MENGUTIP TITIS-TITIS PENGALAMAN MENJADI PENULIS


           SEBAGAI manusia yang dilahirkan awal dekad 60-an, banyak asam garam setiap dekad telah dikecapi. Ada asam garam yang menceriakan hidup.  Ada juga yang mendukacita dan menghiris kalbu.  Kata orang, itulah kehidupan manusia.         
            Seawal ingatan saya, saya dibesarkan dalam satu keluarga yang mengamalkan cara hidup sungguh sederhana. Md. Isa, bapa saya cuma  kerja kampung di samping menjadi imam kampung.  Seperti yang diceritakan kepada saya,  jalur keturunannya dapat dibaca dalam beberapa versi.  Pertama disebutnya Hasanauddin anak Mohd Isa anak Bing anak Nong anak Khatib Ipeh anak Tok Na anak Tok Baki anak Tok Mat Saleh anak Ngah Endek anak Mohd Ali Jaafar anak Raja Muhamad Baginda Demu (Perak) anak Seri Dewi   Kedua , disebutnya Hasanuddin anak md Isa anak Bing anak Nong anak To'd anak Endut anak Tok Wang anak Tok Bera anak Wan Hasan anak Tun Abd. Latif (Tok Raja Jelai 1)   Ketiga beliau menyebut juga satu jalur dari Terengganu iaitu Hasanuddin anak Md Isa anak Omar anak Panglima Kanan Juan anak Imam Mohamad Keramat Budu Terap anak Tok Pamat.  Namun begitu saya tidak pernah meneliti salasilah itu secara terperinci cuma menyimpannya di dalam hati sebagai penguat diri.

            Dengan profil pendidikannya yang sangat umum, kucungkil juga sejarah pendidikan beliau.  Rupa-rupanya beliau adalah pelajar  lepasan pondok Bunut Payung di bawah penyeliaan Tuan Guru Yusof.  Dengan itu, tidak menjadi kehairanan jika selalu dia membuka lembaran al-Quran dan menerjemahkan cerita-cerita di dalam al-Quran untuk didengari oleh anak-anaknya. Yang jelas, dialah yang menjadi guru agama paling awal di dalam hidup saya.  Dia yang memperkenalkan konsep-konsep agama sejak saya kecil lagi.  Konsep akaid dan syariah yang disampaikannya menjadi pegangan hidup saya sehingga ini.

            Sebagai anak-anak kampung awal dekad 60-an itu, tidak
banyak pendedahan pendidikan seperti sekarang ini.  Memanglah waktu itu negara kita masih berada dalam zaman era pembangunan.  Waktu itu, hubungan telekomunikasi cuma melalui radio.  Peti TV belum pun sampai ke kawasan perdesaan.  Peti radio waktu itu menampilkan siri-siri rancangan agama pada sebelah pagi dan sebelum Maghrib.  Lagu-lagu barzanji Qasidah dan bacaan al-Quran dari Sheikh Mahmud Khalil al-Khusairi sering dialun.  Ada juga rancangan belajar al-Quran yang diselenggarakan oleh Ustaz Hasan Assari  .

            Pendek kata, pendedahan ilmu tidak begitu meluas pada zaman anak-anak itu. Sewaktu berusia dalam lingkungan 4 tahun, saya telah dihantar mengaji al-Quran di surau Hj. Mohd Nor di kampung Gambut.  Pengajian al-Quran bermula pada jam 3.00 petang dan berakhir jam 5.00 petang.  Pengajian al-Quran itu dibuat secara halaqah bagi pelajar-pelajar baru seperti saya.  Hj. Mohd Nor  mengajar  pelajar barunya mengenali huruf-huruf al-Quran dan asas hukum tajwid di samping menghafaz ayat-ayat yang perlu digunakan dalam sembahyang.  Pada hari Jumaat diajar ilmu-ilmu ferdhu ain di samping menjelaskan pengajaran berhubung rukun Islam dan rukun Iman.

            Sewaktu bersekolah di Sek.Kebangsaan Kuala Atok, saya masih meneruskan kegiatan belajar agama di surau Kg. Gambut ini.  Saya hanya menamatkan pengajian al-Quran di surau kg. Gambut ini apabila mendapat tawaran bersekolah di Sek. Men .Kebangsaan Raub pada tahun 1974.

            Sepanjang tempoh kehidupan tahun-tahun 60-an itu banyak mengajar  saya bagaimana perlu hidup sebagai anak kampung.  Sewaktu memasuki sekolah rendah, banyak waktu-waktu bersama-sama anggota keluarga digunakan untuk mempelajari kaedah bekerja di kampung.  Pada waktu-waktu itulah saya bersama-sama angota keluarga membuka hutan membuat kebun getah, membuka lembahan alur Temalir untuk dibuat bendang padi.  Sewaktu-waktu itulah juga saya menjadi pelajar setia bagaimana hendak memburu binatang hutan seperti membuat jerat landak, membuat belantik napuh atau menggetah burung mandi di tepi danau. Sewaktu-waktu itu jugalah saya diperkenalkan dengan jenis-jenis tumbuhan ubatan seperti Tongkat Ali, Rempah Gunung, Teja, Lawang, Kacip Fatimah, lempoyang, Sungai Kedarah dam turut diajar mengenali  jenis-jenis binatang berbisa dan tidak berbisa.  Sewaktu-waktu itulah juga saya mempelajari erti bersahabat dan bermusuh.

            Kehidupan pada awal dekad 70-an di sebuah bandar kecil di Raub sedikit sebanyak menambahkan dapatan ilmu. Selain ilmu akademik, saya dapat meneruskan pengajian al-Quran.  Pada waktu itu, guru al-Quran memang disediakan di asrama. Sepanjang tinggal di asrama itu, memang banyak waktu dihabiskan dalam pencarian ilmu.

       
     Penubuhan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) sekitar tahun 1971 serba sedikit melengkapkan syiar Islam di negara ini.  Awal dekad 1970-an itu, pemimpin-pemimpin ABIM Pusat  ada  berkunjung ke Raub.  Kerana guru asrama pada waktu itu  adalah ahli ABIM, maka kami dibenarkan pergi ke masjid Sultan Abu Bakar, Raub untuk mendengar ceramah agama yang dianjurkan oleh ABIM.  Kesempatan itu jugalah digunakan untuk membeli lidah rasmi ABIM,  Ar-Risalah.

            Risalah Islam yang disampaikan oleh ABIM  terang dan jelas.  Islam sebagai Ad-Deen.  Islam Way of Life.  Sedemikian penekanan yang disampaikan dalam ceramah anjuran ABIM.  Demikian juga ceramah-ceramah yang disampaikan oleh guru asrama kami setiap hujung minggu.  Dengan itu, Ar-Risalah yang menjadi lidah rasmi ABIM itu semacam rujukan untuk mencari makna Islam dan mendapatkan maklumat terkini perkembangan Islam sedunia.

            Kemunculan gerakan Al-Arqam  awal dekad 70-an itu entah mengapa tidak begitu menarik perhatian saya. Hal itu berlarutan sehingga gerakan Al-Arqam diharamkan kerajaan awal dekad 90-an lalu.

            Penghijrahan ke Kuantan untuk memasuki  Technical Institute banyak menutup ruang-ruang untuk mempelajari ilmu agama.  Di Technical Institute itu, saya lebih banyak menumpukan perhatian kepada pelajaran-pelajaran baru terutama Technical Drawing, Mechnical Ingeneering dan mata pelajaran Sains Tulen.  Tetapi keadaan iklim sekolah yang tidak diikat dengan peraturan disiplin menjadi saya kurang dapat mengikuti sepenuhnya pelajaran di institusi itu.  Hanya setelah Raja Menon, Pengetua dari Sri Langka diganti oleh Cikgu Zainal Abidin, baharu iklim persekolahan di institut itu dapat dipulihkan secara beransur-ansur.

            Akibat daripada iklim persekolahan  yang kurang diikat dengan pendisiplinan pelajarnya, keputusan SPM saya setakat melayakkan saya memasuki tingkatan enam bawah di Sek. Men. Abdul Rahman Talib, Kuantan (SMART).

            Saya fikir daya kepimpinan dan keilmuan Islam cukup tercabar apabila saya melangkah ke tingkatan enam. Saya menghadapi pelajar tingkatan satu hingga tingkatan lima yang mengharapkan pimpinan.  Di kalangan pelajar tingkatan enam, tidak ramai pula yang berwibawa terutama dalam soal-soal agama. 

            Maka mahu tak mahu, untuk mewujudkan generasi pelajar yang bermoral, saya dan beberapa orang rakan lain seperti Mohamad Yusof (sekarang Pengetua SMK Jengka 2, Pahang) dan  Muhamad Maznilah menerajui program-program surau.  Pelajar-pelajar asrama diwajibkan bersembahyang jemaah Magrib dan Isyak.  Selain itu, tazkirah pendek sentiasa dilakukan untuk membawa pelajar-pelajar ke arah pemikiran Islam.

            Terasa tugasan secara sukarela ini terasa amat berat.  Terlebih berat lagi kerana kami adalah anak didik yang dianggap menerima pendidikan sekular. Namun oleh kerana setiap Sabtu sering diadakan ceramah agama di Maktab Perguruan Teruntum, ruang itu digunakan untuk tujuan menambah ilmu.  Selain itu, siri-siri ceramah agama yang diadakan di masjid Sultan  Ahmad Shah menjadi juga medan menambah ilmu agama.

            Mujur juga pada waktu itu gerakan Islam ABIM memang berkembang di Kuantan.  Gerakan-gerakan ceramah ke sekolah-sekolah melalui program dakwah selalu mendapat restu pihak pentadbiran sekolah.  Dengan itu seringlah ceramah-ceramah agama dijalankan.  Antara tenaga penceramah yang selalu diundang ialah Us. Nordin (sekarang Pesara di Jabatan Agama Islam Pahang) dan Us. Muhamadun Amin (pegawai di Jabatan Pendidikan Pahang).

            Sehingga di tengah-tengah kemeriahan dakwah Islam di SMART itu berlangsung, muncul tenaga baru menggerakkan dakwah Islam di SMART.  Kehadiran Ustaz Abdul Salam sebagai tenaga pengajar di SMART telah melancarkan program dakwah.  Beliau telah menyampai ceramah tafsir pada setiap malam mingu.

            Sehingga saya meninggalkan SMART, saya masih mencari
peluang membeli Ar-Risalah, lidah rasmi ABIM.  Kandungan Ar-Risalah sentiasa memberi saya pengisian ilmu dan maklumat yang baru tentang perkembangan Islam sedunia. Selain itu, setiap buku baru karya Hasan al-Banna, Sayyid Qutb, Abd. Qadir 'Audah, Abul 'Ala Maududi, Maryam Jemilah dan lain-lain tokoh pergerakan Islam dapat juga saya beli dan menelaahnya. Ketika penghujung tahun 80, saya juga sempat menyemak kitab Ihya Ulumuddin karya Imam Al-Ghazali di bawah penyeliaan bapa saya .  Namun begitu, belum sempat menyudahkan pengajian kitab tersebut di bawah penyelian bapa saya, beliau telah pulang ke rahmatullah pada 1981.

            Sebagai seorang anak yang masih cetek ilmu agamanya, pemergian beliau ke alam baqa' benar-benar memberi pukulan psikologi.  Saya semacam kehilangan sumber rujukan. Hal ini berlaku kerana kebanyakan guru-guru agama yang mengajar agama di kampung saya memang merujuk masalah-masalah  agama kepada bapa saya.

            Tetapi atas semangat ingin mendalami ilmu agama ini yang tidak kunjung padam, rupa-rupa Allah memberi ruang yang lebih luar.  Penerimaan masuk ke Universiti Kebangsaan Malaysia semakin mengukuhkan kefahaman Islam.  Lebih-lebih lagi pada waktu itu Kursus Kenegaraan Malaysia yang isi kandungnya membicarakan tentang Tasawur Islam telah diperkenalkan.  Saya juga berkesempatan mengambil mata pelajaran elektif yang ditawarkan oleh Fakulti Pengajian Islam.

            Oleh kerana pada waktu itu, persatuan mahasiswa di kuasai oleh mahasiswa yang cenderung kepada perjuangan .  Maka, suasana kampus lebih banyak dipengaruhi oleh pemikiran Islam.  Saban minggu dan kadang-kadang menjadi dwi-minggu, ceramah-ceramah agama disampaikan oleh pensyarah-pensyarah.  Seingat saya antara pensyarah-pensyarah yang rajin menyampaikan ceramah sewaktu itu ialah Prof. Dr. Harun Din, Dr. Sanusi Daeng Mariok, Prof. Madya Mohd Sulaiman Yasin, Dr. Ismail Ibrahim, Dr. Siddiq Fadhil, Ustaz Ahmad Badawi dan lain-lain.

            Usaha-usaha mendalamkan pengetahuan Islam cukup luas semasa di universiti. Pergerakan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) sebagai tunggak pergerakan pelajar Islam di negara ini meniupkan semangat membudayakan ilmu.  Lantas itu majlis-majlis usrah, tamrin, dan himpunan pelajar Islam menjadi medan pertemuan untuk menambah dan bermuhasabah tahap ilmu dan keupayaan diri.

            Adunan ilmu yang diterima ternyata didapati daripada berbagai-bagai sumber. Sumber barat yang nyatanya bersifal akliah dan sumber Islam yang menyubur ilmu-ilmu nakliah.  Pemikiran-pemikiran filsafah bermula dari tamadun Yunani membawa ke temadun Islam dan merempuh pemikiran  Islah zaman Jamaludin al-Afghani, zaman Hasan Al-Banna di Mesir, Al-Maududi di Pakistan menjadi renungan.  Semua ini adalah bahan-bahan yang sangat bermakna dalam kerja-kerja penulisan saya.

            Sehabis tamat pendidikan di Universiti Kebangsaan Malaysia, saya berkesempatan dalam beberapa sidang berbincang  ilmu dan pandangan hidup dengan Imam Mohamad, Tuan Guru pondok  Madrasah An-Najah Bukit Keledang, Seberang Guai Temerloh.  Dia sangat terikat kepada bentuk pendidikan pondok dan hidup dalam corak yang sangat sederhana.  Dan hal ini kulihat pernah dipamerkan oleh ayahku sendiri semasa hanyatnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan