Sejarah Membuka Kampung Tersan

  

Akan Tok Mat Amin bin Tok Malik  bin Tok Mat Saleh bin Ngah Endek bin Mohamad Ali Jaafar bin Baginda Demu (Raja Muhamad),    merasakan Kampung Pagar di tebing Sungai Lipis itu sudah sesak penduduknya.  Semua mereka itu ahli keluarga mereka.  Jika terus berada di Kampung Pagar, tidaklah banyak tempat mencari rezeki lagi kerana semua tanah paya  dan kawasan menugal jagung dan bertanam ubi sudah bertuan. 

 

Akan di kampung Salang,  bersebelahan kampung Pagar  yang didiami oleh keluarga sebelah nenda saudaranya Tun Ismaun   begitulah  juga begitu keadaannya.  Sejak keluarga mereka menetap di Lubuk Yong pada zaman Tok Moyang, Baginda Demu;  pembukaan kampung Pagar mampu bertahan untuk kediaman  dua tiga generasi sahaja.

 

Maka untuk memperoleh tanah bertani, Tok Mat Amin berfikir perlu mencari tanah di sebelah hulu Sungai Lipis.  Kawasan itu belum diteroka sesiapa pun lagi.   Akan pada masa itu, kawasan Penjom, Benta dan Budu sudah didiami oleh keluarga Tok Kaya Ibrahim  dan keluarga Tun Ibrahim.   Tidak moleklah membuka petempatan di kawasan itu.  Bila  tiba pada masa hadapan, bersesak-sesak pula anak cucu di situ.

 

Akhirnya Tok Mat Amin memutuskan untuk berhijrah  ke kawasan yang lebih hulu dari Benta. Beliau dan ahli keluarga terdekatnya  berdayung perahu dan berakit mudik ke hulu Sungai Lipis.   Akhirnya mereka sampai di hilir  Jeram yang bising bunyi airnya .  Di situ, mereka bercakap seperti orang bisu.  Kelihatan cuma gerak bibir dan tidak kedengaran suara disebabkan bisingnya tujahan air.   Tempat itu disebut mereka sebagai Jeram Bisu .  Pada kemudian hari, kawasan itu dipanggil sebagai Jeram Besu.

 

Oleh kerana kawasan itu berbukit-bukau pada pandangan dari sungai, tidak sesuai dibuat petempatan.  Tidak banyak kawasan paya dapat dibuka. Tok Mat Amin dan pengikutnya mudik  lagi ke hulu Sungai Lipis. Akhirnya mereka sampai ke kawasan sungai yang mendatar. Di kiri kanan sungai terdapat pokok buluh aur tumbuh merimbun.  Pada fikiran Tok Mat Amin, kawasan itu sesuai dibuat petempatan.

 

Melihat kawasan yang cantik itu, Tok Mat Amin mengajak rombongannya  meninjau  sekitaran kawasan itu.  Kawasan dari Sungai  menuju ke kawasan bukit sangat pamah, berair dan sesuai untuk bersawah padi.  Ketika sampai ke kaki bukit yang tumbuh banyaknya pokok Serdang dan Terap, didapati ada dua alur. (kemudian harinya dipanggil Sungai Buluh dan Sungai Ketiar ) mengairi kawasan pamah.   Ketika meneliti kawasan itu, didapati banyak binatang hutan turun ke kawasan tanah pamah untuk menjilat tanah   berjenud (masin) .  Ini  menandakan  kawasan tersebut  sangat subur.

 

Akhirnya Tok Mat Amin bersama-sama ahli keluarganya menebas-menebang segala belukar untuk dibuat kampung halaman.  Kawasan pamah berpaya dijadikan kawasan paya untuk bercucuk tanam padi dan kawasan kaki bukit dibuat tepat menugal jagung dan menanam segala jenis ubi.   Air dari  Sg.Buluh dan Sg Ketiar  sangat berguna kepada tanah sawah.  Lalu  Tok Mat Amin dan ahli keluarganya mencangkul  tanah membuat  terusan.  Kedua dua alur itu disatukan menjadi parit besar  seperti  terusan terus ke Sg. Lipis. Terusan itulah yg membekalkan air ke sawah padi mereka. Sempena terusan itulah wujudnya sebuah lagi kampung bernama Kampung Tersan

 

Terdapat kampung-kampung kecil dalam kawasan kampung Tersan ini.  Antaranya ialah Tanjung Aur, Lubuk Rom, Lubok Landas dan Kelebor . Bagi menjaga kepentingan dan kebajikan kampung Tok Mat Amin dilantik sebagai Penghulu sekaligus menjadi Imam dan Pawang.   Beliau menjalankan tugas dan tanggungjawab  urusan keagamaan  setempat dengan persetujuan Bendahara Pahang. 


Apabila beliau  meninggal jenazahnya di semadikan di atas bukit Kampung Tersang lalu dipanggil penduduk kampung sebagai  Makam Keramat Tok Mat Amin  Bukit Tersan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan