Pembukaan Kampung Sengkela



Lawatan Tun Abdul Razak Ke Kampung Sengkela
Sekitar tahun 1725 Masehi, seorang bangsawan iaitu   Raja Ahmad dari Luhak Tanah Datar, Minangkabau, tepatnya dari Sungai Tarab, Pagaruyung melangkahkan kakinya dalam rangka kelana  . Beliau  diiringi oleh anak saudaranya bernama Raja Hitam.   Pada waktu itu, Raja Ahmad sudah pun berumur sekitar 42 tahun dan Raja Hitam di awal 20-an.

Setibanya di tanah semenanjung, tempat yang mula-mula dijejaki mereka ialah daerah Durian Sebatang dalam jajahan hilir Perak. Pada masa itu, Perak diperintah oleh Raja Radin ibni Yang Dipertuan Muda Raja Mansur bergelar Sultan Alauddin Mughayat Syah (Sultan Perak 1720-1728). Di bumi Perak inilah Raja Ahmad dan Raja Hitam mula-mula mencuba nasib dan tuah badan untuk menilai apakah mereka akan serasi hidup di sana atau pun tidak. Kebetulan pada waktu itu, perairan Perak sering diganggu oleh lanun-lanun dan bajak laut yang ganas dan tidak berperikemanusiaan. Malangnya tidak ada walau seorang pun dari kalangan pembesar mahu pun hulubalang Perak yang mampu menangani ancaman lanun-lanun terbabit.

Raja Ahmad dan Raja Hitam berserta para pengikut setia mereka telah berbakti kepada Kerajaan Perak dengan menewaskan kesemua lanun-lanun yang bermaharajalela tersebut berbekalkan ilmu persilatan dan kebatinan yang tinggi yang dibawa mereka semenjak dari Pagaruyung lagi. Sebagai balasan di atas jasa beliau itu, Raja Ahmad telah dikurniakan gelar kemuliaan “Tok Perak” .
Mulai saat itu, pudarlah nama batang tubuhnya yang asal iaitu Raja Ahmad lalu melekatlah panggilan Tok Perak sahaja dalam kalangan anak cucunya dan masyarakat sekeliling yang mengenalinya sehinggalah ke akhir hayatnya. Raja Hitam pula kemudiannya dikenali sebagai “Panglima Hitam” sahaja kerana mereka berdua beranak telah membuktikan kehandalan ilmu kepahlawanan mereka sebagai seorang panglima Melayu yang tulin.

Raja Ahmad atau Panglima Tok Perak bermastautin di bumi Perak dan beristerikan seorang perempuan dari Sungkai bernama Tok Nuri atau Tok Nuriah. Melalui perkahwinan dengan Tok Nuriah ini  beroleh enam orang anak (yang dapat dikesan) iaitu Imam Abdullah Hasyim @ Tok Duhas, Tok Akil, Tok Barir, Halipah, Anjang Mas Suka dan Tok Pudi.

Maka, sekitar tahun 1755 Masehi berpindahlah pula  Panglima Tok Perak membawa isterinya serta beberapa orang anaknya   dengan diikuti juga oleh anak saudaranya, Raja Hitam menuju ke Hulu Pahang. Laluan yang diikuti mereka sama saja dengan laluan yang diikuti oleh orang-orang dagang dari Sumatera yang ingin ke Hulu Pahang sebelumnya mahupun di zaman selepas beliau iaitu menyusuri laluan Tapah ke Hulu Slim sehingga tembus ke Hulu Sungai, Batu Talam (di buka oleh Tok De Abdul Rahman bin Tok Aya). Pada masa itu, yang merajai Pahang ialah Bendahara Seri Maharaja Tun Abas (1722-1764) ibni Bendahara Paduka Raja @ Sultan Abdul Jalil Riayat Syah 4 (1699-1718).

Dari Batu Talam, beliau diberi maklum ada tanah antara Pasir Purun dengan Batu Talam yang belum diteroka.  Akan mendiami tanah itu mestilah dengan mendapat kebenaran pembesar setempat.  Lalu rombongan Panglima Tok Perak membuat   kunjungan hormat ke pusat pemerintahan Maharaja Perba Jelai Wan Muhammad bin Wan Ismail yang terletak di Bukit Kota, Lipis (setentang Bukit Betong dan hanya dipisahkan oleh aliran Sungai Jelai) kerana Maharaja Perba Jelai adalah salah seorang daripada Orang Besar Berempat Pahang yang bertanggungjawab terhadap pentadbiran di rantau Hulu Pahang yang sangat luas.

Selesai menghadap Maharaja Perba Jelai di Bukit Kota, barulah Panglima Tok Perak menghilir pula menuju ke Kampung Terap, Budu untuk melakukan kunjungan hormat terhadap Tok Kaya Chandak di. Kampung Terap .  Tok Panglima Perak diberi izinkan membuka kampung di tebing Sungai Lipis.
Di Semantan Hulu itulah Panglima Tok Perak, Raja Hitam dan lain-lainnya dengan berbekalkan beliung kapak menebang menebas hutan rimba yang subur menghijau di sepanjang aliran Sungai Lipis hinggalah berkembang melahirkan Kampung Sengkela (sekarang dalam Mukim Sega) dan Kampung Gesing (sekarang dalam Mukim Semantan Hulu). Kampung Sengkela itu diperoleh nama daripada rotan Sengkela yang tumbuh dengan banyak di situ.  Di sini jugalah Panglima Tok Perak beroleh isterinya yang kedua bernama Tok Mikrah iaitu anak jati Kampung Terap, Budu yang juga masih keturunan Datuk Baginda Demu dan Datuk Kaya Ibrahim Lipis.   Dari perkahwinan ini Panglima Tok Perak  dengan Tok Mikrah ini beroleh tiga orang anak iaitu Tok Pandak Lena, Tok Fatimah dan Kulop Mat Daham.  


Setelah lebih kurang tiga puluh tahun mengerah tulang empat kerat membuka hutan rimba untuk dibuat kampung dan sawah ladang, pada tahun 1785 iaitu pada zaman pemerintahan Bendahara Paduka Raja Tun Abdul Majid (1770-1802) ibni Bendahara Seri Maharaja Tun Abas, Panglima Tok Perak @ Raja Ahmad telah kembali ke rahmatullah dalam usia 102 tahun dan dikebumikan di perkuburan zaman yang kini dinamakan “Bukit Baru” yang terletak di belakang rumah allahyarham Tok Empat Mohamed bin Imam Kundor, Sengkela. Di sini jugalah tertanamnya jasad Tok Unus (menantu cucu beliau) yang datang dari Kampung Macang Gelap, Chenor, Haji Abdul Latif @ Haji Mahkota Kerinci (juga menantu cucu beliau), Haji Abdul Manan Rawa yang berasal dari Lansek Kadap, Rao Mapattunggul, Pasaman, Raja Hitam @ Panglima Hitam  

Sejah Membuka Kampung Sega Lama Dibuka



            Akan berita terbukanya kampung  Tersan  oleh Tok Mat Amin bin Tok Malik sampai ke Budu.   Akan penduduk Budu yang selama ini giat membuka kampung hingga ke Tanjung Besar memandang pula ke arah Hulu Sungai Lipis.   Antara mereka ialah keluarga Tok Alauddin bin Baharudin bin Tok Mansur Bugis dan  keluarga Tok De Abdul Rahman binti Itam Mas Pahang  binti Tok Kaya Ibrahim  ingin mencari petempatan baru.  

            Bergeraklah mereka menghilir Sungai Teka lalu masuk ke Sungai Lipis.  Dari kuala Sungai Teka itu, mereka mudik ke hulu Sungai Lipis.   Apabila melepasi  Tanjung Aur,  mereka memerhati kawasan Pamah  yang sesuai dibuat tanah kampung.  

            Selepas melalui Jeram (Petai) , mereka berjumpa tanah pamah yang   sesuai dibuat kawasan kampung.  Namun begitu, untuk membersihkan kawasan itu agak sukar kerana terlalu banyak Rotan Sega  tumbuh meliar.  Namun begitu, kerja pembersihan ituakhirnya  berjaya dilakukan.  Sempena banyaknya rotan Sega di situ, kawasan itu diisytihar namanya sebagai kampung Sega.

            Akan Tok De Abdul Rahman, beliau  meletakkan anaknya bernama Tok Aya tinggal  bersama keluarga Tok Alauddin di Sega sebagai mewakili keluarga Tok Kaya Ibrahim di situ.  Beliau dan pengikutnya  bergerak lagi ke kawasan hulu lalu membuka  kampung Batu Talam.

            Kampong Sega Lama ini  kemudiannya melebar ke kawasan    kampung kecil dibuka oleh anak buah Tok Aya.  Antaranya ialah      Kampung Petai  ,     Kampung Bukit Sega,     Kampung Pulau Kepayang  ,   Kampung Genuk  , Chenua dan Saen.   Tok muhamad bin Tok Aya  kemudiannya membuka kampung di Pasir Purun.  Berdiam dia di situ setelah bernikah dengan Ngah anak Tok Shabudin. Apabila jalan raya dibina selepas kemasukan Inggeris ke Pahang, kampung ini melebar ke Sega Tat , Teridi dan Jerua

            Setelah tetap mereka mendiami Sega,  Tok Alaudin  menghantar pinangan kepada  Tok Mat Amin,   di Tersan.  Hajatnya ingin menjodohkan anaknya bernama Shabudin  dengan anak Tok Mat Amin bernama Itam Rabiah.  Pinangan itu diterima dan dilangsungkan pernikahannya.   Daripada pernikahan ini lahirlah anak bernama Yang (suaminya Tok Keli), Til (isterinya Tok Puan) dan Talib.  Dari jalur ini, ada anak cucunya membangsakan mereka berketurunan Bugis .

            Sementara anak Tok Alauddin bernama Ngah (perempuan) pula dipinang oleh Tok Aya bin Tok De Abdul Rahman binti Itam Mas Pahang binti Tok Kaya Ibrahim  untuk anaknya bernama Muhamad.  Maka dinikahkan pasangan itu.  Hasil daripada pernikahan itu lahirlah Daud , Tok Keli, Hj. Muda, Bedah dan Teh.  Akan Tok Keli itu dikemudian hari dinikahkan dengan sepupunya bernama Tok Yang.

            Sesudah kewafatan Tok Mat Amin,  hendaklah diangkat Tok Shabudin ini menjadi penghulu.  Namun kerana beliau  tidak berasa mampu menjawat jawatan penghulu, maka  iparnya, Tok Muhammad bin Tok Aya yang tinggal di Kampung Pasir Purun, Sengkela  ( yang bersempadan dengan Mukim Semantan Hulu),  diminta menjawat jawatan Penghulu.   Akan keputusan itu dibuat kerana Tok Muhamad itu dari jalur kepimpinan  pembesar  Orang Kaya Lipis.  Bapa sepupunya bernama Tok Kaya Busu menjadi  Orang Kaya Lipis ke-11  pada waktu itu.    Akan  jawatan Imam diserahkan kepada  anak Tok Mat Amin bernama Imam Ngah.  Sementara   Tok Shabudin ini  mewarisi urusan kepawangan bagi sealam-alam Sega.

            Kampong Sega Lama ini  kemudiannya melebar ke kawasan    kampung kecil dibuka oleh anak buah Tok Aya.  Antaranya ialah      Kampung Petai  ,     Kampung Bukit Sega,     Kampung Pulau Kepayang  ,   Kampung Genuk  , Chenua dan Saen.  Apabila jalan raya dibina selepas kemasukan Inggeris ke Pahang, kampung ini melebar ke Sega Tat , teridi dan Jeruas. 

            Sesudah  Pahang diperintah atas nasihat British, pentadbiran British  meminta  setiap kampung melantik seorang ketua.  Tetapi kerana pada waktu itu  Tok Keli menjadi Penghulu Sega, tidaklah dilantik  mana-mana ketua kerana Tok Keli itu mempunyai kuasa yang besar dalam pemerintahan mukim.  Hanya sesudah Imam Teh  bin Tok Til menjadi Penghulu Sega,  beliau melantik sepupu beliau bernama Mohd Taibi bin Tok Keli  menjawat jawatan Ketua Kampung Sega.

Akan susunan ketua kampung sega itu boleh dilihat seperti berikut:
 :
1. Mohd Taibi Bin Tok Keli – dikenali sebagai Tok Ubi.
2. Abu Bakar Bin Jinal
3. Narawi Bin Mohamad
4. Majid Bin Ibrahim – 1942 - 1945
5. En Abu Samah Bin Sumpak – 1945 - 1970
6. En Abd Jalil Bin Mat Yunus – 1970 - 1988
7. En Ahmad Bin Osman – 1988 - 1998
8. En Ramly Bin Husain – 1998 - 2001
9. Tn Hj Abdul Rauf Bin Mohamed Rawi – 2001 seterusnya


Dahulunya Kg Ulu Renggol dan Kg Sega Lama ditadbir oleh satu  Ketua Kampung.  Namun  sehingga Pilihanraya tahun 1998, pentadbiran kampung itu  dipecahkan   menjadi 2 Ketua Kampung iaitu ketua kampung  Ulu Renggol dan ketua kampung Sega Lama.

Sejarah Membuka Kampung Tersan

  

Akan Tok Mat Amin bin Tok Malik  bin Tok Mat Saleh bin Ngah Endek bin Mohamad Ali Jaafar bin Baginda Demu (Raja Muhamad),    merasakan Kampung Pagar di tebing Sungai Lipis itu sudah sesak penduduknya.  Semua mereka itu ahli keluarga mereka.  Jika terus berada di Kampung Pagar, tidaklah banyak tempat mencari rezeki lagi kerana semua tanah paya  dan kawasan menugal jagung dan bertanam ubi sudah bertuan. 

 

Akan di kampung Salang,  bersebelahan kampung Pagar  yang didiami oleh keluarga sebelah nenda saudaranya Tun Ismaun   begitulah  juga begitu keadaannya.  Sejak keluarga mereka menetap di Lubuk Yong pada zaman Tok Moyang, Baginda Demu;  pembukaan kampung Pagar mampu bertahan untuk kediaman  dua tiga generasi sahaja.

 

Maka untuk memperoleh tanah bertani, Tok Mat Amin berfikir perlu mencari tanah di sebelah hulu Sungai Lipis.  Kawasan itu belum diteroka sesiapa pun lagi.   Akan pada masa itu, kawasan Penjom, Benta dan Budu sudah didiami oleh keluarga Tok Kaya Ibrahim  dan keluarga Tun Ibrahim.   Tidak moleklah membuka petempatan di kawasan itu.  Bila  tiba pada masa hadapan, bersesak-sesak pula anak cucu di situ.

 

Akhirnya Tok Mat Amin memutuskan untuk berhijrah  ke kawasan yang lebih hulu dari Benta. Beliau dan ahli keluarga terdekatnya  berdayung perahu dan berakit mudik ke hulu Sungai Lipis.   Akhirnya mereka sampai di hilir  Jeram yang bising bunyi airnya .  Di situ, mereka bercakap seperti orang bisu.  Kelihatan cuma gerak bibir dan tidak kedengaran suara disebabkan bisingnya tujahan air.   Tempat itu disebut mereka sebagai Jeram Bisu .  Pada kemudian hari, kawasan itu dipanggil sebagai Jeram Besu.

 

Oleh kerana kawasan itu berbukit-bukau pada pandangan dari sungai, tidak sesuai dibuat petempatan.  Tidak banyak kawasan paya dapat dibuka. Tok Mat Amin dan pengikutnya mudik  lagi ke hulu Sungai Lipis. Akhirnya mereka sampai ke kawasan sungai yang mendatar. Di kiri kanan sungai terdapat pokok buluh aur tumbuh merimbun.  Pada fikiran Tok Mat Amin, kawasan itu sesuai dibuat petempatan.

 

Melihat kawasan yang cantik itu, Tok Mat Amin mengajak rombongannya  meninjau  sekitaran kawasan itu.  Kawasan dari Sungai  menuju ke kawasan bukit sangat pamah, berair dan sesuai untuk bersawah padi.  Ketika sampai ke kaki bukit yang tumbuh banyaknya pokok Serdang dan Terap, didapati ada dua alur. (kemudian harinya dipanggil Sungai Buluh dan Sungai Ketiar ) mengairi kawasan pamah.   Ketika meneliti kawasan itu, didapati banyak binatang hutan turun ke kawasan tanah pamah untuk menjilat tanah   berjenud (masin) .  Ini  menandakan  kawasan tersebut  sangat subur.

 

Akhirnya Tok Mat Amin bersama-sama ahli keluarganya menebas-menebang segala belukar untuk dibuat kampung halaman.  Kawasan pamah berpaya dijadikan kawasan paya untuk bercucuk tanam padi dan kawasan kaki bukit dibuat tepat menugal jagung dan menanam segala jenis ubi.   Air dari  Sg.Buluh dan Sg Ketiar  sangat berguna kepada tanah sawah.  Lalu  Tok Mat Amin dan ahli keluarganya mencangkul  tanah membuat  terusan.  Kedua dua alur itu disatukan menjadi parit besar  seperti  terusan terus ke Sg. Lipis. Terusan itulah yg membekalkan air ke sawah padi mereka. Sempena terusan itulah wujudnya sebuah lagi kampung bernama Kampung Tersan

 

Terdapat kampung-kampung kecil dalam kawasan kampung Tersan ini.  Antaranya ialah Tanjung Aur, Lubuk Rom, Lubok Landas dan Kelebor . Bagi menjaga kepentingan dan kebajikan kampung Tok Mat Amin dilantik sebagai Penghulu sekaligus menjadi Imam dan Pawang.   Beliau menjalankan tugas dan tanggungjawab  urusan keagamaan  setempat dengan persetujuan Bendahara Pahang. 


Apabila beliau  meninggal jenazahnya di semadikan di atas bukit Kampung Tersang lalu dipanggil penduduk kampung sebagai  Makam Keramat Tok Mat Amin  Bukit Tersan.

Kisah dari Raub TENGGELAMNYE PAYE KELEBUR

 Pade wektu Tok Mat Amin bin Malek membuke Kampung Tersan, sebenonye sudah ade sebuoh due rugmah dibangunkan di siteh.   Mereke ineh ialah baki-baki pendudok yang selamat daripade malepetake tenggelamnya kampung  laman mereke di Paya Kelebur (dalam mukim Sege). 
Dalam kesoh yang sanget menyayet ati iteh, sebagaimane dicerite dari lisan ke lisan dalam masyarakat mukim Sege, tenggelamnye petempatan pendudok di Paya Kelebur  berpunce daripade  kedegilan sekumpulan anak mude yang lepe amat mendengo nasihat ograng-ograng tue.
Alkesoh akan sekumpulan anak mude ingin menyukekan hati mereke. Tak mudohlah weeh. Jamen iteh manenye ada panggung wayang, game dan liga perdana bula sipok.  Lalu  berpakat-pakatlah mereke  ontok menyandingkan binatang.  Make dalam pakatan iteh, sedey amat   mereke menangkak seikor kere  jantan dan seikor kuching betina.  Dipakaikan pakaian yang chantek-chantek kepade binatang iteh siak dengan sulekannye.  Lalu kemudian dibuat pelaminan ontok binatang iteh lalu disandingkan keduanye.

Sebagaimane adat persandingan pade wektu iteh dijalankan acara pencok silat dan tari-tarian. Lesih , linyau segale rumpet tempat bersilat dan menari iteh. Terloncat-loncatlah kere dan kucing sampai moyok bersabak ingin lari daripade majlis oleh taket mendengar bunyi gong dan ketawok dipalu.  Rengkak  pule si anak muda ketawe  melihat laku kuching dan kere yang dipaksa bersanding  di atas pelaminan.

Ketike hal organg mude berkomper iteh, nye dapat tau uleh ograng-ograng tue, lalu  datanglah mereke kepade kumpulan anak mude iteh. Ditingoknye kere dan kuching itu moyok.  Sempelek badan benatang iteh disimboh pewarne.  Disuruh dihentikan acare iteh.  Maru kampung laman jika dibior berterusan. Namun si anak mude teknok menghentikan acare iteh maloh semakin galok pesta   dijalankan.  Gegok-gempite ketawok dipukel.  Rengkak semuanya ketawe rie.

Piantan agok-agok nok tibe megarit, tetibe hari semakin chela’.  Awai tebal menyelubungi Paye Kelebur.  Angin bertiuk kencang dengan petir sabong menyabong.  Kerayan belake ograng yang berkomper iteh. Ograng-ograng tue di kampung iteh meminta acara iteh segera dihentikan.  Namun nasihat iteh tidak dipedulikan.  Anak-anak mude  tidak mempedulikan nasihat tersebut dan rioh rendah hilai tawe mereke melihat gelagat kere dan kuching yang dipakse bersanding iteh.

Lalu hujan pun tugrun dengan  selebat-lebatnye.  Paya Kelebur  tenggelam oleh air  yang  naik secara mendadok.  Arus  air yang kuat meranapkan semue rugmah.  Kampung yang  dahulunya makmur dan aman menjadi sekolam tasik yang dalam.

Catatan: Pade tahun 70-an, tasik yang dalam iteh masih boleh dilihat dari tepi jalan Raub- Kuala Lipis.  Namun selepas banjir besar pade  tahun 1971, sebahagian tasik iteh sudah terkambeh oleh pasir dan kawasan yang sudah terkambeh iteh kini  sudah ditanam dengan tanaman kelape sawek.

ati – hati
iteh - itu
sebagaimane  - sebagaimana
dicerite- dicerita
sebenornye – sebenarnya
due- dua
Sege – Sega
Menyayet - menyayat
Daripade – daripada
mude – muda
lepe - lalai
malapetake – malapetaka
kesoh – kisah
berpunce – berpunca
mendengo – mendengar
tue- tua
pencok – pencak
lesih – bersih habis
linyau – bersih
moyok – letih lesu
bula sipok – bola sepak
jaman – zaman
sempelek – berlumuran dengan sesuatu yang kotor
sedey – mudah
teknok – tak mahu
taket – takut
maloh – malah
galok –galak
tugrun - turun
gegok-gempite – gegak gempita
dipukel – dipukul
rengkak – riuh
rie – ria
piantan – pada waktu
megarih – maghrib
chela’ – suasana awan menebal, beransur gelap
awai – awan
paye –paya
kerayan – perasaan terkejut bimbang
berkomper – berkumpul
mendadok – mendadak
rugmah- rumah
terkambeh – terkambus

sawek - sawit

PERLOMBONGAN EMAS BAWAH TANAH ( Lode Mining) DI RAUB


Raub merupakan tasik emas Malaya.   Kerana itu, kawasan ini dikenali dengan gelaran Pahang Gold Belt  berkeluasan 14,000 batu persegi. 

Raub Australian Gold Mine Company Limited (RAGM) telah membeli 20 batu persegi kawasan lombong

Kawasan ini meliputi kawasan Raub Hole,  Western Lode Mine , Stope Mine  dan di utara Bandar Raub terdapat Eastern Lode Mine.

Kawasan dilombong   melibatkan Raub Hole Mine terletak  berhampiran Western Lode dan Old Raub Mine  di selatan bandar Raub.  Kawasan ini didapati kekurangan emas.   Lombong ini ditutup pada 1894.  Sesudah itu, Bukit Hitam Mine di utara Raub  Hole Mine dibuka . Selain itu Anderson Mine dan Bukit Komen Mine turut dimajukan.  Lombong yang terletak diutara sekali iaitu Lombong Bukit Jelllis digali sedalam 350 kaki dan mampu mengeluarkan 12 penny / weigh pada setiap satu tan bijeh.

Pada tahun 1894, Lombong Bukit Melaka dibuka  dan kemudian diikuti  pembukaan Lombong Sungai Agas.  Kawasan lombong Sungai Agas ini mempunyai nilai emas bermutu tinggi.

RAGM melaksanakan kerja pelombongan dedah dan bawah tanah.   Kaedah perlombongan bawah tanah (lode Mining)  dikenali sebagai lombong shaf  lebih menjimatkan kos untuk  mengeluarkan emas bermutu tinggi dari perut bumi.  Dalam kaedah Shaf ini,  ahli geologi menganalisis sampel tanah  untuk mendapatkan kedudukan jaluran emas.  Sesudah itu sebatang rod berjejari besar akan ditumbuk ke dalam tanah.  Tanah di dalam rod dibawa keluar lalu wujud perigi lombong.  Sesudah itu winch, sehenis alat yang seakan-akan lift digunakan untuk menurun dan menaik pekerja, bijil, kayu penyanga dan peralatan perlombongan.

Pada kedalaman 100 kaki, pekerja akan mengerusi dinding untuk membina terowong. Laluan mendatar sebelar empat kaki  dan tinggi enam kaki dibuat.  Kayu balak ditopang ke dinding dan bumbung terowong bagi mengelakkan runtuhan.   Emas  yang terdapat dalam batu pejal dikeluarkan melalui letupan terhad .  Serpihan batu dimasukkan ke dalam kereta tolak (loko)dan dibawa ke permukaan bumi melalui  lift.  Serpihan batu itu dibawa ke kilang pengisar dan dikisab sebesar bola tenis
Serpihan batu yang tidak mengandungi emas akan diasingkan.  Serpihan batu yang mengandungi emas akan dicampur air lalu dikisan membentuk bubur tanah. Bubur tanah ini dialirkan ke dalam tangki besar dan dicampur dengan serbuk zink bagi mengasingkan batu dengan emas.
Serbuk emas dimasukkan ke dalam tangki pelebur .  Emas cari akan dimasukkan ke dalam acuan dan gas klorin dimasukkan untuk mendapatkan emas tulen.   Bar emas seberat 400 auns terbentuk dari acuan dan label loji emas dicop pada bar emas tersebut.


Pada waktu serangan  Jepun, RAGM membina terowong selebar 5 kaki dan 6 kaki lebar dan sepanjang 100 kaki  di Bukit Koman bagi mengelak daripada serangan Jepun.  Di sini, ditempatkan makanan, ubat-ubatan dan tempat perlindungan pekerja  jika berlaku serangan udara oleh pihak Jepan.

Pada 10 Mei  1958, satu kemalangan di Lombong Derrick telah meragut 12 nyawa.  Kejadian ini berlaku semasa para pekerja menebuk terowong lama yang dipenuhi air.  Air dari terowong itu membanjiri  terowong baru dan menyebabkan pekerja yang bekerja di terowong baru mati lemas. Hal ini berlaku kerana pelan lombong bawah tanah telah dimusnahkan oleh tentera Jepun semasa menguasai kawasan perlombongan ini.  Ini mengakibatkan pelombong tidak  dapat memastikan terowong yang sudah dan belum ditebuk.  Usaha mengeluarkan air dari terowong memakan masa 8 minggu dan selepas 4 bulan , baru mayat mangsa dapat dibawa keluar.  Ini menyebabkan pekerja mulai bimbang meneruskan kerja di lombong shaf dan RAGM juga  turut ragu meneruskan usaha perlombongan  shaf tersebut.


Insiden ini   sangat menjejaskan aktiviti perlombongan RAGM di Raub.  Pada 1957, RAGM mempunyai 615 orang pekerja telah merosot kepada 267 orang. Faktor utama ialah ancaman keselamatan oleh gerila komunis  selepas pembunuhan Sir Hendry Gurney di Bukit Frazer.  Pekerja Cina yang  tinggal di Teras telah dipindahkan ke Ipoh.  Selain itu  kemerosotan harga emas dan berlaku pemogokan pekerja berterusan menyebabkan kos perlombongan merosot.Akhirnya pada 19 Disember 1961, RAGM menutup operasi perlombongan di Raub.

5A (UPSR)


Hari ini menjulang riang

5A


4A1B


3A2B


2A3B


1A4B


4B1C
........


Apakah angka dan huruf itu

Untuk mengukur upaya diri


ATAU


Menunjuk bangga diri.

BUAL BICARA DI PAHANG FM



PROGRAM BUAL BICARA TAJUK : MEMARTABAT BAHASA MELAYU


TARIKH : 19 OKTOBER 2015
HARI: (ISNIN)
MASA : 4.20 - 5.00 PETANG
TEMPAT : JABATAN PENYIARAN (RTM) PAHANG

AHLI PANEL : Hasanuddin Md Isa Pengetua Sekolah Menengah Agama Batu Talam, Raub, Pahang.


Saya menyediakan skrip sendiri bagi persiapan bual bicara di Pahang FM.  Namun semasa bual bicara tersebut, perbualan tidaklah mengikut skrip penuh  bagi menepati masa.


SOALAN 1 :  Di konti sekarang, saya bersama-sama Tuan Hasanuddin bin Md Isa, Penerima Anugerah Inovasi Kakitangan Kerajaan Swasta, NGO, Badan Berkanun, IPT Bersempena dengan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang Tahun 1437H/2015M.  Tuan.  Boleh beritahu para pendengar sedikit latarbelakang kehidupan Tuan.


Bismillahirrahmanirrahim (dan selawat ke atas junjungan Rasulullah s.a.w.)
Assalamu’alaikum warrahmatullahi wabarokatuh  para pendengar semua.
Nama saya Hasanuddin bin Md Isa.  Saya  dilahirkan di kampung Kuala  Atok, Raub.Pahang Darul Makmur pada tahun 1.1.1961. Bapanya, Md Isa bin Omar merupakan petani dan berpendidikan   pondok pengajian Islam di Bunut Payung sebelum perang dunia ke-2. Saya mendapat pendidikan awal di kampung   Sek.Kebangsaan Kuala Atok pada 1967-1973 seterus melanjutkan pelajaran ke Sek.Men.Kebangsaan Raub pada 1974-1977. ,  Sek.Men.Teknik Kuantan 1977-78.  Setelah itusaya  melanjutkan pelajaran ke Sek.Men. Abdul Rahman Talib , Kuantan 1979-1980  .  Setelah mendapat pencapaian agak baik dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran, saya melanjutkan pelajaran ke Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi 1981-1984. Seterusnya mulai tahun 1988-89, saya mengikuti kursus diploma pendidikan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.  Pada tahun 1992,  sekali lagi saya mengikuti kursus dalam bidang Pedogogi dan Metodologi Pembelajaran di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Saya memulakan kerjaya perkhidmatan sebagai guru sementara di Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Akar kuantan sekitar tahun 1986 – 87, Maktab Rendah Sains Mara 1987,  Kurator Museum Pahang 1988, Tutor Bahasa Melayu di UIA 1989 -90 dan kemudiannya berkerjaya sebagai guru di Sekolah Menengah Agama Kerajaan Pahang bermula tahun 1990.  Sepanjang di sekolah agama ini, saya sempat mengajar di Sekolah Menengah Agama Pulau Tawar Jerantut, Maahad Sultan Ahmad Shah Addini Jengka, Sekolah Menengah Agama Dong  dan Sekolah Menengah Agama Batu Talam.  Sekarang ini saya menjawat jawatan Pengetua di Sekolah Menengah Agama Batu Talam, Raub.




SOALAN : 2. 
 Apa perasaan Tuan apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Inovasi Kakitangan Kerajaan Swasta, NGO, Badan Berkanun, IPT Bersempena dengan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang Tahun 1437H/2015M.

Bagi menjawab soalan yang dikemukakan itu,  sebagai seorang muslim, mohon saya dahulukan  jawaban atas persoalan yang dilontar  dengan menghayati sepotong ayat al-Quran , ayat ke-7 dari surah Ibrahim:

A007
Mahfumnya:

Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras"
Demikian rasa jiwa saya penuh kesyukuran apabila dimaklumkan tentang  penganugerahan  Anugerah Inovasi Kakitangan Kerajaan Swasta, NGO, Badan Berkanun, IPT Bersempena dengan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang Tahun 1437H/2015M.

Ini satu anugerah yang sangat bermakna dalam kehidupan saya .  Saya sangat bersyukur dipilih sebagai penerima anugerah ini.  Dari diri peribadi saya, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada panel pemilih yang memilih saya sebagai penerima anugerah pada tahun ini.


Tanam lenggundi tumbuh kelapa,
Terbit bunga pucuknya mati;
Budi tuan saya tak lupa,
Sudah terpaku di dalam hati.














2. Antara faktor Tuan menerima Penghargaan Maal Hijrah ialah kerana berjaya menghasilkan 40 buah buku, sejak bila Tuan terlibat dalam bidang penulisan? Antara judul buku yang pernah diterbitkan?
Syukur Alhamdulillah.  Menjawab soalan pertama sejak bila terlibat dalam bidang penulisan.  Seingat saya, saya sudah menulis karya-karya berupa puisi, rencana dan cerpen sejak di bangku sekolah menengah.  Adalah juga karya itu disiarkan dalam majalah tahunan sekolah dan bulletin persatuan bahasa Melayu.  Namun    sesudah tamat belajar di UKM pada 1984, saya mengaktifkan diri dalam kerja menulis ini dengan menghasilkan rencana berbagai bidang di majalah dan akhbar.  Namun begitu, kerjaya penulisan ini digiatkan dengan menceburi bidang penulisan novel pada 1896.
Dengan mendapat pendidikan yang agak baik, itulah  kekuatan  dianugerah Allah untuk  menulis setiap dapatan ilmu, pengalaman kehidupan dan gurisan rasa dalam karya-karya saya.  Sehingga tahun 2015 ini, saya telah berjaya menulis  41 buah karya.  Daripada jumlah itu:
Bil.
Kategori Karya
Jumlah
1
Novel
25
2
Kritikan Sastera
3
3
Novel Sejarah Islam
6
4
Antologi Puisi
2
5
Buku Sejarah Islam
1
6
Buku Motivasi
3
7
Peribahasa
1
Jumlah
41
Jika pun tidak dapat disebutkan satu persatu karya yang sudah dihasilkan, saya fikir untuk memanfaatkan waktu senggang, elok sahaja masyarakat pendengar mencari beberapa buah karya saya untuk ditelaah.  Saya fikir sangat berfaedah dari segi kandungan dan pengolahan keilmuannya ialah:
• 1. Gelora kehidupan / oleh Hasanuddin Md. Isa Hasanuddin Md. Isa
Publisher Penerbitan Pena, Year 1990
• 2. Mereka yang tertewas / Hasanuddin Md. Isa Hasanuddin Md. Isa
Publisher Dewan Bahasa dan Pustaka , Year 1989
• 3. Pahlawan kecil / Hasanuddin Isa Hasanuddin Md. Isa
Publisher Fajar Bakti, Year 1989

• 4. Sheida : sepinya hati seorang gadis / Hasanuddin M. Isa Hasanuddin Md. Isa

Publisher "K" Pub., Year 1988

• 5. Khalid Al-Walid & Abu Hurairah / Hasanuddin Md. Isa Hasanuddin Md. Isa

Publisher 'K' Pub. & Distributors, Year 1990

• 6. Usman bin Affan / Hasanuddin Md. Isa Hasanuddin Md. Isa

Publisher 'K' Pub. & Distributors, Year 1990 •
7. Bilal bin Rabbah & Saad bin Abi Waqqash / Hasanuddin Md. Isa Hasanuddin Md. Isa
Publisher 'K' Pub. & Distributors, Year 1990
• 8. Ali bin Abi Talib / Hasanuddin Md. Isa Hasanuddin Md. Isa
Publisher 'K' Pub. & Distributors, Year 1990
• 9. Pulangnya camar / Hasanuddin Md. Isa Hasanuddin Md. Isa
Publisher Creative Enterprise, Year 1991
• 10. Fatimah Az-Zahra : puteri Rasulullah S.A.W. / Hasanuddin Md. Isa Hasanuddin Md. Isa
Publisher Mahir Publications, Year 1992
• 11. Pendirian Ella / Hasanuddin Md. Isa Hasanuddin Md. Isa
Publisher `K' Pub., Year 1991

• 12. Titisan / Hasanuddin Md. Isa Hasanuddin Md. Isa

Publisher Creative Enterprise, Year 1993
• 13. Mereka yang tertewas 2 / Hasanuddin Md. Isa Hasanuddin Md. Isa
Publisher Creative Eeterprise, Year 1995

• 14 Hirisan / Hasanuddin Md. Isa Hasanuddin Md. Isa

Publisher Creative Enterprise, Year 1994
• 15. Al-Abrar / Hasanuddin Md. Isa Hasanuddin Md. Isa
Publisher Creative Enterprise , Year 1995
• 16. Menongkah wawasan / Hasanuddin Md.Isa Hasanuddin Md. Isa
Publisher Dewan Bahasa dan Pustaka, Year 1995
• 17. Generasi / Hasanuddin Md.Isa Hasanuddin Md. Isa
Publisher Creative Enterprise, Year 1998
• 18. Halangan dan rintangan : sebuah novel / Hasanuddin Md. Isa Hasanuddin Md. Isa
Publisher Dewan Bahasa dan Pustaka , Year 1999
• 19 Sentuhan / Hasanuddin Md. Isa Hasanuddin Md. Isa
Publisher Creative Enterprise, Year 2001
• 20. Bidadari cinta/ Hasanuddin Md. Isa Hasanuddin Md. Isa
Publisher Creative Enterprise, Year 2004
• 21. Misteri Kota Gelanggi / Hasanuddin Md Isa Hasanuddin Md. Isa
Publisher Penerbitan Ilham Baru, Year 2010
• 22. Ulasan dan soal jawab Mereka yang tertewas SPM / Ilustrasi Salleh Haji Ahmad Salleh Haji Ahmad
Publisher Penerbit Fajar Bakti, Year 1993
• 23. Rumah kecil ditepi danau / Hasanuddin Md. Isa ; ilustrasi oleh Ahmad Shaiful Akmal Yahya Hasanuddin Md. Isa
Publisher Dewan Bahasa dan Pustaka, Year 1994

• 24. Salman Al-Farisi & Abu Dzar Al-Ghifar / Hasanuddin Md. Isa dan Mohammmad Zaki Abd. Ghani Hasanuddin Md. Isa

Publisher 'K' Pub. & Distributors, Year 1990
. 25 Sembilu Publisher: Creative Enterprise Sdn. Bhd Years: 1994 .
26 Bidak-bidak Di PapanPerjuangan Publisher: Penerbitan IlhamBaru Kuala Lumpur Years: 2011
. 27Antologi Puisi Penulis Pahang – HIJRAH MUSAFIR Publisher: Dewan Persuratan Melayu Pahang Years: 2008 .
28Soal Jawab SPM – MEREKA YANG TERTEWAS Publisher: Creative Enterprise Sdn. Bhd. Years: 1994
. 29 MENCARI KEKASIH Publisher: Creative Enterprise Sdn. Bhd. Years: 1993
. 30.CEBISAN MANTERA TERAKHIR Publisher: Institut Terjemahan bahasa Melayu, Kuala Lumpur Years: 2013
31. Tokoh Ulama Negeri Pahang (Panel Penulis Bersama UIAM); Jabatan Agama Islam Pahang. 2014
.32 SARJANA BANGSA Publisher: Institut Terjemahan bahasa Melayu, Kuala Lumpur Years: 2015
33. Antologi Puisi Penulis Pahang - POLIGENRE . Dewan Persuratan Melayu Pahang. Years 2015

34. HIJRAH DIRI , Publisher: Institut Terjemahan bahasa Melayu, Kuala Lumpur Years: 2015

Karya dalam pembikinan dan belum terbit:
i. Peribahasa Melayu
ii. Resepi menjadi penulis yang berjaya
iii.  Menelusuri Penulisan Novel ‘ Mereka Yang Tertewas ‘
iv.  Hati Bukan Pualam
v. Tanah Kaf Sin
vi. Sebuah Hijrah Diri
vii. Guru Pengukir Kemanusiaan









3. Selain daripada Penghargaan Maal Hijrah ini, apakah penghargaan lain yang pernah Tuan perolehi?

Alhamdulillah.  Sepanjang berkhidmat dalam perkhidmatan awam dan menceburi bidang penulisan,  saya beroleh beberapa anugerah yang saya rasa sungguh bermakna.      Pada tahun 1994, 2003, 2007  saya dianugerah Anugerah Khidmat Cemerlang oleh JAIP.  Itu dalam urusan perkhidmatan awam.  Demikian juga dalam peperiksaan perkhidmatan awam turut meraih band 4 untuk kenaikan pangkat.


Dalam kerja-kerja penulisan, saya   pernah memenangi beberapa anugerah.  Antaranya:
i.        Anugerah budaya negeri Pahang 1986, (Bahagian Penulisan Rencana)
ii.       Anugerah Hadiah Sastera berunsur Islam 1988 (DBP:Novel Mereka Yang Tertewas [dijadikan teks sastera SPM 1991-2001],
iii.      Anugerah Hadiah Sastera Berunsur Islam 2, 1990 (DBP: Novel  Halangan dan Rintangan)
iv.      Novel Al-Abrar dipilih dalam penilaian 10 novel terbaik peringkat akhir , Hadiah  Sastera Nasional anjuran Utusan Publication & Distributors 1994. 
v.       Memenangi Anugerah hadiah utama pertandingan penulisan puisi tradisional (Syair: Masyarakat Madani mengharung zaman)  anjuran Permodalan Nasional Berhad 1999
viv. Memenangi hadiah sagu hati pertandingan  Penulisan Al-Manak 2001 (cerita rakyat : Puteri Indung Gunung Tahan)  anjuran Nett Space Sdn. Bhd. 2000. 
vii.   Anugerah Pengkaryawan Sastera  oleh Dewan Persuratan Melayu Pahang 2004. 
viii. Anugerah tempat kedua penulisan novel    Sayembara Penulisan ITBM, PENA, BH. Tahun 2015
ix. Anugerah Sastera Darul Makmur  kategori  Sastera Islam melalui novel ‘ Cebisan Mantera Terakhir ‘.















4. Baru-baru ini berlangsung Bulan Bahasa Kebangsaan 2015. Pada pandangan Tuan sejauh mana "Bahasa Jiwa Bangsa" dihayati?

Menjayakan Bulan Bahasa Kebangsaan adalah satu aktiviti memajukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.   Memang bagus dilaksanakan aktiviti  deklamasi sajak, berteater, pertandingan syarahan dan sayembara penulisan  bagi menarik minat mengamalkan bahasa kebangsaan.  Namun aktiviti ini sebolehnya  tidak hanya dibataskan dalam tempoh bulan bahasa kebangsaan itu. Aktiviti ini elok saja dilaksanakan setiap waktu baik dilakukan dalam komuniti taman perumahan atau kampung, peringkat mukim atau daerah.  Menyemarakkan aktiviti Bulan BahasaKebangsaan ini akan mendekatkan kita kepada amalan penggunaaan bahasa yang baik dalam kehidupan.

Sejauh mana "Bahasa Jiwa Bangsa" dihayati   oleh setiap anggota masyarakat perlu diukur secara subjektif.   Alhamdulillah, saya lihat mutakhir ini masyarakat Malaysia mampu menguasai bahasa Melayu sebagai alat komunikasi.  Hal ini saya pasti atas kesedaran  bahawa Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi Negara. Bahasa Melayu   adalah alat perpaduan antara kaum  yang sangat baik.  Selain itu, Bahasa Melayu itu sendiri    disebut  dalam Perkara 152,
Perlembagaan Malaysia memperuntukkan bahasa kebangsaan di Malaysia ialah bahasa Melayu. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bagaimanapun tidak menafikan kedudukan dan hak bahasa lain untuk digunakan, dipelajari dan dikembangkan sekalipun dengan menggunakan dana awam.
Dengan begitu kedudukan Bahasa Melayu itu, sangat wajar segala lapisan bangsa di negara ini mengamalkan sebaiknya  dalam penulisan, dan  pertututuran  seharian, dalam urusan tidak rasmi dan juga urusan rasmi di pejabat  kerajaan.  Dengan menutur   bahasa Melayu  bersekali dengan  segala  keindahan peribahasanya dan kesempurnaan tatabahasanya; kita akan dapat melihat kesopanan dan kesusilaan dalam berkomunikasi  dalam masyarakat.   Umpamanya apabila kita dalam perjalanan dan hendak mendapat sedikit maklumat daripada masyarakat setempat, kita akan menyapa dengan santun seperti:

i.        Assalamu’alaiukum abang @ Kakak @ adik.  Saya tumpang bertanya di mana…
ii.       Assalamu’alaiukum abang @ Kakak @ adik.   Bolehkah dapat membantu saya mengenalpasti di mana rumah Tuan Suren di kawasan ini?

 Ini yang disebut dalam banyak pantun Melayu.


Yang kurik itu kundi,
Yang Merah itu saga;
Yang baik  itu budi,
Yang  indah itu bahasa.

Tingkap papan kayu bersegi,
Sampan sakat di Pulau Angsa;
Indah tampan kerana budi,
Tinggi bahasa kerana bahasa.


5. Apakah cabaran memartabatkan Bahasa Melayu?


Sejak merdeka, saya fikir sudah banyak kemajuan memartabadkan Bahasa Melayu  dalam amalan sector awam, sector swasta dan hidup bermasyarakat. Dari segi kosa kata dan tatabahasa  bahasa Melayu,  saya lihat semuanya sangat sempurna dan dapat diguna  kepada semua urusan kehidupan masyarakat di negara ini baik urusan agama, politik, kebudayaan, ekonomi mahu juga perundang-undangan.

Namun begitu cabaran memartabadkan Bahasa Melayu itu seolah-olahnya nampak terlalu banyak.  Sebenarnya tidak banyak jika kita menerima sepenuh hati  Perkara 152, Perlembagaan Malaysia memperuntukkan bahasa kebangsaan di Malaysia ialah bahasa Melayu.   Dengan kata lain sikap pengguna di kalangan warganegara Malaysia yang teragak-agak mengamalkan bahasa ini dalam kehidupan seharian  itulah cabaran yang berterusan. 

Kita harus menyedari bahasa pertuturan manusia ini adalah anugerah Allah kepada setiap bangsa.   Bahasa Melayu itu sangat sesuai untuk bangsa Melayu .  Demikian juga bahasa yang lain.  Bagi orang Melayu sepatutnya bangga mempunyai bahasa yang mudah difahami  dan diamalkan oleh mereka.  Bagi bangsa selainnya yang tinggal di Negara ini  sewajarnya mengambil kesempatan memahami dan mengamalkan bahasa Melayu   kerana bahasa ini  satu anugerah untuk manusia.  Selain itu bahasa ini sudah menjadi  lingua franca di daerah nusantara Melayu sejak berkurun yang lalu.  Dalam kontak Negara ini, bahasaMelayu adalah alat pertuturan dan perpaduan kaum  yang terbaik diamalkan.

Seharusnya kita mempunyai jati diri  kukuh mendokong bahasa kebangsaan ini.  Di mana kaki dipijak, di situ langit dijunjung.  Ini hakikat yang perlu diterima.  Dengan pengguna bahasa Melayu di Nusantara ini yang berjumlah lebih 280 juta orang, bahasa Melayu bukan bahasa yang kecil dalam dunia ini.












6. Pandangan tuan terhadap bahasa rojak dan bahasa kesat yang banyak digunakan di Media Sosial, Whatapps, Telegram dan SMS?

Ya, jika diamat-amati perkembangan bahasa rojak dan kesat di media sosial yang berlaku pada hari ini sangat mendukacitakan.   Sangat mendukacitakan kerana bahasa itu tidak dapat mengambarkan nilai budi pekerti sesuatu bangsa.  Ada kata-kata yang  selama ini  cuba tidak digunakan dengan sewenang-wenangnya  seperti perkataan  gampang, sundal, celaka dihamburkan sewenang-wenangnya kepada rakan taulan.   

Ada bahasa yang diringkaskan ejaan atas sifat itu pesanan ringkas sehingga terikut-ikut dalam penulisan  rasmi.   Ada gambaran  rasa  sedih, gelihati, gumbira diringkaskan sebagai huhuhu, hihihi, hehehe .   Termasuk juga merojakkan  bahasa yang kadang-kadangnya tidak perlu dalam kontak penggunaan.  Ada permohonan maaf ditulis tanpa ada rasa merendah diri.  Malah sifat angkuh  dicerna melalui  perbualan-perbulaan  yang hendak merendahkan kewibawaan  lawan berkomunikasi. 

Saya fikir pengguna yang berbuat demikian tidak memahami jiwa bahasa Melayu itu sendiri.   Ini sebenarnya  sangat merosakkan  bahasa  Melayu . Bahasa Melayu ini membawa jiwa yang halus, sopan, berbudi pekerti, matang dan berilmu  sewaktu menuturkannya.       Yang jelasnya  penggunaan bahasa rojak ini telah menghakis  akhlak bahasa yang disebut santun itu hilang  dalam jiwa pengguna.


Slogan ‘ Bahasa Jiwa Bangsa ‘ itu perlu diketengahkan secara berterusan dalam masyarakat bagi menjadi arah tuju berbahasa.  Masyarakat melalui  siaran  telekomunikasi sama ada radio atau televisyen  mesti  mendidik masyarakat  mencintai bahasa kebangsaan.  Dengan kata lain, masyarakat dibimbing  untuk menggunakan bahasa  yang tepat, betul tatabahasanya,  bersekali  menggunakan unsure puitis dan keindahan berbahasa. Bahasa Melayu mengukuhkan jati diri penggunakannya kerana bahasa ini mengungkap segala  aturan  akal budi dan kesantunan.


Orang berbudi kita berbahasa
Orang memberi kita merasa;
Sekalung budi seuntai bahasa,
Pusaka warisan budaya bangsa.


7. Sebagai seorang Pengetua Sekolah, apakah cabaran masa kini dalam mendidik pelajar-pelajar?

Sebagai  Pengetua sekolah yang mengetuai operasi pendidikan, memang banyak cabaran yang perlu diatasi dalam pendidikan pelajar masa kini.  Cabaran terbesar ialah menyediakan generasi akan datang menghadapi  ruang dunia terbuka yang melampaui batas geografi.Memang benar pun kata-kata Saidina Umar  r.a. dalam mengilham pendidikan.   Beliau menyebut, “ Didiklah anak-anakmu mengikut kehendak zaman zamannya.”
Tidak boleh tidak pendidikan hari ini perlu menyediakan manusia untuk satu zaman akan datang.   Bukan setakat anak-anak itu mengenali segala aplikasi teknologi, menguasai disiplin sains dalam mata pelajaran,  tetapi  sangat penting bagaimana anak-anak itu dapat membawa dirinya menghadapi cabaran yang bakal dihadapinya.  Dalam hal ini, menyediakan jati diri  kukuh itu cabaran yang besar.  Dalam kontak orang Islam ialah menyediakan insane yang soleh dan warganegara yang baik.  Dalam kontak rakyat Malaysia ialah menyediakan warganegara yang mampu menggerakkan negara ini  bersaing dengan dengan kemajuan negara lain di dunia ini tanpa meninggalkan akal budaya dan ruh keagamaan masing-masing.
Dalam keadaan anak-anak pada waktu ini menghadapi cabaran kehidupan  yang berbeza dengan cabaran yang dihadapi oleh ibu bapa mereka;  mereka perlu dimotivasi  untuk bersedia  berani menghadapi cabaran, perlu dimotivasi untuk berfikir kritis menganalisis bentuk cabaran yang sedang dihadapi mereka dan mereka perlu dimotivasi  untuk berfikiran kreatif mereka bentuk penyelesaian jangka  pendek dan jangka panjang terhadap masalah yang sedang dihadapi oleh mereka.
 Institusi sekolah tidak boleh bersedirian membimbing anak-anak.  Pihak anggota keluarga yang diwakili oleh Jawatankuasa PIBG  mesti turut sama dan diperkasakan.  Masing-masing mesti menyusun peranan agar kemajuan pendidikan itu dapat memberi kesan baik kepada anak-anak di sekolah.












8. Apakah azam dan harapan Tuan selepas mendapat Anugerah Inovasi Maal Hijrah 1437H/2015M?  

Apabila seseorang diberi anugerah yang tertinggi; itu bermakna orang itu sudah melaksanakan sesuatu usaha yang sangat besar.  Seperti yang saya sebut tadi, saya telah berusaha segigihnya dan dianugerah pelbagai anugerah  penulisan dan perkhidmatan.  Nampaknya seperti tiada ruang lagi untuk mengembangkan potensi diri.

Namun sebagai warganegara yang menyedari kepentingan  membina  negarabangsa  yang  utuh; saya berazam  menghasilkan sesuatu yang boleh dijadikan  rujukan dalam kehidupan  masyarakat di negara ini pada masa akan datang.  Dengan kata lain saya perlu menghasilkan karya yang lebih bermutu dan membawa manfaat kepada pembaca.   Dalam kerjaya perkhidmatan awam pula; saya perlu meneroka inovasi baru yang dapat mengukuhkan urusan kerja yang diamalkan selama ini.  Itu yang sedang saya usahakan.  Paling kurangnya  usaha saya   ini akan meninggalkan satu legasi yang akan diteruskan oleh generasi akan datang.



9. Rumusan dan nasihat kepada pendengar Pahang FM.
Kepada para pendengar, saya berpandangan  kita tidak boleh berasa selesa  dengan pencapaian yang sudah diraih.  Masyarakat dunia senantiasa cuba menampilkan pencapaian baru  dan kita mesti seiring bersaing  dalam dunia tanpa sempadan ini.
Baik kita tinggal di kampung pedalaman atau di pekan kecil atau di Bandar besar;  kita perlu menyerap segala  kesukaran yang dihadapi  dan sedaya upaya mencipta inovasi baru dalam usaha membaiki kehidupan.   Semua perubahan itu bermula dari dalam diri sendiri.  Bak kata pepatan, Hendak Seribu Daya.  Tak Hendak Seribu Dalih.  Pepatah itu bersesuaian dengan pandangan ahli hikmah  yang  menyebut  Orang yang cemerlang itu menunjukkan bukti.  Orang yang gagal memberi pelbagai alasan.
Mengakhiri temubual pada hari ini, saya ingin menyampaikan dua kuntum pantun.

Asal santan darinya santan,
Darinya santan menjadi minyak;
Jika salah laku perbuatan,
Mohon maaf berbanyak-banyak.

Batu Pahat Pantai Kundur,
Nampak berbalam tanah seberang;
Hamba yang ralat mohon berundur.
Supaya tidak menyusahkan orang.

Assalamu’alaikum warrahmatullahi wabarokatuh.