MEMAPARKAN KEPELBAGAIAN GAYA DAN BENTUK PENULISAN YANG DIHASILKAN OLEH HASANUDDIN MD ISA DAN PERBINCANGAN SEKITAR PEMIKIRANNYA.
MARUAH MELAYU BERSUMBER ILMU DAN AKHLAK
Aku ditakdirkan berbangsa Melayu. Aku terima takdir itu dengan redha dan berusaha memajukan diri dan bangsaku, bangsa Melayu. Aku amat menyedari sejak mengalami kejatuhan yang trauma pada abad ke-18, umat Melayu berhempas pulas untuk hadir dan beraksi semula di pentas sejarah. Perjuangan menepati sumpah ‘ takkan Melayu hilang di dunia ‘ yang diluah oleh Dato’ Paduka Lamsamana Hang Tuah ternyata tidak mudah dipertahan. Selama berabad-abad umat Melayu bergelut dengan pelbagai bentuk penjajahan politik, ekonomi dan budaya. Segala sumber sejarah bangsa ini dibawa ke tanah jajahan sehingga tiada satu pun dapat dirujuk sehingga dimunculkan semula Sulalatus Salatin ke Nusantara Melayu. Itu pun dalam beberapa versi dan ada juga memaklum beberapa keratin persejarahan itu telah hilang daripada susunan helaian. Lalu bangsa ini mulai dijajah pembudayaannya. Fenomena penjajahan budaya itu tampak menggejala pada abad ke-19. Ketika itu sudah ada sebilangan umat Melayu yang mulai tercabut dari akar budaya tradisi.
Dalam suasana krisis pertembungan budaya itu munculnya Raja Ali Haji, ilmuan umat Melayu Islam yang telah berusaha membentengi warisan tamadun Melayu-Islam daripada terhakis dalam landasan arus pembaratan. Beliau mengajak umat Melayu mempertahankan kelangsungan budaya bangsa di samping mengingatkan kaum elit bangsawan agar kembali kepada etika tradisi kesultanan Melayu-Islam.
Sebahagian orang Melayu benar-benar telah mengalami krisis identiti menjadi manusia dua kerat, Inggeris celup dan penderita penyakit rendah diri yang sangat parah. Mereka tidak percaya kepada diri sendiri dan hilang kenyakinan terhadap tamadun dan budaya sendiri
Penjajah pula menabur benih-benih nasionalisme dalam bangsa Melayu. Nasionalisme adalah acuan Barat yang memang ingin memerangkap umat Islam. Barat sendiri memperoleh kecurigaan dan kerenggangan kaum hasil berjuang atas landasan nasionalisme itu. Meskipun tampak luarannya sempurna tetapi hakikat masyarakat yang dibentuk oleh acuan nasionalisme itu amat goyah, rapuh dan saling curiga-mencurigai antara bangsa-bangsa. Malah ramai juga cendekiawan Islam menolak nasionalisme sebagai alat perjuangan. Contohnya Iqbal di tanah Hindustan dan Faruqi di benua Amerika. Iqbal dengan rasa berat hati beranggapan nasionalisme merupakan sejenis ethnocentrism yang kemudiannya melahirkan raciam yang angkuh. Iqbal pula menolak nasionalisme sebagaimana difahami dan diamalkan di Eropah. Nasionalisme itu dianggapnya mengandungi kuman-kuman materialism ateistik yang mengancam kemanusiaan.
Pemikiran lain seperti Hasan al-Banna sebagai contoh. Beliau menerima apa yang diistilahkan sebagai wataniyyatu ‘Ihanin (cinta Negara), wataniyyatu ‘l-hurriyahwa ‘l-mujtama (semangat setiakawan serantau) dan wataniyyatu ‘l-fath (semangat juang untuk mengembangkan Islam). Sementara itu beliau menolak apa yang disebutnya sebagai wataniyyatu 'l-hizbiyah iaitu dasar memecahbelahkan umat kepada kelompok-kelompok yang saling bermusuhan. Mengenai nasionalisme atau al-qaumiyyah pula, Hasan al-Banna menerima apa yang dinamakan sebagai qaumiyyah ‘l-ummah iaitu sikap mengutamakan khidmat bakti kepada kerabat dan ummah. Sementara itu beliau menolak qaumiyyah ‘l-jahiliyyah iaitu nasionalisme yang berusaha menghidupkan semula budaya jahiliyah dan ingin melepaskan diri daripada peraturan dan ikatan Islam, juga qaumiyyah ‘l-‘udwan iaitu nasionalisme yang beritikan kesombongan diri sehingga membawa kepada pencabulan terhadap hak-hak bangsa lain.
Bangsa yang merdeka adalah bangsa yang sensitif dengan maruah dan martabatnya. Mereka tahu betapa mahalnya harga maruah dan martabat itu dan mereka tidak dapat hidup tanpa maruah dan martabat. Sebaliknya bangsa yang berjiwa hamba ialah mereka yang rela diperlakukan orang seenak-enaknya hatta dihina dan diremehkan sekaligus. Mereka tidak pernah merasa maruahnya dicabul kerana memang mereka tidak pernah merasa punya maruah. Bangsa yang merdeka ialah bangsa yang kaya dengan cita-cita dan daya usaha. Mereka tahu apa yang harus dikerjakan tanpa dikerah, tanpa diperintah. Tidak seperti mereka yang berjiwa hamba yang hanya bergerak apabila dibelasah dengan cemeti kerana memang hanya bahasa cemeti itu sahajalah yang dimengerti oleh mereka.
Aku fikir bangsa ini dalam sepuhan baru itu memerlukan minda yang disuburkan dengan ilmu pengetahuan dan pembinaan budi pekerti yang luhur. Itulah pencetus perubahan sebaik sahaja Melayu itu meninggalkan fahaman Hindu-Buddha dan beralih kepada Islam. Ilmu adalah sumber yang dapat mengilhamkan pemikiran baru yang segar dan dinamik. Ilmu itulah penggerak dinamik menggilap tamadun Melayu. Bangsa menjadi orang yang berpengetahuan dan beradab. Kita hanya mampu mencipta kegemilangan dengan kembali kepada akar budaya sendiri, bukan dengan cara menunjukkan emosi dan menciplak budaya asing
Pada saya Melayu itu sesuatu yang unik. Melayu menurut perlembagaan ialah seorang yang beragama Islam, berbahasa Melayu dan mengamalkan adat resam Melayu. Bahasa Melayu adalah bahasa Islam lalu menjadilah bahasa yang mengekspresikan world view Islam, sementara adat Melayu telah mengalami tranformasi keislaman, nyatalah tanpa Islam Melayu kehilangan segala-gala termasuk keperibadiannya. Melayu Baru dalam konteks negara ini bukan Melayu yang menanggalkan keislamannya. Menanggalkan Islam bererti menghilangkan Melayu itu sendiri. Melayu Baru ialah Melayu yang mengalami tajdid, pembaharuan komitmen, kefahaman dan penghayatannya terhadap Islam. Nilai-nilai Islam yang mendasari pembinaan budaya dan watak Melayu Baru itu akan menjadikan mereka umat yang benar-benar competent dalam menghadapi cabaran abad ke-21
Melayu itu dijelmakan sebagai Melayu berjiwa merdeka yang sujud, ruku’, dan setia mutlaknya hanya kepada Allah. Melayu yang telah mendapat semula kemuliaan status dan martabat keinsanannya. Melayu yang bangga menjadi khayra ummah, umat terbaik kerana imannya, Melayu yang tahu erti hidup mati sebagai persaingan prestasi amal cemerlang (ayyukum ahsanu ‘amala ).
Melayu pejuang yang dengan semangat jihadnya sanggup menghadapi segala cabaran dan dengan semangat mujahadahnya pula, ia memperoleh kekuatan ruhaniah untuk menghayati kemakrufan dan menghindari yang kemungkaran
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan