Pembukaan Kampung Sengkela



Lawatan Tun Abdul Razak Ke Kampung Sengkela
Sekitar tahun 1725 Masehi, seorang bangsawan iaitu   Raja Ahmad dari Luhak Tanah Datar, Minangkabau, tepatnya dari Sungai Tarab, Pagaruyung melangkahkan kakinya dalam rangka kelana  . Beliau  diiringi oleh anak saudaranya bernama Raja Hitam.   Pada waktu itu, Raja Ahmad sudah pun berumur sekitar 42 tahun dan Raja Hitam di awal 20-an.

Setibanya di tanah semenanjung, tempat yang mula-mula dijejaki mereka ialah daerah Durian Sebatang dalam jajahan hilir Perak. Pada masa itu, Perak diperintah oleh Raja Radin ibni Yang Dipertuan Muda Raja Mansur bergelar Sultan Alauddin Mughayat Syah (Sultan Perak 1720-1728). Di bumi Perak inilah Raja Ahmad dan Raja Hitam mula-mula mencuba nasib dan tuah badan untuk menilai apakah mereka akan serasi hidup di sana atau pun tidak. Kebetulan pada waktu itu, perairan Perak sering diganggu oleh lanun-lanun dan bajak laut yang ganas dan tidak berperikemanusiaan. Malangnya tidak ada walau seorang pun dari kalangan pembesar mahu pun hulubalang Perak yang mampu menangani ancaman lanun-lanun terbabit.

Raja Ahmad dan Raja Hitam berserta para pengikut setia mereka telah berbakti kepada Kerajaan Perak dengan menewaskan kesemua lanun-lanun yang bermaharajalela tersebut berbekalkan ilmu persilatan dan kebatinan yang tinggi yang dibawa mereka semenjak dari Pagaruyung lagi. Sebagai balasan di atas jasa beliau itu, Raja Ahmad telah dikurniakan gelar kemuliaan “Tok Perak” .
Mulai saat itu, pudarlah nama batang tubuhnya yang asal iaitu Raja Ahmad lalu melekatlah panggilan Tok Perak sahaja dalam kalangan anak cucunya dan masyarakat sekeliling yang mengenalinya sehinggalah ke akhir hayatnya. Raja Hitam pula kemudiannya dikenali sebagai “Panglima Hitam” sahaja kerana mereka berdua beranak telah membuktikan kehandalan ilmu kepahlawanan mereka sebagai seorang panglima Melayu yang tulin.

Raja Ahmad atau Panglima Tok Perak bermastautin di bumi Perak dan beristerikan seorang perempuan dari Sungkai bernama Tok Nuri atau Tok Nuriah. Melalui perkahwinan dengan Tok Nuriah ini  beroleh enam orang anak (yang dapat dikesan) iaitu Imam Abdullah Hasyim @ Tok Duhas, Tok Akil, Tok Barir, Halipah, Anjang Mas Suka dan Tok Pudi.

Maka, sekitar tahun 1755 Masehi berpindahlah pula  Panglima Tok Perak membawa isterinya serta beberapa orang anaknya   dengan diikuti juga oleh anak saudaranya, Raja Hitam menuju ke Hulu Pahang. Laluan yang diikuti mereka sama saja dengan laluan yang diikuti oleh orang-orang dagang dari Sumatera yang ingin ke Hulu Pahang sebelumnya mahupun di zaman selepas beliau iaitu menyusuri laluan Tapah ke Hulu Slim sehingga tembus ke Hulu Sungai, Batu Talam (di buka oleh Tok De Abdul Rahman bin Tok Aya). Pada masa itu, yang merajai Pahang ialah Bendahara Seri Maharaja Tun Abas (1722-1764) ibni Bendahara Paduka Raja @ Sultan Abdul Jalil Riayat Syah 4 (1699-1718).

Dari Batu Talam, beliau diberi maklum ada tanah antara Pasir Purun dengan Batu Talam yang belum diteroka.  Akan mendiami tanah itu mestilah dengan mendapat kebenaran pembesar setempat.  Lalu rombongan Panglima Tok Perak membuat   kunjungan hormat ke pusat pemerintahan Maharaja Perba Jelai Wan Muhammad bin Wan Ismail yang terletak di Bukit Kota, Lipis (setentang Bukit Betong dan hanya dipisahkan oleh aliran Sungai Jelai) kerana Maharaja Perba Jelai adalah salah seorang daripada Orang Besar Berempat Pahang yang bertanggungjawab terhadap pentadbiran di rantau Hulu Pahang yang sangat luas.

Selesai menghadap Maharaja Perba Jelai di Bukit Kota, barulah Panglima Tok Perak menghilir pula menuju ke Kampung Terap, Budu untuk melakukan kunjungan hormat terhadap Tok Kaya Chandak di. Kampung Terap .  Tok Panglima Perak diberi izinkan membuka kampung di tebing Sungai Lipis.
Di Semantan Hulu itulah Panglima Tok Perak, Raja Hitam dan lain-lainnya dengan berbekalkan beliung kapak menebang menebas hutan rimba yang subur menghijau di sepanjang aliran Sungai Lipis hinggalah berkembang melahirkan Kampung Sengkela (sekarang dalam Mukim Sega) dan Kampung Gesing (sekarang dalam Mukim Semantan Hulu). Kampung Sengkela itu diperoleh nama daripada rotan Sengkela yang tumbuh dengan banyak di situ.  Di sini jugalah Panglima Tok Perak beroleh isterinya yang kedua bernama Tok Mikrah iaitu anak jati Kampung Terap, Budu yang juga masih keturunan Datuk Baginda Demu dan Datuk Kaya Ibrahim Lipis.   Dari perkahwinan ini Panglima Tok Perak  dengan Tok Mikrah ini beroleh tiga orang anak iaitu Tok Pandak Lena, Tok Fatimah dan Kulop Mat Daham.  


Setelah lebih kurang tiga puluh tahun mengerah tulang empat kerat membuka hutan rimba untuk dibuat kampung dan sawah ladang, pada tahun 1785 iaitu pada zaman pemerintahan Bendahara Paduka Raja Tun Abdul Majid (1770-1802) ibni Bendahara Seri Maharaja Tun Abas, Panglima Tok Perak @ Raja Ahmad telah kembali ke rahmatullah dalam usia 102 tahun dan dikebumikan di perkuburan zaman yang kini dinamakan “Bukit Baru” yang terletak di belakang rumah allahyarham Tok Empat Mohamed bin Imam Kundor, Sengkela. Di sini jugalah tertanamnya jasad Tok Unus (menantu cucu beliau) yang datang dari Kampung Macang Gelap, Chenor, Haji Abdul Latif @ Haji Mahkota Kerinci (juga menantu cucu beliau), Haji Abdul Manan Rawa yang berasal dari Lansek Kadap, Rao Mapattunggul, Pasaman, Raja Hitam @ Panglima Hitam  

1 ulasan: