10 SOALAN BERITA HARIAN

Seperti yang dimaklumkan tadi, saya ingin menjemput tuan menjadi tetamu kolum Nuansa Pengarang di BH yang disiarkan setiap selasa.

 

Berikut adalah soalan berkaitan;

 

1) Apakah yang mendorong tuan untuk menulis?

 

                Bidang penulisan adalah bidang penyebaran ilmu dan maklumat.  Itulah tarikannya.   Saya sebagai guru rasanya tidak cukup menyampaikan ilmu dan maklumat itu cuma di medan bilik darjah sahaja.  Alangkah eloknya segala perolehan ilmu  dikongsikan dengan seramai mungkin khalayak masyarakat .

 

2) Umumnya, apakah yang mencetuskan karya, pembacaan, pengalaman atau isu lain?

 

            Seorang pengarang akan mengarang karyanya untuk bacaan masyarakat; untuk karya itu itu dapat dikutip ilmu dan teladannya.   Untuk itu, segala potensi yang dimiliki pengarang mesti digembeling untuk mengelokkan rupa bentuk pengarangan yang hendak disampaikan.   Dengan itu, segala perolehan ilmu baik sedia ada atau melalui kajian terbaharu serta kesan amalan daripada perolehan ilmu diadun dalam wacana yang dikarang.

            Pengarang tidak boleh menyembunyikan pengakuannya bahawa apa yang ditulis itu sebahagian atau sedikit daripada pengalamannya.  Bagaimana dapat pengarang menghantar bahasa yang indah dalam karyanya jika apa yang ditulis itu tidak benar-benar difaham, dihadam,   dirasa  dan diamalkannya?   Dengan kata lain, isi karya itu itu bercampur baur juga dengan segala pengalaman, perolehan ilmu dan daya kekreativiti pengarang mengolah karyanya.

 

3) Kalau ada siapa yang banyak mempengaruhi kepengarangan tuan?

 

            Seorang penulis yang ingin berjaya dalam bidang penulisan perlu mempunyai keazaman yang tinggi,  penyelidikan bebas yang berkesan, ketajaman dalam pengolahan bahasa dan kerja yang berterusan.  Itu memang milik penulis.  Namun faktor di luar diri penulis seperti dorongan keluarga, rakan-rakan sepenulisan , rakan-rakan alam maya  dan minat masyarakat  memberi  peratus  pengaruh mendorong penulis  untuk berkarya.  Jadi memberi item tertentu secara rijid  dalam nilai peratus  sebagai faktor dominan pendorong kerja penulisan seorang penulis tidak dapat dikeluarkan dengan tepat.  Apa pun dalam setiap situasi  kerja penulisan itu, ucapan terima kasih disampaikan kepda semua yang mendorong saya menulis.  Allah jua yang membalasnya atas sekelian semangat yang dikongsikan dan doa yang dipanjat ke hadrat Ilahi  mendoa kesejahteraan saya.

 

 

4) Tuan selalu tampil dengan persoalan serius dalam karya, yang membabitkan persoalan nasionalisme dan jati diri mungkin tuan ada ulasan untuknya?

 



            Seorang penulis karya kreatif bukan menulis untuk menghiburkan pembaca semata-mata.  Ada mesej  dan pengajaran yang hendak disemat ke hati pembaca.  Untuk itu, saya fikir aliran pemikiran pembaca itu perlu dicabar.  Bahan yang disajikan mesti menggugah pendiriannya.  Persoalan yang dilontar perlu berjejak di hati pembaca  untuk pembaca mempertimbangkan  satu pendirian baru dalam kehidupan. Isi cerita  adalah pengkongsian jiwa pengarang dan pembaca.  Di situlah ada penghayatan pembaca  terhadap isi karya.  Pembaca berasa dia dan karya itu  ada kesinambungan rasa.   

            Lalu sejumlah karya seperti Mereka Yang Tertewas  (DBP 1990),  Halangan dan Rintangan (DBP 1991) ,  Sentuhan (Creative Enterprise – 1996)  Al-Abrar (Creative Enterprise Sdn. Bhd), Bidak-Bidak Di Papan Perjuangan  (Ilham Baru – 2010) Cebisan Mantera Terakhir (ITBM 2012), Sarjana Bangsa (ITBM 2015), Hijrah Diri (ITBM 2015)  dan lain-lain karya dihasilkan

 

 

5) Siapa pengarang yang tuan kagumi, jika ada

 

            Saya kagum  pada Hamka.  Karyanya sarat dengan ilmu dan pengajaran.  Penceritaannya  meluncur dari satu episode ke satu episode  ibarat air mengalir  tidak berhenti-henti; demikian inti pengajaran daripada tulisan beliau itu terus terjerlus ke kalbu, timpa-menimpa menerbitkan keinsafan  dan kewaspadaan.

            Pengarangan Anwar Ridhwan menimbulkan kekaguman dengan permainan bahasa yang tidak ‘ klise ‘.  Saya fikir itu kekuatan yang patut dicontoh  oleh penulis-penulis lain.

 

 

6) Bilakah tuan menulis? Pagi, petang atau malam?

 

            Bagi seorang penulis, masa itu anugerah terbaik untuk dimanfaatkan.  Dengan itu juga setiap masa adalah sama bagi seorang penulis.  Namun dalam menulis karya yang keras jua sarat  tema dan persoalannya,  masa yang cukup tenang itu diperlukan.   Jadi bila masa yang tenang itu?  Masa tenang semula jadi ada   apabila semua manusia dan unggas beristirahat.  Masa tenang itu juga boleh diperoleh apabila pengarang melarikan dirinya daripada bersibuk-sibuk dengan   persendirian, urusan keluarga dan masyarakatnya.  

 

            Selain itu penulis menulis bukan ditentukan oleh faktor masa sahaja.  Faktor lain seperti  ketenangan fikir,  tubuh yang sihat, jiwa yang membara berkarya  dan perolehan ilham berterusan  mengasak penulis  berkarya.  Tentu sekali urusan  membariskan setiap kata itu memerlukan ketenangan dalam dan luar diri penulis.   Maka ketenangan di luar diri penulis itu sahaja yang selalu diperhatikan oleh manusia.

 

7) Adakah tuan menulis secara tetap, berjadual, dalam bilik khas atau boleh menulis di mana-mana sahaja.

 

            Seoran penulis yang konsisten dalam dunia pengarangan  perlu menjadualkan kerja penulisannya.  Dia perlu menulis dan terus menulis  tanpa  mengira masa dan tempat  dan tanpa  perlu memikir akan kesusahan  hilangnya idea  dan kesinambungan berkarya.  Setiap yang dipandang, dilihat, didengar, dirasa dan ditaakul adalah bahan terbaik yang patut dirakamkan.  Jadi pemikiran mencapah itu perlu untuk mendapatkan sebanyak mungkin perolehan bahan.  Apa pun istilah ‘ pemeraman’  yang dipopularkan bagi mendidik penulis baru itu  adalah baik juga di peringkat awal.  Namun bagi penulis, ‘ pemeraman’ itu akan merosakkan  jiwanya jika tempoh  ‘ pemeraman itu terlalu lama.

 

            Walaupun begitu, selepas penggunakan teknologi perkomputeran diperkenalkan  dan akses internat bertambah pantas; patutnya proses ‘ pemeraman’ itu berlaku singkat.  Penulis boleh mencari bahan melalui akses internet dalam dunia tanpa sempadan ini.   Namun begitu, bagi melancarkan  kerja penulisan, penulis perlu  ada pekakasan Note Book  ATAU  LapTop yang boleh dibawa ke sana ke mari.  Ini penting untuk merakamkan segala maklumat dalam fail  ‘ pemeraman ‘.

            Selain itu, melalui penggunaan  pekakasan  IT ini,  penulis dapat  mengumpulkan  genre tulisannya  dalam bentuk fail khusus  seperti i. Karya dalam perancangan   ii. Karya dalam penyelidikan  iii. Karya yang sedang ditulis   iv. Karya yang ditangguhkan penulisan    v. Karya yang siap dan belum disemak   vi. Karya yang sudah siap dan bersedia dihanatr ke penerbitan.  Vii.  Karya yang sudah dihantar ke penerbitan.

 

 

8) mungkin tuan ada ritual tersendiri sebelum/semasa menulis misalnya sukakan muzik dipasang, atau suka bersunyi-sunyian?

 

            Sebagai penulis yang menggarapkan unsur  Islami dalam karya, maka ritual ibadah yang dianjurkan oleh Islam itu satu asset dalam terapi diri.  Maka hendak diceritakan satu persatu boleh dianggap riak oleh pembaca.  Tidak menceritakan ritual yang dilakukan menutup ruang dakwah kepada  manusia.

            Apa pun sebagai seorang muslim, beristighfar itu itu kunci kepada keinginan mendampingi Pencipta.  Dan segala zikir  yang ma’thur  diamalkan berterusan menundukkan diri mahkluk kepada Pencipta. Maka mengerjakan segala kefarduan ibadah itu menenangkan hati manusia.  

            Dalam berhubung dengan manusia, amalan amar makruf dan nahi munkar berjalan seiring dengan  kerja-kerja  pengkaryaan.  Tidak ada rasa serba-salah  tidak menyampaikan apa yang hak disampaikan.  Namun bagi pengarang kreatif, pemakaian bahasa beralas, berkias dan kelunakan gaya bahasa adalah kebijaksanaan untuk mengajak kepada kebaikan dan menegur  hal-hal kemungkaran.

 

9) Biasanya berapa masa yang tuan ambil untuk menghasilkan karya bermula dengan proses memeram idea.

 

Tempoh masa penghasilan sesuatu karya  bergantung kepada tema dan persoalan yang hendak ditampilkan kepada pembaca.  Bagi tema yang ringan berkisar dari segi mengeratkan silaturahim sesama manusia; masa yang digunakan tidaklah lama. Bagitu juga bagi karya yang tidak memerlukan plot yang rumit, jalinan ceritanya dapat ditulis dengan pantas.  Maka masa yang diambil juga singkat.  Sebagai contohnya sewaktu penghasilan  novel  GENERASI  (Creative Enterprise 1994).  Oleh kerana novel ini cuma menceritakan kehidupan  biasa belia-belia di  Pulau Tanggul, Terengganu. Pengarang cuma pergi sekali ke sana, melihat kehidupan belia yang mencari arah kehidupan lalu sepulangnya terus menulis karya kreatif setebal 240 halaman. Karya itu Cuma memakan waktu 24 hari sahaja penulisannya.

            Namun menghasilkan karya berat seperti MEREKA YANG TERTEWAS, AL ABRAR, SENTUHAN, CEBISAN MANTERA TERAKHIR , SARJANA BANGSA, HIJRAH DIRI; kerja penyelidikan memakan waktu bertahun-tahun, kerja penulisan tersangkut-sangkut oleh kekurangan sumber ilmiah dan perbandingan.  Namun Alhamdulillah, kegigihan itu menghantar pengarang  ke nokhtah akhir penulisan.  Dengan kata lain, bagi karya yang memuatkan tema berat, penjanglah tempoh penyelidikan dan panjang juga tempoh penulisannya.

 

10) Karya yang manakah tuan fikir paling susah/lama untuk dihasilkan dan yang mana pula mudah disiapkan.

 

Semua karya yang saya hasilkan  saya fikir susah juga hendak disiapkan.  Setiap satu karya itu membawa tema, persoalan dan penceritaan yang berlainan.  Maka menulis setiap karya yang berbeza itu memerlukan penyelidikan  yang panjang juga.
































Dari segi tempoh masa  menyiapkan sesuatu karya itu, tentulah ramai berpendapat karya yang nipis itu cepat disiapkan.  Karya remaja lebih cepat disiapkan berbanding karya untuk golongan dewasa.  Itu pendapat umum.  Dalam praktikalnya ada karya remaja dan nipis yang saya hasilkan memakan masa lama juga.  Contohnya novel MISTERI KOTA GELANGGI  terbitan Ilham Baru- Kuala Lumpur 2010.  Kisah di dalamnya cuma kisah pengembaraan sekumpulan remaja ke Gua Kota Gelanggi.  Semasa berkhemah di kawasan gua tersebut, mereka terserempak dengan sekumpulan penjahat yang memproses dadah.  Lalu  mereka diperangkap  dan kemudiannya dapat melepas diri dengan bantuan orang kampung.  Dari segi penceritaannya mudah, tetapi  penulis novel terpaksa berkali-kali memanjat kompleks Gua Kota Gelanggi itu untuk melihat secara dekat pelataran tempat.  Terpaksa juga mencari kisah silam Gua Gelanggi itu untuk dipaparkan kepada pembaca.

Telahan lagi sewaktu menulis karya SARJANA BANGSA yang sarat dengan perbahasan falsafah dan pemikiran moden, cabaran semasa dan cadangan penambahbaikan masyarakat.  Penulisan karya kreatif berunsur ilmiah ini bukan setakat sukar dari segi kerja penyelidikannya, malah sukar juga dalam menyusun plot dan pengolahan bahasanya.  Namun begitu, penulis yang inginkan pemikirannya ditatap oleh masyarakat mesti berusaha merungkai segala kesukaran yang dihadapainya dengan cukup tabah.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan