TOK KELI PENGHULU SEGA



            Salah seorang Penghulu yang terkenal di Lembahan Lipis ialah Tok Keli.  Beliau dilahirkan di Sega Lama sekitar tahun 1833.   Asal keturunan beliau dapat diuruti seperti berikut iaitu Tok Keli bin Tok Muhamad bin Tok Aya (Yahya) bin Tok De Abdul Rahman anak Itam Mas Pahang (suaminya Tok Koris – Kota Labu, Kelantan) binti Tok Kaya Ibrahim.     Ibu   Tok Keli bernama  Tok Ngah keturunan Tok Mansor (Bugis) 
            Beliau menjawat jawatan Penghulu Mukim Sega  sejak zaman pemerintahan Bendahara Ali iaitu sekitar tahun 1853M  bertanggungjawab sepenuhnya kepaa pentadbiran Orang Kaya Lipis (Tok Kaya Hasan).   Sehingga tahun 1892, ketika penyusunan semula Penghulu Raja, nama Tok Keli masih diangkat sebagai Penghulu Sega.
Sepanjang tempoh pentadbirannya, banyak peristiwa penting dapat dicatat.  Antaranya ialah:

i. Berperang ke Selangor
            Akan berlakunya perang saudara di Selangor (1872-1873) , bergeraklah Tok Keli dengan segala panglima di mukim Sega.  Bersatulah tentera dari Sega dengan tentera dari Penjom pimpinan Orang Kaya Wan Teh, bapa tiga pupunya bergerak ke Genting Sempah.  Dalam kalangan tentera Tok Keli itu dilantiknya  Panglima Juan bin Imam Mohamad , ketua pasukan sayap kiri, Panglima  Abdul Rahman bin Panglima Juan, ketua pasukan sayap kanan. Hj. Abdullah bin Sintam, pembawa tepak sireh.  Mereka kemudiannya bergerak ke arah Kuala Kubu  dan Rawang untuk menghalau tentera Raja Mahadi.    

ii. Membawa Clifford berjumpa Tok Perba Jelai
            Dalam satu peristiwa, Hugh Clifford diberitakan hendak pergi berjumpa Tok Raja di Bukit Betong.   Hal ini dicatat dalam rekod Inggeris  pada  Pada 13 Januari 1887, Weld menghantar Hugh Clifford, yang ketika itu berusia 20 tahun memasuki Ulu Pahang dari Selangor.  Sesampai di Sega, dia menemui Tok Keli dan meminta Tok Keli menghantarnya berjumpa dengan Tok Raja di Bukit Betong.   Akan Tok Keli amatlah dia faham akan kemajuan negeri Selangor di bawah nasihat Inggeris. Tentulah hajat Clifford itu sangat berkait dengan hal hendak memajukkan kawasan Ulu Pahang itu.
            Akan pengikut Tok Keli di Mukim Sega sangat ragu akan  keikhlasan Hugh Clifford kerana  telah pecah khabar  mengatakan  ramai pembesar Pahang yang  tidak suka kepada cara Inggeris hendak meluaskan pengaruhnya di Pahang.  Akan Tok Keli ketika melihat kepada Hugh Clifford, ingin diuji adakah orang putih berakhlak baik atau buruk. Jika berakhlak buruk, dipancung sahaja kepalanya keesokan harinya . Jika berakhlak baik, mesti ditolong untuk ditemukan dengan Tok Raja di Bukit Betong.  Lalu  pada sebelah malamnya, diperintah seorang perempuan tidur di samping Clifford.  Akan Clifford, apabila Tok Keli menduganya sebegitu, tidurlah dia menghadap dinding, tidak disentuhnya perempuan yang berbaring di sisinya.  Maka keesokan harinya, ditanya Tok Keli kepada perempuan itu, apa yang Clifford lakukan kepadanya. Dijawab perempuan itu bahawa Clifford tidak menjamahnya. 
            Mendengar jawapan itu, yakinlah  Tok Keli bahawa  Clifford itu berakhlak baik dan wajarlah dia menghantar  Clifford  menemui Tok Raja di Bukit Betong.
            Lalu dipersiap angkatan menghantar Clifford ke Bukit Betong.  Maka akan  Mat Kilau yang berada di Budu, tidaklah senang hatinya apabila mendengar berita itu.  Diperintah orang-orangnya mengejar angkatan  yang mengiringi  Hugh Clifford. Namun usaha itu tidak kesampaian kerana Tok Keli telah sampai dahulu ke Bukit Betong.  Berbincanglah  Hugh Clifford dengan Tok Raja dan tercapailah beberapa keputusan.
            Oleh kerana Hugh Clifford berhajat hendak menemui Wan Ahmad di Pekan untuk urusan berikutnya; dimasukkan oleh Tok Keli akan Hugh Clifford itu ke dalam tong, dibalut tong itu dengan kain kuning.  Berhilirlah rakit sampai ke penambang di muara Kuala Lipis.  Sesampai di situ, Tok keli memberitahu pengikut Mat Kilau bahawa Tok Raja mengirim hadiah kepada Baginda Sultan di Pekan.  Hadiah itu ada di dalam tong dan tiada siapa diizinkan membuka tong itu tanpa titah  Sultan.  Akan pengikut Mat Kilau, dilepaskan rombongan berakit itu menghilir Sungai Jelai dan rombongan Tok Keli pula mudiklah masuk ke Sungai Lipis untuk balik ke Sega.
            Mat Kilau mendapat khabar akan peristiwa itu.  Berdebar-debarlah hatinya.  Rasa geram kepada Tok Keli atas kerjasama menghantar Hugh Clifford  bertemu Tok Raja  terbuku kepadanya. Namun apakah daya, Tok Keli itu pemerintah sealam-alam Sega, lagi pula dia menkah dengan seorang Rawa bernama Ketam.  Perempuan itu  suku sakat MaT Kilau di Temau –Ajai      Akan perempuan itu diletak Tok Keli   tinggal di Kampung Petai berhampiran dengan Kg Chenua  dan kemudian hasil perkongsian hidup dengan Tok Keli, lahirlah seorang anak lelaki bernama Mohd Taibi.

iii. Kehadiran Tentera Kolonal Walker Di Lubuk Petai
            Sesudah menghampiri tahun 1892M, dikhabarkan Inggeris hendak menghapus orang-orang yang tidak bersetuju dengan titah Sultan Pahang.  Maka padawaktu itu, Inggeris sudah memasukkan pengaruhnya di dalam istana Pahang.  Segala pembesar dan penghulu tidak lagi dibenarkan memungut sendiri cukai.  Mereka semuanya akan diberi pencen tahunan bagi saran hidup.  Hal ini menimbulkan rasa ketidakpuasan hati  pembesar dan ramai pembesar menunjukkan sikap penentangan terhadap dasar pentadbiran Inggeris.
            Maka gemparlah akan orang Sega Lama kerana berhampiran Lubuk Petai, berkubu tentera Ingeris pinpinan Kolonel Walker. Pecah khabar Sega Lama akan diserang oleh Inggeris. Selepas itu, Kolonal Walker dan askarnya akan menyerang Budu pula.
            Akan hal itu disampaikan oleh orang kampung kepada Tok Keli. Tok Keli memberitahu dua tiga hari lagi dia akan pergi menghalau orang putih itu. Maka jawapan Tok Keli itu sangat mengusarkan hati orang kampung Sega Lama.
            Setelah tiga hari berlalu, berjalanlah Tok Keli menuju ke tempat orang putih berkhemah berhampiran Lubuk Petai. Dalam perjalanan itu , dia melalui kawasan sawah padi. Dicantas oleh Tok Keli akan sebatang padi. Dibuatnya serunai daripada batang padi itu lalu ditiup serunainya ketika angin bertiup menghala ke khemah askar orang putih.
            Ditiupnya berterusan serunai itu sambil berjalan. Akhirnya Tok Keli sampai ke kawasan khemah askar orang putih itu. Sesampainya di situ, dilihatnya semua askar orang putih itu tidur belaka. Dikejutkan oleh Tok Keli akan semua askar orang putih itu.
            " Sedap sungguh bunyi tiupan seruling tadi," kata Kolonal Walker. " Siapa yang meniupnya sampai kami tertidur."
            " Aku yang meniup seruling itu," kata Tok Keli. " Kalau aku berniat jahat kepada kamu dan pasukan kamu, habis aku lambas semua kepala kamu. Oleh kerana itu, mulai sekarang kamu beredarlah dari sini."
            Mendengar kata Tok Keli itu, Kolonal Walker mengarahkan anak buahnya bersiap-siap meninggalkan mukim Sega.



iv. Membenarkan pembukaan Kampung Sungai Jahit.

            Ada pun Hj. Salim anak Jeliha anak Tok Aki anak Tok De Abdul Rahman  anak Itam Mas Pahang anak Tok Kaya Ibrahim waktu itu tinggal di Ajai; akan anaknya bernama Muhamad Sidik dihajat oleh Tok Keli, Penghulu Mukim Sega hendak dikahwinkan dengan orang Sega. Namun Muhamad Sidik berkehendak bernikah dengan Mas Da anak Tujuan Saka orang Temau. 
            Hal ini dimaklum oleh Hj. Salim ayah Muhamad Sidik kepada Tok Keli. Akan Tok Keli tidak menghalang kerana Tujuan Saka itu orang terbilang dan beragama dari tanah seberang. Selain itu, abang Tujuan Saka bernama Fakeh Khalifah itu bernikah dengan keturunan Baginda Demu yang tinggal di Budu. Akan Tok Keli Penghulu Sega itu juga ada bernikah isteri kedua dengan orang Rawa di Temau melahirkan anak lelaki bernama Mohd Taibi

            Maka dipinang oleh Hj. Salim akan Mas De. Sewaktu hendak dibuat kenduri, dibincangkan adat berkenduri itu dengan Tok Keli.

            “ Tidakkah jadi salah kita Datok pada undang-undang Pahang membuat kenduri bersebelahan ini?

            Maka kata Tok Keli, “ Kalau dengan suruhan sahaya begitu, Tuan Haji buat sahajalah begitu. Tinggal lagi apa-apa hal sahaya akan bertanggungjawab.”

            Lalu dibuatlah kenduri di sebelah keluarga Hj. Salim. Demikian hal itu menjadi perkara pertama-tama berlaku dalam mukim Sega.
Ada pun Hj. Salim itu ialah Tuan Kadi yang pertama dalam wilayah Raub. Dia juga adalah abang tiri kepada Tengku Abdul Samad yang kemudiannya beranakkan Tengku Kudin yang menjadi Penghulu Mukim Gali yang pertama

            Setelah berlaku perkahwinan itu, Tujuan Saka memberi maklum kepada Tok Keli akan hajatnya hendak membuka tanah paya di Kuala Sg. Jahit. Maka dipersetujui oleh Tok Keli. Selang beberapa lama selepas perang Gali, Muhamad Arif anak Tujuan Saka (adik beradik Mas Da) diberi surat kebenaran membuka kampung di Kuala Sungai Jahit. Sebahagian kawasan kampung yang diberi kebenaran itu diberi pula oleh Muhamad Arif kepada sepupunya bernama Hajah Sarifah anak Fakeh Khalifah.

            Demikian terikatlah di Sungai Jahit itu kekerabatan mereka dengan orang sebelah Sega dan orang sebelah Budu.

            Maka masa membuka Kuala Sungai Jahit itu hampir bersamaanlah dengan masa membuka Kampung Durian Sebatang, Kuala Dong, Temau dan Ajai

v. Tidak Menghadiri Majlis Sultan

            Maka sejak Wan Ahmad menerima gelaran Sultan, tidaklah Tok Keli itu datang mengadap ke istana Pekan atau menghadiri mana-mana majlis Sultan.  Itu disebabkan rasa kecewanya beliau kerana pihak istana menerima pengaruh Inggeris.  Hal itu bersabit juga dengan rasa sakit hatinya atau tindakan Sultan tidak menghalang Inggeris daripada membakar kampung Budu.  Akan kampung Budu itu didiami oleh waris-waris Tok Keli sama ada daripada keluarga Baginda Demu atau pun keluarga orang-orang Rawa yang tinggal di Budu itu.
            Jadi untuk menguruskan segala rekod pentadbirannya di Mukim Sega itu, diarah sahaja Khatib  ( Kerani ) Ipeh bin Imam Long yang tinggal di Kuala Atok menghantar laporan tersebut ke istana.  Maka dalam menjalankan tugas itu berkali-kali ke Pekan, terasa sukar juga bagi Khatib Ipeh untuk mencari tempat tinggal di Pekan itu.  Lalu dia pun bernikah dengan Siti Hawa , orang Langgar.  Akan isterinya itu dibawa balik ke Kuala Atok.  Dari isterinya itulah berzuriat anak bernama Nong dan Siti Ada.  Akan keluarga Nong itu kemudiannya mendiami Kampung Kuala Atok .  Keluarga Siti Ada itu membuka pula satu kampung kecil dalam Kampung Kuala Atok itu iaitu kampung Pulai.
            Maka ketidakhadiran Tok Keli itu ke majlis Sultan Pahang itu dalam maklum Wan Ahmad.  Maka alasan ketidakpuasan Tok Keli bersebab ketidakhadiran tersebut tidaklah menimbulkan murka Sultan melainkan selalulah disebut oleh Wan Ahmad itu kepada Khatib Ipeh iaitu,” Tak mengapalah Tok keli itu tidak hadir ke majlis Beta kerana Beta tahu beliau sayang sangat kepada kubangnya  (sindiran akan ikan keli tidak mahu meninggalkan kubang).  Maka perkataan itu disampai kepada Tok Keli oleh Khatib Ipeh.  Akan Tok Keli tidaklah dijawab apa-apa akan sindiran Wan Ahmad itu.





PERSEMENDAAN KELUARGA SYED DI MUKIM SEGA



 (Akan hamba Hasanuddin Bin Md Isa membuat catatan ini merujuk kepada Teromba yang ditulis oleh Penghulu Mohd Dahan  Penghulu Sega , selain itu turut juga mendengar cerita-cerita perjalanan keluarga Syed di Mukim Sega 
daripada ayahanda hamba Almarhum Hj. Md Isa bin Omar, kampung Kuala Atok  dan juga mendapatkan tambahan  catatan daripada Ayahanda Tuan Syed Shahir bin Syed Mohamud bin Syed Abdullah (Tuan Hitam)

Pengenalan

                Elok juga saya bercerita sedikit akan  persemendaan keluarga Syed di mukim Sega agar tahulah sekelian orang   akan perihal  keluarga ini.

Jurai keturunan
                 Ada pun keluarga Syed ini daripada keturunan yang mulia dan dapat saya catat seperti berikut salasilah mereka.    

                Waliyyullah asy-Sheikh al-Imam Muhammad Shahib Marbad dilahirkan di kota  Tarim. Dikurniai 4 orang anak lelaki,masing-masing bernama; Abdullah, Ahmad,  Alwi dan Ali. Abdullah dan Ahmad tidak menurunkan keturunan. Sedangkan  Sheikhul Imam Alwi dan Sheikhul Imam Ali yang   menurunkan keturunan belia.

                Keluarga Al Kherrid berpangkal kepada Waliyyullah Alwi Al Kherrid bin Muhammad Hamidan bin Abdurrahman bin Muhammad bin Abdullah bin Alwi bin Muhammad Al-Faqih Muqaddam bin Ali bin Muhammad Shahib Marbad. Beliau wafat pada tahun 808 H / 1405 M di Tarim, Hadhramout..

     Akan keluarga Syed di Mukim Sega ini bermula hubungannya dengan keluarga Al-Kherrid daripada Abdul Rahman (Tuan Dagang)   bin Abd Kadir bin Ali bin bin Abdullah bin Ali bin Muhammad bin Abu Bakar bin Ali bin Abu Bakar bin Ali bin Muhammad bin Ali bin Alwi Al-Kherrid  bin Muhammad Hamidan bin Adburrahman sehingga ke Rasulullah s.a.w.

 Syed Abd Rahman juga dikenali Tuan Dagang, ayahnya Syed Abd Kadir dikatakan berasal dari Pekan.  Beliau  merantau ke Sega, Raub . Akan  Syed Abd. Rahman (Tuan Dagang ini  selalu  merantau dari Segamat melalui Jelebu dan terus ke Raub. Ini dapat difahami bahwa memang bagi keluarga Sayyid yang gemar berdagang melalui laluan Pekan, Chenor (Kertau) Kuala Tekal, Kuala Kerau, Pulau Tawar, Tembeling, Lipis, Raub , Jelebu, Gemas Segamat ,Johor Baharu dan Singapura. Di setiap destinasi ini mereka mempunyai tempat persinggahan iaitu rumah kaum keluarganya . 

                Oleh Tok Keli yang menjadi Penghulu Sega waktu itu, dilihatnya  Syed Abdul Rahman ini  amat pandainya berdagang dan bijak percakapan dan akalnya, maka  Tok Keli ,  Tok Penghulu mukim  Sega  pada  ketika itu menikahkan Syed Abdul Rahman ini dengan anaknya yang bernama Alus.
                Hasil perkahwinan ini, lahirlah 3 orang anak iaitu Tuan Syed Muhammad (Engku Long), Sarifah Zainab dan Syarifah Mariam
.
                Selain Tok Alus, Tok keli juga mempunyai anak  iaitu Ca dan Saadiah daripada isteri pertamanya.  Akan Tok Keli berhajat dia mendapat  akan lelaki  lalu bernikah dia dengan perempuan orang Rawa di Temau  lalu mendapat anak lelaki bernama  Taibi.  Namun apabila sudah besar, Taibi  ini tidaklah mempunyai kebijakan  akal  dan tidak berminat  mempelajari ilmu.   Beliau menikah dengan seorang perempuan yang dikenali dengan nama Ketam. Pernah tinggal di Kampung Petai berhampiran dengan Kg Chenua.  Pada kemudian hari, tidaklah terpilih dia menjadi Penghulu Sega kerana kurangnya ilmunya dalam menguasai  bahasa Inggeris.

                 Akan Tok Alus bin Tok Keli  yang bernikah dengan Syed Abdul Rahman (Tuan Dagang), maka berkembang biaklah keturunannya  lalu menetap di Sega Tat.  Dihormati masyarakat akan keluarga ini  dan dipanggil orang Mukim Sega  akan gelaran Ayah Engku dan Mak Engku atas rasa hormat itu

Engku Long (Syed Muhammad)

Akan Engku Long, tidaklah banyak riwayat dapat ditulis melainkan jasanya yang sangat besar ialah membangunkan pendidikan agama Islam di negeri Pahang.  Engku Long sendiri bersama dengan Tuan Hitam (Syed Abdullah  ) telah mengasas dan membina sekolah agama di Kuala Kerau di awal tahun 20an-30an.  Engku Long juga bersama-sama penduduk Ajai,Temau, Dong dan Durian Sebatang membangunkan Madrasah Al-Ulum Addiniah Dong, Raub.

                Keluarga  ini  berkembang  seperti catatan berikut:

Anak-anak Syed Muhammad
                Anak-anak Syed Muhammad (juga dikenali sebagai Engku Long) ialah: Sharifah Sehun, Syed Yassin, Syed Alwi, Syed Abdul Rahman ,  Sharifah Ai'syah, Syed Abdul Rahim, Sharifah Aminah (Sh: Echon) & Sharifah Maimunah.

                Tiga dari anak Engku Long menuntut di Madrasah Al Junied di Singapura antaranya ialah: Syed Yassin, Syed Abdul Rahman dan Syed Abdul Rahim.

                Akan anak Syed Muhamad ini yang bernama Syed Alwi menjadi tempat bergantungnya penoreh getah sekitar mukim  Sega kerana kesungguhannya menjadi peraih getah dari kampung ke kampung.  Akan sifat kebijaksanaannya berniaganya itu disifatkan mengikut jejak datuknya  Syed Abdul Rahman.  Akan hal minat berniaga ini juga tumpah juga kepada Syed Salim bin Syed Muhamad dengan mendirikan kedai barangan runcit  dan kedai minuman di Pekan  Sega
.
                Sementara Syed Abdul Rahman bin Syed Muhamad  sangatlah dikenali ramai di Mukim Sega.    Beliau  dikenali dengan nama Tuan Achik. Pemilihan sebagai Penghulu Mukim Sega berdasarkan kepada merit dan susur galur keturunan Tok Keli. Tuan Achik merupakan cicit kepada Tok Keli dan cucu kepada Alus isteri Tuan Dagang.   Kebolehannya sangat menyerlah kerana beliau  bekas pelajar  di Madrasah Al Junied Singapura yang masyhur itu. Beliau menjadi Penghulu II Mukim Sega manakala Penghulu I ialah   Penghulu Pilus dua pupu kepada Tuan Achik

            Sewaktu menjawat jawatan Penghulu Sega, Tuan Achik mempunyai sahabat bernama Mustapa bin Harun (kemudian bergelar Tun Datu Mudtafa- Ketua Menteri  di Sabah)  .   Mengenai hubungan Syed Abdul Rahman dengan Tun Mustafa dari Sabah bermula semasa kedua-duanya menghadiri kurusus di Kolej Pertanian Serdang pada awal tahun 50an. Pada masa tersebut para penghulu,penggawa dan ketua anak negeri dari Malaya, Sarawak dan Sabah dikehendaki menghadiri kursus di Kolej Pertanian Serdang untuk mendedahkan mereka dengan hal-hal yang berkaitan urus tadbir, ilmu asas pertanian dll yang berkaitan. Oleh kerana Syed Abdul Rahman pada masa itu sudahpun mempunyai motokar maka mudahlah bagi rakan-rakannya dari luar untuk bergerak di sekitar Kuala Lumpur termasuk Tun Mustafa. Hubungan kedua-duanya putus agak lama hinggalah Tun Mustafa menjadi tokoh penting di Sabah. Pertemuan semula hanya berlaku pada sekitar tahun 1969 di mana Tun Mustafa menawarkan peluang untuk Syed Abdul Rahman melancong ke mana sahaja yang beliau mahu. Selain itu ada beberapa tawaran yang dibuat kepada Syed Abdul Rahman oleh Tun Mustafa. Namun ianya ditolak atas alasan tidak mahu dilihat sebagai 'tamak' Atas pertimbangan itu Tun Mustafa sangat menghormati Syed Abdul Rahman.

               
 Syed Abdul Rahman  jugalah membuka kilang mesin padi.  Sejak dibangunkan kilang mesin padi itu, tidaklah orang-orang di mukim  Sega menumbuk padi di lesung lagi bagi mendapatkan beras.  Semasa inilah juga   beliau dan Syed Alwi membangunkan sebuah sekolah  agama di  Mukim Sega .



                Akan anak Syed Abdul Rahman bin Syed Muhamad, Penghulu Sega ini ada yang menjadi semasyhur orang.  Antaranya ialah Syed Ibrahim bin Syed Abdul Rahman  menjadi peguam dan  Pesuruhjaya PAS  keenam negeri  Pahang juga    menjawat jawatan AJK PAS Pusat  dalam parti tersebut.











Anak-anak Syarifah Mariam
                Anak-anak Sharifah Mariam (Engku Ngah) ialah: Sharifah Sitam, Syed Abdul Rahman, Syed Husin, Sharifah Masturah, Syarifah Ning.

Anak-anak Syarifah Zainab
                Anak-anak Sharifah Zainab (Engku De) ialah: Syed Ahmad, Sharifah Intan, Sharifah Maznah, Sharifah Rogayah dan Syed Husin.
Ibu Masih Mengingati dan mengasihimu
  

  
Duhai anak yang sukar dimengerti. Kasih sayang seorang ibu mengatasi segalanya, tidak dapat dinilai dengan emas dan perak, tidak dapat dibayar dengan wang ringgit. Tidak hilang di hati seorang ibu perasaan rindu terhadap anak-anaknya walaupun sesaat.

kadang-kala ibu tidak dapat menyuap makanan ke mulutnya dan melelapkan matanya kerana teringatkan anak-anaknya ini dan ada ketikanya air mata berlinangan mengalir membasahi di pipinya kerana mengenang dan merindui akan anak-anak.

Bilakah kali terakhir kauketemu ibumu, menatap wajah dan mencium tangannya?. Cukupkah dengan sekadar mengirim duit, atau menghantar pesanan ringkas di mesej telefon atau menaik turun gambar ibu di Facebook lalu ditulis di situ, " Aku sayang ibu" dan kemudian kau lupa mengunjunginya. Adakah cukup setakat itu sebagai penganti diri bagi membayar setitis air mata ibu akibat rindu lara menunggukepulangan si anak?.

Ambillah kesempatan yang ada semasa hidup untuk berbakti kepada ibumu sebelum dia pergi buat selama-lamanya.

MENULIS YANG BAGUS ITU SEUMPAMA BERCAKAP YANG SOPAN

Menulislah dengan santun berbahasa  . Tulisan yang baik akan menyentuh hati pembaca. Demikian dalam pergaulan, bercakaplah dengan nada yang lunak dan santun, kata-kata itu menyentuh kalbu pendengar.

Tidak ramai orang yang mampu menyusun kata-kata sebelum turun dari rumahnya.. Selalunya kata-kata itu dituturkan secara spontan sahaja kecuali bagi mereka yang hendak pergi bertemuduga atau berbincang dengan ketua pejabat, berkomunikasi dengan pemimpin atau Sultan.

Maka menuturkan kata-kata dalam majlis sebegini adalah sesuatu yang diada-adakan untuk mengangkat diri sendiri atau untuk membangga-bangga kepandaian sendiri sedangkan untuk menzahirkan kata-kata yang baik itu memerlukan peribadi yang dan luhur.

Ahli bidalan mengukir kata berhubung pertuturan yang indah dan baik :

“ Apa tanda orang yang mulia, apabila bercakap bermanis muka”.
“ Tanda orang berhati bersih, apabila bercakap mukanya jernih”.
“ Tanda orang berbudi bahasa, apabila bercakap tahukan rasa”.
“ Tanda orang berdada lapang, tahu menjaga perasaan orang”.
“ Tanda orang berbudi pekerti, perasaan orang dia fahami”.


Yang baik itulah menjadi kenang-kenangan sehingga ke hujung ayat.

Tenang-tenang air di laut,
Sampan kolek mudik ke tanjung'
Hati terkenang mulut menyebut,
Kata-kata tuan yang baik rasa nak junjung

Salam berbahasa daripada:
Hasanuddin Md Isa

AMALAN WIRID SELEPAS SOLAT



Abdul Rauf bin Ali dilahirkan di Singkel, Aceh Selatan pada tahun 1620. Beliau lalu sering disebut dengan nama Abdul Rauf Ali al-Fansuri atau Abdul Rauf Singkel atau Abdul Rauf al-Sinkili. Beliau juga digelar dengan "Tengku Syiah Kuala". Gelaran ini popular di kalangan masyarakat setempat. Pada awalnya, gelarannya disebut "Tengku Syeikh di Kuala" kerana keilmuannya dalam bidang agama. Tetapi masyarakat memudah sebutan gelaran itu kepada Syekh Kuala dan seterusnya berubah pengucapan menjadi "Syiah Kuala". Gelar Syiah Kuala yang diberikan kepada Abdul Rauf Al-Sinkili tidak ada kaitan langsung dengan aliran atau faham Syiah yang pengikutnya berkembang di Iran dan Iraq

Adalah dipercayai dalam konteks Tanah Melayu, wirid-wirid yang diamalkan selepas sembahyang lima waktu telah dibawa oleh golongan ahli tasawwuf secara umumnya, namun susunan yang ada kemungkinan berbeza antara satu sama lain. Banyak kitab-kitab agama yang ditulis oleh ‘ulama’-ulama’ Melayu dalam tulisan Jawi mengandungi wirid-wirid selepas sembahyang lima waktu, termasuklah kitab عمدة المحتاجين إلى سلوك مسلك المفردين karangan al-Shaykh ‘Abd al-Rauf Singkel dan kitab المفردين تنبيه المشي المنسوب إلى طريق القشاشي juga karangan al- Shaykh ‘Abd al-Rauf Singkel. Dalam kedua-dua kitab ini al-Shaykh ‘Abd al-Rauf Singkel telah menuliskan wirid-wirid selepas sembahyang yang diambil daripada gurunya al-Shaykh Ahmad al-Qushashi yang kemudian dikenali sebagai al-Awrad al-Madaniyyah atau al-Awrad al-Qushashiyyah.”

Masyarakat  Melayu sejak zaman hindu mempunyai tabiat kesukaan yang tersendiri.  Bangsa ini suka  kepada  majlis berkumpulan.  Majlis  diisi  dengan nyayi-nyaian,  makan dan bercerita.  Melihat sifat bangsa ini  sebegini, Syeikh  Abdul Rauf Singkel   menyusun  wirid-wirid selepas  selepas  solat dan  usaha ini diterima dengan  baik  kerana sangat bersesuaian dengan jiwaorang-orang  Melayu.
Wirid-wirid ini dibaca beramai-ramai.  Walaupun  sebutannya nyaring namun tiada  unsur-unsur   riak.  Malah jiwa perhambaan itu  memuncak setiap kali wirid-wirid itu dibaca.

Sheikh Abdul Rauf Singkel  menyusun wirid-wirid  selepas solat dengan menggabungkan   ayat-ayat  al-Quran yang disebut  keberkatannya  dalam banyak hadis Rasulullah s.a.w.

Mohon ampun kepada Allah yang Maha Agung, tiada Tuhan melainkan Dia yang Hidup dan Berdiri Dengan SendiriNya, dan aku bertaubat kepada-Nya  (sebut 3 kali)


Tiada Tuhan (yang berhak disembah) kecuali Allah Yang Maha Esa, tiada sekutu bagiNya, bagiNya kerajaan, bagi-Nya segala puja. Dialah yang menghidupkan (orang yang sudah mati atau memberi roh janin yang akan dilahirkan) dan yang mematikan. Dialah Yang Maha Kuasa atas segala sesuatu  (sebut 3 kali)



  Ya Allah, Engkau sejahtera, dan daripada Engkau kesejahteraan, dan kepada Engkau kembalinya kesejahteraan itu, maka hidupkan kami dengan kesejahteraan, dan masukkanlah kami kedalam syurga, negeri yang aman sejahtera. Bertambah-tambah berkat-Mu, Tuhan kami, dan Maha Kuasa, wahai Tuhan yang Maha Besar dan Maha Mulia


  
.Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. (2) Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. (3) Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. (4) Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat). (5) Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. (6) Tunjukilah kami jalan yang lurus. (7) Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.



.Dan Tuhan kamu ialah Tuhan yang Maha Esa; tiada Tuhan (Yang berhak disembah) selain dari Allah, yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani  Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya)  



. (18) Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
(19) Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai ugama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya.




  (wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.



8. Engkaulah (wahai Tuhan) yang memasukkan waktu malam ke dalam waktu siang, dan Engkaulah yang memasukkan waktu siang ke dalam waktu malam. Engkaulah juga yang mengeluarkan sesuatu yang hidup dari benda yang mati, dan Engkaulah yang mengeluarkan benda yang mati dari sesuatu yang hidup. Engkau jualah yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dengan tiada hitungan hisabnya".



 Tuhanku, Penjagaku
Maha Suci Allah (sebut 33kali)
Maha Suci Allah dan segala puji bagiNya yang kekal selama-lamanya
Segala puji bagi Allah  (sebut 33kali)
Segala puji bagi Allah, Penjaga sekalian alam, ke atas tiap-tiap perkara dan kenikmatan
Allah Maha Besar (sebut 33 kali)



Allah Maha Besar, sungguh Maha Besar, dan segala puji bagi Allah sebanyak-banyaknya dan Maha Suci Allah pagi dan petang. Tiada Tuhan melainkan Allah dengan keEsaanNya, tiada sekutu baguNya, bagiNya segala pemerintahan dan bagiNya segala kepujian, Dialah yang menghidup dan mematikan, dan Maha Berkuasa ke atas segala sesuatu, dan tiada daya dan upaya melainkan dengan izin Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Agung

MUNIR - NAMA YANG DIANGKAT SEBAGAI PAHLAWAN DI ATJEH (catatan perjalanan)

Meski dia bukan kelahiran Atjeh, tetapi namanya bersemarak dalam jiwa masyarakat Atjeh sebagai pembela Atjeh yang setia. Ia dilahhirkan pada 8 Disember 1965 merupakan anak keenam dari tujuh bersaudara . Sepanjang hidpnya, dia memberi tumpuan untuk selalu membela siapa saja yang haknya dizalimi. Dia tidak gila harta, pangkat, jabatan, dan juga kemudahan. Ia membuktikannya dengan perbuatan. Dia orang yang pertama mengkritisi pemerintah Republik Indonesia untuk mencabut status Daerah Operasi Militer (DOM) di Aceh.

Beberapa kes yang pernah dtangganinya ialah:
i. Kes Araujo yang dituduh sebagai pemberontak melawan pemerintahan Indonesia untuk memerdekakan Timor timur dari Indonesia pada 1992.
ii. Kes Marsinah (seorang aktivis buruh) yang dibunuh oleh tentera pada tahun 1994.
iii. Menjadi penasihat hukum warga Nipah, Madura, dalam kes pembunuhan petani-petani oleh tentera pada tahun 1993.
iv. Menjadi penasihat hukum mahasiswa dan petani di Pasuruan, dalam kes rusuhan di PT.Chief Samsung, dengan tuduhan sebagai otak kerusuhan pada tahun 1995.
v. Penasihat hukum Muhadi (sopir) yang dituduh melakukan penembakan terhadap seorang polisi di Madura, Jawa Timur pada 1994,
vi. Penasihat hukum para korban dan keluarga Korban Penghilangan Orang secara paksa 24 aktivis politik dan mahasiswa di Jakarta pada tahun 1997 hingga 1998,
vii. Penasihat hukum korban dan keluarga korban pembunuhan dalam tragedi Tanjung Priok 1984 hingga 1998,
viii. penasihat hukum korban dan keluarga korban penembakan mahasiswa di Semanggi I (1998) dan Semanggi II (1999),
ix. penasehat hukum dan koordinator advokasi kes-kes pelanggaran berat Hak Asasi Manusia di Atjeh, Papua, melalui Kontras oleh operasi tentera.
Di dalam negeri, ia dinobatkan sebagai Man Of The Year 1998 versi majalah UMMAT, penghargaan Pin Emas sebagai Lulusan UNIBRAW yang berjaya, sebagai salah seorang tokoh terkenal Indonesia pada abad XX, Majalah Forum Keadilan. Semenatara di luar negeri, ia dinobatkan menjadi As Leader for the Millennium dari Asia Week pada tahun 2000, The Right Livelihood Award (Alternative Nobel Prizes) untuk promosi HAM dan kontrol sipil atas militer, Stockholm pada December 2000, dan An Honourable Mention of the 2000 UNESCO Madanjeet Singh Prize atas usahausahanya dalam mempromosikan toleransi dan Anti Kekerasan, Paris, November 2000.

Munir wafat pada 7 September 2004, di dalam pesawat Garuda GA-974 kerusi bernombor 40 G dalam penerbangan menuju Amsterdam, Belanda. Perjalanan itu adalah sebuah perjalanan untuk melanjutkan pelajaran peringkat sarjana undang-undang di Universiti Utrecht. Dia dibunuh dengan menggunakan racun arsenik yang yang dimasukkan ke makanannya oleh Pollycarpus Budihari Priyanto. Pollycarpus adalah seorang pilot Garuda yang pada waktu itu sedang bercuti. Pada saat keberangkatan Munir ke Belanda, secara kontroversial ia diangkat sebagai corporate security oleh Dirut Garuda. Sampai sekarang, kematian seorang Munir, sang Pahlawan orang Hilang, sang pendekar Hak Asasi Manusia ini masih sebuah misteri. Jenazahnya dimakamkan di taman makam umum kota Batu.