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                              manusia. 
Kadang-kala ada manusia yang tidak dapat membedakan kehendak adat dengan kehendak agama lantaran sedemikian erat hubungannya hukum adat dengan hukum agama.  Adat yang diamalkan oleh segolongan masyarakat berbeda dengan masyarakat lain.  Hal ini bergantung kepada lokasi di mana mereka berada, pengalaman masyarakat yang berbeza dan pengaruh pemikiran yang berbeza yang diterima oleh golongan masyarakat itu.
            Dalam membicarakan soal ini, sesuatu adat tidak dapat lari daripada pengaruh agama.  Tetapi atas dasar mengukuhkan pemikiran tempatan, ada adat menyesuaikan hukum-hakamnya dengan hukum-hakam agama.  Ada juga adat membelakangkan pengaruh agama atas dasar mengutamakan kemanusiaan yang sekian lama dipertahankan dalam kehidupan mereka.  Aspek ini walaupun sama sekali tidak dapat diterima oleh masyarakat umum, tetapi bagi komuniti masyarakat yang terlibat, mereka rela mengamalkan adat tersebut. Namun mereka tetap mempertahankan pandangan meeka walau pun jelas di dalam ajaran agama tetap bersalahan.  Inilah dikisahkan oleh Allah di dalam al-Quran  tentang golongan ini;
Maksudnya
            Sesunggunya kami dapati datuk nenek kami menganut sesuatu agama dan sesungguhnya kami hanya mengikut jejak mereka
(Al-Zukhruf 43:23)
            Demikian juga al-Quran menjelaskan lagi tentang pemikiran masyarakat ini.
 Maksudnya,
                Kebanyakan mereka tidak mengikut kecuali sangkaan sahaja.  Sesungguhnya sangkaan itu tidak sedikit pun berguna untuk mendapatkan kebenaran.
                                                                                          (Yunus  10:36)
            Di dalam novel Mereka Yang Tertewas, aspek adat istiadat dalam kehidupan bermasyarakat diberi penekanan.  Ketika Tapa menyatakan hasrat hatinya hendak memperisteri Mimah,  Mimah dengan jelas memberi penekanan terhadap aspek ini melalui jawapan Mimah.
           
" Mimah percaya kejujuran hati Abang Tapa
tapi buatlah cara beradat." (7)
            Adat yang hendak diikut di sini ialah adat yang diamalkan di dalam masyarakat mereka.  Lokasi penempatan mereka dapat dikesan melalui percakapan antara Syeikh Abd. Qahar dengan Lebai Pa.
            " Kampung saya jauh di hulu negeri ini.  Nama kampung saya itu ialah Kampung Padi Setempat."
            " Padi Setempat! " Lebai Pa tersentak.
            " Ya."
            " Padi Setempat yang lembahnya mengalir Sungai Lepeh.  Bukit Mata Beralih di seberang tebing Sungai Lepeh itu.  Di hilir Bukit Mata Beralih itu ada tongkah-tongkah batu pejal yang kemudiannya melindungi mata daripada sesiapa sahaja yang menghilirkan perahu dari hulu.  Bahawa di kawasan itu ada sebuah lubuk yang dalam dikenali dengan lubuk Benggali... ." (8)         
            Meski pun nama kampung Padi Setempat sebagai latar tempat novel ini suatu lokasi yang kecil dan tidak memungkinkan dikaji sistem adatnya, tetapi lokasi Hulu Negeri  di sepanjang Sungai Lepeh, memberi ruang untuk menampilkan sistem adatnya.  Bagi masyarakat hulu negeri sepanjang Sungai Lepeh, adat bertunang-lanang diamalkan dengan  merisik dan seterusnya berlangsung majlis bertunang.  Di dalam majlis bertunang itu, diperincikan syarat-syarat pertunangan dalam perundingan yang  berlapang dada.  Namun begitu, isi perundingan berpandukan kepada prinsip-prinsip adat resam pertunangan orang-orang di hulu negeri Pahang.
           
Dalam kajian terhadap adat bertunang-lanang di kampung Sega Lama (9)  (kawasan hulu negeri Pahang) yang sekian lama diamalkan dalam masyarakat itu, disebut dengan jelas adat resam pertunangan itu seperti berikut:
1.PENGERTIAN PERTUNANGAN
1.1. Satu majlis merakam ikatan perjanjian di antara lelaki dengan perempuan untuk tujuan perkahwinan, yang direstui oleh keluarga kedua belah pihak dan disaksikan oleh orang kenamaan tempatan.
1.2. Setelah diisytihar pertunangan, maka kedua belah pihak hendaklah mematuhi syarat-syarat perjanjian ini.  Mana-mana pihak yang engkar akan dikenakan tindakan tata tertib.
2. PERILAKU YANG TERMASUK DALAM ISTILAH ENGKAR
2.1. Semata-mata tidak mahu berkahwin tanpa sebarang sebab.
2.2. Salah seorang berkahwin cara senyap-senyap dengan orang lain.
2.3. Sabit kesalahan berkhalwat atau berzina dengan orang lain.
2.4. Helah - Apabila genap tiga kali bertangguh untuk melangsungkan perkahwinan mengikut tarikh yang ditetapkan dalam istiadat pertunangan.
3.TINDAKAN TATA TERTIB YANG DIKENAKAN JIKA ENGKAR
3.1. Pihak Lelaki - Hilang semua wang hantaran dan cincin yang telah diserahkan paa hari pertunangan.
3.2. Pihak perempuan - Hendaklah mengembalikan semua wang hantaran dan cincin pertunangan yang diterima. ( Jika cincin itu hilang  atau rosak, hendaklah diganti dengan nilai yang sama). dan diiringi dengan wang sebanyak wang hantaranan yang diterima dari pihak lelaki.
3.3. Tanpa wang hantaran awal, maka mana-mana pihak yang engkar dikenakan membayar kepada pihak yang satu lagi sebanyak RM... ( dan cincin akan hilang atau dikembalikan (mengikut pihak mana yang melakukan keengkaran.)
4.CACAT (MENGENAI ANGGOTA BADAN
4.1. Berpenyakit yang membawa kejijikan kepada pihak  sebelah seperti kudis, kurap, sopak dan lainnya.
4.2.Berkeadaan tidak normal pada fizikal/mental disebabkan oleh kemalangan seperti hilang penglihatan/pendengaran atau kecacatan pada tangan/kaki atau hilang daya ingatan atau sebagainya.
5.CELA (MENGENAI PERBUATAN/PERILAKU
5.1. Berkelakuan kurang sopan pada penilaian waris-waris atau masyarakat seperti tidak menghormati bakal ibu bapa mentua atau keluarganya atau bersikap di luar budaya Melayu beragama Islam.
5.2. Melakukan jenayah yang memalukan keluarga seperti terbukti pemabuk /pencuri /penipu dan sebagainya. 
            Tindakan yang patut diambil dalam perkara cacat-cela ini ialah:
            Kedua belah pihak hendaklah berunding semula untuk mendapatkan kata sepakat.  Jika bersetuju berkahwin maka dikahwinkan.  Jika tidak bersetuju berkahwin, maka ' berpulangan " .
6.  BERPERILAKU DI LUAR BATASAN (SAWAN GILA)
6.1. Berdua-dua di tempat sunyi atau di khalayak ramai atau di rumah kedua belah pihak.
6.2. Salah seorang memaksa supaya mereka dikahwinkan dengan segera sebelum tarikh yang ditetapkan.
6.3. Sabit kesalahan berkhalwat atau berzina di antara mereka berdua.
            Tindakan patut diambil dalam perkara ini ialah:
            Hendaklah dilaporkan kepada orang kenamaan tempatan supaya mereka dinasihatkan supaya menghentikan perbuatan seumpama itu untuk kebaikan, dan menjaga maruah keluarga.  Jika tidak boleh dibendung/dikawal lagi, maka orang kenamaan tempatan hendaklah menyuruh warisnya menyegerakan perkahwinan mereka.
7.KEMATIAN
Satu perkara yang tidak dapat dielakkan.  Maka sebelah pihak yang satu lagi patutlah bersimpati kepada pihak yang terlibat.  Jika  ditakdirkan kedua-duanya berlaku serentak, maka rundingkanlah untuk kebaikan bersama.
8. MEMUTUSKAN PERTUNANGAN
            Mana-mana pihak yang memutuskan pertunangan sebelah pihak yang satu lagi telah membuat persediaan untuk kenduri perkahwinan, maka pihak yang memutuskan pertunangan mesti membayar ganti rugi jika pihak yang satu lagi membuat tuntutan.
9.BARANG SERBA SATU
Tidak termasuk dalam perjanjian ini.  Itu adalah pemberian/hadiah sahaja.
10. MASKAHWIN DAN UPAH NIKAH
Sebanyak mana yang teradat dalam negeri ini dan juga adat tempatan hendaklah dinayar oleh pihak lelaki; berasingan dengan wang hantaran.
11.TEMPOH BERTUNANG
Dinyatakan tempoh bertunang itu dalam berapa waktu jangkamasa.
Nilai Bermasyarakat
            Untuk hidup, manusia tidak mampu hidup berseorangan.  Manusia memerlukan manusia lain untuk menghadapi kehidupan.  Lantaran sifat manusia yang serba kekurangan itu, manusia tidak mampu melaksanakan semua perkara.  Dalam hal ini, manusia akan  menjuruskan kehidupan mereka kepada minat dan bakat masing-masing di samping mendapatkan bantuan daripada manusia lain untuk menyempurnakan kehidupannya.
            Lantaran itu, wujudlah golongan petani, peniaga, ilmuan dan lain-lain.  Kemudian  mereka membentuk lembaga masyarakat yang terdiri daripada golongan pemimpin dan golongan yang dipimpin. Golongan yang dipimpin akan menurut arahan dan patuh.  Sementara golongan yang memimpin akan merancang arah tuju dan pembangunan masyarakat yang dipimpin oleh mereka.
            Di dalam novel  Mereka Yang Tertewas, nilai bermasyarakat ini diterapkan.  Masyarakat Bukit Setugal diwujudkan hasil gemblengan golongan pemimpin iaitu kepimpinan ketua kampung, imam dan ahli-ahli agama.  Dalam hal ini, masyarakat akan merujuk kemusykilan mereka kepada pemimpin mereka.  Pemimpin yang tidak beramanah akan ditegur.  Mereka akan diberitahu di mana kelemahan kepimpinan mereka.  Walaupun begitu, orang yang berani menegur pemimpin yang tidak beramanah ini biasanya di kalangan pemimpin yang setaraf dan sama wibawa.

1. Beattie, J., Other Cultures, London, Cohen and West, 1964, hal. 37.
2. Nordin Selat, Sistem Sosial Adat Perpatih, Kuala Lumpur, Utusan Publication & Distriutors Sdn. Bhd, 1975, hal. 5.
3. Hasanuddin Md Isa, Mereka Yang Tertewas, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991 hal. 14.
4. Dalam hal ini, Rasulullah bersabda: Sesungguhnya kefakiran itu menghampiri kekafiran.  Hadis ini jelas menunjukkan Islam tidak mengizinkan sama sekali satu suasana kemiskinan wujud dalam masyarakat Islam.
5. Hasanuddin Md Isa, Op. Cit., hal.20
6. Nordin Selat, Op. Cit., hal.107
7.Ibid, hal. 20
8. Ibid, hal. 121.
9.________ Perjanjian Dalam Adat Resam Pertunangan Keluarga Islam Bagi Kg. Sega Lama, Mukim Sega, Raub.  Risalah ini adalah susunan semula adat resam pertunangan di Mukim Sega

Tiada ulasan:

Catat Ulasan