BANGSA MELAYU ITU PERLU KENAL JATI DIRINYA

 
Sumber yang dapat menunjukkan identiti Melayu menjadi terbuka ialah kitab berjudul Faridatu al-Faraid karangan Syeikh Ahmad Bin Muhammad Zain Bin Mustafa al-Fatani, seorang penulis peribumi yang hidup pada bahagian kedua abad ke-19. 

Dalam kitab ini bukan sahaja disebut istilah “Melayuwiyah” malah telah memberi penjelasan secara terperinci mengenainya: Iaitu himpunan kaum-kaum Melayuwiyah nisbah kepada Melayu dengan kasrah [baris di bawah bagi huruf] mim atau difathahkan [baris di atas]nya dan dammah [barisan di depan bagi huruf]ya. Mereka itu adalah suatu kelompok atau golongan yang besar daripada manusia.

Negeri mereka adalah sesubur-subur negeri di dunia. Ianya terletak di antara negeri Hindi dan China dan kebanyakan dari pulau Waq-Waq. Dan ahli ilmu geografi menganggap sebahagian negeri-negeri mereka sebagai negeri-negeri Indo-China. Penduduk Hejaz menamakan mereka dan golongan-golongan selain mereka dari wilayah itu dengan sebutan “Jawa”, dan mereka [orang jawa sebenarnya] itu golongan yang menduduki sebuah pulau besar di sana, dan mereka bukan orang Melayu.

Dan bahasa mereka [Melayu] adalah bahasa yang paling ringan di kalangan penduduk rantau itu. Maka kerana inilah ianya telah diguna-pakai kebanyakan ahli Hejaz di dalam muamalat dengan golongan-golongan yang tersebut itu [walaupun mereka] mempunyai bahasa-bahasa yang berbeza.

Mereka adalah Kaum yang bersifat ikhlas, lemah-lembut, lunak, berperibadi baik. Maka setengah daripada keistimewaan mereka sesungguhnya tiada terlihat di negeri mereka dan di negeri lainnya seorangpun daripada mereka menjadi pengemis walaupun mereka bersangatan faqir. Bagi mereka ketertiban di dalam urusan, kehalusan di dalam pertukangan, menerima pembaharuan di dalam perusahaan, menerima pelbagai maklumat dan ilmu berserta dengan terserlah faham mereka di dalamnya.

Dan adalah bagi mereka dulunya kerajaan-kerajaan yang besar kemudian dijajah padanya tangan-tangan kerajaan-kerajaan kuffar. Semoga Allah memelihara negeri-negeri muslimin daripada mereka [kuffar itu]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan