BANGSA MELAYU (1)

Ditakdirkan saya dihidupkan sebagai bangsa Melayu. Mahu tak mahu, akar bangsa ini perlu juga diteliti supaya ketahuan oleh seisi rumpun bangsa Melayu ini.  Seperti bangsa-bangsa lain di dunia ini, sejarah perjalanan bangsa ini dirakam dari generasi ke genarasi, dikumpul, dibanding  untuk menjadi sejalur kisah.  Daripada kisah itu diambil pengajaran ikhtibar supaya tidak berlaku musibah dan kemusnahan kepada perjalanan bangsa Melayu ini seterusnya.

                Ada banyak kisah yang cuba dihubungkan kepada bangsa Melayu ini.  Bila bermulanya. Siapa tokohnya. Apa kerajaan yang dibangunkannya.  Bermacam-macam kisah itu disebut oleh setiap jurai keluarga dalam kalangan bangsa ini.

                Ada pengkaji yang menyebut bahawa bangsa Melayu itu asalnya dari Nabi Syith, benih Adam a.s. yang dilahirkan tunggal. Ibn Kathir r.h. menyebut dalam Qisas al-Anbiya’ bahawa perkataan ‘Shith’ bermaksud kurniaan Allah SWT. Dinamakan demikian kerana selepas Nabi Adam a.s. dan Hawa mengalami dukacita akibat berlakunya pembunuhan Habil, mereka dianugerahkan lagi seorang anak yang dinamakan Shith.

              Abu Zar r.a. berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:- “Allah menurunkan 100 sahifah dan 4 suhuf. Nabi Shith AS diberi 50 sahifah.” Hadith Riwayat Ibn Hibban

            Apabila waktu kematian  Nabi Shith a.s.,   Baginda a.s.  memberikan wasiat kepada puteranya bernama Anush. Setelah kewafatan Nabi Shith AS, Anush meneruskan tugas dakwah kepada kaumnya, sebagaimana yang dilakukan oleh ayahnya, Nabi Shith AS.

           Anush mengajar ilmu pengetahuan yang dimilki kepada puteranya bernama Qaynan serta strategi dalam menjalankan tugas dakwah kepada manusia dengan baik agar mereka mahu menyembah Allah SWT.

          Seterusnya, keturunan keempat daripada Nabi Adam AS bernama Mihlayil. Beliau merupakan salah seorang raja yang beriman dan giat memerangi kaum Musyrikin dari keturunan Qabil. Setelah itu, beliau mengajarkan ilmu pengetahuannya kepada puteranya bernama Yardi.

         Yardi juga meneruskan usaha dakwah dengan menyeru manusia untuk beriman kepada Allah SWT dan beramal soleh. Menjelang kematiannya, Yardi memanggil puteranya bernama Idris.

         Idris seorang anak yang soleh, berbakti kepada kedua-dua orang tuanya, seorang ahli ibadah dan tidak mahu memperhambakan diri dengan kehidupan dunia. Ia merupakan seorang anak yang cerdas dan tangkas, mudah memahami pelajaran-pelajaran daripada ayahnya dan memahami apa yang diingini oleh ayahnya.

        Allah SWT memuji Nabi Idris AS dalam surah Maryam, bermaksud:-
“Ceritakanlah (wahai Muhammad) kisah Idris dalam al-Quran. Sesungguhnya dia adalah seorang yang benar (siddiq) dan seorang Nabi. Kami mengangkat (darjat)nya ke tingkat yang tinggi.”
Surah Maryam 19:56-57

            Diceritakan bahawa Nabi Idris AS mengeluarkan beberapa sahifah yang diturunkan Allah SWT kepada Nabi Shith AS dan membacanya setiap hari agar tidak lupa ajaran-ajarannya.  Nabi Idris AS adalah seorang yang cerdas. Beliau adalah manusia pertama yang menulis dengan menggunakan pena. Beliau juga manusia pertama yang menjahit untuk menjadi baju dan pakaian. Dalam kitab Qasas al-Anbiya’ olehIbn Kathir dicatatkan:-
“Daripada Ibn Ishak, bahawa Nabi Idris AS adalah orang yang pertama yang (boleh) menulis menggunakan pena.”
Para ahli tafsir mengatakan Nabi Idris AS adalah moyang kepada Nabi Nuh AS. 
           Pengkaji sejarah bangsa Melayu meletakkan Iskandar Zulkarnain,  pemilik empayar kerajaan tiga suku dunia sebagai batu tanda tokoh yang dari keturunannya lahir pemerintah di alam Melayu.  Demikian disusur Iskandar Zulkarnain itu sampai ke Nabi Adam a.s. seperti berikut.   Iskandar Zulkarnain bin… . bin  Nabi Sulaiman Alaihissalam  bin Nabi Daud Alaihissalam bin  Yashi bin Ubid bin Ubid bin  Salmum bin Makhsum bin Inadab bin Iram bin Hasrun bin Farus bin Yahuda bin Ishak a.s. bin Ibrahim a.s. bin Azar bin Nahur bin Sarah bin Falji bin Abir bin Salleh bin Arpaksad bin Sham bin Nuh a.s. bin Lamik bin Manusaleh bin  Idris a.s. bin Yaru bin Mahlil bin Qaynan bin Anus bin Shith bin Adam a..s.

                Asal-usul bangsa Melayu itu dikatakan sebagai satu misteri. Bangsa melayu itu terdiri dari dua kumpulan.  Kumpulan pertama adalah kumpulan Melayu-Levo atau lebih dikenali sebagai Melayu-Proto (contoh:orang asli). Mereka adalah dari keturunan Heth bin Kanaan bin Ham bin Nuh a.s. Kumpulan kedua pula adalah Melayu-Deutro (contoh: Orang Melayu biasa) dari keturunan Nabi Ibrahim a.s. dari isteri ketiganya, Keturah (Keturah masih lagi misteri tetapi beliau berasal dari keturunan Melayu Kemboja).

           Dalam kajian-kajian yang lain, disebut bangsa Melayu itu sudah mendirikan kerajaan Aroi.   Kerajaan Aroi ialah leluhur daripada Lemuria. Jadi, untuk mengenali Aroi, harus belajar mengenali bapa kepada Aroi iaitu Lemuria dan Atlantis.  Lemuria merupakan sebuah peradaban kuno yang masih didebatkan kewujudannya oleh para sejarawan. Manakala Atlantis berdiri selepas kewujudan Lemuria tetapi pernah berada pada period yang sama. Bukan kerana kewujudannya palsu tetapi kekurangan bukti untuk menjadikan Lemuria  benar-benar wujud.

                Lemuria ialah sebuah kerajaan yang dikatakan berdiri pada 75 000 tahun sebelum masihi hinggalah ke era 11 000 S.M. Tamadun ini dikatakan ranap atas beberapa sebab, diserang oleh jiran mereka iaitu Atlantis dan menjadi mangsa banjir Besar. Tentang isu ini, ramai pengkaji berpendapat bahawa Lemuria dan Atlantis ialah umat Nabi Nuh yang ingkar pada ajaran rasul ALLAH itu untuk menyembah ALLAH meninggalkan tinggalan berhala dan matahari mereka.

            Kembali kepada topik, Lemuria pada zaman puncaknya, mempunyai 60 Juta orang dan terdiri daripada pelbagai bangsa dan bangsa Melayu merupakan salah satu bangsa yang pernah menjadi sebahagian daripada Lemuria dan Atlantis? Menurut Powell dalam bukunya The Solar System, pada bab 35 menceritakan bahawa akar bangsa keempat Lemuria merupakan  ‘ malayan brown ‘ yang membawa maksud rumpun Melayu atau nama saintifiknya Austronesian-Polynesian. Akar keempat ini digelar sebagai Atlanteans.

            Dan fakta yang mengejutkan ialah lokasi Lemuria dikatakan terletak di Asia Tenggara. Kajian mutakhir berasaskan fakta geologi menunjukkan manusia telah wujud di nusantara ini sejak zaman Pleistocene. Atas sifat Nusantara ini berada di garisan Khatulistiwa seperti juga di Arab, Afrika Tengah dan Lembah Amazon, tamadun awal berkembang di sini. Fosil-fosil yang sedemikian lama terpendam membentuk minyak mentah di bawah bumi. Dalam kerja ekavansi di Afrika , didapati fosil tengkorak manusia dinamakan Zinjanthropus berusia 175,000 tahun . Sementara itu di Nusantara ditemui tengkorak Mojokerto Man ( Pithecanthropus Mojokerta) berusia 670,000 tahun, Trinil Man (Pithecanthropus Triinil) berusia 600,000 tahun dan Wajak Man berusia 210,000 tahun.

           Penemuan ini nyata lebih tua berbanding penemuan The peking Man (Simanthropus Pekinensis) yang berusia 550,000 tahun.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan